Monday, October 31, 2011

KILAUAN PERMATA YANG MENERANGI KEFAHAMAN TAKBUR FAEDAH DARI AQIDAH ANNAJIN



Segala puji bagi Allah s.w.t yang menghidup dan mematikan kita. yang memberi nikmat iman dan Islam. nikmat kedua sebagai umat nabi s.a.w. tidak lupa juga selawat dan salam keatas penghulu kita nabi Muhammad s.a.w, isteri-isteri baginda, keluarga baginda, para sahabat yang pemberani dan juga mereka-mereka yang mengikuti sahabt sehingga ke hari akhirat.

Amma Ba'du,


KETAHUILAH OLEHMU WAHAI SAUDARAKU!!!

Tersebut di dalam Kitab ‘AqidatunNajin Fi ‘Ilmi Usuliddin, bagi Al-’Alim Al-’Allamah Asy-Syaikh Zainul ‘Abidin b. Muhammad Al-Fathani, pada halaman 129 baris 15 dari atas.

(Dan seperti) takbur ertinya membesarkan diri dan menghinakan manusia dan menolakkan yagn sebenar tersebut di dalam hadis muslim maksudnya:-

Tiada masuk syurga orang yang ada pada hatinya satu misqal(timbangan-pent.) zarah daripada takbur maka sembah mereka itu ya rasulullah bahawasa seseorang kami kasih ia akan kain yang elok dan kaus yang elok maka bersabda ia, bahawasanya Allah itu Jamil (cantik-pent) kasih Ia akan Jammaala (kecantikan-pent) yakni keelokan Dan tetapi takbur itu menolakkan yang sebenar dan menghinakan manusia

Maka berhias dengan pakaian dan umpamanya itu tiada ia takbur tetapi ada ia sunnah pada sembahyang dan jumaat dan umpamanya dan pada perempuan bagi suaminya dan pada hak ulama' kerana membesarkan ilmu pada segala nafsu manusia.

(Bermula tempat) keadaan takbur itu haram apabila ada ia atas segala hamba Allah yang soleh-soleh dan segala imam-imam muslimin dan iaitu ketika itu setengah daripada dosa besar dan setengah daripada sebesar-besar dosa yang bangsa hati.

Dan adapun apabila ada ia atas segala seteru Allah maka iaitu dituntut pada syarak lagi elok pada akal (bermula) murad(maksud-pent.) takbur atas mereka itu menghinakan mereka itu kerana kufur mereka itu dan maksiat mereka itu tiada kerana menghinakan zat mereka itu.

(Dan seperti) hasad, ertinya dengki dan iaitu mencita-cita akan nikmat orang lain samaada dicita-cita akan nikmat itu bagi dirinya atau tiada bersalahan barang yang apabila cita-cita ia akan dapat seumpama nikmat orang lain, maka bahawasanya dinamakan dia 'ghibtah' dipujikan dia pada yang baik.

Dan dalil yang menunjuk atas haram dengki itu masyhur di dalam Quran dan di dalam hadis (dan seperti) berbantah-bantah dan iaitu menolakkan lawannya daripada membinasakan perkataannya dengan hujjah padahal qasad ia dengan ia akan tashih(berdebat bukan kerana kebenaran tapi kerana inginkan kemenangan-pent.) kalamnya.

Dan bermula tempat haramnya itu apabila ada ia bagi menfasadkan(menghina/menjatuhkan-pent.) perkataan orang lain bersalahan barang yang apabila ada ia bagi mentahkikkan yang sebenar atau membatalkan yang batil, telah berkata Imam Syafie "Tiada aku muzakarah akan seseorang dan aku qasad akan mengalahkannya dan hanya sanya aku muzakarah akan dia kerana menyatakan yang sebenar daripada sekira-kira ia yang sebenar". 

Wallahuyahdi ila sawaissabil
(Bermula Allah lah yang menunjukki kepada jalan yang lurus)

tamat

Bismillahirrahmanirrahim...wasallallahua'la saiyidinamuhammad waa'la alihi wasahbihi wasallam...

[Tulisan oleh saudara Fahmi Zakaria, Kefahaman Selamanya] 

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails