Tuesday, November 30, 2010

Sila betulkan niat dalam menuntut ilmu [Kitab Bidayah al-Hidayah - Imam al-Ghazali]

Pada pendahuluan kitab ini, Imam al-Ghazali memperkatakan tentang kepentingan memperbetulkan niat ketika menuntut ilmu. Niat-niat yang merosakkan hendaklah dihindarkan. Imam Ghazali menyebutkan beberapa contoh niat yang rosak iaitu:

1. lil Munafasah - untuk bersaing dengan orang
2. lil Mubahah - untuk berbangga-bangga
3. lil Taqaddum a’la al-Aqran - untuk lebih daripada orang lain
4. lil Istimalah wujuh al-Nas - untuk tarik perhatian orang
5. lil Jam’i huthom al-Dunya - untuk cari kekayaan dunia

Kata Imam Ghazali seterusnya, matlamat menuntut ilmu yang sebenar ialah untuk memperolehi hidayah. Ini kerana hidayah itu adalah buah ilmu. Hidayah menurutnya mempunyai permulaan (bidayah) dan pengakhiran (nihayah), zahir dan batin. Adapun permulaan hidayah itu ialah taqwa yang zahir. Sementara akhir hidayah ialah taqwa yang batin. Maka seorang penuntut ilmu hendaklah meletakkan tumpuan niatnya untuk memperolehi hidayah tersebut ( iaitu hidayah yang mengandungi bidayah dan nihayah serta zahir dan batin).

Kemudian Imam Ghazali membawakan beberapa dalil antaranya sebuah hadis:

من ازداد علما ولم يزدد هدى لم يزدد من الله إلا بعدا

Imam Ghazali membahagikan penuntut ilmu itu kepada tiga golongan:

1. Golongan al-Faizin iaitu golongan yang belajar agama kerana mencari bekal akhirat dan redha Allah.

2. Golongan al-Mukhatirin iaitu golongan yang belajar kerana mencari habuan duniawi demi kemuliaan , pangkat dan harta. Namun dia mengetahui kecacatan niatnya yang tersebut. Golongan ini jika bertaubat boleh termasuk ke dalam golongan yang pertama.

3. Golongan al-Halikin iaitu golongan yang dikuasai syaitan. Ini kerana dia menuntut ilmu untuk mencari harta, pangkat dan pengaruh. Pada masa yang sama dia merasakan dirinya betul dan mempunyai kedudukan yang baik di sisi Allah. Golongan ini sebenarnya ialah ulamak al-suu’.


Kredit --> al-qumairi (Taman Ilmu)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails