Tuesday, February 8, 2011

Tafsiran Bacaan Talqin


Semoga bermanfaat dan menjadi keinsafan kepada kita semua....

Talqin

Bismillah hir  rah man nir rahim. Maha Suci Tuhan yang Engkau bersifat dengan Baqa' dan Qidam,  Tuhan yang berkuasa mematikan sekalian yang bernyawa, Maha Suci Tuhan yang  menjadikan mati dan  hidup untuk menguji siapa yang baik dan  siapa  yang kecewa. Maha Suci Tuhan yang menjadikan lubang kubur sebesar-besar  pengajaran untuk menjadi iktibar kepada orang yang lalai, dan sebesar-besar  amaran kepada orang yang masih hidup.

Ingatlah! Bahawa sekalian mahluk Allah  akan jahanam dan binasa, melainkan zat Allah Taala. Dialah Tuhan yang Maha Besar  kuasa menghukum, manakala kita sekalian akan kembali menghadap ke hadirat Allah Taala.

Wahai SAYA Bin IBU SAYA, wahai SAYA Bin IBU SAYA, wahai SAYA Bin  IBU SAYA, hendaklah kamu ingat akan janji-janji Allah yang mana kamu ada bawa bersama-sama dari dunia ini. Sekarang kamu telah menuju masuk ke negeri Akhirat.  Kamu telah mengaku bahawa tiada Tuhan yang disembah dengan sebenar-benarnya  melainkan  Allah, dan bahawa senya Nabi Muhammad itu Pesuruh Allah.

Ingatlah wahai SAYA Bin IBU SAYA, apabila datang kepada kamu 2 orang malaikat  sebagai wakil Tuhan yang menemui kamu, iaitu Mungkar dan Nakir, maka janganlah  berasa gentar dan takut, janganlah kamu berdukacita dan  risau  serta  janganlah kamu susah-hati dan terkejut.

Ketahuilah wahai SAYA Bin IBU SAYA,  bahawa senya Mungkar dan Nakir itu hamba Allah Taala, sebagaimana kamu juga  hamba Allah Taala. Apabila mereka menyuruh kamu duduk, mereka juga akan menyoal  kamu. Mereka berkata:

Siapakah Tuhan kamu? Siapakah Nabi kamu? 
Apakah agama kamu?
Apakah nama kiblat kamu? 
Siapakah saudara kamu?
Apakah pegangan iktikad kamu? Dan
apakah kalimah yang  kamu bawa bersama-sama kamu?

Di masa itu hendaklah kamu menjawab soalan-soalan mereka dengan cermat dan sehabis-habis terang, tepat dan betul.  Janganlah berasa gementar, janganlah cuak dan janganlah bergopoh-gapah, biarlah tenang dan berhati-hati.  Hendaklah kamu jawab begini: Allah Taala Tuhanku, Muhamad nabiku, Islam   agamaku, kitab suci Al-Quran ikutanku, Baitullah itu kiblatku, malahan  sembahyang, puasa, zakat dan mengerjakan haji diwajibkan keatas aku. Semua orang  Islam dan orang yang beriman adalah saudara aku, bahkan dari masa hidup hingga  aku mati aku mengucap: "La ila ha illallah Muhammad dur rasulullah".

Wahai SAYA Bin IBU SAYA tetapkanlah hatimu, inilah dia suatu dugaan yang paling besar. Ingatlah bahawa kamu sekarang sedang tinggal di dalam alam Barzakh, sehingga sampai satu masa kelak, kamu akan dibangunkan semula untuk  berkumpul di Padang Mahsyar.

Insaflah wahai SAYA Bin IBU SAYA, bahawa senya mati ini adalah benar, soalan  malaikat Mungkar dan Nakir di dalam kubur  ini adalah  benar, bangun  dari kubur kemudian kita dihidupkan semula adalah benar,  berkumpul dan  berhimpun di Padang Mahsyar adalah benar, dihisab dan  dikira segala amalan  kamu adalah benar, minum di kolam air nabi adalah benar,  ada syurga dan  neraka adalah benar. Bahawa senya hari Kiamat tetap akan adanya, begitu  juga  Tuhan yang maha berkuasa akan membangkitkan semula orang-orang yang  di  dalam kubur.

Di akhirnya kami ucapkan selamat berpisah dan selamat tinggal kamu di sisi Allah Taala. Semoga Tuhan akan memberi sejahtera kepada kamu. Tuhan  jua yang menetapkan hati kamu. Kami sekalian berdoa mudah-mudahan Allah  Taala menjinakkan hati kamu yang liar, dan Allah menaruh belas kasihan kepada kamu  yang berdagang seorang diri di dalam kubur ini. Mudah-mudahan Tuhan akan  memberi keampunan dan memaafkan kesalahan kamu serta menerima segala amal  kebajikan kamu.

Ya Allah Ya Tuhan, kami merayu dan bermohon kepada Mu supaya tidak disiksa mayat ini dengan kemegahan penghulu kami Muhammad SAW. Subha na rabbika rabbil  izati amma ya sifun wassallamu alal mursalin walham dulillahi rabbil  alamin.

Al-Fatihah

Yang Hidup Pasti akan Mati

Nota: 
SAYA diganti dengan nama si mati; IBU SAYA diganti dengan nama ibu si mati.

[Copy daripada FacebookSiti Khalijah notes]

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails