Tuesday, May 11, 2010

Lesen Judi Piala Dunia 2010 - Ulasan Dr Asri & Ustaz Zaharuddin


Kerajaan mempertimbangkan kemungkinan mengeluarkan lesen untuk membenarkan pertaruhan dilakukan semasa kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010 berlangsung awal bulan depan bagi mengelak berleluasanya aktiviti perjudian dan pertaruhan haram di negara ini.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Awang Adek Hussein, berkata jika kerajaan tidak mengeluarkan lesen kepada pihak yang memohon, aktiviti perjudian dan pertaruhan haram tetap berlaku tanpa kawalan dan pemantauan pihak berkuasa.

“Ada beberapa perkara penting untuk dikaji sama ada perkara ini (mengeluarkan lesen membenarkan pertaruhan) baik bagi kerajaan atau jika kerajaan boleh cuba mengawalnya untuk mengetahui berapa banyak (jumlah wang daripada pertaruhan haram).

“Kerajaan sedang mengkaji perkara ini dan akan memutuskannya jika mahu membenarkan pertaruhan kerana kejohanan Piala Dunia ini semakin hampir,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Awang Adek berkata, jika lesen itu dikeluarkan, kerajaan dapat mengawal aktiviti perjudian, selain hasilnya boleh digunakan terutama untuk pembangunan bidang sukan di negara ini.

Beliau mengakui sudah ada pihak yang membuat permohonan untuk mendapatkan lesen itu tetapi beliau enggan mendedahkan lebih lanjut maklumat itu sehingga kerajaan membuat keputusan mengenainya.

Terdahulu, isu itu dibangkitkan pada sesi soal jawab oleh Senator Ng Fook Heng yang mahukan penjelasan kemungkinan kerajaan mengeluarkan lesen pertaruhan kejohanan Piala Dunia untuk mengelakkan perjudian haram.

Awang Adek berkata, kerajaan memandang serius aktiviti perjudian tanpa lesen yang membabitkan pertaruhan nombor ramalan, permainan mesin slot dan pertaruhan membabitkan bookie bagi permainan bola sepak dan permainan lain.

“Aktiviti perjudian tanpa lesen adalah aktiviti yang boleh mewujudkan kegiatan sampingan lain seperti peminjam wang tanpa lesen, jenayah terancang, penyeludupan dan pengubahan wang haram.

“Oleh itu sebagai sebuah kerajaan yang prihatin terhadap rakyatnya, kerajaan akan memberi pertimbangan sewajarnya dan sebarang langkah perlu dilakukan secara berkesan bagi menangani masalah bookie tanpa lesen termasuk membenarkan pertaruhan bookie bola sepak dilaksanakan melalui perlesenan sah,” katanya.
-Bernama-


Lesen Judi Piala Dunia Menyanggahi Fikiran Bertamadun

Kenyataan Timbalan Menteri Kewangan Datuk Awang Adek Hussein bahawa pihak Kerajaan Pusat mempertimbangkan untuk mengeluarkan lesen judi sempena Piala Dunia 2010 demi mengelakkan berleluasa kegiatan judi haram adalah satu kenyataan yang memalukan dan amat menyalahi cara fikir yang lurus. Saya ingin tegaskan hal ini berasaskan perkara berikut;

1. Dari segi Islam adalah menjadi asas bahawa ‘tindakan pemerintah terikat dengan maslahah’. Maslahah dalam konteks ini adalah kepentingan atau kebaikan rakyat dan negara itu sendiri. Ini seperti juga yang disebut oleh al-Imam al-Syafi’i r.h:

“Kedudukan pemerintah di sisi rakyat bagaikan kedudukan penjaga anak yatim” (lihat: Al-Sayuti, al-Asybah wa al-Nazair).

Apakah memberikan lesen judi itu memberikan kebaikan atau mempunyai kepentingan umum rakyat? Atau ia hanya kepentingan segelintir taukeh dan kaki judi semata?! Jika ia tidak memulangkan kepentingan umum atau kebaikan kepada rakyat maka itu bukan tindakan pemerintah yang bertanggungjawab.

2. Tidak dinafikan judi dan arak memang mempunyai keuntungan dan beberapa manfaat untuk pihak-pihak tertentu. Namun, ancaman dan bahayanya jauh lebih besar dibandingkan manfaat yang bakal diterima. Al-Quran menyebut: (maksud)

“Mereka bertanya engkau (wahai Muhammad) tentang arak dan judi. Katakanlah: “Pada keduanya ada dosa (keburukan) yang besar dan manfaat kepada manusia. Namun dosa (keburukan) keduanya lebih besar dari manfaatnya” (Surah al-Baqarah ayat 219).

Maka dengan itu, sekadar untuk digunakan cukai judi berkenaan untuk kegiatan sukan bukan satu alasan. Kerosakan judi lebih besar dari manfaat yang akan diterima. Membiayaan untuk membaikinya nanti jauh lebih tinggi.

3. Judi sama ada ‘dilesankan’ atau tidak dilesen keburukannya sentiasa dominan. Ia menyebabkan pembaziran tanpa sebab, sikap bergantung nasib tanpa kewarasan, merosakkan keluarga, menimbulkan tabiat suka berhutang, membawa kepada kejatuhan ekonomi individu secara mengejut, ketagihan tabiat buruk tersebut yang luar biasa dan berbagai lagi keburukan yang lain. Akal waras manusia dari semua aliran agama dan masyarakat, bahkan yang tidak beragama pun tetap menyatakan judi selalu merosakkan masyarakat.

4. Jika pun judi itu untuk masyarakat bukan Islam, saya tetap katakan masyarakat Malaysia bukan masyarakat judi. Tiada ajaran mana-mana agama yang menggalakkan judi. Tiada siapa pun dalam mana-mana bangsa atau agama dalam negara ini sanggup untuk mendakwa ‘judi adalah budaya kami’, atau ‘kebanggaan hidup kami’. Jika ada, itu terkeluar dari norma kewarasan. Tiada isteri yang normal sukakan suaminya kaki judi. Maka, jangan kaitkan atau hidupkan budaya ini secara terbuka dalam masyarakat kita. Kaki judi sentiasa dipandang negatif dalam semua masyarakat yang rasional.

5. Judi akan menggalakkan tabiat berhutang dan pergaduhan. Sama ada diberi lesen atau tidak, tetap sama. Hutang along atau hutang bank, tetap bebanan hutang. Jika diberi lesen terbuka, yang tertutup tetap berjalan seperti biasa. Itu bukan alasan yang munasabah.

6. Peranan pemerintah adalah mencegah keburukan, bukan menaja atau bersaing dengan penjenayah. Cadangan tersebut hanya mengubah ‘taukeh’ sahaja dari yang berlesen kepada yang tidak berlesen. Apakah nanti mungkin kita akan wujudkan tempat ‘hisap candu berlesen’ untuk mengelakkan penagih candu menghisapnya di tempat yang tidak berlesen? Jangan fikir lesen dan cukai keuntungan sahaja, kerajaan hendaklah berfikir kesan yang akan menimpa rakyat nanti!

7. Maka, saya sekali lagi membantah cadangan ini dan meminta semua rakyat Malaysia yang waras dan mempunyai nilai-nilai agama dan moral membantah cadangan ini!

* Tersiar dalam Malaysiakini pada 09 Mei 2010.

-Minda Tajdid, DRMAZA-

Perjudian Bolasepak Akan Di'Halalkan'?

Oleh

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net


Perjudian adalah satu jenis permainan pertaruhan yang mana pihak yang menang akan meraih wang pertaruhan mereka yang kalah. Tidak dinamakan perjudian jika kedua-dua pihak mencapai kemenangan. Itulah sifat perjudian yang diharamkan di dalam undang-undang Islam. Malah juga dilarang oleh semua agama lain.

Oleh itu, secara peribadi saya terperanjat (malah ramai yang lain juga) membaca kenyataan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussien yang menyatakan pertimbangan sedang dibuat untuk meluluskan lessen perjudian bolasepak sempena kejohanan Bola sepak Piala Dunia yang akan datang ini.

HUJJAH BELIAU

Beliau dirakamkan oleh akhabar tempatan berkata :

"Ada beberapa perkara penting untuk dikaji sama ada perkara ini (mengeluarkan lesen membenarkan pertaruhan) baik bagi kerajaan atau jika kerajaan boleh cuba mengawalnya untuk mengetahui berapa banyak (jumlah wang daripada pertaruhan haram)."

BANTAHAN & RASIONAL

Pegeluaran lesen atas alas an untuk mengawal dan mengethaui jumlah wang pertaruhan adalah tertolak di sisi Islam. Sesebuah kerajaan dan pemimpin mestilah lebih kreatif dan bertanggungjawab dalam mencari jalan mengawal perjudian gelap.

Kawalannya bukanlah dengan memberi lesen kerana itu hanya akan lebih memakmurkan gejala tersebut. Tetapi KAWALAN adalah dengan memperkenalkan teknik banteras, hukuman lebih keras dan tahap efisyen yang lebih kemas bagi memerangkap mereka yang terlibat.

Namun apabila lesen diberikan, ia jelas merupakan satu galakan kepada kaki judi dan seterusnya seolah-olah memberi mesej bahawa:

‘Kerajaan ingin tumpang sekaki dalam perjudian mereka"

"Kerajaan ingin turut merasa sedikit imbuhan hasil perjudian mereka yang berjudi, so jika lebih ramai berjudi, lebih baik kepada kerajaan akan mendapat sesuatu"

ANALOGI

Ia seolah-olah kerana kerajaan ingin menbenarkan benda yang tidak benar.

Bolehkah atas alasan mengetahui jumah sebenar & mengawal MAT REMPIT yang berempit di atas jalan raya secara haram, maka KERAJAAN MEMPERTIMBANGKAN PEMBERIAN LESEN MEREMPIT kepada mt rempit di atas JALAN RAYA AWAM. Semua mat rempit mestilah mendaftar dan membayar yuran untuk merempit di atas jalan raya. Bukan LESEN UNTUK merempit di trek lumba dan IA IBARAT memberi LESEN untuk terus merempit di JALAN RAYA.

Merempit di jalan raya awam banyak mudaratnya kepada mat rempit itu sendiri dan juga orang awam. Demikian juga kesnya membenarkan perjudian bola sepak ‘gelap' untuk dijadikan ‘terang' tetapi tetap di atas laluan yang memudaratkan orang awam.

JUSTERU

Kerajaan yang bertanggungjawab MESTILAH sentiasa mengurangkan aktiviti negatif di kalangan rakyat, bukannya meraikan dan meluluskannya.

Sedarilah, perjudian hanya akan menjerumuskan rakyat di dalam :-

a- Kancah hutang dan masalah kewangan lebih serius. Kita bimbang kecenderungan masyarakat Malaysia yang sukakan skim cepat kaya, yang sering diserbu, diharamkan DAN DISITA oleh kerajaan. Namun peliknya, kini kerajaan seolah ingin membenarkan skim tersebut, perjudian adalah salah satu jenis skim cepat kaya, yang sering membawa kayap.

b- Seterusnya membawa kepada masalah dan krisis rumahtangga. Pergaduahan suami isteri, anak mencuri duit ibu ayah untuk berjudi, suami curi duit isteri dan sebagainya,

c- Kita bimbang, hasil lesen yang diberi, kanak-kanak akan turut serta dalam perjudian khususnya secara online. Dan tiada sesiapa boleh menghalang kerana lesen telah diberi oleh kerajaan dan perbuatan itu tidak lagi dianggap satu kesalahan.

d- Masyarakat tidak progresif kerana menjadi lalai untuk meneka dan bertaruh serta menonton bolasepak secara berlebihan. Kalau dulu penonton hanya ‘exited' untuk melihat pasukan yang disokong, kini, bakal menjadi begitu obsess dan tertekan kerana keputusan perlawanan melibatkan wang yang ditaruh.

e- Mendorong rakyat memfokuskan kepada perolehan keuntungan secara cepat tanpa skill, namun akhirnya kerugian sahaja yang lebih kerap menjelma. Manakan tidak, dalam perjudian, peratusan pihak yang menang sentiasa lebih kecil berbanding yag kalah. Bermakna, jika seorang menang dan bergembira atas kemenangannya, yang kalah mungkin 1000 orang yang berduka cita. Dukacita tersebut mungkin tidak berhenti di situ malah berturutan kepada masalah lain, ibarat ‘domino effect'.

f- Kesan buruk kekalahan; kekalahan boleh yang menyebabkan kemarahan, memandu berbahaya di jalan raya, pergaduhan di dalam rumahtangga, kesan psikologi di tempat kerja menyebabkan kurang produktiviti, mungkin dikejar ‘ALONG' kerana berhutang dengan along untuk berjudi.

g- Pemberian lesen itu seolah menjolok sarang Syaitan, kerana kemungkinan ada indifidu yang tidak begitu terdorong untuk berjudi kerana merasa sukar dek kerana ia merupakan aktiviti gelap dan salah dis isi undang-iundang. Namun akibat lesen tersbeut, dorongannya semakin kuat dan dipermudah.

NASIHAT

Buat menteri dan pihak berkuasa yang beragama Islam khususnya, sedarilah tegahan Allah :

يَسْأَلُونَكَ عَنِ الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ قُلْ فِيهِمَا إِثْمٌ كَبِيرٌ وَمَنَافِعُ لِلنَّاسِ وَإِثْمُهُمَآ أَكْبَرُ مِن نَّفْعِهِمَا

Ertinya : Mereka bertanya kepadamu tentang arak dan judi. Katakanlah: ""Pada keduanya itu terdapat dosa besar dan beberapa manfaat kecil bagi manusia, tetapi dosa keduanya lebih besar dari manfaatnya" ( Al-baqarah : 219)

Dan juga larangan selanjutnya

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالأَنصَابُ وَالأَزْلاَمُ رِجْسٌ مِّنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Ertinya ; Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya (meminum) arak, berjudi, (berkorban untuk) berhala, mengundi nasib dengan panah, adalah perbuatan keji termasuk perbuatan Syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntungan. ( Al-Maidah : 90)

Justeru itu, saya amat berharap agar Menteri Agama dapat segera memberi panduan dalam hal ini. Jika Menteri Agama sependapat dengan Timbalan Menteri Kewangan, kami sekalu ahli akademik sangat ingin mendengar dan membaca justifikasi dan dalil serta hujjah keharusan tersebut JIKA tiba-tiba Menteri Agama atau mana-mana Mufti bersetuju dengan tindakan itu.

Perlu difahami, hujjah maslahat TIDAK BOLEH digunakan sama sekali dalam hal yang JELAS BERTENTANGAN dengan teks Al-Quran dan Hadis. Tiada maslahat dan tidak termasuk di dalam Maqasid al-Shariah dalam mengharuskan perjudian untuk masyarakat.

Oleh kerana isu perjudian adalah isu ‘Qat'ie di dalam Islam, saya AMAT BERHARAP pihak Salafi, Wahabi, Ahbash, Tradisional Pondok, Tarekat Sufi, Syiah, ahli akademik universiti, tabligh dan semua pihak agar tampil menyatakan pandangan dan bantahan mereka. Paling minima di blog dan website rasmi mereka. Jangan hanya berselisih dan berdebat bertahun-tahun dengan begitu kreatif, tetapi SENYAP SUNYI tanpa kenyataan umum dalam hal sebegini.

Disebutkan di dalam kaedah Fiqhiyyah yang dicatatkan oleh Al-Imam As-Sayuti Al-Shafi'i:-

لا يُنْكَرُ المختلِفُ فيه وإنما يُنْكَرُ الْمُجْمَعُ عليهِ

Ertinya : Tidak diingkari dalam hal yang diperselisihkan (ijtihad ulama), namun sesungguhnya keingkaran (bantahan) adalah pada perkara yang disepakati (haramnya)( Al-Asbah wa Al-Nazair, kaedah no 35, hlm 292 )

Tanpa syak lagi, perjudian adalah tergolong di dalam perkara yang disepakati secara ijma' berkenaan pengharamannya. Justeru, bantahan kita dan para ulama terhadapnya adalah SANGAT PERLU.

Jangan biarkan hanya orang politik berkata, kerana apabila orang politik berhujah dan berkata-kata, mereka akan sering dilihat sebagai bermotif politik. Kita perlu mereka yang lain juga agar bersuara, supaya Allah meredhai usaha kita.


BAGI MEREKA YANG INGIN MEMBERIKAN KOMEN TERHADAP ARTIKEL INI, SAYA HARAP TIDAK PERLULAH BERPOLITIK KEPARTIAN DALAM KOMEN ANDA (KERANA IA HANYA AKAN MENGERUHKAN KEADAAN SECARA KURANG SIHAT DAN MENYERET KEPADA ISU LAIN), CUKUPLAH BAWAKAN TAMBAHAN RASIONAL DAN JUSTIFIKASI SECARA ILMU DAN BUKAN EMOSI.

Sekian

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

08 Mei 2010


Friday, May 7, 2010

Rumah selepas kahwin.

Hai...

Semenjak-menjak ini semakin ramai kenalan-kenalan saya yang sudah mendirikan rumahtangga tak kurang juga yang akan berkahwin tidak lama lagi dan ada juga pasangan yang masih merancang serta berkerja keras mengumpul duit kahwin. Tahniah kepada sesiapa yang telah dapat mendirikan masjid, semoga masjid anda kekal utuh sehingga akhir hayat dan sampai akhirat kelak insyaAllah. Semoga dialah jodoh anda di dunia dan di akhirat nanti. Alhamdulillah, sesungguhnya tiada yang lebih baik dari pernikahan.

Oleh kerana sudah semakin ramai yang baru mendirikan rumahtangga maka pada entri kali ini saya ingin menyentuh mengenai RUMAH.

Ya! Rumah.

Kerana setiap pasangan yang sudah berkahwin pastinya akan memikirkan soal rumah ini. Yelah takkanlah lepas kahwin nak tinggal di rumah mertua atau rumah mak bapak kan? Seelok-eloknya carilah rumah sendiri dulu, jika ada masalah lain barulah dibolehkan untuk tinggal di rumah mertua atau ibu-bapa sendiri.

Jadi, bila kita fikir soal rumah ini, banyak pula persoalan lain yang timbul dalam fikiran kita. Antaranya :
  • Berapa budget kita?
  • Jenis rumah yang bagaimana? Teres? Kondo? Apartment?
  • Lokasi rumah?
  • Sewa atau beli?
dan sebagainya...

Apa kata anda? Kongsikan....

Soalan ini berbentuk subjektif, oleh itu tiada jawapan yang salah. Semuanya terpulang kepada pendapat anda dan pasangan.

Selepas masalah memilih rumah selesai, maka permasalahan kedua pula timbul :

Ruang yang mana satu dalam rumah perlu dilengkapkan dahulu? Ruang tamu? Dapur? Bilik tidur ataupun bilik air? Haha...toilet tu nanti-nantilah kan....

Ada suami ingin merasai masakan isteri tercinta jadi ruang dapur perlu diberi perhatian dahulu. Dapur masak, peralatan-peralatan memasak, pinggan mangkuk, meja makan dan macam-macam lagi. Tambah lagi jika si isteri memang tidak sabar-sabar nak memasak untuk si suami lagi bertambah-tambahlah semangat nak lengkapkan kelengkapan dapur kan?

Ada pulak pasangan yang ingin ruang tamunya dilengkapkan dahulu seperti TV.... dan jika ada TV perlulah ada sekali rak TV, DVD player, Astro, sofa untuk bersantai, home theater dan sbgnya. Jika ruang tamu sudah lengkap barulah rumah kelihatan 'hidup'.

Ada pasangan lain pulak ingin 'setelkan' dahulu set bilik tidur. Hehe...mungkin malam hari dengan katil yang empuk dan diterangi lampu oren yang samar-samar kelihatan sangat romantik kot hehe Orang kata di dalam bilik tidurlah hubungan suami isteri menjadi semakin intim dan juga permulaan bagi rahsia kebahagiaan suami isteri. Jadi bilik tidur perlulah lengkap dahulu.

Mmm...

Macam mana? Apa pula kata anda?

Atau anda tidak memikirkan ruang mana yang perlu dilengkapkan terlebih dahulu sebaliknya membeli kelengkapan-kelengkapan asas dahulu tidak kira di ruang mana sekalipun. Antara kelengkapan-kelengkapan asas adalah seperti dapur memasak, peti ais, TV, katil, sofa dan meja makan. Ada benarnya juga!

Mungkin persoalan-persoalan ini kelihatan agak remeh namun persoalan-persoalan remeh temeh inilah yang merungsingkan kepala setiap pasangan yang baru berkahwin lagi-lagi jika budget untuk rumah adalah kecil (yelah budget banyak dah habis untuk kenduri kahwin kan?).

Oklah, apa-apa pun kelengkapan yang kita inginkan kita haruslah merangcang mengikut kemampuan masing-masing. Tidak perlulah berlumba-lumba atau menunjuk-nunjuk dengan jiran sebelah rumah, jiran belakang rumah, jiran atas dan bawah rumah atau kawan-kawan yang lain pulak.

Haa...panjang dah ni...

Apa pula kata anda?


Thursday, May 6, 2010

Kedudukan Ayahanda dan Bonda Nabi Muhammad SAW.

KEDUDUKAN AYAHANDA, BONDA NABI SAW

Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

ALHAMDULILLAH, sekali lagi kita diberi peluang melalui hari-hari bulan Rabiulawal yang sarat dengan kenangan dan ingatan terhadap Nabi dan kekasih kita Saiduna Muhammad SAW.

Memperingati dan meraikan kelahiran baginda SAW adalah suatu tanda dan bukti kecintaan kita terhadap baginda yang menjadi salah satu pokok ajaran dalam agama kita. Malangnya, tetap ada di sana, suara-suara yang mempertikaikan keperluan dan keutamaan menyambut Mawlid Nabi SAW.

Insya-Allah, di kesempatan yang akan datang ruangan ini akan membincangkan secara khusus berkenaan isu ini yang sepatutnya sudah tidak perlu ditimbulkan lagi.

Ruangan ini terpanggil untuk menjelaskan suatu persoalan yang jika tidak ditangani dengan baik boleh menyebabkan kita terlibat dengan perbuatan yang menyakiti Nabi SAW lantas bercanggah dengan dakwaan cinta-kasih kita terhadap baginda SAW.

Persoalan yang dimaksudkan adalah dakwaan bahawa ayahanda dan bonda Nabi SAW adalah di kalangan mereka yang musyrik serta ditempatkan ke neraka.

Kami terpanggil untuk menyentuh soal ini apabila mendapati dakwaan sebegini boleh menimbulkan kekeliruan.

Masyarakat Arab jahiliah

Zaman Jahiliah yang meliputi era kegelapan masyarakat Tanah Arab adalah suatu zaman yang dipenuhi dengan unsur syirik dan kepercayaan animisme yang tebal.

Manusia pada zaman tersebut melakukan amal ibadat berdasarkan kepercayaan nenek moyang mereka yang telah menyeleweng sekian lama.

Diriwayatkan bahawa pegangan asal masyarakat Arab pada peringkat awalnya ialah ajaran Nabi Ibrahim a.s. Lama-kelamaan ajaran ini ditinggalkan dan dipercayai bahawa bermulanya era penyembahan berhala ketika di bawa masuk ke Tanah Arab oleh Amru ibnu Luhay yang terkesan dengan cara penyembahan berhala masyarakat asing.


Berkata al-Hafiz Ibnu Kathir di dalam al Bidayah wa al Nihayah: "Adapun hal keadaan masyarakat Arab itu, mereka tetap sentiasa berada di atas agama Nabi Ibrahim AS sehinggalah 'Amru ibnu 'Amir al Khuza'i memerintah Mekah selepas merampas kuasa menjaga kaabah daripada datuk Nabi SAW. Maka 'Amru ibnu 'Amir telah mengasaskan penyembahan berhala dan amalan-amalan kaum jahiliah yang sesat."


Kesesatan ini tersebar meluas sehinggalah ia dihapuskan oleh Allah melalui perutusan Rasulullah SAW.


Ahli fatrah

Setelah sekian lama amalan penyembahan berhala berterusan dan jarak perutusan seorang nabi dengan nabi yang lain terlalu jauh, maka masyarakat penyembah berhala ini mendapat keuzuran daripada sebarang petaklifan.

Mereka inilah yang digelar sebagai ahli fatrah iaitu manusia yang hidup di suatu zaman yang tiada di sana perutusan sebarang rasul.

Golongan ini walaupun melakukan penyembahan berhala, akan tetap terselamat daripada seksaan neraka menurut jumhur Ahli Sunnah Wal Jamaah berdasarkan firman Allah SWT: Dan Tidaklah kami mengazab sesuatu kaum melainkan setelah kami utuskan buat mereka seorang Rasul yang menyampaikan seruan Islam. (al Isra': 15)


Agama dan kepercayaan

Dalam keadaan masyarakat yang begitu tebal kepercayaan mereka terhadap amalan penyembahan berhala, terdapat juga agama dan kepercayaan lain yang diamalkan di zaman jahiliah di antaranya; agama kaum Yahudi dan Nasrani yang telah terseleweng daripada acuan asalnya.

Demikian juga tidak sunyi pada zaman tersebut daripada sekelompok manusia yang masih berpegang teguh dengan ajaran Islam yang dibawa oleh Nabi Ibrahim a.s yang masyhur dikenali sebagai agama hanif.

Ajaran ini tidaklah tersebar luar sehingga menjadi amalan yang tersebar di seluruh Tanah Arab, akan tetapi ia tetap dipegang dan diamalkan oleh kebanyakan anak cucu Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail a.s.

Rasulullah SAW bersabda maksudnya: Sentiasalah ada dari kalangan zuriat Nabi Ibrahim AS, satu golongan manusia yang tetap di atas fitrah (beriman) menyembah Allah.

Ada banyak fakta sejarah yang diriwayatkan yang mendokong beberapa hadis nabi SAW bahawa ramai di kalangan datuk moyang baginda SAW yang berpegang dengan agama hanif tanpa mencampuradukkan ia dengan amalan penyembahan berhala.

Daripada Ibnu Abbas RA berkata: Adalah Adnan, Ma'ad, Rabi'ah, Mudhar, Khuzaimah dan Asad berada di atas agama Ibrahim AS, janganlah sesekali kamu menyebut perihal mereka melainkan dengan ucapan yang baik.
Daripada perbahasan di atas secara ringkasnya kita mendapati bahawa kebanyakan mereka yang meninggal dunia sebelum perutusan Rasulullah SAW adalah terselamat daripada seksaan neraka, sama ada mereka dari kalangan penyembah berhala mahupun yang berpegang dengan ajaran Nabi Ibrahim.

Oleh yang demikian, tidak bolehlah kita melaung-laungkan suara bahawa nenda, ayahanda dan bonda Nabi SAW adalah dari kalangan penghuni neraka. Kerana ia secara jelas bersalahan dengan i'tikad Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Menyentuh tentang perbahasan akidah ayahanda dan bonda Rasulullah SAW, pendapat yang tepat dan terpilih adalah mereka ini dari kalangan yang mengamalkan ajaran Nabi Ibrahim a.sdaripada anak cucu Adnan. Ini juga kerana tidak terdapat nas yang thabit yang menunjukkan bahawa mereka adalah penyembah berhala.

Bahkan fakta-fakta sejarah yang dikutip daripada kitab-kitab sirah banyak merakamkan bukti yang jelas bahawa mereka adalah golongan yang beriman.

Dalam dalil yang umum pula, keimanan mereka dinyatakan melalui firman Allah SWT: Wahai Tuhan kami! Jadikanlah kami berdua (Nabi Ibrahim dan Ismail), orang-orang Islam (yang berserah diri) kepada-Mu, dan jadikanlah daripada keturunan kami, umat Islam (yang berserah diri) kepada-Mu. (al-Baqarah: 128)

Dikeluarkan oleh Ibnu Jarir al-Tobari di dalam tafsirnya, daripada Mujahid mengenai pentafsiran ayat 35 surah Ibrahim yang bermaksud: Dan (ingatlah) ketika Ibrahim berkata: Wahai Tuhanku! Jadikanlah negeri ini (Mekah) negeri yang aman dan jauhkanlah aku dan anak-anak cucuku daripada menyembah berhala.

Ibnu Jarir berkata: "Allah telah memperkenankan doa Nabi Ibrahim untuk anak-cucunya, maka tiada seorang pun dari kalangan zuriatnya yang menyembah berhala".


Dikeluarkan oleh Ibnu Abi Hatim di dalam tafsirnya, Sufyan ibn 'Uyainah r.a ditanya: Adakah terdapat salah seorang daripada zuriat Nabi Ismail a.s yang menyembah berhala?

Beliau menjawab: Tidakkah kamu mendengar firman Allah SWT (bermaksud): Dan jauhkanlah aku (Nabi Ibrahim) dan anak-anak cucuku daripada menyembah berhala. (Ibrahim: 35)

Allah SWT berfirman (maksudnya): Yang melihat pergerakan dirimu di antara orang-orang yang sujud. (al Syu'ara': 219)

Mengenai penafsiran ayat ini, Ibnu Abbas RA berkata: "Dan dari seorang Nabi kepada seorang Nabi yang lain, kemudian kepada seorang Nabi sehinggalah dilahirkan Baginda SAW sebagai seorang nabi".

Ibnu Abbas r.a mentasirkan firman Allah SWT ini sebagai perpindahan benih daripada sulbi seorang nabi ke sulbi nabi seterusnya yang tergolong dari kalangan para sajidiin (mereka yang sujud dan beriman kepada Allah).

Daripada Ibnu Abbas, Rasulullah SAW bersabda: "Tidaklah aku dilahirkan daripada perzinaan kaum Jahiliah walau sedikitpun dan tidaklah aku dilahirkan melainkan daripada hasil pernikahan seumpama Islam".

Diriwayatkan dalam Dalail al Nubuwwah daripada Ummu Sama'ah binti Abi Ruhm, daripada ibunya berkata: Aku telah menyaksikan Aminah bonda Rasulullah SAW ketika gering dan Muhammad ketika itu berusia lima tahun duduk di sisi kepalanya. Maka Aminah memandang wajahnya seraya berkata: "Semoga Allah memberkatimu dari kecil, wahai anak daripada ayahandanya (Abdullah) yang ditakdirkan mati, tetapi telah terselamat dengan pertolongan Allah Raja Yang Memberikan Nikmat, dia telah ditebus pada keesokan paginya ketika hendak disembelih, dengan seratus ekor unta yang mahal. Sekiranya benar apa yang telah aku saksikan ketika tidur, engkau akan diutuskan kepada sekalian makhluk; dari sisi Tuhan Yang Mempunyai Keagungan dan Kemuliaan; Engkau akan diutuskan di Tanah Halal dan Haram; diutuskan juga dengan kebenaran dan Islam, agama datukmu Ibrahim yang mulia, maka Allah telah menghalangmu daripada mendekati berhala supaya kamu tidak menyembahnya bersama kaum jahiliah".

Mengambil kira pelbagai hujah berkenaan isu ini, jelaslah bahawa ruang untuk mengelakkan tanggapan buruk terhadap nasib kesudahan ayahanda dan bonda Nabi SAW adalah terbuka luas bagi kita.

Marilah kita mengambil sikap yang lebih selamat yang sebenarnya menjadi sikap ulama-ulama terbilang dulu dan kini termasuklah, Al-Imam al-Hafiz Jalaluddin al Suyuti r.a yang dilaporkan berkata: "Aku berfatwa sesungguhnya yang layak (dii'tikadkan), bahawa bonda Rasulullah SAW beriman dan mentauhidkan Allah serta kesudahannya adalah sepertimana mereka yang menganut agama hanif pada zaman jahiliah iaitu agama Nabi Ibrahim al-Khalil yang tidak melakukan amalan menyembah berhala".

Kita juga mendapati Mufti Mesir, Sheikh Dr. Ali Juma'ah dalam koleksi fatwanya (Al-Bayan Lima Yushghilu al-Azhan, ms.170) mengajak kita untuk memahami nas-nas yang bercanggah dengan kesimpulan ini dengan takwilan yang lebih selari dengan nas-nas yang lebih kukuh dan lebih sesuai dengan ketinggian darjat Nabi SAW.

Semoga kita sentiasa digolongkan di kalangan mereka yang memelihara kemuliaan dan menunaikan hak Baginda SAW dengan sebaik-baiknya.

(Kredit to http://al-muqry.blogspot.com/ )

*Kafir Bangga <---> Islammengarut*

Ambil tindakan tegas terhadap Kafir Bangga

KUALA LUMPUR 5 Mei - Dewan Pemuda Pas Pusat hari ini mendesak kerajaan mengenakan tindakan paling tegas terhadap seorang pengguna laman sosial facebook yang menggunakan nama samaran 'Kafir Bangga' atas perbuatannya menghina Islam dan mencerca Nabi Muhammad SAW.

Ketuanya, Nasrudin Hassan berkata, langkah itu perlu segera diambil kerana perbuatan terkutuk tersebut merupakan sesuatu yang tidak boleh dimaafkan oleh umat Islam di negara ini.

Sehubungan itu, beliau meminta pihak berkuasa terutama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia perlu menggunakan segala kemahiran, jaringan serta teknologi untuk mengesan Kafir Bangga dan kemudian mengheretnya ke muka pengadilan.

"Kesalahannya ini tidak boleh dimaafkan begitu sahaja. Jika pemilik ini berada di luar negara kerajaan harus menggunakan khidmat interpol untuk mengesan kedudukannya," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mendedahkan perbuatan menghina Islam dan Rasulullah oleh seorang pengguna laman sosial facebook. Di percayai pemilik laman sosial tersebut baru sahaja mengaktifkan akaunnya dan ia ditulis dalam bahasa Melayu.

(Sumber : Utusan Online)


Nampaknya akaun Islammengarut di Youtube telah ditutup begitu juga dalam laman web sosial Facebook yang menggunakan ID : Kafir Bangga.

Kepada sesiapa yang tidak sempat menonton video di Youtube atau melawat Facebook Kafir Bangga (KB) nih tidak mengapa, tidak rugi apa-apa pun, cukuplah kita sama-sama mendoakan golongan orang yang sebegini agar diberi petunjuk dan hidayah serta dilembutkan kembali hati untuk bertaubat dan kembali ke pangkal jalan.

Saya sempat menonton video-videonya di Youtube dan rasa marah geram masih lagi ada, bagi saya video-video tersebut sangat melampau dan keterlaluan. Bahasa-bahasa kesat yang dilontarkan kepada Allah SWT, Rasulullah SAW, Al-Quran dan agama Islam langsung tidak boleh diterima. Jika tidak setuju dengan Islam tidak mengapa, jika ingin argue pun masih lagi boleh diterima tetapi janganlah sampai menghina dan mengeluarkan kata-kata kesat dan lucah seperti : cium bont*t Allah, Muhammad hisap ganja, hisap ko*ek, taik anjing, taik babi, Al-Quran kitab bodoh, Islam menipu, Islam dongeng dan berbagai-bagai lagi kata-kata kesat. Lebih menyedihkan ianya dilakukan sendiri oleh orang Melayu (murtad) dan berlatarbelakangkan bendera Malaysia sendiri. Terdapat dalam satu videonya jika tidak silap dalam video bertajuk Sihir Adalah Dosa Besar, KB membaca penuh surah Al-Ikhlas dan selepas itu terus menghina.

Walaupun semua akaunnya telah ditutup namun kali ini saya selitkan sedikit beberapa gambar yang di-copy dari Facebook yang diperolehi daripada blogger-blogger lain.





Firman Allah dalam Surah al-Fitr 7 yang bermaksud : Maka (fikirkanlah) adakah orang yang diperelokkan kepadanya amal buruknya (oleh Syaitan) lalu dia memandangnya dan mempercayainya baik, (bolehkah disifatkan sebagai orang yang menjalankan peraturan yang ditetapkan Allah untuk memberi hidayat kepadanya atau sebaliknya?) kerana sesungguhnya Allah menyesatkan sesiapa yang dikehendakiNya dan Dia juga memberi hidayat petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya. Oleh itu, janganlah engkau membinasakan dirimu (wahai Muhammad) kerana menanggung dukacita terhadap kesesatan mereka. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan apa yang mereka kerjakan.

Firman Allah dalam Surah al-Baqarah 213 : (maksudnya) Pada mulanya manusia itu ialah umat yang satu (menurut ugama Allah yang satu, tetapi setelah mereka berselisihan), maka Allah mengutuskan nabi-nabi sebagai pemberi khabar gembira dan pemberi amaran. Allah menurunkan bersama nabi-nabi itu kitab-kitab yang benar, untuk menjalankan hukum antara manusia mengenai apa yang mereka perselisihkan dan (sebenarnya) tidak ada yang melakukan perselisihan melainkan orang-orang yang telah diberi kepada mereka kitab-kitab suci itu (ulama Ahlul Kitab) , iaitu sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata, - mereka berselisih semata-mata kerana hasad dengki sesama sendiri. maka Allah memberikan petunjuk kepada orang-orang yang beriman ke arah kebenaran yang diperselisihkan oleh mereka (yang derhaka itu), dengan izinNya. dan Allah sentiasa memberi petunjuk hidayahNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya ke jalan yang lurus (menurut undang-undang peraturanNya).

Tuesday, May 4, 2010

MELAMPAU!! Kes hina Islam lagi....


Menghina Allah SWT, menghina Rasulullah SAW, menghina Islam..

Astaghfirullah...astaghfirullah...astaghfirullah....

Anda nilailah sendiri...

Semoga dia diberi petunjuk dan hidayah oleh Allah SWT & semoga dia sempat bertaubat sebelum tiba ajalnya. Pintu taubat Allah masih lagi terbuka dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.












Ini channel mamat ni dalam YOUTUBE :

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails