Monday, September 7, 2009

Ekonomi dijangka makin pulih tahun depan: TPM





Ekonomi dijangka makin pulih tahun depan: TPM

KUALA LUMPUR: Ekonomi negara dijangka semakin pulih menjelang tahun depan berdasarkan perancangan teliti dan gerak langkah yang dilaksanakan kerajaan, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, dalam menghadapi kelembapan ekonomi ketika ini, kerajaan mempunyai agenda yang sangat penting untuk memastikan dalam tempoh yang tidak terlalu lama, keadaan ekonomi negara akan bertambah baik.

"Dengan menyediakan peruntukan RM67 bilion sebagai satu pakej rangsangan ekonomi kita yang sudah pun mula dibelanjakan, kita harap kesan daripada perbelanjaan itu akan memberi manfaat secara langsung kepada rakyat," katanya.

Muhyiddin berkata, kerajaan turut meningkatkan kegiatan ekonomi domestik dan mempelbagaikan ekonomi negara supaya tidak bergantung kepada sesuatu bidang sahaja bagi membantu memperbaiki taraf hidup masyarakat.

"Nasib baik negara kita aman. Jadi kita boleh tangani isu yang berkait dengan soal hidup rakyat misalnya menangani kumpulan termiskin dalam usaha meningkatkan pendapatan rakyat yang masih lagi kecil," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis berbuka puasa bersama Badan Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan di Masjid Wilayah Persekutuan Jalan Duta di sini malam ini.

Timbalan Perdana Menteri berkata, meskipun kerajaan melaksanakan pelbagai usaha untuk menangani kemelesetan ekonomi, ia tidak mungkin berkesan jika tiada kerjasama dan bantuan daripada rakyat terutamanya masyarakat Islam.

"Di Malaysia ini walaupun kita tahu banyak usaha sudah dibuat untuk bantu supaya masyarakat Islam sama maju dengan bukan Islam tetapi kita akui masih ada kekurangan yang perlu kita perbaiki," katanya.

Sehubungan itu, Muhyiddin meminta masyarakat Islam sentiasa bersatu bersama kerajaan dengan mengambil inisiatif untuk memperbaiki diri kerana kejayaan tidak akan diperoleh jika hanya bergantung kepada bantuan kerajaan.

Beliau berkata, Malaysia turut diiktiraf sebagai negara Islam yang berjaya di dunia kerana tidak hanya menumpukan kepada kejayaan sesuatu bidang sahaja, sebaliknya menumpukan kepada semua perkara.

"Banyak tokoh dari negara Islam lain juga menjadikan negara ini sebagai contoh. Mereka hendak maju seperti Malaysia. Ia sesuatu yang harus dibanggakan," katanya yang turut menyampaikan sumbangan hari raya kepada 200 anak yatim pada majlis itu. - Bernama

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails