Showing posts with label Teladan. Show all posts
Showing posts with label Teladan. Show all posts

Sunday, July 28, 2013

Dalam.. Dalam..

JASAD ini bukan Hak kita.

Kepala..

Tangan..

Kaki..

Jantung..

Sekalipun sehelai bulu roma..

Sekalipun sekecil zarah...

Itu semua bukan HAK KITA.

Itu semua HAK ALLAH TAALA..

DIA hanya meminjamkan sahaja..

Jika semua di luar itu bukan HAK KITA...

Maka apatah lagi apa yang ada di DALAM ini... juga bukan HAK KITA..

Jadi siapa sebenarnya KITA jika semuanya bukan HAK KITA?


Jika kita tak mahu melihat,
Dalam diri yang tersirat,
Kita akan dizalimi,
Mainan dan muslihat.

Jika kita terusan berserah,
Pahala akhirnya menjadi dosa,
Pabila kecewa menimpa kecewa,
Kita jatuh tak percaya.

Dalam
Tersimpan jawapan
Dalam
Satu kebenaran
Dalam
Diangan-angankan
Dalam
Tersimpan jawapan

Ke mana arah kau hadapkan rindumu,
Di sana cinta sedia menyambutmu,
Biar kau kirim ke sempadan khayalmu.

Dalam
Tersimpan harapan
Dalam
Satu kekuatan
Dalam
Didamba-dambakan
Dalam
Tersimpan harapan.






Tidak Pernah Berubah...

ALLAH TAALA itu tetap MAHA AGUNG walaupun tiada sesiapa yang mahu mengagungkan-Nya.

ALLAH TAALA itu tetap MAHA SUCI sekalipun tiada sesiapa yang mahu mensucikan-Nya.

ALLAH TAALA itu tetap MAHA BESAR sekalipun tiada yang membesarkan-Nya.

ALLAH TAALA itu tetap MAHA ESA sekalipun tiada yang mengesakan-Nya.

Kerana ALLAH TAALA itu  TIDAK BERHAJAT kepada sesuatu pun, malah sesuatu itulah yang berhajat kepada-Nya.

DIA lah RAJA sekalipun tiada hamba mahupun mahkluk ciptaan-Nya.

DIA lah ALLAH TAALA, Azali dan Abadi. 

Saturday, July 13, 2013

KESUFIAN RAJA MUZAFFAR SHAH


KESUFIAN RAJA MUZAFFAR SHAH
Suatu hari Raja Muzaffar yang masih kanak-kanak bertanya kepada Bondanya tentang ALLAH.

 
 

“Bonda... dimana ALLAH dan bolehkah Anakanda melihatNya?”
 

“Oh... ALLAH itu di Arasy wahai Anakanda dan Anakanda tidak dapat melihatNya kerana ALLAH berada nun jauh diatas 7 petala langit. Sedangkan langit kedua pun manusia tidak nampak bagaimana hal keadaanNya lantas bagaimana mungkin Anakanda akan dapat melihat ALLAH yang berada di Arasy yang terletak lebih atas dan jauh daripada 7 petala langit?”
 

“Oh begitu… bagaimana dengan dalilnya Bonda?”
 

Dalilnya begini... “Sesungguhnya Tuhan kamu ialah ALLAH Yang menciptakan langit dan bumi dalam enam masa, kemudian Dia bersemayam di atas Arasy untuk mengatur segala urusan... dari Surah Yunus ayat ke 3.”
 

Maka giranglah hati Raja Muzaffar kerana telah mendapat jawapan daripada persoalan yang selama ini sentiasa semak difikirannya. Masa pun berlalu... hari berganti minggu, minggu berganti bulan dan bulan berganti tahun, maka telah remajalah Raja Muzaffar.
 

Suatu hari Raja Muzaffar diperintahkan Ayahandanya supaya belajar ilmu-ilmu agama dari Syeikh Abdullah selaku Mufti di Negeri Ayahandanya itu. Maka tidak sabar-sabarnya lagi Raja Muzaffar mahu berguru dengan Syeikh Abdullah sementelah pelajaran agama adalah yang paling diminatinya.
 

Suatu hari sambil duduk-duduk santai dengan Syeikh Abdullah tiba-tiba Raja Muzaffar ditanyai oleh Syeikh Abdullah dengan dua persoalan yang tidak asing baginya.
 

“Wahai Anakanda Putera Raja... dimana ALLAH dan bolehkah Anakanda Putera Raja melihatNya?”
 

Sambil tersenyum Raja Muzaffar menjawab sebagaimana yang telah diajarkan 
Bondanya dahulu... “ALLAH itu di Arasy wahai Syeikh Guru dan Beta tidak boleh melihatNya kerana ALLAH berada nun jauh diatas 7 petala langit.”
 

Tersenyum kecil Syeikh Abdullah mendengar jawapan muridnya itu dan sejenak selepas menghela nafasnya Syeikh Abdullah lalu bersuara.... “Begini Anakanda Putera Raja… ALLAH itu bukannya makhluk seperti kita lantaran itu ALLAH tidak seperti kita. Apa sahaja hukum yang terjadi pada makhluk tidak berlaku seperti itu atas ALLAH. Oleh itu ALLAH tidak bertempat kerana bertempat itu hukum bagi makhluk.”
 

“Lantas dimana ALLAH itu wahai Syeikh Guru?”
 

“ALLAH itu tidak bertempat kerana Dia bersifat qiammuhu binafsihi yang bermaksud ALLAH tidak berhajat pada sesuatu zat lain untuk ditempati. Jika kita mengatakan ALLAH berhajat pada sesuatu zat lain untuk ditempati maka ketika itu kita telah menyerupakan ALLAH dengan keadaan makhluk. Ketahuilah, ALLAH tidak serupa dengan makhluk berdasarkan kepada dalil dari Surah Asy-Syura ayat ke 11 yang bermaksud “Dia tidak menyerupai segala sesuatu.” ALLAH tidak berdiam di Arasy kerana Arasy itu adalah makhluk. Bagaimana mungkin makhluk dapat menanggung Zat ALLAH sedang bukit dihadapan Nabi Musa pun hancur kerana tidak dapat menanggung pentajalian ALLAH.”
Raja Muzaffar mengangguk-anggukkan kepalanya tanda faham.

 

Kemudian Syeikh Abdullah menambah... “Berkenaan tentang Anakanda Putera Raja tidak boleh melihat ALLAH itu adalah betul namun bukanlah kerana ALLAH itu jauh maka Anakanda Putera Raja tidak boleh melihatNya.”
 

“Jika bukan begitu lantas bagaimana Syeikh Guru?” Tanya Raja Muzaffar beria-ia ingin tahu.
 

“Sebenarnya kita tidak dapat melihat ALLAH bukanlah kerana asbab jarak tetapi kerana keterbatasan kemampuan penglihatan matamanusia yang tidak mampu melihat ZatNya. Ini bersesuai dengan firman ALLAH yang bermaksud “Dia tidak dapat dicapai oleh penglihatan mata, sedangkan Dia dapat melihat segala penglihatan itu dan Dialah Yang Maha Halus lagi Maha Mengetahui... dari Surah Al-An’am ayat 103.”
 

Terdiam Raja Muzaffar mendengar hujah Gurunya itu. Barulah beliau sedar bahawa apa yang menjadi pegangannya selama hari ini adalah salah. Pegangan yang mengatakan bahawa ALLAH itu diArasy dan ALLAH tidak boleh dilihat kerana asbab jarak adalah satu kesilapan.
 

Huraian daripada Gurunya melalui ilmu Kalam membuatkan Raja Muzaffar begitu kagum dengan kekuasaan akal yang dapat menghuraikan segala-galanya tentang Tuhan. Bermula dari hari tu Raja Muzaffar berpegang dengan hujah gurunya bahawa ALLAH itu tidak bertempat dan manusia tidak boleh melihat ALLAH kerana keterbatasan kemampuan penglihatan mata manusia. Akhirnya dengan berkat ketekunan dan kesungguhan, Raja Muzaffar telah berjaya menguasai ilmu-ilmu ketuhanan menurut peraturan ilmu kalam sebagaimana yang diajarkan oleh Syeikh Abdullah hingga mahir.
 

Masa terus berjalan dan kini Raja Muzaffar telah dewasa. Oleh kerana begitu minatnya yang mendalam tentang ilmu-ilmu ketuhanan maka beliau meminta izin daripada ayahandanya untuk menperdalamkan lagi ilmu pengetahuannya dengan belajar dari guru-guru yang berada diluar istana sementelah Syeikh Abdullah telah meninggal dunia.
 

Ayahandanya memberi izin lalu tanpa berlengah Raja Muzaffar menemui sahabat-sahabat sealiran Almarhum Syeikh Gurunya untuk melanjutkan pelajaran. Raja Muzaffar mempunyai sikap yang pelik. Saban hari apabila beliau melalui pekan-pekan kecil untuk sampai ke rumah guru-gurunya, beliau akan bertanya kepada setiap orang yang ditemuinya dengan soalan yang pernah ditanya kepada bondanya iaitu dimana ALLAH dan bolehkah manusia melihatNya?
 

Bagi sesiapa yang menjawab soalannya itu sebagaimana yang pernah dijawab oleh bondanya maka beliau akan membetulkan kefahaman orang itu dengan hujah Almarhum Gurunya Syeikh Abdullah. Jika orang itu tidak mahu tunduk dengan hujahnya maka orang itu akan dipukulnya sebelum diusir dari negerinya itu.
 

Begitulah sikap Raja Muzaffar setiap hari sehingga pada suatu hari beliau bertemu dengan seorang tua yang sedang bertungkus-lumus menyediakan air minuman untuk diberi minum kepada orang yang lalu-lalang disebuah pekan tanpa mengambil sebarang upah.
 

Melihat kelakuan pelik orang tua itu lantas Raja Muzaffar mendekatinya. “Hei orang Tua... mengapa kamu tidak mengambil upah atas usahamu itu?” Tanya Raja Muzaffar tegas.
 

Orang Tua yang sedari tadi begitu khusyuk mengagih-agihkan minumannya itu terkejut dengan pertanyaan Raja Muzaffar lalu meminta Raja Muzaffar memperkenalkan dirinya.
 

“Siapakah Tuan ini?” Tanya si Tua.
 

“Beta adalah Putera Raja negeri ini.” Jawab Raja Muzaffar tegas.
 

“Oh kalau begitu Tuan ini tentu Raja Muzaffar yang terkenal dengan ketinggian ilmu ketuhanan itu. Tapi sayang, Tuan hanya tahu ilmu tentang ALLAH tetapi 

Tuan sendiri belum mengenal ALLAH. Jika Tuan telah mengenal ALLAH sudah pasti tuan tidak akan bertanya kepada saya soalan Tuan tadi.”
 

Terkebil-kebil mata Raja Muzaffar mendengar kata-kata si Tua itu. Hatinya terpesona dengan ungkapan ‘mengenal ALLAH’ yang diucapkan orang tua itu.
 

Lantas beliau bertanya kepada orang tua itu. “Kemudian apa bezanya antara ‘tahu’ dengan ‘kenal’?”
 

Dengan tenang si Tua itu menjawab... “Ibarat seseorang yang datang kepada Tuan lantas menceritakan kepada Tuan tentang ciri-ciri buah nangka tanpa menunjukkan zat buah nangka, maka ini mertabat ‘tahu’ kerana ianya hanya sekadar maklumat dan orang yang berada pada mertabat ini mungkin akan menyangka bahawa buah cempedak itu adalah nangka kerana ciri-cirinya seakan sama. Berbanding seseorang yang datang kepada Tuan lantas menghulurkan sebiji buah nangka, maka ini mertabat ‘kenal’ kerana zatnya terus dapat ditangkap dengan penglihatan mata dan orang yang berada pada mertabat ini pasti dapat mengenal mana cempedak dan mana nangka dengan tepat.”
 

Raja Muzaffar mendengar dengan teliti huraian si Tua itu. Diam-diam, hatinya membenarkan apa yang diperkatakan si Tua itu. Kemudian terlintas dihatinya untuk bertanyakan soalan yang lazim ditanyanya kepada orang ramai.
 

“Kalau begitu wahai orang Tua silalah jawab persoalan Beta ini... dimana ALLAH dan bolehkah manusia melihatNya?”
 

“ALLAH berada dimana-mana sahaja dan manusia boleh melihatNya.” Jawab si Tua dengan tenang.
 

Tercengang Raja Muzaffar mendengar jawapan orang tua itu. Seketika kemudian terus saja orang Tua itu dipukulnya sehingga jatuh tersungkur. 

Melihat orang Tua itu tidak cuba mengelak pukulannya bahkan langsung tidak menunjukkan reaksi takut maka Raja Muzaffar pun lantas bertanya... “Kenapa kamu tidak mengelak pukulan beta wahai orang Tua?”
 

“Bukankah tadi sudah hamba bilang... Tuan ini hanya orang yang tahu tentang ALLAH tetapi bukannya orang yang benar-benar mengenal ALLAH.”
 

Terdiam Raja Muzaffar mendengar kata-kata si Tua itu. Kemudian beliau menenangkan dirinya lantas bersegera duduk diatas tanah dihadapan orang Tua itu.
 

“Baiklah orang Tua... Silalah huraikan jawapan kamu tadi sebab Beta berpegang bahawa ALLAH itu tidak bertempat dan manusia tidak boleh melihat ALLAH.”
 

“ALLAH itu tidak bertempat adalah menurut pandangan hukum akal sahaja sedang pada hakikatnya tidak begitu.” Ujar orang Tua itu sambil mengesat bucu bibirnya yang berdarah.
 

Kemudian beliau menyambung... “Bukankah ALLAH itu wujudNya Esa?”
 

“Benar.” Jawab Raja Muzaffar.
 

“Jika ALLAH itu wujudNya Esa maka sudah barang tentu tidak ada wujud sesuatu bersertaNya.”
 

“Benar.” Jawab Raja Muzaffar.
 

“Lantas bagaimanakah kedudukan wujud alam ini jika ALLAH itu diyakini wujud tanpa ada selain zat yang wujud bersertaNya dengan pandangan mata hati?”
 

Raja Muzaffar memejamkan matanya rapat-rapat lantas dikerahkan pandangan mata hatinya untuk memahami persoalan yang ditanyai orang Tua itu. Tiba-tiba akalnya dapat menangkap dan memahami hakikat alam ini jika ianya merujuk kepada ruang lingkup keesaan wujud ALLAH. Lantas beliau membuat satu kesimpulan... “Jika dipandang dari sudut Esanya wujud ALLAH maka alam ini tidak lain melainkan diriNya sendiri… Tiba-tiba sahaja perkataan itu terpacul keluar dari bibirnya. Terkebil-kebil matanya apabila mendengar ucapannya sendiri.
 

Maka lidahnya kelu dan akalnya lumpuh. Terkejut... tergamam... terkedu...  
“Jadi kalau begitu ketika Tuan memandang alam ini, siapa yang Tuan pandang pada hakikatnya?”
 

Pantas soalan itu diajukan kepada Raja Muzaffar. “Pada hakikatnya Beta memandang ALLAH...”
 

“Nah kalau begitu bukankah ALLAH ada berfirman yang bermaksud “Dimana sahaja kamu menghadap, disitulah wajah ALLAH” dari Surah Al-Baqarah ayat ke 115 dan dalam Surah Al-Hadiid ayat ke 3 yang bermaksud “Dialah yang awal, 
yang akhir, yang zahir dan yang batin.”
 

Kemudian orang Tua itu bertanya lagi... “Dan sekarang dapat atau tidak Tuan melihat ALLAH ketika ini”
 

“Ya.. Beta menyaksikan dengan ainul basyirah.”
 

Perlahan-lahan berjujuran air mata dari bucu mata Raja Muzaffar. Beliau menahan sebak kerana sekarang beliau sudah faham kenapa orang tua itu tidak mengambil upah atas usahanya dan tidak mengelak ketika dipukul. Semuanya kerana yang dipandangnya adalah pentajallian ALLAH. Dalam hati
perlahan-lahan beliau berkata... “Memang benar sesungguhnya pada sudut ini, ALLAH berada dimana-mana sahaja dan manusia boleh melihat ALLAH.”

 

“Makanya wahai Putera Raja.. inilah yang dinamai sebagai ilmu hakikat.”
 

Semenjak hari itu, Raja Muzaffar terus mendampingi orang tua itu untuk mempelajari lebih dalam selok-belok ilmu hakikat hingga diangkat beliau oleh gurunya menduduki kedudukan Syeikh ilmu hakikat. Demi memahami ilmu-ilmu hakikat yang halus-halus Raja Muzaffar telah menjadi seorang ahli ibadah yang alim-mualim. Beliau tidak lagi berpegang dengan fahaman Almarhum Gurunya iaitu Syeikh Abdullah kerana baginya jalan yang boleh membuatkan seseorang itu dapat mengenal ALLAH dengan haqqul yaqin ialah dengan ilmu hakikat. 

Beliau telah mengenepikan duduk didalam peraturan hukum akal sama sekali dan mulai duduk didalam peraturan musyahadah. Bagi beliau, ilmu kalam yang dituntutnya selama ini adalah semata-mata salah.
 

Setelah kemangkatan Ayahandanya maka Raja Muzaffar ditabalkan menjadi Sultan dinegerinya dan sekarang beliau menyandang gelaran Sultan Muzaffar Shah pada usia 50 tahun.
 

Beliau memerintah negerinya dengan adil dan saksama namun sikap ganjilnya yang dahulu masih diteruskannya. Dimana sahaja beliau pergi beliau tetap akan bertanyakan soalannya yang lazim itu.
 

Jika orang yang ditanya tidak dapat menjawab maka akan diajarkan jawabannya menurut ilmu hakikat dan jika orang itu membangkang akan dihukum bunuh.
 

Akhirnya kelaziman Sultan Muzaffar Syah ini membuatkan seluruh rakyat jelatanya menganut fahaman hakikat. Justeru itu rakyat jelata dinegerinya hidup aman dan makmur.
 

Suatu petang Sultan Muzaffar Syah yang terkenal sebagai Mursyid ilmu hakikat itu berjalan-jalan disebuah padang rumput yang luas dengan ditemani para pembesar istana.
 

Pandangannya tertarik pada gelagat seorang pemuda pengembala kambing dalam lingkungan usia 30an yang sedang berusaha menghalau seekor serigala yang cuba memakan kambing gembalaannya.
 

Baginda mendatangi pemuda gembala itu. Kelihatan pemuda itu hanya memakai pakaian yang diperbuat daripada guni dan tidak mempunyai kasut sebagai alas kaki. Rambutnya kering berdebu, bibirnya kering dan badannya kurus.
 

“Wahai pemuda... kenapa kamu menghalau serigala itu dari memakan kambing itu, tidakkah kamu menyaksikan hakikat serigala itu? Maka biarkan sahaja ALLAH bertindak menurut kemahuanNya.”
 

Mendengar kata-kata Sultan Muzaffar Syah itu sekonyong-konyong pemuda gembala itu lantas menggenggam pasir lalu dilemparkannya pasir itu ke muka 
Sultan Muzaffar Syah. Kemudian pemuda gembala itu membongkok lagi untuk kali kedua mengambil segenggam pasir lalu dilemparkan sekali lagi ke muka Sultan Muzaffar Syah.
 

Sultan Muzaffar Syah hanya tercegat sahaja mungkin terkejut dengan tindakkan pemuda gembala itu. Pemuda gembala itu terus mahu mengambil segenggam pasir lagi dan melihat itu seorang pembesar istana yang berada disitu terus memukul pemuda gembala itu hingga beliau jatuh pengsan.
 

Apabila sedar dari pengsan, pemuda gembala itu mendapati tangan dan lehernya telah dipasung dengan pasungan kayu didalam sebuah penjara. Tidak lama kemudian datang dua orang pengawal istana dengan kasar merenggut rantai besi yang terikat dibadannya dan dibawa ke suatu tempat yang amat asing baginya. Tidak lama berjalan akhirnya mereka sampai dihadapan singgahsana Sultan Muzaffar Syah.
 

“Mengapa kamu melempari muka Beta dengan pasir?” Tenang sahaja pertanyaan Sultan Muzaffar Syah.
 

“Kerana Tuanku mengatakan bahawa serigala itu adalah ALLAH yakni Tuhan saya.
 

“Bukankah hakikat serigala itu sememangnya begitu?” Tanya Sultan Muzaffar Syah hairan.
 

“Nampaknya dakwaan tuanku ini menunjukkan seorang yang mengenal ALLAH adalah kebohongan semata-mata.”
 

“Kenapa kamu berkata begitu?”
 

“Sebab orang yang sudah sempurna mengenal ALLAH pasti merindui untuk bertemu menemui ALLAH.”
 

Setelah 30 tahun baru hari ini hati Sultan Muzaffar Syah terpesona lagi apabila mendengar ungkapan ‘bertemu menemui ALLAH’ yang diucapkan oleh pemuda gembala itu.
 

Dahulu hatinya pernah terpesona dengan ungkapan ‘mengenal ALLAH’. Sejurus itu juga Sultan Muzaffar Syah memerintahkan agar pasung kayu yang dikenakan pada pemuda gembala itu ditanggalkan.
 

“Lantas apa utamanya ‘bertemu’ berbanding ‘kenal’?” Tanya Sultan Muzaffar Syah.
 

“Adakah Tuanku mengenali sifat-sifat Rasulullah?” Tanya pemuda gembala itu tiba-tiba...
 

“Ya... Beta kenal akan sifat-sifat Rasulullah.”
 

“Lantas apa keinginan Tuanku terhadap Rasulullah?”
 

“Semestinyalah Beta mahu dan rindu untuk menemuinya kerana baginda adalah kekasih ALLAH!”
 

“Nah begitulah… orang yang sempurna pengenalannya terhadap sesuatu pasti terbit rasa ingin bertemu dengan sesuatu yang telah dikenalinya itu dan bukannya hanya sekadar berputar-putar didaerah ‘mengenal’ semata-mata.”
 

Tiba-tiba sahaja Sultan Muzaffar Shah berteriak kuat dengan menyebut perkataan ‘Allahu Akbaaar...!.!.!’ sekuat-kuat hatinya lalu baginda jatuh pengsan tidak sedar diri. Tidak lama kemudian setelah wajahnya disapukan dengan air sejuk maka baginda kembali sedar.
 

Sultan Muzaffar Shah terus menangis teresak-esak hingga jubahnya dibasahi dengan air matanya. Baginda memuhassabah dirinya.. “Memang... memang selama ini beta mengenali ALLAH melalui ilmu hakikat tetapi tidak pernah hadir walau sekelumit rasa untuk bertemu denganNya.
 

Rupa-rupanya ilmu hakikat yang beta pegangi selama ini juga salah sepertimana ilmu bonda dan ilmu Syeikh Abdullah”... bisik hatinya.
 

Kemudian terlintas difikiran Sultan Muzaffar Shah untuk menanyakan soalan lazimnya kepada pemuda gembala itu.
 

“Kalau begitu wahai orang muda, silalah jawab persoalan Beta ini... dimana ALLAH?”
 

Dengan tenang pemuda gembala itu menjawab... “ALLAH berada dimana Dia berada sekarang.”
 

“Kalau begitu, dimana ALLAH sekarang?
 

“Sekarang ALLAH berada dimana Dia berada dahulu.”
 

“Dimana ALLAH berada dahulu dan sekarang?”
 

“Dahulu dan sekarang Dia berada ditempat yang hanya Dia sahaja yang ketahui.”
 

“Dimana tempat itu?”
 

“Didalam pengetahuan ilmu ALLAH.”
Sultan Muzaffar Shah terdiam sebentar sambil keningnya berkerut merenung jawapan yang diberi pemuda gembala itu. Kemudian baginda meneruskan pertanyaannya lagi.

 

“Bolehkah manusia melihat ALLAH?”
 

“Kunhi ZatNya tidak boleh dicapai dengan pandangan mata kepala dan pandangan hati.”
 

“Sila perjelaskan lagi wahai anak muda.” Pinta Sultan Muzaffar Shah.
 

“Begini Tuanku... adapun jawapan yang diberikan oleh Bonda Tuanku itu diatas dasar soalan lazim yang Tuanku berikan itu adalah sebenarnya betul menurut tahapan akal Tuanku yang ketika itu dinilai masih kanak-kanak.
 

Adapun jawapan yang diberikan oleh Syeikh Abdullah itujuga betul jika dinilai dari sudut hukum akal... Dan jawapan yang diberikan oleh Syeikh Tua itu juga betul jika dinilai dari sudut pengamalan musyahadah terhadap ilmu hakikat. Begitu jugalah dengan jawapan yang saya berikan juga betul jika dinilai dari sudut ilmu ma’rifat.
 

Tiada yang salah cuma ilmu itu bertahap-tahap dan tuanku telah pun melalui tahapan-tahapan itu. Dari tahapan jahil (ilmu bonda) ke tahapan awam (ilmu kalam) kemudian ke tahapan khusus (ilmu hakikat) dan akhir sekali ke tahap khawasul khawas (ilmu ma’rifat).”
 

Kemudian pemuda gembala itu terus menyambung kata-katanya... “Jika ilmu hakikat itu jalan fana kerana menilik kepada Zat ALLAH maka ilmu ma’rifat pula jalan baqa kerana menilik terus kepada Kunhi Zat ALLAH. Maka jawapan bagi persoalan tuanku itu secara yang dapat saya simpulkan ialah Tiada yang tahu dimana ALLAH melainkan ALLAH dan tiada sesiapa yang dapat
melihat ALLAH melainkan diriNya sendiri.”

 

Sultan Muzaffar Shah mengangguk-anggukkan kepalanya tanda faham... “Jadi bagaimana hendak sampai ke tahap mengenal ALLAH dengan sempurna sehingga terbit rasa ingin untuk menemuiNya?”
 

“Jangan mengenal ALLAH dengan akal sebaliknya mengenal ALLAH dengan ALLAH.”
 

“Kemudian, apakah cara-caranya untuk dapat bertemu dengan ALLAH?”
 

“Sebagaimana firman ALLAH yang bermaksud... “Barangsiapa mengharap pertemuan dengan Tuhannya maka hendaklah dia mengerjakan amalan soleh dan janganlah dia mempersekutukan Tuhannya dalam beribadat kepadanya”... dari Surah Al-Kahfi ayat ke 110.
 

Mendengar penjelasan daripada pemuda gembala itu hati Sultan Muzaffar Shah menjadi tenang dan akhirnya baginda diterima menjadi murid si pemuda gembala itu. Kerana kesungguhan yang luarbiasa dalam mengerti ilmu ma’rifat maka baginda mahsyur terkenal sebagai seorang Sultan yang arifbillah lagi zuhud serta warak.
 

Kemudian rakyatnya dibiarkan bebas untuk berpegang pada mana-mana fahaman pun asalkan ajarannya masih didalam ruang lingkup yang mengikuti pegangan Ahlussunnah Wal Jamaah.
 

Dan sekarang pada usia 70 tahun barulah Sultan Muzaffar Shah sedar dan faham bahawa untuk memahami tentang ALLAH maka seseorang itu harus melalui tahapan-tahapan yang tertentu sebelum seseorang itu layak dinobatkan sebagai arifbillah. Baginya samada ilmu kalam, ilmu hakikat atau ilmu ma’rifat maka kesemuanya adalah sama penting untuk dipelajari, difahami, dimengerti bagi mewujudkan kesempurnaan untuk mencapai kedudukan insan kamil yang ma’rifatullah.
 

Kini Sultan Muzaffar Shah sudah memahami bagaimana rasanya rindu kepada ALLAH dan bagaimana rasanya benar-benar tidak sabar untuk bertemu ALLAH. 

Sejak semalam mulutnya tidak henti-henti asyik mengucapkan kalimah Ismu Zat Allah..Allah..Allah dan kadang-kadang terlihat deruan air mata jernih mengalir perlahan dipipinya sewaktu dipembaringan.
 

Perlahan-lahan pemuda gembala menghampiri Sultan Muzaffar Shah yang sejak 20 tahun lalu tinggal bersama dengannya dirumah usangnya lantas meletakkan kepala muridnya itu diribaan silanya dengan linangan air mata. Kini nafasnya mulai tersekat-sekat dan melihat itu, pemuda gembala merapatkan bibirnya ke telinga Sultan Muzaffar Shah lantas mentalqinkan baginda dengan kalimah tauhidan seraya diikuti baginda dengan senyuman. Sejurus kemudian Sultan Muzaffar Shah menghembuskan nafasnya yang terakhir.
 

Suasana menjadi hening… pemuda gembala menunduk sahaja dan sebentar kemudian dia berkata. “Alangkah beruntungnya dia.. sekarang Tuanku benar-benar telah menemui ALLAH dan dapat mengenalNya dengan sebenar-benar kenal. "Ya... ALLAH masih belum layakkah untuk aku bertemu denganMu, aku mencemburui Sultan Muzaffar Shah ini maka jemputlah aku menghadapMu…”
 

Sebentar kemudian pemuda gembala itu pun turut rebah dan menghembuskan nafasnya yang terakhir...
 

Tiba-tiba hujan pun turun seolah-oleh menangisi permergian dua insan yang mulia akhlaknya itu.
- TAMAT

Wednesday, December 19, 2012

Sahabat Rasulullah s.a.w.



Bolehkah kita yang hidup di zaman ini, menjadi sahabat kepada Rasulullah s.a.w? Jika tidak boleh, apa alasannya? Jika boleh apa alasannya dan bagaimana caranya?




Tuesday, May 1, 2012

Rahsia Ikhlas.




Janganlah amalan itu sampai dilihat IBLIS agar tidak dapat dirosakkannya, dan biarlah juga amalan itu tidak dilihat MALAIKAT agar tidak dicatitnya, kerana amalan itu hanya untukNya
. - antara pengertian IKHLAS.

Ikhlas adalah amalan yang tidak dapat dilihat dan diketahui oleh mana-mana makhluk Allah Taala kecuali Allah Taala sendiri
- antara pengertian IKHLAS.

Wallahualam.


Wednesday, March 14, 2012

Kisah Benar Pelajar Dapat Bantuan Allah Waktu Peperiksaan


 

Ini adalah kisah benar yang berlaku di dewan peperiksaan di salah sebuah sekolah. Kisah ini diceritakan oleh salah seorang guru wanita yang berada dalam dewan peperiksaan tersebut.

Ceritanya begini :
Terdapat salah seorang pelajar masuk ke dewan peperiksaan dalam keadaan keletihan dan tertekan. Dia duduk di tempat yang telah dikhaskan untuknya.
Kemudian dia menerima kertas ujian dan setelah berlalu masa ujian beberapa ketika guru
tersebut mendapatinya tidak menulis apa-apa pun pada kertas jawapannya sehingga berlalu separuh masa peperiksaan. Maka guru tersebut mula memberi perhatian yang lebih kepadanya.Tiba-tiba pelajar tersebut mula menulis dan menjawab semua soalan dengan pantas dan ini mengejutkan guru yang memerhatikannya sejak tadi. Pelajar tersebut menjawab semua soalan peperiksaan dengan baik. Ini menambahkan lagi rasa ragu-ragu pada guru tersebut dan dia beranggapan pelajar tersebut telah menggunakan taktik baru dalam meniru. Tetapi guru tersebut tidak menjumpai apa-apa tanda yang pelajar itu telah meniru dalam peperiksaan.
Setelah pelajar itu menyerahkan kertas jawapannya, guru telah bertanya kepadanya apa yang berlaku sebenarnya.
Dan jawapannya amat mengejutkan dan menyentuh perasaan. Tahukah anda apakah jawapan pelajar itu?Pelajar tersebut menceritakan : “semalam saya berjaga sepanjang malam sehingga subuh. Saya dalam keadaan tidak sihat dan menjaga ibu saya yang sakit tanpa sempat untuk mengulangkaji untuk ujian keesokannya. Maka sepanjang malam saya menjaga ibu dan saya datang menghadiri peperiksaan dengan harapan aku dapat melakukan sesuatu dalam peperiksaan nanti.
Saya melihat soalan-soalan namun tidak dapat menjawabnya. Saya hanya berdoa kepada Allah dengan amalan terbaik yang saya lakukan iaitu berbakti kepada ibuku semata-mata kerana Allah.
Tidak lama selepas itu, Allah memakbulkan doa saya dan seolah-olah saya nampak buku di depan. Saya mula menulis dengan pantas. Itulah yang saya dapat dan amat bersyukur kepada Allah kerana menerima permohonan saya.
Kisah yang menakjubkan ini menjelaskan bahawa betapa besarnya ganjaran berbuat baik kepada ibu bapa dan merupakan amalan yang paling Allah sukai. Maka Allah membalasnya dengan memberi kebaikan kepadanya kerana berbakti kepada orang tua.
Aku menyeru kepada sesiapa yang masih mempunyai ibu dan bapa agar berbaktilah kepada mereka untuk mencari keredaan Allah sebelum mereka pergi meninggalkan kita.

Sumber :

Dalam kisah pelajar ini, mungkin ada baiknya kita memahami juga apakah yang dimaksudkan dengan bertawassul kerana sesetengah golongan yang menolak amalan tawassul dan ada juga di antara kita tersalah  faham dengan amalan ini. Sesiapa yang berminat bolehlah merujuk artikel-artikel di bawah ini :

TAWASSUL

Thursday, December 15, 2011

Rintihan Sayyidina Ali Zainal Abidin


Allah,
Yang tak tersembunyi bagi-Nya apapun yang dilangit dan dibumi..

Bagaimana mungkin TERSEMBUNYI bagi-Mu, Tuhanku
Apa yang Engkau CIPTAKAN....

Bagaimana mungkin Engkau tidak MENGHITUNG
Apa yang Engkau BUAT....

Bagaimana mungkin HILANG dari-Mu
Apa yang Engkau ATUR....

Bagaiman mungkin bisa LARI dari-Mu
Orang yg tidak ada kehidupan kecuali dgn REZEKI-Mu...

Bagaimana mungkin SELAMAT dari-Mu
Orang yang tidak punya tempat lari di luar KEKUASAAN-Mu..

Mahasuci Engkau!

Orang yang paling TAKUT diantara makhluk-Mu
Adalah orang yang paling MENGENAL-Mu...

Orang yang paling MERENDAH pada-Mu
Adalah orang yang paling banyak BERAMAL mentaati-Mu

Orang yang paling HINA dihadapan-Mu...
Adalah orang Kau berikan REZEKI tapi dia MENYEMBAH selain-Mu..

Mahasuci Engkau!

Tidak mengurangi KEKUASAAN-Mu......
Orang yg MEMPERSEKUTUKAN-Mu & MENDUSTAKAN para utusan-Mu

Orang yang MEMBENCI KETENTUAN-Mu
Tidak akan mampu menolak PERINTAH-Mu....

Orang yang menolak KEKUASAAN-Mu
Tidak dapat MENGHINDAR dari-Mu....

Orang yang MENYEMBAH selain-Mu
Tidak dapat MENJAUH dari-Mu....

Orang yang MEMBENCI PERTEMUAN dengan-Mu
Tidak akan hidup ABADI di dunia.....

Mahasuci Engkau!

Alangkah agungnya kemuliaan-Mu.....
Alangkah besarnya kekuasaan-Mu....
Alangkah dahsyatnya kekuatan-Mu....
Alangkah cepatnya perintah-Mu....

Mahasuci Engkau!

Kau tentukan pada seluruh makhluk-Mu kematian
Orang yg mengesakan-Mu dan kafir kepada-Mu
Semua merasakan kematian..
Semua kembali pada-Mu...

Maha Mulia Engkau, Maha Tinggi...
Tidak Ada Tuhan Kecuali Engkau...
Esa dan Tiada sekutu bagi-Mu...

Aku beriman kepadaMu.....
Aku benarkan utusan-Mu
Aku terima kitab-Mu
Aku tolak setiap sembahan selain-Mu
Aku berlepas diri dari orang yang menyembah selainMu

Ya Allah...
Pagi dan petang aku melakukan sedikit amalku
Mengakui dosaku
Berikrar dengan kesalahanku
Dengan segala pelanggaran diriku

Aku ini hina
Amalku mencelakakanku
Hawa nafsuku membinasakanku
Keinginanku membuatku malang

Aku bermohon pada-Mu, wahai junjunganku.....
Permohonan orang yang jiwanya lalai
Karena panjang angan-angannya....

Yang badannya alpa
Karena ketenangan urat-uratnya....

Yang hatinya terpukau
Karena banyaknya nikmat atasnya....

Yang fikirannya pendek
Kepada arah kepulangannya....

Permohonan orang yang angan-angan telah mengusainya
Hawa nafsu telah mencubainya...
Dunia telah mengendalikannya...
Kematian telah membayangkan...
Permohonan orang yang bertumpuk dosanya
Dan mengakui kesalahannya....
Permohonan orang tidak punya tuhan selain-Mu
Yang tidak punya pelindung kecualiMu...
Tidak ada penyelamat dari-Mu...
Tidak ada tempat bernaung dariMu kecuali kepada-Mu...

Tuhanku…..
Aku bermohon kepada-Mu
Demi hak yang Engkau wajibkan atas seluruh makhluk-Mu
Demi nama-Mu yang agung yang Kau perintahkan Rasul-Mu
Untuk bertasbih kepada-Mu
Demi kemuliaan wajah-Mu
Yang tidak pernah pudar, berubah, berganti, menghilang

Sampaikan shalawat kepada Muhammad dan keluarga Muhammad
Bebaskan aku dari ketergantungan kepada segala sesuatu
Dengan beribadat kepadaMu...
Palingkan perhatian jiwaku dari dunia
Dengan takut kepadaMu...
Curahkan kepadaku limpahan anugerah-Mu
Dengan kasih sayang-Mu...

Kepada-Mu aku berlari....
Kepada-Mu aku takut.....
Kepada-Mu aku berlindung....
Kepada-Mu aku berharap....
Kepada-Mu aku berdoa...
Kepada-Mu aku bernaung...
Kepada-Mu aku bersandar...
Kepada-Mu aku meminta tolong...
Kepada-Mu aku beriman....
Kepada-Mu aku bertawakkal...
Pada anugerah dan karunia-Mu...
Aku pasrah..

- Sayyidina Ali Zainal Abidin Cicit Rasulullah

Wednesday, November 2, 2011

Berjaya ATAU Gagal? Berjayanya seseorang itu bergantung kepada tahap keyakinannya.



Perbandingan di antara 3 darjat ma'rifat :



1. 'ILMUL YAKIN : Seseorang itu mengenal tuhan dengan tahu adanya makhluk ini, seumpama dia mengenal rupa bentuk gula tanpa dia merasai apa-apa nikmat gula itu, ini adalah martabat orang awam, syurga belum terjamin baginya. Contoh lain seumpama seseorang yang melihat kepulan asap dari jauh tetapi dia tidak melihat api itu, namun yakinlah dia bahawa di sana ada api melalui dalil adanya asap tersebut. 


Penerangannya, darjat pertama ('ILMUL YAKIN) hanya darjat "tahu dalilnya" sahaja dan bukan darjat pengalaman.





2. 'AINUL YAKIN : Seseorang itu mengenal tuhan dengan merasai kelazatan zawq , seumpama dia mengenal gula dengan dia merasai nikmat gula itu setelah disentuhkannya gula itu pada lidahnya, ini adalah martabat para wali, syurga wajib terjamin baginya. Contoh lain seumpama seseorang yang pergi melihat api itu sendiri dengan matanya maka yakinlah dia bahawa api itu benar-benar wujud di sana.


Penerangannya, darjat kedua ('AINUL YAKIN) adalah darjat merasai pengalaman dengan merasai "melihat".





3. HAQQUL YAKIN : seseorang itu mengenal tuhan dengan dia merasai kelazatan zawq yang teristimewa, seumpama dia mengenal hakikat gula dengan dia merasai nikmat gula itu setelah disentuhkannya gula itu pada lidahnya kemudian ditelannya gula itu, ini adalah martabat para wali yang teristimewa, syurga wajib terjamin baginya dan teristimewa. Contoh lain seumpama seseorang yang menyentuh dan membakar jarinya sendiri dengan api, maka yakinlah dia dengan sebenar-benar pengalaman merasainya yang sangat kemuncak.


Penerangannya,  darjat ketiga (HAQQUL YAKIN) pula adalah darjat merasai pengalaman tertinggi dengan "merasai kemuncak yang hakiki".






Kedua-dua darjat terakhir inilah yang sebenar-benarnya ma'rifah. Dalam ilmu tasawwuf dinamakannya dengan "zawq" (rasa) iaitu "merasai" hakikat sebenar ma'rifah.


Semoga kita dipimpinNya ke destinasi pilihan kita......

Tuesday, November 1, 2011

Getar Hati..



Bergetarnya hati orang-orang yang menyebut Allah dalam keadaan hati mereka hidup, adalah lebih kuat dari goncangan gunung-gunung ketika ingin diturunkan al-Quran kepada gunung-gunung itu.


Kenali Cinta Sebenar - Kisah Imam 'Abdullah ibn Mubarak





Kisah Imam 'Abdullah ibn Mubarak dengan seorang hamba yang tenggelam di dalam cinta.

Sheikhna Sidi Yusuf al-Hasani pernah meriwayatkan satu kisah yang mengisahkan satu hubungan cinta yang amat mendalam seorang hamba terhadap Tuhannya, iaitu seorang hamba yang amat memahami keadaannya dihadapan Tuhannya. Namanya tidak dikenali, dan beliau juga merupakan seorang hamba yang telah dibeli oleh tuannya di suatu negeri.Seperti kebiasaan, negeri tersebut akan mengalami musim kemarau pada tiap-tiap tahun. Akan tetapi, pada tahun itu, musim kemarau yang berlaku amatlah teruk sehinggakan penduduk di negeri itu melakukan solat Istisqaq(meminta hujan) hampir setiap hari. Melihat tiada perubahan, dan penduduk negeri semakin menjalani kehidupan mereka dalam kesukaran, mereka akhirnya menjemput Imam al-Haramain, iaitu Imam 'Abdullah ibn Mubarak, seorang 'ulama yang cukup terkenal dalam bidang hadith serta fiqh, yang juga merupakan guru kepada Imam al-Ghazali, pengarang kitab Ihya 'Ulumuddin yang terkenal.

Kebiasaannya, apabila Imam 'Abdullah ibn Mubarak melakukan solat Istisqaq di tempat-tempat lain, dengan rahmat Allah, Allah akan menurunkan hujan pada tempat yang ditunaikan solat tersebut. Akan tetapi, apabila beliau dan jemaahnya selesai melakukan solat Istisqaq di negeri tersebut, kelihatan bahawa tiada tanda-tanda hujan akan turun sebaliknya kemarau tetap sahaja membakar kulit-kulit mereka.

Kehairanan dengan kejadian sebegitu, Imam 'Abdullah ibn Mubarak tidak dapat melelapkan matanya sebaliknya mengambil keputusan untuk melihat keadaan penduduk negeri tersebut pada waktu malam. Setelah beliau berjalan-jalan di sekitar kawasan itu, beliau terdengar suara seorang lelaki sedang bermunajat kepada Allah s.w.t. di tengah-tengah padang. Melihat keadaan itu, beliau cuba mendekati lelaki tersebut, dan beliau mendengar doa lelaki tersebut yang berkata, "Wahai Tuhanku, dengan cintaMu yang mendalam terhadap diriku, aku meminta agar Engkau merunkan hujan kepada negeri ini".

Setelah sahaja lelaki tersebut selesai berdoa dan beredar dari padang itu, dengan rahmat Allah, hujan terus turun selebat-lebatnya dan perkara ini menjadikan Imam 'Abdullah ibn Mubarak ingin mengenali lelaki tersebut. Pada keesokan hari, Imam 'Abdullah ibn Mubarak mencari siapakah gerangan lelaki tersebut, dan bertanya kepada setiap rumah di negeri tersebut. Akhirnya, beliau berjaya mendapat tahu bahawa lelaki tersebut merupakan seorang hamba kepada fulan yang amat kaya raya di negeri tersebut.

Beliau dengan penuh semangat, pergi ke rumah si fulan yang amat kaya lalu bertanya, "Wahai tuan, bolehkah aku bertemu dengan hamba milikmu yang keadaannya sekian dan sekian?". Si Fulan tersebut menjawab, "Lelaki pemalas itu? Aku tidak pernah bertemu dengan hamba yang amat pemalas sepertinya. Aku telah menghantarnya ke pasar untuk dijual".Mendengar penjelasan fulan tersebut, beliau bergegas ke pasar untuk mencari dimanakah tempat hamba tersebut dijual. Setelah sekian lama mencari dimanakah hamba tersebut dijual, akhirnya selang beberapa hari beliau berjaya mendapat hamba tersebut yang sedang sedang dilelong. Lalu, beliau pun bertanya kepada si pelelong hamba, "Aku ingin membeli hamba tersebut, berapakah harganya?". Mendengar pertanyaan Imam 'Abdullah ibn Mubarak, pelelong hamba tersebut ketawa lalu berkata, "Engkau mahu membeli hamba ini yang amat terkenal dengan sifat malas? Aku telah menjualnya untuk sekian waktu yang lama, sampai sekarang tiada orang yang ingin membelinya. Aku rela untuk berikan kepada kamu percuma sahaja, menyimpannya bagiku hanya menjadi beban sahaja". Akan tetapi, Imam 'Abdullah ibn Mubarak serius ingin membeli hamba tersebut, lalu bertanya, "Bagitahu kepadaku, berapa yang engkau mahu jual hamba tersebut? Aku mempunyai wang untuk membayar hamba itu". Melihat keseriusan beliau, lalu pelelong hamba tersebut menjualnya sebanyak 20 dinar sahaja, akan tetapi, Imam 'Abdullah ibn Mubarak membayar sebanyak dua kali ganda harganya iaitu dengan 40 dinar, dan membawa pulang hamba tersebut ke rumahnya.

Setelah sampai di rumah Imam 'Abdullah ibn Mubarak, hamba yang baru dibelinya tadi terus disuruh membersihkan diri dan diberi pakaian yang baru untuknya. Selain itu, beliau juga melayan hamba tersebut sebagai tetamunya dengan penuh istimewa, sedangkan dia hanya seorang hamba.

Akhirnya, 1001 satu persoalan bermain di fikiran hamba itu, setelah 3 hari dilayan sebagai seorang tetamu kerana kehadiran dia di rumah Imam 'Abdullah ibn Mubarak adalah sebagai seorang hamba. Lalu dia pun bertanya kepada tuan barunya itu, "Wahai tuan, aku dibeli olehmu untuk berkhidmat kepada tuan. Tetapi, kenapa setelah tiga hari aku berada disini, engkau tidak mengarahkan aku satu suruhan pun sebagai seorang tuan, sebaliknya menyediakan aku keselesaan sedangkan aku hamba".

Mendengar pertanyaan hamba itu, Imam 'Abdullah ibn Mubarak pun menjelaskan, "Aku sebenarnya tidak ingin menjadikanmu hamba. Sebaliknya aku hanya ingin bertanya kepadamu satu soalan. Sesungguhnya aku berada di padang ketika engkau berdoa kepada Allah, "Wahai Tuhanku, dengan cintaMu yang mendalam terhadap diriku, aku meminta agar Engkau merunkan hujan kepada negeri ini". Dan aku hairan, bagaimana engkau boleh berdoa sedemikian sedangkan engkau tidak mengetahui bagaimana cinta Allah kepadamu".

Hamba tersebut pun berkata, "Wahai tuan, engkau adalah Imam 'Abdullah ibn Mubarak yang terkenal seluruh Haramain dan sekitarnya. Bagaimana aku ingin menjelaskan kepadamu sedangkan engkau imam kami, mustahil engkau tidak mengerti hal ini". Beliau pun tetap menyuruh hambanya itu menjawab persoalannya, lalu hamba tersebut menjelaskan, "Wahai tuan, kita ini adalah haadith(yang baharu) dan juga makhluqnya. Bagaimana kita boleh mengatakan cinta kita kepadaNya, sedangkan cinta kita itu adalah sebahagian daripada yang baharu, sedangkan cintaNya pula adalah qaadim(yang kekal sedia ada). Adalah tidak beradab apabila kita mendahulukan cinta kita kepadaNya, sedangkan cintaNya terhadap kita adalah terlebih awal sebelum kita diciptakan".

Mendengar penjelasan hambanya tersebut sambil menitiskan air mata, beliau berkata, "Wahai hambaku, sekarang aku bebaskan kamu daripada menjadi hamba". Lalu, hamba tersebut meminta izin daripada Imam 'Abdullah ibn Mubarak untuk solat dua rakaat di dalam biliknya. Imam 'Abdullah ibn Mubarak pula tidak berganjak dari tempatnya, dan terdengar suara hambanya tadi berdua dalam sujud yang kedua, "Wahai Tuhanku, sesungguhnya Engkau telah membukakan rahsia antaraMu dan aku terhadap tuanku ini. Maka, aku memohon kepadaMu wahai Tuhanku, Engkau cabutkanlah nyawaku dan agar rahsiaku tetap tersimpan denganMu". Apabila Imam 'Abdullah ibn Mubarak masuk ke dalam bilik hamba tersebut, beliau mendapati bahawa lelaki tersebut telahpun wafat dalam keadaan sujudnya tadi dan beliau memaqamkan lelaki tersebut sebagai seorang yang amat mulia.

Allahua'lam bis sowab~

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails