Monday, October 4, 2010

Muzikal Tun Mahathir - 6 Oktober 2010


Hari Rabu ini 6 Oktober 2010, kami (aku,mak,dua orang kakak aku & Mas) akan ke Istana Budaya untuk menyaksikan teater muzikal Tun Mahathir. Walaupun banner di atas menunjukkan tarikh akhir adalah 4 Oktober namun atas sambutan orang ramai teater ini disambung sehingga 9 Oktober 2010 tapi baru-baru ini aku ada terdengar yang teater ini akan bersambung lagi sehingga 14 Oktober. Tidak tahu setakat mana kesahihan khabar yang aku dengar ni. Tak kesahla sambung ke tak sambung janji aku dah beli tiket ni dah. Selamat dah.

Sape-sape yang teringin nak pergi tengok, cuba-cubalah check ticket ada lagi ke tak, kalau ada rezeki mungkin ada lagi tuh...


Sedikit sinopsis teater ini :
   
 Menceritakan bagaimana kehidupan zaman kanak-kanak, keluarga, rakan-rakan, pendidikan, penjajahan dan segalanya yang menjadi motivasi kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk menjadi pemimpin yang ulung. Sifat kepimpinan beliau terserlah sejak zaman kanak-kanak lagi. Beliau mengetuai penentangan terhadap Malayan Union dan kemasukan tentera Jepun.
   Perjalanan hidup sebagai seorang doktor Melayu yang ingin membantu bangsanya dan ahli politik yang ada pasang surut juga ditampilkan. Begitu juga tentang dilema dan kejayaan yang digapainya semasa menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun. Keseluruhannya digambarkan dalam bentuk dialog, lirik lagu dan gerak yang disesuaikan dengan fakta sebenar yang diperakukan oleh Tun Mahathir sendiri

Nak tahu lagi detail cth para pelakon dan pengarahnya siapa? Layari website ini : http://www.istanabudaya.gov.my/tun_mahathir

Tak sabar nak tunggu hari Rabu!!

Antara Ali Setan & Azmil Mustapha ; Kisah Penghijrahan Seorang Hamba...

Bismillahirrahmanirrahim.....
Sebenarnya entri kali ini tiada kaitan pun dengan filem Lagenda Budak Setan, sebaliknya saya memetik sebuah email yang dihantar oleh rakan tentang kisah saudara Azmil Mustapha. Apabila disebut nama Azmil Mustapha , majoriti generasi muda tidak akan dapat mengecam siapa orangnya. Tetapi sebut saja Ali Setan , ‘berkat’ daripada siaran ulangan filem tersebut di kaca televisyen , semua orang tidak kira yang kecil atau dewasa dari kalangan peminat filem Melayu pasti mengenal pelakon tersohor Malaysia dekad 80-an ini. Azmil, 55 (umur yang dikira beliau mengikut takwim hijri 22 Safar 1375H) adalah antara sebilangan artis di Malaysia yang melakukan ‘penghijrahan’ daripada kehidupan yang penuh ‘lagha’ kepada pengabdian diri kepada Allah.
Penampilan terakhirnya adalah sebagai Pengiran Demak dalam filem ‘Puteri Gunung Ledang’; watak yang diilakonkan setelah syarat-syaratnya yang ketat diterima penerbit. Duda (mempunyai seorang anak dengan bekas isteri pertama dan empat dengan isteri kedua) dari Shah Alam, Selangor ini telah musafir ke Syria sejak setahun lalu untuk mempelajari bahasa Arab dan ilmu agama.
Wartawan Global Media Channel (GMC) berkesempatan menemuramah Azmil di Kota Bharu (beliau kembali ke Malaysia sempena cuti semester pengajiannya) yang hadir memenuhi undangan untuk menyampaikan ceramah kesedaran Islam anjuran PAS Kawasan Ketereh baru-baru ini.
Kenapa saudara memilih untuk ke Syria?
Saya buat solat hajat, minta dengan Allah, saya nak cari tempat belajar, Allah berikan petunjuk belajar di Syria. Dengan duit yang saya dapat dari menyampaikan ceramah-ceramah kesedaran Islam sebelum itu di Malaysia, saya terbang ke Syria dengan anak-anak saya.
Saya belajar Bahasa Arab di Maahad Taalim Lughatal Arabiah Lil Ajnabi (Institut Pengajian Bahasa Arab Bagi Orang Asing).Kalau saya terus masuk kelas (pengajian agama) anjuran syeikh-syeikh pun saya tak reti Bahasa Arab. Jadi saya belajar Bahasa Arab dahulu. Sementara itu saya belajar Al-Quran, tajwid dan tasmi’ dengan syeikh-syeikh. Saya juga belajar dengan pelajar-pelajar Malaysia yang ada di Syria.
Sejak bila sebenarnya saudara ke sana?
Sudah setahun. Saya pergi redah sahaja. Tak ada buat rancangan. Dengan empat orang anak saya turut bersama (tiga perempuan dan seorang lelaki). Yang sulung kemudiannya balik untuk mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di sini. Jadi kekallah tiga orang yang tinggal bersama saya di sana. Anak saya Noramalia Batrisya ,15, dan Mohd. Bazli Shafri, 13, belajar di Jami’ Abu Nur, sebuah kolej Islam antara yang termasyhur di Syria. Yang kecil baru masuk umur tujuh tahun dan belajar di darjah satu. Enam bulan pertama mereka dimasukkan dalam kelas bahasa Arab. Tidak ada masalah untuk mereka mengikuti pengajian dan sekarang sudah fasih berbahasa Arab.  Saya amat puas hati dengan perkembangan mereka.
Puas hati macam mana?
Dengan perubahan perwatakan. Di Malaysia, dekat Shah Alam tempat kami tinggal dahulu banyak pengaruh yang tidak sihat. Cara hidup moden . Tapi di sana mereka mengaji Quran tiap-tiap hari, solat tidak tinggal dan pergaulan dijaga. Malah mereka sempat menasihati kakak yang pulang ke Malaysia “jangan tengok lelaki” bukan berkawan, tengok pun mereka tak bagi.
Di sana pergaulan antara lelaki dan perempuan amat dibatasi. Kita payah nak lihat pergaulan secara bebas berlaku.  Duduk satu meja pun tak ada. Kalau di Yaman, negeri yang berjiran dengan Syria, dalam bas kalau hanya ada seorang wanita yang menjadi penumpang , yang lelaki tidak akan naik dan sanggup tunggu bas yang lain datang untuk dinaiki. Bimbang timbul fitnah walaupun hanya sebagai penumpang. Masing-masing sangat prihatin untuk menjaga perkara ini.
Antara perubahan yang ketara saya dapat lihat adalah pada anak perempuan saya, Noramaliya. Dia sebenarnya pelajar yang lemah. Semasa bersekolah di Malaysia, biasanya dia mendapat kedudukan 35 ke bawah. Dulu tinggal di Shah Alam, dia selalu ponteng sekolah. Tengok wayang di KLCC. Pergi ke sekolah tapi dalam beg ada pakaian lain untuk ditukar. Itu dah memang menjadi tabiat pelajar sekolah di Malaysia. Sampai di Syria, dia jadi pelajar yang terbaik. Padahal dalam kelas ada pelajar-pelajar luar negara yang lain seperti dari England, Afrika Selatan, Kazakhstan , China dan lain-lain. Dia yang muncul pelajar terbaik
Bagaimana saudara menyara kehidupan di Syria?
Tidak ada pendapatan tetap tapi saya sangat bernasib baik kerana mendapat bantuan. Saya diberi tempat tinggal percuma oleh seorang Syeikh di sebuah apartmen di pinggir Damsyik. Saya akui duit pun tak banyak tapi diam tak diam sudah sampai setahun saya di sana dan tidak timbul sebarang masalah besar. Kita kena yakin rezeki itu datang daripada Allah. Ada saja duit yang masuk. Sentiasa ada bantuan diterima kerana saya dan anak-anak dikira orang yang sedang menuntut ilmu.
Malah ia sampai ke tahap saya kadang kala terpaksa buang makanan yang diberi oleh jiran kerana terlampau banyak. Dan di sana kita yang pergi belajar dengan Syeikh ini bukan kita yang membayar Syeikh tapi mereka pula yang memberi duit pada kita. Perkara ini sudah jadi kebiasaan orang Syria . Jika tidak pun, dia akan beri kita roti setiap kali pergi belajar. Pergi solat Jumaat pun dapat duit. Budaya memberi amat dititikberatkan. Paling kurang, yang dewasa akan menyediakan gula-gula dalam poket untuk diberi kepada kanak-kanak.
Saya juga terkejut kerana kadang-kadang menerima sumbangan yang nilainya mencecah RM1000. Kalau yang kaya lebih lagilah mereka sumbangkan. Anak kepada Syeikh yang menyediakan rumah percuma untuk saya pernah menyumbang jutaan ringgit kepada fakir miskin dalam bulan Ramadhan. Kenapa saudara fikir perubahan-perubahan positif sama ada kepada anak atau saudara sendiri boleh berlaku? Adakah perbezaan antara Syria dan Malaysia ini begitu ketara sekali sedangkan kedua-duanya adalah bumi orang Islam?
Bumi Syria ini ada kelebihan. Saya daripada kecil sampai besar memang belajar di sekolah yang tidak berasaskan kepada Islam. Saya menuntut di dua buah sekolah mubaligh Kristian iaitu La Salle Institution dan St John Institution. Dari situ saya menyambung pula pelajaran ke Indiana University di Amerika. Daripada kecil sehingga dewasa, saya tidak pernah belajar dan khatam al-Quran.
(Di Amerika , Azmil belajar dengan pengkhususan dalam penerbitan televisyen, radio dan filem. Beliau hanya tinggal tiga lagi jam kredit untuk dihabiskan sebelum dihantar pulang ke Malaysia oleh Jabatan Imigresen Amerika. Tindakan itu diambil ketika Amerika membuat penapisan orang-orang Islam dari negara luar berikutan kemenangan kumpulan Islam (Syiah) menjatuhkan kerajaan beraja Shah Mohammad Reza Pahlavi. Azmil dikesan bekerja sambilan walaupun syarat hanya membenarkan pelajar luar yang mempunyai 12 kredit atau lebih sahaja untuk berbuat demikian. Ayahnya Dato’
Mustapha Kamil Yassin, bekas pensyarah di Universiti Malaya dan Universiti Sains Malaysia tidak mahu Azmil mengambil biasiswa kerana kedudukannya sebagai kakitangan kerajaan gred A. Mula-mula saya berubah dulu nak baca surah al- Fatihah pun tak boleh. Kena baca mengikut tulisan rumi. Nak sembahyang semua ayat kena ditulis ke huruf rumi. Tak pernah dapat hafal. Sehinggalah apabila saya ke Syria.
Di sana, anak-anak saya belajar Al-Quran dengan seorang syeikhah (ustazah) di rumahnya. Selepas sebulan syeikhah tersebut datang melawat ke rumah. Dia mahu melihat keadaan keluarga macam mana. Bila datang dia meminta saya mengajar anak-anak. Dia suruh saya baca satu surah. Bila “check” ayah baca pun tak betul, dia pun minta anak muridnya yang lain tolong ajarkan anak-anak saya.
Tapi alhamdulillah berkat mengaji tiap-tiap pagi, kini saya sudah boleh menghafal satu, dua muka surat dengan senang. Ini memang saya pelik. Saya rasa ini memang kesan tinggal di bumi Syam (Syria), bumi para anbiya’.
Dahulu negara ini tertutup. Sebab ia mengikut pengaruh Rusia. Jadi negara lain menyisihkannya. Apabila Syria disisihkan, ia sebenarnya terselamat. Macam di Malaysia, apabila dibuat dasar terbuka, semua pengaruh dapat masuk, ia merosakkan kita. Budak-budak sekarang budaya sendiri pun tak kenal . Dan dia tak mahu ikut. Dia lebih seronok ikut budaya asing, budaya Barat. Budaya ini di Melayukan dengan bahasa. Tapi isinya tetap dari pengaruh yang menyimpang dari ajaran Islam.
Adakah kerana saudara bimbangkan keadaan begini sehingga sanggup membawa anak-anak jauh dari Malaysia? Azmil Mustafa Sebab benda inilah saya bawa anak-anak keluar. Bila saya bawa anak-anak keluar, ada kawan-kawan yang tegur saya ” Jadi anak kamu ini tidak ada SPM. Macam mana nak cari kerja?”
Saya jawab balik, “Rezeki itu kerana Allah bukan kerana SPM”. Orang ada SPM pun berlambak tak ada kerja. Ada ijazah UM pun tak ada kerja. Ada Master USM pun tak kerja. Kita kena ingat rezeki itu dari Allah.
Sekarang anak-anak saya sudah hafal Juzuk Amma. Saya percaya dalam tiga empat tahun lagi, Insya Allah satu Quran tu dpat habis dihafal. Itu lebih berharga. Kalau dia jadi arkitek atau jurutera tapi Quran pun tak tahu buat apa. Macam saya dulu jadi pengarah filem tapi Quran pun tak tahu, buat apa?
Memberi pendidikan Islam pada anak-anak sehingga sampai berhijrah ke Syria. Orang lain mungkin tak berpeluang berbuat demikian macam saudara.?
Saya rasa kalau kita ajar anak kita cara Islam tak ada kekurangannya bagi saya. Malahan Allah mungkin akan mecurahkan kemudahan kepadanya. Sekarang kita kongsi raya, kita kongsi hukum, kongsi taraf atau standard Islam dengan yang lain. Kita membandingkan ajaran Islam dengan yang Barat.
Kalau tak seperti Barat, kita anggap standard kurang. Kita campur aduk hukum Allah dengan hukum kafir. Inilah yang saya nampak masalah kita pada hari ini. Ini pun nak berlaku di Syria pada hari ini. Kalau di negara kita lama dah dijajah 500 tahun dahulu dan kita masih ‘terjajah’. Syria ini dia baru terbuka tak sampai 10 tahun. Jadi generasi dia sekarang dia baru rosak.
Kalau kita di Malaysia, kerosakan bermula sejak dari generasi bapa kita dahulu. Mareka agungkan England dan Amerika.
Tetapi bagi saya , kalau orang Syria nak ikut barat pun, agaknya kena juga dengan fizikal mereka itu. Tapi kita Melayu pun nak mata warna biru, rambut warna perang. Tak kenalah. Nampak janggal sangat kalau yang Melayu nak tiru.
Bagaimana kita hendak menghadapi perubahan budaya sebegitu ?
Di Syria, guru-guru yang pegangannya kuat masih bertahan. Kita di Malaysia, lebih banyak yang kebaratan daripada Islam. Kita di sini mereka yang nak kepada Islam sedikit, yang nak kepada barat banyak.
Dari sekolah itu yang diajar. Supaya kita bersedia dengan pengaruh dan sistem barat. Sekolah-sekolah kita, tamat persekolahan kita berpeluang belajar sampai ke universiti di Amerika, di England. Tetapi kalau kita keluar dari pondok atau sekolah agama, peluang sambung belajar itu tidak seberapa.
Apa yang kita lakukan adalah untuk menyesuaikan diri kepada budaya barat.
Dan ini kita tak sedar. Kita seolah-olah nak menyediakan diri masuk ke institusi dan sistem yang kerap kalinya meruntuhkan jati diri Islam..
Dan yang peliknya, orang tidak bimbang kalau yang keluar tingkatan enam sekolah biasa tak boleh baca Alif  Ba Ta. Nak masuk sekolah tahfiz pun payah sebab tak kenal huruf walaupun tamat tingkatan enam. Benda ni dah berlaku sejak zaman dulu lagi dan kita tidak sedar.
Saya cakap kepada seorang sahabat di Syria kenapa kamu ghairah nak buka peluang kepada barat. Saya dah tengok keadaan di negara saya apa yang berlaku. Dia kata mereka pun nak moden. Moden apa? Moden nak tengok anak-anak terbuang di tong sampah. Moden nak tengok anak-anak mati sia-sia kerana terlibat denbgan lumba haram. Itu moden buat apa. Pembangunan sedemikian yang membangun hanya bangunan dan jalan raya. Akhlak runtuh.
Akhlak diruntuhkan kerana nak mencantikkan bangunan dan jalan. Sebab itu fikirlah, kerana tak ke mana kita dengan pembangunan sebegitu.
Kenapa remaja dan kita sendiri sebenarnya cenderung untuk meminati budaya hiburan?
Sebab memang sudah disediakan sejak daripada dulu. Pendidikan dan cara hidup disediakan untuk membolehkan anak-anak bersedia menerima sistem yang menyimpang dari bukan untuk menjadi hafiz atau ulama’. Penyediaan dilakukan untuk membawa masyarakat ke arah keseronokan.
Kalau kita tengok babak dalam filem Melayu, babak minum arak , berdansa, sejak dari zaman P Ramlee sudah ada.
Sejak sekolah lagi , anak-anak dibiasakan dengan budaya Barat. Ada sukan gimnastik sampai terkangkang anak-anak diajar guru; sukan renang, jadi separuh bogel. Kita disediakan untuk menerima budaya barat. Mana kita amalkan hukum syariah ? Itu masalah kita.
Pada pandangan saudara, masalah keruntuhan akhlak ini bagaimana nak diselesaikan?
Sekarang kita taat pada hukum yang tidak berpaksikan Islam. Undang-undang yang dimulakan oleh British dahulu. Cuba kita gunakan hukum syariah, saya percaya gejala sosial yang teruk dalam negara dapat dikurangkan sebab kita menyediakan masyarakat untuk ke akhirat. Sekarang kalau membabitkan hukum Allah, ia dikira hak persendirian. Anda hendak buat atau tidak, itu pilihan anda sendiri. Tapi mereka (kerajaan) tak galakkan pun. Itulah masalah sekarang.
Bagaimana kita nak menyedarkan masyarakat?
Islam ini mesti dijalankan bermasyarakat. Tapi tanggungjawab itu tetap pada diri sendiri. Kita sendiri mesti mulakan dahulu . Contohnya kita dilatih berpuasa sama ada di dalam atau dil luar rumah. Walau di mana pun kita tahu Allah melihat.
Sebab itu kita kena buat pilihan. Dua sahaja pilihan kita. Sama ada ikut jalan Allah atau ikut syaitan. Tidak ada jalan tengah. Tidak ada kompromi. Setiap benda yang berlaku dalam masyarakat dunia hari ini kita kena buat pilihan antara yang benar dengan yang tidak. Gunakan akal.
Islam ini agama untuk yang tahu berfikir. Bukan taat buta tuli. Kalau kita gunakan akal fikiran baru kita sedar. Kita kena fikir tentang keesaan Allah. Ini yang kita kena ajar anak-anak. Sekarang apa yang diajar kena cari duit banyak-banyak. Bila ikut cara Islam barulah ada keberkatan.
Berbalik kepada dunia hiburan, adakah tidak ada ruang sebenarnya untuk ia menjadi lebih baik?
Boleh kalau industri kita industri yang beriman. Tapi industri kita meniru Bollywood, Hollywood, Hong Kong dan lain-lain. Kita menuju ke arah keruntuhan. Ini yang bahayanya.
Nasihat kepada rakan artis
Pendek sahaja ; Allah melihat apa yang kamu buat.
Wallahualam.....


[Dipetik dari http://wanwma.com/]
*******************************************************
Info Tambahan : Baru-baru ini Azmil telah dimasukkan ke wad ICU sebuah hospital di Damsyik, Syria akibat jatuh sakit. Azmil di sana dikatakan sudah menjalani pembedahan pintasan koronari akibat masalah kesihatan yang dihadapinya.  Semoga beliau sembuh daripada penyakitnya dan dipanjangkan umur serta dimurahkan rezeki oleh Allah.

Saturday, October 2, 2010

Sut robot beri kekuatan 17 kali


SEORANG pemakai sut robot menumbuk papan di Bandar Salt Lake, Amerika Syarikat baru-baru ini.



BANDAR SALT LAKE - Satu sut robot yang dicipta oleh firma pertahanan Raytheon di sini, Amerika Syarikat akan membantu si pemakainya mempunyai kekuatan 17 kali daripada biasa, lapor sebuah akhbar semalam.
Dalam satu demonstrasi yang diadakan baru-baru ini, si pemakai sut itu boleh mengangkat bebanan seberat 90.71 kilogram (kg) dan menumbuk empat lapisan kayu yang masing-masing setebal 2.54 sentimeter.
Sut robot itu seberat 88.45kg dan dikenali sebagai XOS 2 Exoskeleton.
Dalam satu demonstrasi, seorang lelaki, Rex Jameson yang memakai sut itu berkata: "Memakai sut itu akan menjadikan berat 22.68kg menjadi seperti 1.3kg manakala bebanan 90.71kg umpama 5.44kg."
Sut itu dijangka akan digunakan oleh askar-askar dalam tempoh lima tahun lagi. - Agensi
Untuk maklumat lain bolehlah jenguk website : http://www.raytheon.com/

Friday, October 1, 2010

Plagiarism : Fenomena Atau Trend? [azizankadir.com]

Plagiarism
Plagiarism, fenomena atau trend? merupakan isu bagi penulisan saya kali ini. “Plagiarism’ adalah mudah difahami dengan megambil hakcipta orang lain ataupun idea orang sebagai hak persendirian tanpa ada rujukan (penghargaan) kepada penulis asal. Dalam erti kata lain, yang saya maksudkan di sini adalah copy-paste. Many people think of plagiarism as copying another’s work, or brrowing someone else’e original ideas. (Sumber: Palgiarism.org). Plagiarism atau amalan/budaya ‘copy dan paste’ kini makin berleluasa di kalangan pelajar-pelajar institusi pengajian atau universiti di negara kita.
Amalan ‘copy paste’ ini berlaku apabila seseorang pelajar itu tengah kekeringan idea untuk menyiapkan sesuatu tugasan yang diberikan kepadanya. Jika sebelum ini, buku rujukan akademik atau jurnal dijadikan sebagai rujukan untuk menyiapkan tugasan yang diberi oleh pensyarah, namun dewasa kini rujukan utama para pelajar telah beralih arah kepada internet untuk mendapatkan maklumat dan sumber-sumber untuk menyiapkan tugasan mereka.
Adakah plagiarism wujud dengan adanya internet sebagai medium baru untuk mencari sumber atau maklumat? Secara umumnya, saya berpendapat pengunaan internet di kalangan pelajar banyak mempengaruhi budaya ilmu di universiti kerana dengan adanya internet, para pelajar akan mengambil jalan mudah tanpa perlu membuang masa dengan mengambil sumber dari internet untuk dijadikan sebagai hak persendirian tanpa ada rujukan penulis asal. Maka dengan ini, amalan ‘copy paste’ kian menular di universiti. Selain penggunaan internet, sumber jurnal yang pelbagai juga menyebabkan para pelajar lebih cenderung kepada amalam plagiarism ini.
Dalam situasi seperti ini, adakah amalan plagiarism di kalangan pelajar akan dianggap sebagai jenayah akademik? Pada perenggan sebelum ini, saya telah menyatakan antara sebab umum berlakunya amalan ‘copy paste’. Sekarang, saya akan kupas beberapa sebab-sebab yang lebih khusus atau spesifik kenapa amalan ini berlaku di kalangan pelajar.
1. Pelajar kurang mahir mencari maklumat
Pelajar yang tidak didedahkan kepada kemahiran mencari maklumat akan mengalami kesulitan untuk menyiapkan sesuatu tugasan. Situasi ini akan menyebabkan para pelajar lebih cenderung untuk melakukan plagiarism. Seharusnya, pelajar perlu didedahkan dengan kemahiran mencari maklumat . Kemahiran mencari maklumat ini termasuklah cara menyelidik serta tahu objektif utama tugasan mereka bagi mendapatkan sesuatu fakta yang tepat. Mungkin dengan cara ini, produk yang dikeluarkan oleh para pelajar lebih kreatif dan berkualiti. Saya yakin, semua universiti di negara kita mempunyai sistem mereka sendiri untuk membantu para pelajar mencari maklumat.
2. Tidak mempunyai masa yang secukupnya
Alasan ini sering diutarakan oleh para pelajar dalam menyiapkan sesuatu tugasan. Dalam kekurangan masa tersebut, maka timbul idea mengambil hasil kerja atau buah fikiran pelajar yang lebih pandai dan menonjol dalam pembelajaran untuk menyiapkan tugasan mereka. Pada pendapat saya, faktor kekurangan masa tidak akan timbul kerana tempoh tugasan yang diberikan oleh pensyarah untuk disiapkan oleh pelajar adalah lebih daripada cukup. Mungkin sifat ambil mudah dan tidak prihatin tentang akademik yang wujud dalam diri sendiri pelajar itu sendiri menyebabkan masa yang diberikan oleh pensyarah itu tidak mencukupi. Apabila sifat ambil mudah ini wujud, maka pelajar tersebut lebih suka untuk meniru atau mengambil tugasan orang lain.
3. Suasana pembelajaran di universiti berbeza dengan sebelumnya
Persekitaran di universiti sangat berbeza dengan persekitaran semasa di sekolah mahupun di peringkat matrikulasi. Di peringkat sekolah atau matrikulasi, para pelajar akan disuap dengan nota-nota oleh guru-guru dan apabila mereka menjejakkan kaki di universiti. Amalan seperti itu sudah tidak lagi diteruskan oleh para pensyarah. Di universiti, para pelajar lebih diajar berdikari dan segala nota pembelajaran perlu di cari sendiri oleh pelajar tesebut. Sesetengah pelajar yang tidak dapat mengikuti suasana ini akan menyebabkan mereka ketinggalan dan tidak tahu bagaimana untuk mendapatakan nota-nota atau segala maklumat tentang yang dipelajarinya. Sebagai jalan mudah, pelajar tersebut akan melakukan amalan ‘copy paste’ untuk menyiapkan tugasan mereka.
4. Kurang kesedaran tentang plagirism
Kebanyakan pelajar tidak tahu apa maksud sebenar plagiarism. Bagi mereka, menciplak kerja orang lain tidak menjadi kesalahan. Pelajar perlu kreatif dalam menyiapkan sesuatu tugas dan bukannya meniru bulat-bulat buah fikiran orang lain. Saya berpendapat, para pensyarah perlu mewujudkan satu sesi khas dengan pelajar untuk membicarakan tentang isu dan masalah para pelajar seperti isu plagiarism ini. Para pensyarah perlu sentiasa mengingatkan pelajar mereka tentang bahayanya amalam ‘copy paste’ ini. Para pelajar juga perlu menitikberatkan tentang masalah ini kerana pelajar itu sendiri akan mendapat kesan buruk sekiranya mereka sering mengamalkan amalan ini.
5. Kurang persedian dalam menyiapkan tugasan
Etika dalam penyediaan sesuatu kajian ilmiah perlu ada dalam diri pelajar. Kebanyakan pelajar yang melakukan amalan plagiarism ini adalah terdiri daripada mereka yang tidak mempunyai perancangan yang betul untuk menyiapakan sesuatu tugasan atau melakukan sesuatu kajian ilmiah. Sekiranya persediaan tidak dilakukan terlebih awal, kerja yang dihasilkan tidak memuaskan dan apabila diminta oleh pensyarah untuk buat lain, maka pelajar itu tidak akan bersemangat dan lebih cenderung untuk melakukan plagirism kerana mereka fikir, banyak masa yang mereka telah luangkan untuk menyiapkan tugasan tersebut. Sedangkan kerja yang dilakukan sebelum ini adalah tidak bersungguh-sungguh. Sepatutnya pelajar tidak harus bergantung 100% kepada internet. Pelajar perlu mendapatkan bantuan daripada penyelia (pensyarah) mereka yang lebih berpengalaman dan luas ilmu pengetahuan. Untuk menghasilkan kerja yang bermutu, pelajar tidak boleh berguru dengan internet semata-mata.
6. Sifat pelajar itu sendiri
Kebanyakan pelajar yang melakukan plagirism adalah terdiri daripda mereka yang mempunyai sifat-sifat tertentu dalam diri mereka. Mereka telah dididik dari sekolah rendah untuk meniru tanpa usaha sendiri. Berjaya menjejaki kaki ke mara gading tanpa usaha sendiri dan hanya dengan bantuan plagiarism. Sifat ini akan terbawa-bawa ke universiti. Saya yakin, apabila di universiti kebanyakan pelajar seperti ini tidak dapat meneruskan pelajaran mereka dan mereka akan ketinggalan dan seterusnya terpaksa menamatkan pengajian mereka terlebih awal.
Adakah dengan cara menciplak hasil kerja orang lain akan mendatangkan kajayaan kepada anda? Sebagai pelajar, mungkin anda mempunyai pendapat sendiri mengapa wujudnya amalan ‘copy paste’ di universiti dan saya yakin juga kebanyakan pembaca blog ini terdiri daripada mereka yang cerdik pandai iaitu pelajar universiti.
Sebelum saya menoktahkan artikel kali ini, saya tinggalkan satu persoalan kepada tuan puan. Patutkah  jenayah akademik ini dijatuhkan hukuman atau denda?

Kekuatan & Kelemahan

Kekuatan dan kelemahan tidak boleh dipisahkan. Tiadalah kekuatan jika tiada kelemahan, juga tiada kelemahan jika tiada kekuatan. 

Kedua-duannya bersatu. 

Kekuatan mampu menjadi kelemahan dan kelemahan juga mampu menjadi kekuatan. Kadang-kadang kelemahan itu lebih membantu daripada kekuatan yang ada, kadang-kadang juga kekuatan itu akan menjadi bebanan dan halangan pula. 

Kedua-duanya berselingan antara satu sama lain. 

Biarkan orang lain dengan kekuatannya, biarkan orang lain dengan kelemahannya. Kita, kita hanya bersyukur dengan segala kuat lemah kita. Selalu bersyukur. Allah jualah yang menjadikan kita kuat dan Dia jugalah yang menjadikan kita lemah. Maka beryukurlah dengan ketentuanNya. 

Jika kita bangga dengan kelebihan dan kekuatan kita hatta menjadi riak & takabbur maka beringatlah bahawa kekuatan itu semuanya bukan hak milik kita, ianya milik Allah, milik mutlakNya. Dan, jika melenting dengan serba kekurangan dan kelemahan kita hatta menjadikan kita seorang hamba hina yang tidak bersyukur maka beringatlah bahawa ianya datang daripada Allah, segala baik buruk datangnya daripada Allah, jika kita melenting maka dengan siapakah kita melenting itu? 

Berhati-hatilah bila berbicara sesungguhnya Allah itu Maha Mengetahui segala apa yang ada di dalam hati hamba-hambaNya. 

Apalah yang ada pada kita ini? 
Harta? Akal? Pangkat? Status? Rupa? Suara? 

Kelak tanah jua menjadi halaman, akhirat jua kita kembali menemuiNya. 


Tiadalah daya upaya kita melainkan denganNya. 

"Ya Allah, terimalah segala amalan kami selama ini. Jauhkan kami dari perasaan riak dan takabbur.   Jadikanlah kami, kaum keluarga kami, sahabat kami dan semua hamba-hambaMu yang berdiri teguh di atas jalanMu antara ahli syurgaMu nanti. Jadikan kami semua ini mulia di sisiMu. Amin."

Only The Strong - Capoeira

Anda pernah dengar nama filem Only The Strong? 

Jika anda sebaya saya (Lahir 1987) besar kemungkinan anda akan tahu & pernah menonton filem yang saya maksudkan lebih-lebih lagi budak-budak laki hehe. Filem ini dikeluarkan pada tahun 1993 dan terkenal dengan lagunya Paranawe & Zoom Zoom. Filem ini berkisarkan aksi seni mempertahankan diri Capoeira  (salah satu seni mempertahankan diri berasal dari Brazil). 

Masih ingat? 

Kalau tak ingat sila tengok video-video ini : 

Trailer Movie

Lagu Paranawe


Lagu Zoom Zoom Zoom


Dahulu, satu fenomena baru di kalangan kanak-kanak telah muncul pada waktu itu. Mana-mana pergi mesti tidak lekang untuk menyanyikan lagu Paranawe dan bila ada sahaja peluang dan ruang maka kami akan beraksi ala-ala Capoeira. Masa tu tak ingat dahla silat ke ape ke...silat silat tak mainlah hahahahaha... 

Haha teringat aksi-aksi masa tu. Lagunya pun masih terngiang-ngiang lagi di telinga mengimbas masa gembira zaman kanak-kanak dahulu. Sekarang, bukan kanak-kanak lagi dah.  Dah tua..  Erkkk... Tak tak muda lagi...

Setahun dua yang lepas saya pernah menonton satu persembahan Capoeira di kaca TV yang dilakukan oleh satu kelab capoeira di Malaysia dan pagi ini saya menonton satu lagi persembahan secara langsung di kaca TV @ channel TV3 (MHI). Walaubagaimanapun saya tidak ingat adakah ianya adalah kelab yang sama yang membuat persembahan dahulu.

Di sini saya sertakan website club tersebut : http://www.imac.com.my/

Siapa-siapa yang berminat untuk mengikuti kelas atau ingin menempah persembahan mereka bolehla kunjungi website ini. [Promosi tanpa berbayar, kalau nak bayar pun takpe]

Penemuan Planet 'Bumi' yang baru..

Planet digelar Bumi Baru ditemui


LAKARAN artis menunjukkan planet Gliese 581g.


LOS ANGELES - Lima pakar astronomi Amerika Syarikat (AS) menemui sebuah planet baru dikenali sebagai Gliese 581g yang kelihatan seperti Bumi, lapor beberapa buah akhbar semalam.
Planet itu terletak di satu kawasan yang dirujuk sebagai zon kehidupan kerana suhunya tidak terlalu panas atau sejuk bagi cecair membentuk lautan, sungai dan tasik serta berada pada jarak 20 tahun cahaya dari Bumi.
Planet itu mengelilingi satu bintang yang yang dianggap seperti matahari.
Bintang itu diberi nama Gliese 581.
Planet itu berpusing mengelilingi bintang itu setiap 37 hari untuk satu putaran penuh.
Ia didapati tiga kali besar daripada Bumi namun berada dekat dengan bintang itu pada jarak 22.5 juta kilometer.
Planet yang digelar sebagai 'Bumi Baru' itu mempunyai satu bahagian yang sentiasa siang manakala bahagian yang bertentangan selalu malam kerana ia tidak banyak berputar.
Kumpulan pakar itu tidak dapat mengesahkan sama ada wujud air di planet tersebut.
Namun, salah seorang pakar astronomi, Dr. Steven Vogt dari Universiti California di Santa Cruz yang mengetuai kajian itu percaya terdapat peluang kehidupan di planet tersebut.
Graviti di planet itu sama seperti Bumi sekali gus membolehkan seorang manusia berjalan tanpa menghadapi sebarang kesukaran.
Menurut Dr. Vogt, bintang yang menjadi matahari di planet itu berada pada kedudukan sama pada setiap masa.
Sebuah kapal angkasa yang mempunyai kelajuan hampir dengan cahaya memerlukan masa 20 tahun untuk tiba di planet itu.
Penemuan itu dibuat selepas 11 tahun pemerhatian dijalankan di Balai Cerap W. M. Kec di Hawaii. - Agensi

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails