Thursday, December 15, 2011

Rintihan Sayyidina Ali Zainal Abidin


Allah,
Yang tak tersembunyi bagi-Nya apapun yang dilangit dan dibumi..

Bagaimana mungkin TERSEMBUNYI bagi-Mu, Tuhanku
Apa yang Engkau CIPTAKAN....

Bagaimana mungkin Engkau tidak MENGHITUNG
Apa yang Engkau BUAT....

Bagaimana mungkin HILANG dari-Mu
Apa yang Engkau ATUR....

Bagaiman mungkin bisa LARI dari-Mu
Orang yg tidak ada kehidupan kecuali dgn REZEKI-Mu...

Bagaimana mungkin SELAMAT dari-Mu
Orang yang tidak punya tempat lari di luar KEKUASAAN-Mu..

Mahasuci Engkau!

Orang yang paling TAKUT diantara makhluk-Mu
Adalah orang yang paling MENGENAL-Mu...

Orang yang paling MERENDAH pada-Mu
Adalah orang yang paling banyak BERAMAL mentaati-Mu

Orang yang paling HINA dihadapan-Mu...
Adalah orang Kau berikan REZEKI tapi dia MENYEMBAH selain-Mu..

Mahasuci Engkau!

Tidak mengurangi KEKUASAAN-Mu......
Orang yg MEMPERSEKUTUKAN-Mu & MENDUSTAKAN para utusan-Mu

Orang yang MEMBENCI KETENTUAN-Mu
Tidak akan mampu menolak PERINTAH-Mu....

Orang yang menolak KEKUASAAN-Mu
Tidak dapat MENGHINDAR dari-Mu....

Orang yang MENYEMBAH selain-Mu
Tidak dapat MENJAUH dari-Mu....

Orang yang MEMBENCI PERTEMUAN dengan-Mu
Tidak akan hidup ABADI di dunia.....

Mahasuci Engkau!

Alangkah agungnya kemuliaan-Mu.....
Alangkah besarnya kekuasaan-Mu....
Alangkah dahsyatnya kekuatan-Mu....
Alangkah cepatnya perintah-Mu....

Mahasuci Engkau!

Kau tentukan pada seluruh makhluk-Mu kematian
Orang yg mengesakan-Mu dan kafir kepada-Mu
Semua merasakan kematian..
Semua kembali pada-Mu...

Maha Mulia Engkau, Maha Tinggi...
Tidak Ada Tuhan Kecuali Engkau...
Esa dan Tiada sekutu bagi-Mu...

Aku beriman kepadaMu.....
Aku benarkan utusan-Mu
Aku terima kitab-Mu
Aku tolak setiap sembahan selain-Mu
Aku berlepas diri dari orang yang menyembah selainMu

Ya Allah...
Pagi dan petang aku melakukan sedikit amalku
Mengakui dosaku
Berikrar dengan kesalahanku
Dengan segala pelanggaran diriku

Aku ini hina
Amalku mencelakakanku
Hawa nafsuku membinasakanku
Keinginanku membuatku malang

Aku bermohon pada-Mu, wahai junjunganku.....
Permohonan orang yang jiwanya lalai
Karena panjang angan-angannya....

Yang badannya alpa
Karena ketenangan urat-uratnya....

Yang hatinya terpukau
Karena banyaknya nikmat atasnya....

Yang fikirannya pendek
Kepada arah kepulangannya....

Permohonan orang yang angan-angan telah mengusainya
Hawa nafsu telah mencubainya...
Dunia telah mengendalikannya...
Kematian telah membayangkan...
Permohonan orang yang bertumpuk dosanya
Dan mengakui kesalahannya....
Permohonan orang tidak punya tuhan selain-Mu
Yang tidak punya pelindung kecualiMu...
Tidak ada penyelamat dari-Mu...
Tidak ada tempat bernaung dariMu kecuali kepada-Mu...

Tuhanku…..
Aku bermohon kepada-Mu
Demi hak yang Engkau wajibkan atas seluruh makhluk-Mu
Demi nama-Mu yang agung yang Kau perintahkan Rasul-Mu
Untuk bertasbih kepada-Mu
Demi kemuliaan wajah-Mu
Yang tidak pernah pudar, berubah, berganti, menghilang

Sampaikan shalawat kepada Muhammad dan keluarga Muhammad
Bebaskan aku dari ketergantungan kepada segala sesuatu
Dengan beribadat kepadaMu...
Palingkan perhatian jiwaku dari dunia
Dengan takut kepadaMu...
Curahkan kepadaku limpahan anugerah-Mu
Dengan kasih sayang-Mu...

Kepada-Mu aku berlari....
Kepada-Mu aku takut.....
Kepada-Mu aku berlindung....
Kepada-Mu aku berharap....
Kepada-Mu aku berdoa...
Kepada-Mu aku bernaung...
Kepada-Mu aku bersandar...
Kepada-Mu aku meminta tolong...
Kepada-Mu aku beriman....
Kepada-Mu aku bertawakkal...
Pada anugerah dan karunia-Mu...
Aku pasrah..

- Sayyidina Ali Zainal Abidin Cicit Rasulullah

Tuesday, December 13, 2011

Mutiara Hati Tuan Guru Jahid Sidek al-Khalidi


Mutiara Hati Tuan Guru Jahid Sidek al-Khalidi

Penegasan " DENGAN NAMA ALLAH " -BILLAH

Dengan nama Allah itu hendaklah sebut nama Allah berulang-ulang terus menerus sehingga penuh zahir dan batin sehingga seolah-olah melimpah keseluruh alam. Maka, pada ketika itu barulah "dengan nama Allah". Jika menyebut Bismillah bukan semata-mata bismillah tetapi beserta Allah dalam ingatan zahir dan batin.


(Kuliah Malam Jumaat 10/12/11)
     Semasa berzikir, ingatlah atau rasakan kita berada di dalam KEGELAPAN YANG BERLAPIS-LAPIS. Yang berada di dalam kegelapan itu adalah RUH kita. Walaupun tubuh zahir kita sentiasa berada dlm terang...terangnya alam, terangnya bulan, terangnya cahaya lampu dsbnya, namun hakikatnya RUH kita tetap berada di dalam kegelapan kerana tidak kenal lagi pada Allah seperti sebelum ruh masuk ke tubuh. Sebelum lahir kedunia, Ruh kita cukup terang dan sangat kenal dengan Allah.
     Ruh kita tidak kenal lagi dengan Allah kerana HIJAB AL-KAWN (hijab kejadian). Dan hijab al-kawn yg paling besar bagi kita adalah tubuh/jasad kita sendiri. Maka itulah, setelah kita mati, kita akan kenal semula kepada Allah kerana pada ketika itu pandangan ruh kita akan kembali terang dan tajam (tidak ada lagi hijab al-kawn).
     Semasa kita hidup, kita masih berpeluang untuk mengenal ALLAH....iaitu dengan jalan BERZIKIR. Apabila berzikir dengan menyebut...ALLAH, ALLAH, ALLAH... terus menerus sepanjang masa, siang dan malam, ketika berbaring atau duduk dsbnya...maka ALLAH akan mendengar kita dan ALLAH akan kenal kita. Apabila ALLAH kenal kita barulah DIPERKENALKAN diri-NYA kepada kita.
Ringkasnya,
Begitulah maksud nak kenal ALLAH itu mesti dengan nama-NYA. Namanya itu apa? Adalah ALLAH. Bagaimana DENGAN nama-NYA itu? Adalah dengan menyebut/zikirkan ...ALLAH, ALLAH, ALLAH....terus menerus.


Adab seseorang mukmin terhadap ALLAH yang paling penting ada 4 perkara:
1.   sentiasa ingat akan nama-Nya
2.   sentisa menyedari akan wujud-Nya
3.   sentiasa menyedari akan keagongan-Nya
4.   sentiasa menyedari akan kesempurnaan-Nya
     * menyedari meaning 'muraqabah'
     Kesan positifnya ialah hati mukmin tersebut akan jadi mutmainnah,  rasa takutnya hati kepada ALLAH dan pergantungan hati kepada rahmat-Nya menjadi seimbang. Mukmin itu akan menjadi sebaik-baik mukmin sehingga bala' dan nikmatnakan dirasai sama pada pandangan hatinya, tetap baik baginya.

Tulisan Azza Izzi

Wednesday, November 2, 2011

Berjaya ATAU Gagal? Berjayanya seseorang itu bergantung kepada tahap keyakinannya.



Perbandingan di antara 3 darjat ma'rifat :



1. 'ILMUL YAKIN : Seseorang itu mengenal tuhan dengan tahu adanya makhluk ini, seumpama dia mengenal rupa bentuk gula tanpa dia merasai apa-apa nikmat gula itu, ini adalah martabat orang awam, syurga belum terjamin baginya. Contoh lain seumpama seseorang yang melihat kepulan asap dari jauh tetapi dia tidak melihat api itu, namun yakinlah dia bahawa di sana ada api melalui dalil adanya asap tersebut. 


Penerangannya, darjat pertama ('ILMUL YAKIN) hanya darjat "tahu dalilnya" sahaja dan bukan darjat pengalaman.





2. 'AINUL YAKIN : Seseorang itu mengenal tuhan dengan merasai kelazatan zawq , seumpama dia mengenal gula dengan dia merasai nikmat gula itu setelah disentuhkannya gula itu pada lidahnya, ini adalah martabat para wali, syurga wajib terjamin baginya. Contoh lain seumpama seseorang yang pergi melihat api itu sendiri dengan matanya maka yakinlah dia bahawa api itu benar-benar wujud di sana.


Penerangannya, darjat kedua ('AINUL YAKIN) adalah darjat merasai pengalaman dengan merasai "melihat".





3. HAQQUL YAKIN : seseorang itu mengenal tuhan dengan dia merasai kelazatan zawq yang teristimewa, seumpama dia mengenal hakikat gula dengan dia merasai nikmat gula itu setelah disentuhkannya gula itu pada lidahnya kemudian ditelannya gula itu, ini adalah martabat para wali yang teristimewa, syurga wajib terjamin baginya dan teristimewa. Contoh lain seumpama seseorang yang menyentuh dan membakar jarinya sendiri dengan api, maka yakinlah dia dengan sebenar-benar pengalaman merasainya yang sangat kemuncak.


Penerangannya,  darjat ketiga (HAQQUL YAKIN) pula adalah darjat merasai pengalaman tertinggi dengan "merasai kemuncak yang hakiki".






Kedua-dua darjat terakhir inilah yang sebenar-benarnya ma'rifah. Dalam ilmu tasawwuf dinamakannya dengan "zawq" (rasa) iaitu "merasai" hakikat sebenar ma'rifah.


Semoga kita dipimpinNya ke destinasi pilihan kita......

Tuesday, November 1, 2011

Getar Hati..



Bergetarnya hati orang-orang yang menyebut Allah dalam keadaan hati mereka hidup, adalah lebih kuat dari goncangan gunung-gunung ketika ingin diturunkan al-Quran kepada gunung-gunung itu.


Kenali Cinta Sebenar - Kisah Imam 'Abdullah ibn Mubarak





Kisah Imam 'Abdullah ibn Mubarak dengan seorang hamba yang tenggelam di dalam cinta.

Sheikhna Sidi Yusuf al-Hasani pernah meriwayatkan satu kisah yang mengisahkan satu hubungan cinta yang amat mendalam seorang hamba terhadap Tuhannya, iaitu seorang hamba yang amat memahami keadaannya dihadapan Tuhannya. Namanya tidak dikenali, dan beliau juga merupakan seorang hamba yang telah dibeli oleh tuannya di suatu negeri.Seperti kebiasaan, negeri tersebut akan mengalami musim kemarau pada tiap-tiap tahun. Akan tetapi, pada tahun itu, musim kemarau yang berlaku amatlah teruk sehinggakan penduduk di negeri itu melakukan solat Istisqaq(meminta hujan) hampir setiap hari. Melihat tiada perubahan, dan penduduk negeri semakin menjalani kehidupan mereka dalam kesukaran, mereka akhirnya menjemput Imam al-Haramain, iaitu Imam 'Abdullah ibn Mubarak, seorang 'ulama yang cukup terkenal dalam bidang hadith serta fiqh, yang juga merupakan guru kepada Imam al-Ghazali, pengarang kitab Ihya 'Ulumuddin yang terkenal.

Kebiasaannya, apabila Imam 'Abdullah ibn Mubarak melakukan solat Istisqaq di tempat-tempat lain, dengan rahmat Allah, Allah akan menurunkan hujan pada tempat yang ditunaikan solat tersebut. Akan tetapi, apabila beliau dan jemaahnya selesai melakukan solat Istisqaq di negeri tersebut, kelihatan bahawa tiada tanda-tanda hujan akan turun sebaliknya kemarau tetap sahaja membakar kulit-kulit mereka.

Kehairanan dengan kejadian sebegitu, Imam 'Abdullah ibn Mubarak tidak dapat melelapkan matanya sebaliknya mengambil keputusan untuk melihat keadaan penduduk negeri tersebut pada waktu malam. Setelah beliau berjalan-jalan di sekitar kawasan itu, beliau terdengar suara seorang lelaki sedang bermunajat kepada Allah s.w.t. di tengah-tengah padang. Melihat keadaan itu, beliau cuba mendekati lelaki tersebut, dan beliau mendengar doa lelaki tersebut yang berkata, "Wahai Tuhanku, dengan cintaMu yang mendalam terhadap diriku, aku meminta agar Engkau merunkan hujan kepada negeri ini".

Setelah sahaja lelaki tersebut selesai berdoa dan beredar dari padang itu, dengan rahmat Allah, hujan terus turun selebat-lebatnya dan perkara ini menjadikan Imam 'Abdullah ibn Mubarak ingin mengenali lelaki tersebut. Pada keesokan hari, Imam 'Abdullah ibn Mubarak mencari siapakah gerangan lelaki tersebut, dan bertanya kepada setiap rumah di negeri tersebut. Akhirnya, beliau berjaya mendapat tahu bahawa lelaki tersebut merupakan seorang hamba kepada fulan yang amat kaya raya di negeri tersebut.

Beliau dengan penuh semangat, pergi ke rumah si fulan yang amat kaya lalu bertanya, "Wahai tuan, bolehkah aku bertemu dengan hamba milikmu yang keadaannya sekian dan sekian?". Si Fulan tersebut menjawab, "Lelaki pemalas itu? Aku tidak pernah bertemu dengan hamba yang amat pemalas sepertinya. Aku telah menghantarnya ke pasar untuk dijual".Mendengar penjelasan fulan tersebut, beliau bergegas ke pasar untuk mencari dimanakah tempat hamba tersebut dijual. Setelah sekian lama mencari dimanakah hamba tersebut dijual, akhirnya selang beberapa hari beliau berjaya mendapat hamba tersebut yang sedang sedang dilelong. Lalu, beliau pun bertanya kepada si pelelong hamba, "Aku ingin membeli hamba tersebut, berapakah harganya?". Mendengar pertanyaan Imam 'Abdullah ibn Mubarak, pelelong hamba tersebut ketawa lalu berkata, "Engkau mahu membeli hamba ini yang amat terkenal dengan sifat malas? Aku telah menjualnya untuk sekian waktu yang lama, sampai sekarang tiada orang yang ingin membelinya. Aku rela untuk berikan kepada kamu percuma sahaja, menyimpannya bagiku hanya menjadi beban sahaja". Akan tetapi, Imam 'Abdullah ibn Mubarak serius ingin membeli hamba tersebut, lalu bertanya, "Bagitahu kepadaku, berapa yang engkau mahu jual hamba tersebut? Aku mempunyai wang untuk membayar hamba itu". Melihat keseriusan beliau, lalu pelelong hamba tersebut menjualnya sebanyak 20 dinar sahaja, akan tetapi, Imam 'Abdullah ibn Mubarak membayar sebanyak dua kali ganda harganya iaitu dengan 40 dinar, dan membawa pulang hamba tersebut ke rumahnya.

Setelah sampai di rumah Imam 'Abdullah ibn Mubarak, hamba yang baru dibelinya tadi terus disuruh membersihkan diri dan diberi pakaian yang baru untuknya. Selain itu, beliau juga melayan hamba tersebut sebagai tetamunya dengan penuh istimewa, sedangkan dia hanya seorang hamba.

Akhirnya, 1001 satu persoalan bermain di fikiran hamba itu, setelah 3 hari dilayan sebagai seorang tetamu kerana kehadiran dia di rumah Imam 'Abdullah ibn Mubarak adalah sebagai seorang hamba. Lalu dia pun bertanya kepada tuan barunya itu, "Wahai tuan, aku dibeli olehmu untuk berkhidmat kepada tuan. Tetapi, kenapa setelah tiga hari aku berada disini, engkau tidak mengarahkan aku satu suruhan pun sebagai seorang tuan, sebaliknya menyediakan aku keselesaan sedangkan aku hamba".

Mendengar pertanyaan hamba itu, Imam 'Abdullah ibn Mubarak pun menjelaskan, "Aku sebenarnya tidak ingin menjadikanmu hamba. Sebaliknya aku hanya ingin bertanya kepadamu satu soalan. Sesungguhnya aku berada di padang ketika engkau berdoa kepada Allah, "Wahai Tuhanku, dengan cintaMu yang mendalam terhadap diriku, aku meminta agar Engkau merunkan hujan kepada negeri ini". Dan aku hairan, bagaimana engkau boleh berdoa sedemikian sedangkan engkau tidak mengetahui bagaimana cinta Allah kepadamu".

Hamba tersebut pun berkata, "Wahai tuan, engkau adalah Imam 'Abdullah ibn Mubarak yang terkenal seluruh Haramain dan sekitarnya. Bagaimana aku ingin menjelaskan kepadamu sedangkan engkau imam kami, mustahil engkau tidak mengerti hal ini". Beliau pun tetap menyuruh hambanya itu menjawab persoalannya, lalu hamba tersebut menjelaskan, "Wahai tuan, kita ini adalah haadith(yang baharu) dan juga makhluqnya. Bagaimana kita boleh mengatakan cinta kita kepadaNya, sedangkan cinta kita itu adalah sebahagian daripada yang baharu, sedangkan cintaNya pula adalah qaadim(yang kekal sedia ada). Adalah tidak beradab apabila kita mendahulukan cinta kita kepadaNya, sedangkan cintaNya terhadap kita adalah terlebih awal sebelum kita diciptakan".

Mendengar penjelasan hambanya tersebut sambil menitiskan air mata, beliau berkata, "Wahai hambaku, sekarang aku bebaskan kamu daripada menjadi hamba". Lalu, hamba tersebut meminta izin daripada Imam 'Abdullah ibn Mubarak untuk solat dua rakaat di dalam biliknya. Imam 'Abdullah ibn Mubarak pula tidak berganjak dari tempatnya, dan terdengar suara hambanya tadi berdua dalam sujud yang kedua, "Wahai Tuhanku, sesungguhnya Engkau telah membukakan rahsia antaraMu dan aku terhadap tuanku ini. Maka, aku memohon kepadaMu wahai Tuhanku, Engkau cabutkanlah nyawaku dan agar rahsiaku tetap tersimpan denganMu". Apabila Imam 'Abdullah ibn Mubarak masuk ke dalam bilik hamba tersebut, beliau mendapati bahawa lelaki tersebut telahpun wafat dalam keadaan sujudnya tadi dan beliau memaqamkan lelaki tersebut sebagai seorang yang amat mulia.

Allahua'lam bis sowab~

Monday, October 31, 2011

KILAUAN PERMATA YANG MENERANGI KEFAHAMAN TAKBUR FAEDAH DARI AQIDAH ANNAJIN



Segala puji bagi Allah s.w.t yang menghidup dan mematikan kita. yang memberi nikmat iman dan Islam. nikmat kedua sebagai umat nabi s.a.w. tidak lupa juga selawat dan salam keatas penghulu kita nabi Muhammad s.a.w, isteri-isteri baginda, keluarga baginda, para sahabat yang pemberani dan juga mereka-mereka yang mengikuti sahabt sehingga ke hari akhirat.

Amma Ba'du,


KETAHUILAH OLEHMU WAHAI SAUDARAKU!!!

Tersebut di dalam Kitab ‘AqidatunNajin Fi ‘Ilmi Usuliddin, bagi Al-’Alim Al-’Allamah Asy-Syaikh Zainul ‘Abidin b. Muhammad Al-Fathani, pada halaman 129 baris 15 dari atas.

(Dan seperti) takbur ertinya membesarkan diri dan menghinakan manusia dan menolakkan yagn sebenar tersebut di dalam hadis muslim maksudnya:-

Tiada masuk syurga orang yang ada pada hatinya satu misqal(timbangan-pent.) zarah daripada takbur maka sembah mereka itu ya rasulullah bahawasa seseorang kami kasih ia akan kain yang elok dan kaus yang elok maka bersabda ia, bahawasanya Allah itu Jamil (cantik-pent) kasih Ia akan Jammaala (kecantikan-pent) yakni keelokan Dan tetapi takbur itu menolakkan yang sebenar dan menghinakan manusia

Maka berhias dengan pakaian dan umpamanya itu tiada ia takbur tetapi ada ia sunnah pada sembahyang dan jumaat dan umpamanya dan pada perempuan bagi suaminya dan pada hak ulama' kerana membesarkan ilmu pada segala nafsu manusia.

(Bermula tempat) keadaan takbur itu haram apabila ada ia atas segala hamba Allah yang soleh-soleh dan segala imam-imam muslimin dan iaitu ketika itu setengah daripada dosa besar dan setengah daripada sebesar-besar dosa yang bangsa hati.

Dan adapun apabila ada ia atas segala seteru Allah maka iaitu dituntut pada syarak lagi elok pada akal (bermula) murad(maksud-pent.) takbur atas mereka itu menghinakan mereka itu kerana kufur mereka itu dan maksiat mereka itu tiada kerana menghinakan zat mereka itu.

(Dan seperti) hasad, ertinya dengki dan iaitu mencita-cita akan nikmat orang lain samaada dicita-cita akan nikmat itu bagi dirinya atau tiada bersalahan barang yang apabila cita-cita ia akan dapat seumpama nikmat orang lain, maka bahawasanya dinamakan dia 'ghibtah' dipujikan dia pada yang baik.

Dan dalil yang menunjuk atas haram dengki itu masyhur di dalam Quran dan di dalam hadis (dan seperti) berbantah-bantah dan iaitu menolakkan lawannya daripada membinasakan perkataannya dengan hujjah padahal qasad ia dengan ia akan tashih(berdebat bukan kerana kebenaran tapi kerana inginkan kemenangan-pent.) kalamnya.

Dan bermula tempat haramnya itu apabila ada ia bagi menfasadkan(menghina/menjatuhkan-pent.) perkataan orang lain bersalahan barang yang apabila ada ia bagi mentahkikkan yang sebenar atau membatalkan yang batil, telah berkata Imam Syafie "Tiada aku muzakarah akan seseorang dan aku qasad akan mengalahkannya dan hanya sanya aku muzakarah akan dia kerana menyatakan yang sebenar daripada sekira-kira ia yang sebenar". 

Wallahuyahdi ila sawaissabil
(Bermula Allah lah yang menunjukki kepada jalan yang lurus)

tamat

Bismillahirrahmanirrahim...wasallallahua'la saiyidinamuhammad waa'la alihi wasahbihi wasallam...

[Tulisan oleh saudara Fahmi Zakaria, Kefahaman Selamanya] 

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails