KESUFIAN RAJA MUZAFFAR SHAH
Suatu hari Raja Muzaffar yang masih kanak-kanak bertanya kepada Bondanya
tentang ALLAH.
“Bonda... dimana ALLAH dan bolehkah Anakanda melihatNya?”
“Oh... ALLAH itu di Arasy wahai Anakanda dan Anakanda tidak dapat melihatNya kerana
ALLAH berada nun jauh diatas 7 petala langit. Sedangkan langit kedua pun
manusia tidak nampak bagaimana hal keadaanNya lantas bagaimana mungkin Anakanda
akan dapat melihat ALLAH yang berada di Arasy yang terletak lebih atas dan jauh
daripada 7 petala langit?”
“Oh begitu… bagaimana dengan dalilnya Bonda?”
Dalilnya begini... “Sesungguhnya Tuhan kamu ialah ALLAH Yang menciptakan langit
dan bumi dalam enam masa, kemudian Dia bersemayam di atas Arasy untuk mengatur
segala urusan... dari Surah Yunus ayat ke 3.”
Maka giranglah hati Raja Muzaffar kerana telah mendapat jawapan daripada
persoalan yang selama ini sentiasa semak difikirannya. Masa pun berlalu... hari
berganti minggu, minggu berganti bulan dan bulan berganti tahun, maka telah
remajalah Raja Muzaffar.
Suatu hari Raja Muzaffar diperintahkan Ayahandanya supaya belajar ilmu-ilmu
agama dari Syeikh Abdullah selaku Mufti di Negeri Ayahandanya itu. Maka tidak
sabar-sabarnya lagi Raja Muzaffar mahu berguru dengan Syeikh Abdullah
sementelah pelajaran agama adalah yang paling diminatinya.
Suatu hari sambil duduk-duduk santai dengan Syeikh Abdullah tiba-tiba Raja
Muzaffar ditanyai oleh Syeikh Abdullah dengan dua persoalan yang tidak asing
baginya.
“Wahai Anakanda Putera Raja... dimana ALLAH dan bolehkah Anakanda Putera Raja
melihatNya?”
Sambil tersenyum Raja Muzaffar menjawab sebagaimana yang telah diajarkan
Bondanya dahulu... “ALLAH itu di Arasy wahai Syeikh Guru dan Beta tidak boleh
melihatNya kerana ALLAH berada nun jauh diatas 7 petala langit.”
Tersenyum kecil Syeikh Abdullah mendengar jawapan muridnya itu dan sejenak
selepas menghela nafasnya Syeikh Abdullah lalu bersuara.... “Begini Anakanda
Putera Raja… ALLAH itu bukannya makhluk seperti kita lantaran itu ALLAH tidak
seperti kita. Apa sahaja hukum yang terjadi pada makhluk tidak berlaku seperti
itu atas ALLAH. Oleh itu ALLAH tidak bertempat kerana bertempat itu hukum bagi
makhluk.”
“Lantas dimana ALLAH itu wahai Syeikh Guru?”
“ALLAH itu tidak bertempat kerana Dia bersifat qiammuhu binafsihi yang bermaksud
ALLAH tidak berhajat pada sesuatu zat lain untuk ditempati. Jika kita
mengatakan ALLAH berhajat pada sesuatu zat lain untuk ditempati maka ketika itu
kita telah menyerupakan ALLAH dengan keadaan makhluk. Ketahuilah, ALLAH tidak
serupa dengan makhluk berdasarkan kepada dalil dari Surah Asy-Syura ayat ke 11
yang bermaksud “Dia tidak menyerupai segala sesuatu.” ALLAH tidak berdiam di
Arasy kerana Arasy itu adalah makhluk. Bagaimana mungkin makhluk dapat
menanggung Zat ALLAH sedang bukit dihadapan Nabi Musa pun hancur kerana tidak
dapat menanggung pentajalian ALLAH.”
Raja Muzaffar mengangguk-anggukkan kepalanya tanda faham.
Kemudian Syeikh Abdullah menambah... “Berkenaan tentang Anakanda Putera Raja
tidak boleh melihat ALLAH itu adalah betul namun bukanlah kerana ALLAH itu jauh
maka Anakanda Putera Raja tidak boleh melihatNya.”
“Jika bukan begitu lantas bagaimana Syeikh Guru?” Tanya Raja Muzaffar beria-ia
ingin tahu.
“Sebenarnya kita tidak dapat melihat ALLAH bukanlah kerana asbab jarak tetapi
kerana keterbatasan kemampuan penglihatan matamanusia yang tidak mampu melihat
ZatNya. Ini bersesuai dengan firman ALLAH yang bermaksud “Dia tidak dapat
dicapai oleh penglihatan mata, sedangkan Dia dapat melihat segala penglihatan
itu dan Dialah Yang Maha Halus lagi Maha Mengetahui... dari Surah Al-An’am ayat
103.”
Terdiam Raja Muzaffar mendengar hujah Gurunya itu. Barulah beliau sedar bahawa
apa yang menjadi pegangannya selama hari ini adalah salah. Pegangan yang
mengatakan bahawa ALLAH itu diArasy dan ALLAH tidak boleh dilihat kerana asbab
jarak adalah satu kesilapan.
Huraian daripada Gurunya melalui ilmu Kalam membuatkan Raja Muzaffar begitu
kagum dengan kekuasaan akal yang dapat menghuraikan segala-galanya tentang
Tuhan. Bermula dari hari tu Raja Muzaffar berpegang dengan hujah gurunya bahawa
ALLAH itu tidak bertempat dan manusia tidak boleh melihat ALLAH kerana
keterbatasan kemampuan penglihatan mata manusia. Akhirnya dengan berkat
ketekunan dan kesungguhan, Raja Muzaffar telah berjaya menguasai ilmu-ilmu ketuhanan
menurut peraturan ilmu kalam sebagaimana yang diajarkan oleh Syeikh Abdullah
hingga mahir.
Masa terus berjalan dan kini Raja Muzaffar telah dewasa. Oleh kerana begitu
minatnya yang mendalam tentang ilmu-ilmu ketuhanan maka beliau meminta izin
daripada ayahandanya untuk menperdalamkan lagi ilmu pengetahuannya dengan
belajar dari guru-guru yang berada diluar istana sementelah Syeikh Abdullah
telah meninggal dunia.
Ayahandanya memberi izin lalu tanpa berlengah Raja Muzaffar menemui
sahabat-sahabat sealiran Almarhum Syeikh Gurunya untuk melanjutkan pelajaran.
Raja Muzaffar mempunyai sikap yang pelik. Saban hari apabila beliau melalui
pekan-pekan kecil untuk sampai ke rumah guru-gurunya, beliau akan bertanya
kepada setiap orang yang ditemuinya dengan soalan yang pernah ditanya kepada
bondanya iaitu dimana ALLAH dan bolehkah manusia melihatNya?
Bagi sesiapa yang menjawab soalannya itu sebagaimana yang pernah dijawab oleh
bondanya maka beliau akan membetulkan kefahaman orang itu dengan hujah Almarhum
Gurunya Syeikh Abdullah. Jika orang itu tidak mahu tunduk dengan hujahnya maka
orang itu akan dipukulnya sebelum diusir dari negerinya itu.
Begitulah sikap Raja Muzaffar setiap hari sehingga pada suatu hari beliau
bertemu dengan seorang tua yang sedang bertungkus-lumus menyediakan air minuman
untuk diberi minum kepada orang yang lalu-lalang disebuah pekan tanpa mengambil
sebarang upah.
Melihat kelakuan pelik orang tua itu lantas Raja Muzaffar mendekatinya. “Hei
orang Tua... mengapa kamu tidak mengambil upah atas usahamu itu?” Tanya Raja
Muzaffar tegas.
Orang Tua yang sedari tadi begitu khusyuk mengagih-agihkan minumannya itu
terkejut dengan pertanyaan Raja Muzaffar lalu meminta Raja Muzaffar
memperkenalkan dirinya.
“Siapakah Tuan ini?” Tanya si Tua.
“Beta adalah Putera Raja negeri ini.” Jawab Raja Muzaffar tegas.
“Oh kalau begitu Tuan ini tentu Raja Muzaffar yang terkenal dengan ketinggian
ilmu ketuhanan itu. Tapi sayang, Tuan hanya tahu ilmu tentang ALLAH tetapi
Tuan
sendiri belum mengenal ALLAH. Jika Tuan telah mengenal ALLAH sudah pasti tuan
tidak akan bertanya kepada saya soalan Tuan tadi.”
Terkebil-kebil mata Raja Muzaffar mendengar kata-kata si Tua itu. Hatinya
terpesona dengan ungkapan ‘mengenal ALLAH’ yang diucapkan orang tua itu.
Lantas beliau bertanya kepada orang tua itu. “Kemudian apa bezanya antara
‘tahu’ dengan ‘kenal’?”
Dengan tenang si Tua itu menjawab... “Ibarat seseorang yang datang kepada Tuan
lantas menceritakan kepada Tuan tentang ciri-ciri buah nangka tanpa menunjukkan
zat buah nangka, maka ini mertabat ‘tahu’ kerana ianya hanya sekadar maklumat
dan orang yang berada pada mertabat ini mungkin akan menyangka bahawa buah
cempedak itu adalah nangka kerana ciri-cirinya seakan sama. Berbanding
seseorang yang datang kepada Tuan lantas menghulurkan sebiji buah nangka, maka
ini mertabat ‘kenal’ kerana zatnya terus dapat ditangkap dengan penglihatan
mata dan orang yang berada pada mertabat ini pasti dapat mengenal mana cempedak
dan mana nangka dengan tepat.”
Raja Muzaffar mendengar dengan teliti huraian si Tua itu. Diam-diam, hatinya
membenarkan apa yang diperkatakan si Tua itu. Kemudian terlintas dihatinya
untuk bertanyakan soalan yang lazim ditanyanya kepada orang ramai.
“Kalau begitu wahai orang Tua silalah jawab persoalan Beta ini... dimana ALLAH
dan bolehkah manusia melihatNya?”
“ALLAH berada dimana-mana sahaja dan manusia boleh melihatNya.” Jawab si Tua
dengan tenang.
Tercengang Raja Muzaffar mendengar jawapan orang tua itu. Seketika kemudian
terus saja orang Tua itu dipukulnya sehingga jatuh tersungkur.
Melihat orang
Tua itu tidak cuba mengelak pukulannya bahkan langsung tidak menunjukkan reaksi
takut maka Raja Muzaffar pun lantas bertanya... “Kenapa kamu tidak mengelak
pukulan beta wahai orang Tua?”
“Bukankah tadi sudah hamba bilang... Tuan ini hanya orang yang tahu tentang
ALLAH tetapi bukannya orang yang benar-benar mengenal ALLAH.”
Terdiam Raja Muzaffar mendengar kata-kata si Tua itu. Kemudian beliau
menenangkan dirinya lantas bersegera duduk diatas tanah dihadapan orang Tua
itu.
“Baiklah orang Tua... Silalah huraikan jawapan kamu tadi sebab Beta berpegang
bahawa ALLAH itu tidak bertempat dan manusia tidak boleh melihat ALLAH.”
“ALLAH itu tidak bertempat adalah menurut pandangan hukum akal sahaja sedang
pada hakikatnya tidak begitu.” Ujar orang Tua itu sambil mengesat bucu bibirnya
yang berdarah.
Kemudian beliau menyambung... “Bukankah ALLAH itu wujudNya Esa?”
“Benar.” Jawab Raja Muzaffar.
“Jika ALLAH itu wujudNya Esa maka sudah barang tentu tidak ada wujud sesuatu
bersertaNya.”
“Benar.” Jawab Raja Muzaffar.
“Lantas bagaimanakah kedudukan wujud alam ini jika ALLAH itu diyakini wujud
tanpa ada selain zat yang wujud bersertaNya dengan pandangan mata hati?”
Raja Muzaffar memejamkan matanya rapat-rapat lantas dikerahkan pandangan mata
hatinya untuk memahami persoalan yang ditanyai orang Tua itu. Tiba-tiba akalnya
dapat menangkap dan memahami hakikat alam ini jika ianya merujuk kepada ruang
lingkup keesaan wujud ALLAH. Lantas beliau membuat satu kesimpulan... “Jika
dipandang dari sudut Esanya wujud ALLAH maka alam ini tidak lain melainkan
diriNya sendiri… Tiba-tiba sahaja perkataan itu terpacul keluar dari bibirnya.
Terkebil-kebil matanya apabila mendengar ucapannya sendiri.
Maka lidahnya kelu dan akalnya lumpuh. Terkejut... tergamam... terkedu...
“Jadi
kalau begitu ketika Tuan memandang alam ini, siapa yang Tuan pandang pada
hakikatnya?”
Pantas soalan itu diajukan kepada Raja Muzaffar. “Pada hakikatnya Beta
memandang ALLAH...”
“Nah kalau begitu bukankah ALLAH ada berfirman yang bermaksud “Dimana sahaja
kamu menghadap, disitulah wajah ALLAH” dari Surah Al-Baqarah ayat ke 115 dan
dalam Surah Al-Hadiid ayat ke 3 yang bermaksud “Dialah yang awal,
yang akhir,
yang zahir dan yang batin.”
Kemudian orang Tua itu bertanya lagi... “Dan sekarang dapat atau tidak Tuan
melihat ALLAH ketika ini”
“Ya.. Beta menyaksikan dengan ainul basyirah.”
Perlahan-lahan berjujuran air mata dari bucu mata Raja Muzaffar. Beliau menahan
sebak kerana sekarang beliau sudah faham kenapa orang tua itu tidak mengambil
upah atas usahanya dan tidak mengelak ketika dipukul. Semuanya kerana yang
dipandangnya adalah pentajallian ALLAH. Dalam hati
perlahan-lahan beliau berkata... “Memang benar sesungguhnya pada sudut ini,
ALLAH berada dimana-mana sahaja dan manusia boleh melihat ALLAH.”
“Makanya wahai Putera Raja.. inilah yang dinamai sebagai ilmu hakikat.”
Semenjak hari itu, Raja Muzaffar terus mendampingi orang tua itu untuk
mempelajari lebih dalam selok-belok ilmu hakikat hingga diangkat beliau oleh
gurunya menduduki kedudukan Syeikh ilmu hakikat. Demi memahami ilmu-ilmu
hakikat yang halus-halus Raja Muzaffar telah menjadi seorang ahli ibadah yang
alim-mualim. Beliau tidak lagi berpegang dengan fahaman Almarhum Gurunya iaitu
Syeikh Abdullah kerana baginya jalan yang boleh membuatkan seseorang itu dapat
mengenal ALLAH dengan haqqul yaqin ialah dengan ilmu hakikat.
Beliau telah
mengenepikan duduk didalam peraturan hukum akal sama sekali dan mulai duduk
didalam peraturan musyahadah. Bagi beliau, ilmu kalam yang dituntutnya selama
ini adalah semata-mata salah.
Setelah kemangkatan Ayahandanya maka Raja Muzaffar ditabalkan menjadi Sultan
dinegerinya dan sekarang beliau menyandang gelaran Sultan Muzaffar Shah pada
usia 50 tahun.
Beliau memerintah negerinya dengan adil dan saksama namun sikap ganjilnya yang
dahulu masih diteruskannya. Dimana sahaja beliau pergi beliau tetap akan
bertanyakan soalannya yang lazim itu.
Jika orang yang ditanya tidak dapat menjawab maka akan diajarkan jawabannya
menurut ilmu hakikat dan jika orang itu membangkang akan dihukum bunuh.
Akhirnya kelaziman Sultan Muzaffar Syah ini membuatkan seluruh rakyat jelatanya
menganut fahaman hakikat. Justeru itu rakyat jelata dinegerinya hidup aman dan
makmur.
Suatu petang Sultan Muzaffar Syah yang terkenal sebagai Mursyid ilmu hakikat
itu berjalan-jalan disebuah padang rumput yang luas dengan ditemani para
pembesar istana.
Pandangannya tertarik pada gelagat seorang pemuda pengembala kambing dalam
lingkungan usia 30an yang sedang berusaha menghalau seekor serigala yang cuba
memakan kambing gembalaannya.
Baginda mendatangi pemuda gembala itu. Kelihatan pemuda itu hanya memakai
pakaian yang diperbuat daripada guni dan tidak mempunyai kasut sebagai alas
kaki. Rambutnya kering berdebu, bibirnya kering dan badannya kurus.
“Wahai pemuda... kenapa kamu menghalau serigala itu dari memakan kambing itu,
tidakkah kamu menyaksikan hakikat serigala itu? Maka biarkan sahaja ALLAH
bertindak menurut kemahuanNya.”
Mendengar kata-kata Sultan Muzaffar Syah itu sekonyong-konyong pemuda gembala
itu lantas menggenggam pasir lalu dilemparkannya pasir itu ke muka
Sultan
Muzaffar Syah. Kemudian pemuda gembala itu membongkok lagi untuk kali kedua
mengambil segenggam pasir lalu dilemparkan sekali lagi ke muka Sultan Muzaffar
Syah.
Sultan Muzaffar Syah hanya tercegat sahaja mungkin terkejut dengan tindakkan
pemuda gembala itu. Pemuda gembala itu terus mahu mengambil segenggam pasir
lagi dan melihat itu seorang pembesar istana yang berada disitu terus memukul
pemuda gembala itu hingga beliau jatuh pengsan.
Apabila sedar dari pengsan, pemuda gembala itu mendapati tangan dan lehernya
telah dipasung dengan pasungan kayu didalam sebuah penjara. Tidak lama kemudian
datang dua orang pengawal istana dengan kasar merenggut rantai besi yang
terikat dibadannya dan dibawa ke suatu tempat yang amat asing baginya. Tidak
lama berjalan akhirnya mereka sampai dihadapan singgahsana Sultan Muzaffar
Syah.
“Mengapa kamu melempari muka Beta dengan pasir?” Tenang sahaja pertanyaan
Sultan Muzaffar Syah.
“Kerana Tuanku mengatakan bahawa serigala itu adalah ALLAH yakni Tuhan saya.
“Bukankah hakikat serigala itu sememangnya begitu?” Tanya Sultan Muzaffar Syah
hairan.
“Nampaknya dakwaan tuanku ini menunjukkan seorang yang mengenal ALLAH adalah
kebohongan semata-mata.”
“Kenapa kamu berkata begitu?”
“Sebab orang yang sudah sempurna mengenal ALLAH pasti merindui untuk bertemu
menemui ALLAH.”
Setelah 30 tahun baru hari ini hati Sultan Muzaffar Syah terpesona lagi apabila
mendengar ungkapan ‘bertemu menemui ALLAH’ yang diucapkan oleh pemuda gembala
itu.
Dahulu hatinya pernah terpesona dengan ungkapan ‘mengenal ALLAH’. Sejurus itu
juga Sultan Muzaffar Syah memerintahkan agar pasung kayu yang dikenakan pada
pemuda gembala itu ditanggalkan.
“Lantas apa utamanya ‘bertemu’ berbanding ‘kenal’?” Tanya Sultan Muzaffar Syah.
“Adakah Tuanku mengenali sifat-sifat Rasulullah?” Tanya pemuda gembala itu
tiba-tiba...
“Ya... Beta kenal akan sifat-sifat Rasulullah.”
“Lantas apa keinginan Tuanku terhadap Rasulullah?”
“Semestinyalah Beta mahu dan rindu untuk menemuinya kerana baginda adalah
kekasih ALLAH!”
“Nah begitulah… orang yang sempurna pengenalannya terhadap sesuatu pasti terbit
rasa ingin bertemu dengan sesuatu yang telah dikenalinya itu dan bukannya hanya
sekadar berputar-putar didaerah ‘mengenal’ semata-mata.”
Tiba-tiba sahaja Sultan Muzaffar Shah berteriak kuat dengan menyebut perkataan
‘Allahu Akbaaar...!.!.!’ sekuat-kuat hatinya lalu baginda jatuh pengsan tidak
sedar diri. Tidak lama kemudian setelah wajahnya disapukan dengan air sejuk
maka baginda kembali sedar.
Sultan Muzaffar Shah terus menangis teresak-esak hingga jubahnya dibasahi
dengan air matanya. Baginda memuhassabah dirinya.. “Memang... memang selama ini
beta mengenali ALLAH melalui ilmu hakikat tetapi tidak pernah hadir walau
sekelumit rasa untuk bertemu denganNya.
Rupa-rupanya ilmu hakikat yang beta pegangi selama ini juga salah sepertimana
ilmu bonda dan ilmu Syeikh Abdullah”... bisik hatinya.
Kemudian terlintas difikiran Sultan Muzaffar Shah untuk menanyakan soalan
lazimnya kepada pemuda gembala itu.
“Kalau begitu wahai orang muda, silalah jawab persoalan Beta ini... dimana
ALLAH?”
Dengan tenang pemuda gembala itu menjawab... “ALLAH berada dimana Dia berada
sekarang.”
“Kalau begitu, dimana ALLAH sekarang?
“Sekarang ALLAH berada dimana Dia berada dahulu.”
“Dimana ALLAH berada dahulu dan sekarang?”
“Dahulu dan sekarang Dia berada ditempat yang hanya Dia sahaja yang ketahui.”
“Dimana tempat itu?”
“Didalam pengetahuan ilmu ALLAH.”
Sultan Muzaffar Shah terdiam sebentar sambil keningnya berkerut merenung
jawapan yang diberi pemuda gembala itu. Kemudian baginda meneruskan
pertanyaannya lagi.
“Bolehkah manusia melihat ALLAH?”
“Kunhi ZatNya tidak boleh dicapai dengan pandangan mata kepala dan pandangan
hati.”
“Sila perjelaskan lagi wahai anak muda.” Pinta Sultan Muzaffar Shah.
“Begini Tuanku... adapun jawapan yang diberikan oleh Bonda Tuanku itu diatas
dasar soalan lazim yang Tuanku berikan itu adalah sebenarnya betul menurut
tahapan akal Tuanku yang ketika itu dinilai masih kanak-kanak.
Adapun jawapan yang diberikan oleh Syeikh Abdullah itujuga betul jika dinilai
dari sudut hukum akal... Dan jawapan yang diberikan oleh Syeikh Tua itu juga
betul jika dinilai dari sudut pengamalan musyahadah terhadap ilmu hakikat.
Begitu jugalah dengan jawapan yang saya berikan juga betul jika dinilai dari
sudut ilmu ma’rifat.
Tiada yang salah cuma ilmu itu bertahap-tahap dan tuanku telah pun melalui
tahapan-tahapan itu. Dari tahapan jahil (ilmu bonda) ke tahapan awam (ilmu
kalam) kemudian ke tahapan khusus (ilmu hakikat) dan akhir sekali ke tahap
khawasul khawas (ilmu ma’rifat).”
Kemudian pemuda gembala itu terus menyambung kata-katanya... “Jika ilmu hakikat
itu jalan fana kerana menilik kepada Zat ALLAH maka ilmu ma’rifat pula jalan
baqa kerana menilik terus kepada Kunhi Zat ALLAH. Maka jawapan bagi persoalan
tuanku itu secara yang dapat saya simpulkan ialah Tiada yang tahu dimana ALLAH
melainkan ALLAH dan tiada sesiapa yang dapat
melihat ALLAH melainkan diriNya sendiri.”
Sultan Muzaffar Shah mengangguk-anggukkan kepalanya tanda faham... “Jadi
bagaimana hendak sampai ke tahap mengenal ALLAH dengan sempurna sehingga terbit
rasa ingin untuk menemuiNya?”
“Jangan mengenal ALLAH dengan akal sebaliknya mengenal ALLAH dengan ALLAH.”
“Kemudian, apakah cara-caranya untuk dapat bertemu dengan ALLAH?”
“Sebagaimana firman ALLAH yang bermaksud... “Barangsiapa mengharap pertemuan
dengan Tuhannya maka hendaklah dia mengerjakan amalan soleh dan janganlah dia
mempersekutukan Tuhannya dalam beribadat kepadanya”... dari Surah Al-Kahfi ayat
ke 110.
Mendengar penjelasan daripada pemuda gembala itu hati Sultan Muzaffar Shah
menjadi tenang dan akhirnya baginda diterima menjadi murid si pemuda gembala
itu. Kerana kesungguhan yang luarbiasa dalam mengerti ilmu ma’rifat maka
baginda mahsyur terkenal sebagai seorang Sultan yang arifbillah lagi zuhud
serta warak.
Kemudian rakyatnya dibiarkan bebas untuk berpegang pada mana-mana fahaman pun
asalkan ajarannya masih didalam ruang lingkup yang mengikuti pegangan
Ahlussunnah Wal Jamaah.
Dan sekarang pada usia 70 tahun barulah Sultan Muzaffar Shah sedar dan faham
bahawa untuk memahami tentang ALLAH maka seseorang itu harus melalui
tahapan-tahapan yang tertentu sebelum seseorang itu layak dinobatkan sebagai
arifbillah. Baginya samada ilmu kalam, ilmu hakikat atau ilmu ma’rifat maka
kesemuanya adalah sama penting untuk dipelajari, difahami, dimengerti bagi
mewujudkan kesempurnaan untuk mencapai kedudukan insan kamil yang
ma’rifatullah.
Kini Sultan Muzaffar Shah sudah memahami bagaimana rasanya rindu kepada ALLAH
dan bagaimana rasanya benar-benar tidak sabar untuk bertemu ALLAH.
Sejak
semalam mulutnya tidak henti-henti asyik mengucapkan kalimah Ismu Zat
Allah..Allah..Allah dan kadang-kadang terlihat deruan air mata jernih mengalir
perlahan dipipinya sewaktu dipembaringan.
Perlahan-lahan pemuda gembala menghampiri Sultan Muzaffar Shah yang sejak 20
tahun lalu tinggal bersama dengannya dirumah usangnya lantas meletakkan kepala
muridnya itu diribaan silanya dengan linangan air mata. Kini nafasnya mulai
tersekat-sekat dan melihat itu, pemuda gembala merapatkan bibirnya ke telinga
Sultan Muzaffar Shah lantas mentalqinkan baginda dengan kalimah tauhidan seraya
diikuti baginda dengan senyuman. Sejurus kemudian Sultan Muzaffar Shah
menghembuskan nafasnya yang terakhir.
Suasana menjadi hening… pemuda gembala menunduk sahaja dan sebentar kemudian
dia berkata. “Alangkah beruntungnya dia.. sekarang Tuanku benar-benar telah
menemui ALLAH dan dapat mengenalNya dengan sebenar-benar kenal. "Ya...
ALLAH masih belum layakkah untuk aku bertemu denganMu, aku mencemburui Sultan
Muzaffar Shah ini maka jemputlah aku menghadapMu…”
Sebentar kemudian pemuda gembala itu pun turut rebah dan menghembuskan nafasnya
yang terakhir...
Tiba-tiba hujan pun turun seolah-oleh menangisi permergian dua insan yang mulia
akhlaknya itu.
- TAMAT