Friday, June 26, 2009

Sampaikanlah ilmu walau sepotong ayat.




Petang ini saya sediakan sedikit santapan minda untuk kebaikan kita semua. Harap kisah ini dapat memberikan sedikit sebanyak ilmu dan pengajaran.



Yang Pertama Masuk ke Syurga.

Di muka syurga nanti menurut Nabi saw, akan ada 4 manusia
yang hendak masuk syurga terlebih dahulu. Fitrah manusia, mereka saling
berbincang-bincang dan berlumba-lumba siapa yang mula-mula berhak masuk syurga pertama kali. Oleh kerana Malaikat Ridhwan tidak dapat mengambil keputusan maka turunlah Malaikat
Jibril ditugaskan menjadi Hakim. Empat manusia itu adalah :

1. pahlawan.
2. orang kaya yang dermawan.
3. haji mabrur.
4. orang alim yang soleh.

Salah seorang daripada mereka dipanggil dan ditanya,

“Dengan sebab apa engkau beruntung akan masuk syurga tanpa diseksa?”

Orang itu menjawab,

“Saya seorang pahlawan yang mati syahid di medan perang kerana membela agama.”

Jibril pula berkata,

“Dari mana engkau tahu bahawa pahlawan yang mati syahid bakal masuk syurga tanpa dihisab?”

Pahlawan menjawab,

“Dari orang alim.”

“Kalau begitu, jagalah akhlak yang baik. Biarkanlah orang alim masuk syurga terlebih dahulu,” ucap Malaikat Jibril.

Pahlawan itupun menunduk menyedari ketidaksopanannya itu.

Lalu dipanggil pula haji mabrur, yang ikhlas dan tidak cacat dalam
melaksanakan ibadahnya. Ia ditanya Jibril,

“Siapa engkau? Dan apa amal baikmu didunia sehingga mahu masuk syurga terlebih dahulu?”

Haji itu berkata,

“Saya seorang haji yang mabrur. Sesuai dengan janji rasulullah, tidak ada balasan yang setimpal bagi saya kecuali syurga.”

“Betul, begitulah janji Nabi sejalan dengan wahyu Allah. Tetapi, dari mana engkau tahu bahawa Rasulullah pernah berjanji begitu?”

“Dari guru saya, orang alim.” sahut haji

“Dari orang alim, katamu? Mengapa engkau tidak menjawab, membiarkan
orang alim masuk syurga terlebih dahulu?” ucap Malaikat Jibril.

Haji itupun mundur menginsafi kekeliruannya.

Sesudah itu maju pula orang kaya yang dermawan, yang sebahagian banyak
hartanya disedekahkan ke jalan Allah.

“Engkau ingin menjadi orang yang pertama masuk syurga?” tanya Jibril.

“Betul. Saya ingin masuk syurga yang terlebih dahulu kerana hal itu
merupakan hak saya.”

“Apa yang engkau lakukan di dunia ketika engkau masih hidup sehingga mempunyai
pendapat seperti itu?” tanya Jibril lagi.

“Saya adalah seorang hartawan. Kekayaan saya itu saya dapatkan melalui jalan yang halal, saya peroleh dengan kerja keras dan berhemat. Tetapi sudah terkumpul banyak harta, tidak saya gunakan untuk berfoya-foya ditempat maksiat, dan tidak juga saya belanjakan hanya untuk
kegunaan saya serta keluarga saya sendiri tetapi sebahagian besarnya saya belanjakan untuk menolong masyarakat, untuk menunjang kebaikan dan berjuang di jalan Allah.”

“Dari siapa engkau mendapat tahu bahawa semua yang kau lakukan itu akan
mendapat ganjaran dengan masuk syurga tanpa dihisab?” Jibril bertanya cermat.

“Dari orang alim, guru saya,” jawab si hartawan.

“Dari orang alim?” tanya Jibril lagi.

“Betul.” jawab si hartawan.

“Jadi, kenapa orang alim yang sudah mengajarmu dengan kebaikan dan kebenaran tidak pula engkau biarkan dia masuk syurga terlebih dahulu, sebagai tanda terima kasihmu kepadanya?”

“Maaf, tadi saya khilaf. Sekarang saya sudah sedar. Saya rela masuk syurga paling belakang. Biarlah orang alim itu yang pertama masuk syurga.”

“Begitulah yang sepatutnya,” ujar Malaikat Jibril.

Maka orang kaya itu segera mundur dan orang alim dipersilakan masuk
syurga terlebih dahulu. Namun dasar orang alim yang soleh, ia tetap setia
kepada ilmu yang dialaminya, iaitu harus mengalah dan berendah hati.

Dengan segala keikhlasan orang alim itu berkata:

“Maaf, tuan-tuan, dan maaf para malaikat yang bijaksana. Sebagai orang alim saya tidak akan
dapat belajar dan mengajar dengan tenang apabila tidak ada pahlawan
yang rela mati syahid. Saya tidak akan memperoleh pahala yang
terus-menerus jika murid saya yang haji ini tidak mengamalkan ilmu
saya secara benar. Dan saya orang alim, dan dia pahlawan, serta dia,
haji mabrur, tidak akan dapat memperoleh keleluasaan beribadah serta
mengajarkan ilmu saya apabila tidak ada kedermawanan orang kaya yang
mahu membiayai tentera berangkat perang, yang mahu menyediakan kelapangan
bagi perjalanan haji, yang mahu membangunkan madrasah, tempat-tempat
pengajian agama, kebajikan anak-anak yatim, serta macam-macam
kebaikan yang lain. Semua itu adalah mustahil terjadi apabila tidak ada orang
kaya yang dermawan. Kerana itu, biarlah orang kaya ini yang masuk
syurga terlebih dulu, disusuli pahlawan, kemudian haji mabrur, dan
izinkanlah saya masuk syurga yang terakhir.”


"Dan Dialah yang menerima taubat dari hamba-hambaNya dan memaafkan kesalahan-kesalahan dan mengetahui apa yang kamu kerjakan." As-Syuraa : 25.


Akhirnya diputuskan oleh Malaikat Jibril sebagaimana diusulkan oleh
orang alim itu, iaitu hartawan yang dermawan itulah yang masuk syurga terlebih dahulu.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails