Tuesday, October 5, 2010

Penipuan Syarikat Penapis Air - KPDNKK (7 Februari 2010)

PETALING JAYA, 7 Feb (Bernama) -- Persatuan Pengguna-Pengguna Air dan Tenaga Malaysia (WECAM) pada Ahad mengingatkan orang ramai agar tidak terperdaya dengan syarikat-syarikat yang menjual alat penapis air dengan dakwaan yang meragukan. 

Setiausaha Agungnya, S. Piarapakaran, berkata antara dakwaan itu ialah sistem imun badan dapat dipertingkatkan, mengurangkan alahan dan menyingkirkan bahan-bahan toksik daripada air itu. 

Dalam satu tinjauan, WECAM juga mendapati sebuah syarikat mendakwa bahawa alat tapisannya boleh "memecahkan molekul-molekul air menjadi partikel-partikel kecil agar ia mudah diserap oleh tubuh", katanya kepada Bernama. 

Ini, jelas beliau, adalah dakwaan palsu kerana molekul air yang dipegang oleh pengikat hidrogen tidak boleh dirungkai oleh mana-mana proses penapisan.

Piarapakaran berkata tinjauan itu juga mendapati penggunaan penapis-penapis air semakin meningkat di Malaysia dan dakwaan palsu oleh syarikat-syarikat itu semakin menjadi-jadi. 

Perhatikan! Muka atau Tulisan?
[Sumber: http://flintjahbone.wordpress.com/]
"Trend ini amat membimbangkan dan pihak berkuasa perlu meningkatkan penguatkuasaan bagi memastikan kepentingan para pengguna dilindungi," katanya. Beliau berkata tinjauan itu mendapati tahap kesedaran mengenai jenis dan fungsi penapis air di kalangan para pengguna adalah sangat rendah. 

Sebagai contoh, katanya, dalam tinjauan itu mendapati hanya 66 daripada 1,792 keluarga di seluruh negara mempunyai pengetahuan mengenai jenis dan fungsi penapis air. Katanya keadaan ini adalah serius dan memerlukan perhatian segera. 

Piarapakaran berkata WECAM telah mengemukakan satu memorandum kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Kebangsaan, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, meminta mereka untuk mengambil tindakan segera terhadap syarikat penapis air yang tidak beretika dan juga memperhebat program pendidikan agar para pengguna sedar mengenai pelbagai jenis penapis yang ada di pasaran. 

Beliau menasihatkan para pengguna supaya menghubungi WECAM atau Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) untuk mendapatkan maklumat sebelum membeli penapis air. -- BERNAMA

[Sumber : KPDNKK]

1 comment:

Seri said...

syarikat yang menjual produk penapisan air makin banyak. tumbuh bagai cendawan selepas hujan. sambutannya pula amat menggalakkan. adakah rakyat malaysia tidak percaya dengan syarikat belakan air. tidak selamat ke air mentah yang dimasak tanpa perlu ditapis

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails