Monday, December 6, 2010

Kejadian samun di Keramat - Hati-hati!

Kejadian yang berlaku di kawasan kejiranan kami di Taman Keramat. Menurut beberapa orang saksi (salah seorangnya ialah Mak aku sendiri), kejadian samun ini berlaku lebih kurang pukul 6.00 petang (30 minit selepas   aku dan ayah keluar rumah) hari Khamis lalu. 

"Ianya berlaku dengan sangat pantas" kata Mak. 
"Petang itu, tidak ramai yang berada di luar rumah seperti kebiasaannya" tambahnya lagi.

Ketiadaan ramai orang diluar rumah petang itu memudahkan lagi kerja mereka. Dua buah motorsikal, 4 orang penjenayah terlibat kes ini. Penjenayah bersertakan beberapa bilah parang dan pisau, ketika salah satu motor dilanggar oleh mangsa, maka jatuh bertaburan beberapa bilah pisau dan parang. 

Menurut seorang saksi lagi, kecederaan penjenayah yang sempat dilanggar itu agak teruk dan ini membuatkan mereka berdendam dengan mangsa. 

Sehingga hari ni mangsa telah mengambil beberapa langkah keselamatan yang terbaik untuk keluarganya. Mudah-mudahan mereka sentiasa dilindungi oleh Allah. Kepada semua pembaca sekalian, anda dinasihati supaya lebih berjaga-jaga semasa di dalam atau di luar rumah. 

Sentiasalah berwaspada dengan keadaan sekeliling anda. Bertukar-tukar nombor telefon di antara jiran tetangga dan berwaspada dengan orang yang tidak dikenali yang melalui kawasan kejiranan anda lebih-lebih lagi yang menunggang motorsikal. 

Jenayah hari ni berlaku tidak kira masa dan tempat, tempat yang nampak selamat mungkin tidak selamat begitu juga sebaliknya. Berhati-hatilah sentiasa, lindungi diri dan keluarga anda. 

Berikut adalah petikan daripada akhbar Harian Metro yang berjaya dijumpai di sumber arkib harian metro online. 


AMPANG: Empat beranak menempuh detik mencemaskan apabila menjadi ‘tawanan’ penyamun yang secara tiba-tiba menyerang sejurus kereta mereka berhenti di depan rumah di Taman Keramat, di sini, kelmarin. Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, mangsa yang berusia 35 tahun bersama isteri dan dua anaknya baru tiba di rumah mereka.


Ketika itu, dia memberhentikan kereta dan turun untuk membuka pintu pagar, namun terkejut apabila seorang lelaki bersenjatakan parang terus meluru ke arahnya.

Mangsa kemudian masuk semula ke dalam kereta dan mengunci pintu bagaimanapun penjenayah terbabit terus menghayun parang ke arah cermin di bahagian pemandu dan penumpang hingga pecah.

Sumber polis berkata, mangsa terkejut melihat seorang daripada penjenayah terbabit mengacukan parang ke arah isterinya yang ketika itu berada di tempat duduk belakang.

“Penjenayah berkenaan meminta isteri mangsa menanggalkan barang kemas dan wanita terbabit yang mengenangkan dua anaknya berusia enam dan dua tahun yang berada dalam kereta kemudian terus keluar daripada kenderaan terbabit.

“Dia berbuat demikian kerana tidak mahu dua anaknya itu dicederakan penjenayah terbabit selain mahu memberikan barang kemas seperti yang diarahkan mereka,” katanya.
Menurutnya, melihatkan keadaan yang kelam-kabut itu, mangsa kemudian mengambil tindakan nekad mengundurkan kereta dan ketika itu seorang penjenayah berada di belakang kenderaannya.

“Akibatnya penjenayah terbabit terjatuh dan mengalami kecederaan sebelum dia dibantu rakannya yang kemudian melarikan diri dengan menunggang motosikal.

“Bagaimanapun, sebelum beredar, seorang daripada penjenayah terbabit yang berang kerana mangsa terlanggar rakannya sempat mengugut mahu membunuh mangsa,” katanya.

Sumber terbabit berkata, mangsa dan ahli keluarganya bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan dan hanya keretanya mengalami kerosakan di cermin akibat dipukul dengan parang.

“Namun, penjenayah sempat mengambil barang kemas milik isterinya iaitu dua rantai emas dan juga satu gelang tangan sebelum mangsa membuat laporan polis berhubung kejadian terbabit.

“Kejadian itu membuatkan mangsa dan ahli keluarganya trauma kerana terpaksa berhadapan dengan kumpulan penjenayah terbabit yang bersenjatakan parang dan boleh dianggap ganas,” katanya.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa tidak dapat mengecam muka penjenayah kerana mereka memakai topi keledar berpenutup penuh dan dia juga tidak sempat mencatat nombor pendaftaran kenderaan digunakan suspek kerana kejadian berlaku begitu pantas.

“Polis kini sedang memburu empat suspek terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun secara berkumpulan,” katanya.

[Sumber : hmetro

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails