Sunday, August 29, 2010

Imam mula bersuara.

Entri sebelum ini menyentuh pelbagai ragam jemaah semasa solat terawikh berjemaah. Point pertama menyentuh tentang masalah jemaah memenuhkan saf dari malam pertama ramadan hinggalah hari ini.

Untuk baca entri berkenaan sila klik di sini.

Malam ini (sebentar tadi), Ketua Imam masjid mula bersuara menegur jemaah yang bersikap demikian walaupun agak lewat menegur mereka tetapi lebih bagus daripada tiada teguran langsung. Diharapkan teguran itu dapat mengubah sikap 'zon selesa' jemaah dengan memenuhi saf dengan cara yang dianjurkan Allah SWT.

Tuesday, August 24, 2010

Ragam orang : Solat jemaah di masjid. (Ramadan)


Gambar Hiasan (madrasahmuizzah.blogspot)

Gambar Hiasan (Feryco.com)

1. Sedang jemaah-jemaah lain sibuk memenuhi saf, masih ramai yang hanya tercegat sambil menunggu dan melihat orang lain memenuhi saf, mereka memilih untuk solat di bahagian yang sejuk ditiup angin kipas, lebih selesa kata mereka. Kewajipan kita memenuhkan saf, daripada depan hingga ke belakang, dari tengah ke kiri dan kanan, bukan memilih saf, menunggu dan melihat!

Sabda Nabi s.a.w, ertinya : "Luruskanlah saf kamu (ketika solat) sesungguhnya aku nampak kamu dari belakangku"(al-Bukhari)

2. Segelintir jemaah gemar bersembahyang sunat di hadapan pintu masuk masjid. Jadi, bagaimana jemaah lain yang ingin masuk ke dalam masjid? Tambahan, jemaah yang sedang bersolat itu tidak meletakkan sutrah sebagai penghadang. Maka, jemaah di luar dengan 'selambernya' terpaksa melintas di hadapan orang yang sedang bersolat sunat itu. Carilah bahagian yang lebih sesuai untuk bersolat sunat contohnya di saf hadapan, kan banyak lagi kosong tu. Sedarlah bahawa lalu di hadapan orang yang solat itu adalah suatu dosa yang amat besar, manakala membiarkan orang lalu tanpa bertindak juga adalah suatu kesalahan.

Sabda Nabi s.a.w, maksudnya : "Sekiranya seseorang yang lalu di hadapan orang yang solat itu tahu sebesar manakah dosanya, nescaya ia berhenti menunggu selama lebih 40 (tahun, hari dan bulan) adalah lebih baik dari ia lalu di hadapan orang yang solat itu" (perawi berkata : aku tidak pasti nabi menyebut 40 hari, bulan atau tahun)
(Riwayat Al-Bukhari)

Sabda Nabi s.a.w lagi, ertinya : "Apabila seorang kamu menunaikan solat dengan telah ada petanda atau penghadang di hadapan kamu dari orang ramai (sebagai isyarat tempat ia solat- ia dinamakan 'sutrah'), tiba-tiba ada orang yang ingin melintas di hadapanmu, hendaklah kamu menahannya dari lalu, sekiranya dia enggan hendaklah kamu lawaninya dengan kuat kerana dia adalah Syaitan"
(Riwayat Al-Bukhari, Muslim, lafaz di atas riwayat Abu Daud)

3. Ramai kaum Hawa yang datang ke masjid, bak yang tua mahupun yang muda. Apa yang dikesali adalah ada segelintir yang mendedahkan aurat, seperti semasa menaiki dan menuruni tangga masjid. Ada juga yang datang dengan separuh telekung dan berseluar ketat di bawah, ada juga yang hanya memakai tudung, t-shirt berlengan pendek serta berseluar sambil membawa telekung.

4. Jika tidak sihat tidak perlu datang berjemaah di masjid, lagi-lagi apabila sakit yang berjangkit seperti batuk, selsema, sakit mata. Sakit-sakit seperti ini boleh berjangkit kepada jemaah lain. Solat sahaja di rumah, bila sudah sihat datangla semula ke masjid.

5. Bersambung....

Iman, Hati budi, Harta benda dan Sakinah.

Bukan hati budi penentunya, juga bukan harta benda penentunya tetapi Iman dan Taqwa penentunya. Ada apa dengan hati budi & harta benda?

Tanpa iman & taqwa, hancur luluh jiwa & sanubari ini.

Jika hati budi & harta menjadi penentunya, apa beza kita dengan yang bukan Islam. Hanya iman & taqwa sahaja yang membezakan kita semua.

Akhirat paling utama dikejar tetapi jangan lupa bahagian/habuan kita di dunia sementara ini, BUKANNYA "dunia-dunia jugak, akhirat jgn lupa" tapi yang sebaliknya adalah "akhirat-akhirat jugak, dunia jangan lupa"

Nikmat ketenangan (sakinah) lebih hebat daripada nikmat keseronokan itu sendiri. Bertuahlah kepada sesiapa yang dikurniakan ketenangan daripada Allah SWT. Orang yang berharta tidak bermaksud dia telah mendapat ketenangan begitu juga sebaliknya. Ketenangan yang sebenar adalah mendapat keredhaanNya.

Allah Maha Adil membahagikan nikmat dan rezeki kpd hamba-hambaNya. Cuma kita sahaja yang tidak sedar dan tidak bersyukur.

Sama-sama kita menjadi hambaNya yg bersyukur.


Asraf Mahmud,
Jam 00:30,
Kuala Lumpur.

Thursday, August 19, 2010

Sahur Dan Hukum Yang Berkaitan Dengannya - DrMAZA

Soalan: Dr Asri yang dihormati, saya ingin mengucapkan selamat menyambut Ramadan. Saya tinggal serumah dengan beberapa orang kawan. Ada kalangan kami yang berpuasa tetapi selalu tidak bangun sahur. Katanya ‘dia tahan’ walaupun tak bersahur. Ada yang sahur terlalu awal, seawal jam 2 pagi. Ada yang sahur ‘siap-siap’ sebelum tidur kerana malas hendak bangun. Ada yang jika bangun hampir waktu subuh, dia kata dah tamat waktu sahur, sekalipun belum azan lagi, dia tetap tak mahu sahur. Saya cuba berikan nasihat kepada kawan-kawan sekadar yang saya faham. Bolehkah Dr Asri nasihatkan kami apa yang terbaik?

Mizan, KL.

Jawapan Dr MAZA: Selamat menyambut Ramadan semoga kita semua dirahmati Allah. Alhamdulillah, saudara dan sahabat-sahabat saudara berpuasa. Ini menandakan tanggungjawab sebagai muslim masih lagi kuat dalam jiwa saudara-saudara sekelian. Puasa adalah ibadah yang melambangkan keikhlasan. Jika seseorang itu benar-benar berpuasa, tanda adanya keikhlasan yang besar dalam penghayatan Islamnya. Saudara pula merupakan sahabat yang baik, yang mempunyai kesedaran bagi diri sendiri dan juga rakan-rakan untuk mengamalkan amalan yang menepati sunnah Nabi s.a.w Semoga Allah membanyakkan pemuda seperti saudara dan diberikan pahala yang besar. Adapun persoalan saudara tentang sahur itu, maka saya jawab berdasarkan beberapa perkara berikut;

1. Sahur itu adalah sunnah. Sekalipun ia tidak diwajibkan, namun amat-amat digalakkan. Bahkan ia dijadikan pembeza antara sahur muslim dan sahur Yahudi. Sabda Nabi s.a.w:

“Pembeza antara puasa kita dan puasa Ahli Kitab adalah makan sahur”. (Riwayat Muslim).

Maka, kita berpuasa kerana ingin mengabdikan diri kepada Allah dan kita berlumba-lumba melakukan perkara yang disukai Allah pada bulan Ramadan ini, maka ikutilah sunnah Nabi s.a.w termasuk dalam bersahur. Besarnya rahmat Allah, sehingga seseorang yang bangun bersahur agar dia bertenaga esok harinya ketika berpuasa, dihitung sebagai ibadah yang diberi ganjaran.

2. Allah jadikan keberkatan dalam bersahur. Sabda Nabi s.a.w :

“Bersahurlah, sesungguhnya pada sahur itu ada keberkatan”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Barakah adalah sesuatu yang mustahak dalam kehidupan ini. Insan mungkin memiliki berbagai perkara, tetapi jika ianya tidak diberkati Allah, maka segala kebaikan yang diharapkan akan hilang. Mencari keberkatan adalah suatu yang teramat penting dalam hidup ini. Dalam sahur itu ada keberkatan buat puasa yang bakal dilaksanakan dan kehidupan individu yang berpuasa secara umumnya. Semoga kita memperolehinya.

3. Bersahur itu terhasil dengan memakan apa-apa makanan yang halal, atau meminum apa-apa minuman yang halal. Sabda Nabi s.a.w:

“Sesiapa yang ingin berpuasa maka bersahurlah dengan sesuatu” (Riwayat Ahmad, disahihkan dengan syawahid).

Berdasarkan hadis, kita digalakkan bersahur dengan tamar. Nabi s.a.w bersabda:

“Sebaik-baik sahur orang mukmin ialah tamar”. (Riwayat Abu Daud, Ibn Hibban dan al-Baihaqi, sanadnya sahih).

Maka dengan ini, kita bukan sahaja digalakkan berbuka puasa dengan tamar, kita juga digalakkan untuk bersahur dengan tamar. Maka, ambillah sekurang-kurangnya sebiji tamar semasa bersahur semoga mendapat pahala tambahan.

4. Kita disunnahkan untuk melewatkan sahur. Perkataan sahur itu sendiri merujuk kepada akhir malam atau sepertiga akhir malam. Ini seperti firman Allah:

“Pada waktu sahur mereka memohon keampunan” (Surah Ali ‘Imran: 17).

Bersahur terlalu awal bukanlah sesuatu yang digalakkan sebaliknya disunnahkan melewatkannya.

Kata Zaid bin Thabit: “Kami bersahur bersama Rasulullah, kemudian terus pergi untuk bersolat (Subuh)”. Anas bin Malik bertanya beliau: “Berapa lama antara sahur azan dan sahur tersebut?”. Jawab Zaid: “Kadar 50 ayat (al-Quran)”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Hadis ini menunjukkan bahawa betapa lewatnya sahur Nabi s.a.w. Jika 50 ayat dibaca, kadarnya lebih kurang beberapa minit. Di tempoh itulah Nabi s.a.w menghentikan sahur untuk bersiap menuju solat.

5. Waktu sahur berlanjutan sehinggalah masuknya waktu subuh. Andaian bahawa puasa itu mesti bermula sepuluh atau dua puluh minit sebelum subuh adalah tidak tepat. Hadis Zaid di atas tadi, bukan menunjukkan sahur itu wajib berhenti kadar 50 ayat sebelum azan, tetapi menunjukkan amalan Nabi s.a.w yang dilihat oleh Zaid. Buktinya, Aisyah r.a menyebut:

“Sesungguh Bilal azan pada waktu malam (azan pertama Subuh, sebelum masuk waktu). Maka Rasulullah s.a.w pun bersabda: “Makan dan minumlah sehingga Ibn Ummi Maktum azan, kerana beliau tidak akan azan melainkan setelah masuk waktu fajar (subuh)” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Hadis ini menunjukkan pada zaman Nabi s.a.w ada dua kali azan bagi waktu subuh. Ini seperti yang diamalkan di kebanyakan dunia Islam terutamanya Mekah dan Madinah. Azan pertama sebelum masuk waktu, ia dilaungkan oleh Bilah bin Rabah. Azan kedua, oleh sahabat Nabi s.a.w yang merupakan seorang buta, beliau Abdullah ibn Ummi Maktum. Maka Nabi s.a.w mengizinkan seseorang yang hendak berpuasa itu makan sehingga azan kedua, iaitu masuk waktu subuh yang sebenar, maka barulah berhenti.

6. Al-Quran sendiri menjelaskan tentang hal ini dengan menyatakan (maksudnya):

“Makan dan minumlah kamu sehingga ternyata benang putih dari benang hitam dari waktu fajar, kemudian sempurnakanlah puasa sehingga waktu malam” (Surah al-Baqarah: 187).

Maka penentu bagi waktu terakhir sahur adalah masuknya waktu subuh yang sebenar, bukan beberapa minit atau belasan minit sebelum subuh. Dalam riwayat Muslim, Nabi s.a.w bersabda:

“Jangan kamu tersilap disebabkan azan Bilal, ataupun warna putih sehinggalah kelihatan waktu fajar (sebenar)”.

7. Maka berdasar al-Quran dan hadis-hadis di atas, juga pelbagai riwayat yang lain, maka waktu ‘imsak’ yang sebenarnya bermula apabila masuknya waktu subuh, bukan beberapa minit atau belasan minit sebelum subuh. Maka, apabila seseorang bangun bersahur dan didapati waktu subuh belum masuk sekalipun hanya tinggal beberapa minit, dia tetap boleh memakan sahurnya sehinggalah masuknya waktu subuh.

8. Bersahur di samping membantu kita untuk lebih cergas semasa berpuasa, ia juga mendidik seseorang untuk bangun pada sepertiga yang akhir malam. Ini kerana waktu tersebut adalah waktu yang mempunyai kelebihan untuk ibadah dan dimustajabkan doa serta istighfar. Dalam hadis, Rasulullah s.a.w bersabda:

“Tuhan kita Yang Maha Berkat dan Agung turun setiap malam ke langit dunia, ketika hanya tinggal sepertiga malam yang akhir. Lalu berfirman: “Sesiapa yang berdoa kepadaKu, akan Aku perkenankan untuknya. Sesiapa yang meminta kepadaKu, akan aku berikanNya. Sesiapa yang memohon keampunan kepadaKu, akan Aku ampunkannya” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Hadis ini menunjukkan fadilat berdoa dan beristighfar pada waktu sepertiga malam yang akhir. Maka dengan seseorang bangun pada waktu tersebut memberikan peluang dan ruang kepadanya untuk berdoa dan memohon hajat kepada Allah pada waktu tersebut.

9. Puasa adalah proses mengabdikan diri kepada Allah S.W.T. Jika seseorang itu berpuasa serta mengikuti sunnah-sunnah bagi seseorang yang berpuasa, maka mudah-mudahan mencapai hakikat taqwa. Ia akan mendidik diri dengan berbagai kebaikan yang lain, termasuklah qiyamullail atau ‘bangun malam beribadah’. Sahur, salah satu program penting yang jika dihayati dengan baik, membentuk jika menjadi insan yang menghampirkan diri kepada Allah.


Artikel asal : http://drmaza.com/home/?p=1208

Wednesday, August 4, 2010

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails