Thursday, May 13, 2010

Mufti Perak bersuara tentang kelulusan lesen judi sukan - Zainol Abideen (mahaguru58.blogspot)

Mufti Perak bersuara tentang kelulusan lesen judi sukan

Tan Sri Harussani Zakaria.jpg

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Sidang pembaca warganegara Malaysia sekelian.

Saya baru sahaja selesai berhubung melalui telefon dengan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkenaan isu lesen judi sukan yang diluluskan oleh Perdana Menteri Kerajaan Persekutuan Barisan Nasional Malaysia.

Tan Sri Harussani Zakaria menegaskan bahawa apa saja bentuk judi adalah HARAM di segi Syariah Islam dan beliau berasa amat sedih dengan keputusan Kerajaan Malaysia meluluskan lesen judi tersebut kepada pihak Berjaya Sports Toto Berhad!

Bilamana saya terangkan kepada Sahibus Samahah Mufti Perak bahawa lesen judi ini bukan hanya untuk kategori pertaruhan keatas kejuaraan bolasepak Piala Dunia yang akan berlangsung pada bulan Jun ini tetapi merangkumi segala bentuk sukan sukan yang laintermasuk sukan bolakeranjang, perlumbaan kereta, motosikal, sukan tenis, golf dan lain lain, Tan Sri Harussani terkejut dan merakamkan kekesalannya!

Beliau memaklumkan saya bahawa akhbar New Straits Times baru sahaja mengadakan satu wawancara dengan beliau dan bertanya samada sudah keluar laporan tersebut?

Saya menjawab saya belum sempat membaca akhbar tersebut tetapi memaklumkan bahawa sudah semakin ramai pembaca blog saya yang menghubungi saya dan bertanya samada saya telah mendapat maklumbalas Tan Sri Harussani tentang apa pendapat Tan Sri mengenai keputusan Kerajaan Malaysia ini untuk meluluskan lesen judi 'sukan'?

Sekali lagi beliau menegaskan bahawa judi itu adalah haram dan diantara dosa dosa besar yang dilaknati Allah Subhanahu Wa Ta'ala akan barangsiapa sahaja yang bergiat didalamnya!

Berita memalukan Malaysia ini sudah diterbitkan didalam laman web global MSN.Comdisini.

Beralih kepada satu lagi perkara melibatkan soal penglibatan Amanah Raya Berhad yang dilaporkan berurusan dengan urusniaga saham syarikat perjudian besar negara @ Magnum Berhad melalui anak syarikatnya Public Mutual!

Tan Sri Mufti Perak meminta supaya saya menulis menerangkan bahawa pendirian beliau selaku Mufti Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan adalah haram bagi pihak Amanah Raya Berhad untuk membiarkan anak syarikat nya Public Mutual untuk melaburkan wang amanah pegangan badan tersebut didalam bursa saham yang melibatkan syarikat perjudian Magnum Berhad.

Beliau meminta supaya saya siarkan pendapatnya ini menentang keterlibatan Amanah Raya Berhad didalam sebarang urusan niaga saham yang dimiliki syarikat perjudian seperti Magnum Berhad.

Harap maklum.

Saya dengan ini mengisytiharkan bahawa saya sudah menyempurnakan amanah Sahibus Samahah Mufti Perak Tan Seri Harussani Zakaria untuk menyampaikan amanatnya ini kepada tuan puan semua.

Wabillahi Taufik Wal Hidayah.

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Bersama lah kita membanteras
segala kemaksiatan yang sedang berleluasa ditanahair kita ini!


ALLAHU AKBAR!!!

Kekuatan Doa Yang Dapat Menolak Zina.

Doa Yang Menolak Zina


“Ustaz, di manakah saya boleh mencari kekuatan untuk menolak zina?” seorang anak muda bertanya kepada saya.

“Carilah ia di dalam Solat. Di dalam doa” saya membalas email yang dikirimnya.

Anak muda itu terasa hampa. Barangkali beliau kecewa kerana saya memberitahunya apa yang dia sudah tahu.

Solat.

Doa.

Sudah berapa kali dia bersolat dan berdoa, tetapi kekuatan yang dicari tidak pernah ada. Seperti Allah tidak menjawab permintaannya. Solat yang hampa. Doa yang terbang dibawa angin masa.

Bukankah Allah Subhanahu wa Ta’aala sendiri memberi jaminan bahawa Solat itu mencegah manusia daripada kemungkaran, terutamanya zina? Itu yang disebut di dalam al-Quran:

“Bacalah serta ikutlah akan apa yang diwahyukan kepadamu daripada Al-Quran, dan dirikanlah Solat. Sesungguhnya Solat itu mencegah daripada perbuatan yang Fahsya’ dan mungkar; dan Sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar. Dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan” [Al-Ankabut 29: 45]

Allah tidak pernah memungkiri janji-Nya. Seandainya solat anak muda itu dan kita semua tidak mampu mencegah diri daripada kejahatan, terutamanya Zina, pasti ada sesuatu yang tidak kena dengan solat yang kita kerjakan. Bukan sahaja daripada aspek cukup Syarat atau sah tidak sahnya solat itu, malah intipati dan maknanya.

Ya, sejauh mana kita memaksudkan apa yang kita minta?

Sampaikah kepada permintaan seorang anak muda bernama Yusuf?

TELADAN MUJAHADAH YUSUF

Imra’ah al’Aziz yang dikenali sebagai Zulaikha itu, tidak pernah berputus asa. Di satu ketika dia menafikan dirinya sebagai orang yang memaksa zina ke atas Yusuf. Tetapi setelah kejadian baju Yusuf terkoyak akibat kejadian sebelumnya (Yusuf 12: 25) tersebar ke seluruh kota (Yusuf 12:30), Zulaikha menjadi liar. Malunya hilang, malah semakin mengganas pada tindakannya untuk mendapatkan Yusuf. Wanita-wanita bangsawan temannya dihimpunkan. Mereka dijamu makan. Setiap tangan diberikan pisau untuk memotong dan Zulakhai memaksa Yusuf tampil ke khalayak menampakkan diri.

Daripada Anas bin Malik radhiyallaahu ‘anhu bahawa Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam telah bersabda: Yusuf telah diberikan separuh daripada kecantikan diri” [Al-Bukhari no. 7517 dan Muslim no. 162]

Separuh kecantikan diberikan kepada Yusuf.

Separuh lagi diagihkan kepada seluruh manusia lain!

Giliran mereka pula dibius cinta. Tangan tidak terasa bahawa pisau tidak lagi memotong makanan. Jari-jari mereka luka dipotong pisau kerana panahan rupa paras Yusuf. Zulaikha mengeluarkan ‘buah’ manusia yang mabuk cinta. Mereka belum kena lagi. Sekarang tahukah mereka apa yang dihadapinya saban hari selama ini?

“(Zulaikha) berkata: “Inilah orangnya yang kamu tempelak aku mengenainya! Sebenarnya aku telah memujuknya berkehendakkan dirinya tetapi dia menolak dan berpegang teguh kepada kesuciannya; dan demi sesungguhnya kalau dia tidak mahu melakukan apa yang aku suruh tentulah dia akan dipenjarakan, dan (Yusuf) akan menjadi daripada orang-orang yang hina.“ [Yusuf 12: 32]

Kini Zulaikha tidak lagi sendirian. Kemahuannya diakui oleh seluruh wanita yang melihat susuk wajah Yusuf. Zulaikha berjaya menjustifikasikan kehendak nafsunya. Maksiat bukan lagi maksiat. Kini maksiat adalah suatu mangsa keadaan!

Malah dayusnya al-’Aziz dan betapa berkuasanya Zulaikha sebagai First Lady, dia bebas menentukan siapakah yang patut dihumban ke penjara dan siapa yang tidak. Andai Yusuf enggan menerima ajakan Zulaikha, harga yang perlu dibayar adalah PENJARA.

Apakah tekanan yang Yusuf hadapi?

Anak muda, peluang ada, kecenderungan bisa terjadi, menolaknya pula bererti merengkuk di penjara. Sepadankah tekanan itu dengan apa yang kalian sebagai anak muda, hadapi berkaitan zina?

Atau kalian dengan sengaja gemar berkelakuan lemah diri? Justeru mudah memberi alasan, bahawa keadaan adalah ‘pihak’ yang patut dipersalahkan?

Sesungguhnya Yusuf mendengar ugutan itu. Beliau tahu di hadapannya hanya dua. Zina atau penjara.

MENCARI KEKUATAN DENGAN SOLAT DAN DOA

Yusuf tinggal sendiri.

Al-’Aziz sebagai bapa angkatnya, suami kepada Zulaikha dan Menteri Utama negara Mesir, tidak berperanan untuk mencegah hal ini. Beliau berada di kemuncak dayus.

Tiada tempat lain untuk Yusuf mencari kekuatan melainkan dengan Solat dan Doa.

Yusuf (merayu kepada Allah Taala dengan) berkata: “Wahai Tuhanku! Aku lebih suka kepada penjara daripada apa yang perempuan-perempuan itu ajak aku kepadanya. Dan jika Engkau tidak menjauhkan daripadaku tipu daya mereka, mungkin aku akan cenderung kepada mereka, dan jadilah aku daripada golongan orang jahil yang tidak mengamalkan ilmunya” [Yusuf 12: 33]

Doa Yusuf itu sarat dengan makna. Yusuf benar-benar menyatakan kebergantungannya kepada Allah. Sesungguhnya tanpa bantuan Dia, Yusuf lemah untuk mendepani tipu daya wanita-wanita jahat itu. Sesungguhnya doa tidak boleh datang daripada hati yang sombong. Meminta sesuatu daripada Allah yang dirinya tidak berasa kepada keperluannya. Jika Allah beri, dia terima. Jika Allah tidak beri, dia akan buat sendiri. Sombongnya hati manusia yang meminta dan berdoa tidak dengan bahasa seorang hamba.

Yusuf juga menunjukkan kepada kita kuasa sebuah doa. Doa menguji sama ada kita benar-benar mahu kepada apa yang diminta, atau kita memintanya tanpa kesungguhan dan makna. Doa akan membunuh sifat hipokrit bahawa mulut meminta sesuatu, namun hati tidak bersungguh memaksudkannya.

“Berdoalah kepada Allah dalam keadaan engkau yakin ia akan dikabulkan, ketahuilah bahwa Allah tidak menerima doa daripada hati yang lalai”. (Hadith riwayat al-Tirmidzi, dihasankan oleh Sheikh al-Albani)

ENGKAU DAN DOAMU


Dirimu minta daripada Allah agar dihindarkan daripada zina. Namun sejauh mana hatimu membenci zina? Sejauh mana engkau mahu menjauhkan diri daripadanya? Adakah mulut meminta perlindungan, ketika hati dibiarkan melayan kecenderungan?

Doa mengajar kita memaksudkan apa yang kita minta. Supaya dengan doa itu, akhirnya hanya dirinya dan Allah yang benar-benar tahu, sejauh mana permintaan itu disungguhkan.

“Apabila sesiapa daripada kalangan kamu berdoa, maka hendaklah dia menekadkan apa yang diminta. Dan janganlah sekali-kali beliau berkata: Ya Allah jika Engkau mahu, berikanlah kepadaku apa yang kuminta. Sesungguhnya tiada suatu permintaan pun yang berat bagi Allah untuk menunaikannya” [Hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim]

Doa menyaring hasrat hati.

Hanya hati yang berjaya membulatkan permintaan, bersih daripada rasa berbelah bagi antara mahu meninggalkan maksiat dengan adanya rasa sayang untuk apa yang berlaku itu tamat.

Yusuf benar-benar memaksudkannya. Dirinya semakin lemah dengan tekanan yang memuncak. Justeru jika satu-satunya cara untuk selamat adalah dengan merealisasikan ugutan Zulaikha, sesungguhnya penjara itu lebih disukainya berbanding zina yang membinasakan.

HATI YANG IKHLAS

Di sinilah titik IKHLAS pada hati yang meminta. Hati yang bersih daripada semua pihak selain daripada Allah.

“Maka Tuhannya memperkenankan doanya, lalu dijauhkan daripadanya tipu daya mereka; Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui” [Yusuf 12: 34]

Allah Maha Mendengar permintaanmu.

Allah Maha Mendengar suara halus di dalam hati yang meminta itu dan sejauh mana permintaan itu dimaksudkan.

Allah juga Maha Mengetahui terhadap apa yang berlaku.

Zulaikha mahukan engkau terpenjara untuk membalas dendam.

Allah memberikan engkau penjara seperti yang diminta, bahawa penjara itu memiliki hikmah besar yang menanti, seperti yang berada di dalam Ilmu-Nya.

“Dan Tuhanmu berfirman: “Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaku, akan masuk ke Neraka Jahannam dalam keadaan yang hina” [Ghafir 40: 60]

Justeru anak muda, saat engkau mendepani kehidupan yang sangat mengajak kepada zina ini, perkukuhkanlah Solat dan Doamu untuk mencari ketulusan hati.

Hati yang benar-benar membenci zina dan kejahatan. Hati yang benar-benar menolaknya.

Seperti yang terungkap di dalam sebuah DOA!

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG

Heaven or Hell?







"Stairway to Heaven" or "Highway to Hell"?



Tuesday, May 11, 2010

Lesen Judi Piala Dunia 2010 - Ulasan Dr Asri & Ustaz Zaharuddin


Kerajaan mempertimbangkan kemungkinan mengeluarkan lesen untuk membenarkan pertaruhan dilakukan semasa kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010 berlangsung awal bulan depan bagi mengelak berleluasanya aktiviti perjudian dan pertaruhan haram di negara ini.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Awang Adek Hussein, berkata jika kerajaan tidak mengeluarkan lesen kepada pihak yang memohon, aktiviti perjudian dan pertaruhan haram tetap berlaku tanpa kawalan dan pemantauan pihak berkuasa.

“Ada beberapa perkara penting untuk dikaji sama ada perkara ini (mengeluarkan lesen membenarkan pertaruhan) baik bagi kerajaan atau jika kerajaan boleh cuba mengawalnya untuk mengetahui berapa banyak (jumlah wang daripada pertaruhan haram).

“Kerajaan sedang mengkaji perkara ini dan akan memutuskannya jika mahu membenarkan pertaruhan kerana kejohanan Piala Dunia ini semakin hampir,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Awang Adek berkata, jika lesen itu dikeluarkan, kerajaan dapat mengawal aktiviti perjudian, selain hasilnya boleh digunakan terutama untuk pembangunan bidang sukan di negara ini.

Beliau mengakui sudah ada pihak yang membuat permohonan untuk mendapatkan lesen itu tetapi beliau enggan mendedahkan lebih lanjut maklumat itu sehingga kerajaan membuat keputusan mengenainya.

Terdahulu, isu itu dibangkitkan pada sesi soal jawab oleh Senator Ng Fook Heng yang mahukan penjelasan kemungkinan kerajaan mengeluarkan lesen pertaruhan kejohanan Piala Dunia untuk mengelakkan perjudian haram.

Awang Adek berkata, kerajaan memandang serius aktiviti perjudian tanpa lesen yang membabitkan pertaruhan nombor ramalan, permainan mesin slot dan pertaruhan membabitkan bookie bagi permainan bola sepak dan permainan lain.

“Aktiviti perjudian tanpa lesen adalah aktiviti yang boleh mewujudkan kegiatan sampingan lain seperti peminjam wang tanpa lesen, jenayah terancang, penyeludupan dan pengubahan wang haram.

“Oleh itu sebagai sebuah kerajaan yang prihatin terhadap rakyatnya, kerajaan akan memberi pertimbangan sewajarnya dan sebarang langkah perlu dilakukan secara berkesan bagi menangani masalah bookie tanpa lesen termasuk membenarkan pertaruhan bookie bola sepak dilaksanakan melalui perlesenan sah,” katanya.
-Bernama-


Lesen Judi Piala Dunia Menyanggahi Fikiran Bertamadun

Kenyataan Timbalan Menteri Kewangan Datuk Awang Adek Hussein bahawa pihak Kerajaan Pusat mempertimbangkan untuk mengeluarkan lesen judi sempena Piala Dunia 2010 demi mengelakkan berleluasa kegiatan judi haram adalah satu kenyataan yang memalukan dan amat menyalahi cara fikir yang lurus. Saya ingin tegaskan hal ini berasaskan perkara berikut;

1. Dari segi Islam adalah menjadi asas bahawa ‘tindakan pemerintah terikat dengan maslahah’. Maslahah dalam konteks ini adalah kepentingan atau kebaikan rakyat dan negara itu sendiri. Ini seperti juga yang disebut oleh al-Imam al-Syafi’i r.h:

“Kedudukan pemerintah di sisi rakyat bagaikan kedudukan penjaga anak yatim” (lihat: Al-Sayuti, al-Asybah wa al-Nazair).

Apakah memberikan lesen judi itu memberikan kebaikan atau mempunyai kepentingan umum rakyat? Atau ia hanya kepentingan segelintir taukeh dan kaki judi semata?! Jika ia tidak memulangkan kepentingan umum atau kebaikan kepada rakyat maka itu bukan tindakan pemerintah yang bertanggungjawab.

2. Tidak dinafikan judi dan arak memang mempunyai keuntungan dan beberapa manfaat untuk pihak-pihak tertentu. Namun, ancaman dan bahayanya jauh lebih besar dibandingkan manfaat yang bakal diterima. Al-Quran menyebut: (maksud)

“Mereka bertanya engkau (wahai Muhammad) tentang arak dan judi. Katakanlah: “Pada keduanya ada dosa (keburukan) yang besar dan manfaat kepada manusia. Namun dosa (keburukan) keduanya lebih besar dari manfaatnya” (Surah al-Baqarah ayat 219).

Maka dengan itu, sekadar untuk digunakan cukai judi berkenaan untuk kegiatan sukan bukan satu alasan. Kerosakan judi lebih besar dari manfaat yang akan diterima. Membiayaan untuk membaikinya nanti jauh lebih tinggi.

3. Judi sama ada ‘dilesankan’ atau tidak dilesen keburukannya sentiasa dominan. Ia menyebabkan pembaziran tanpa sebab, sikap bergantung nasib tanpa kewarasan, merosakkan keluarga, menimbulkan tabiat suka berhutang, membawa kepada kejatuhan ekonomi individu secara mengejut, ketagihan tabiat buruk tersebut yang luar biasa dan berbagai lagi keburukan yang lain. Akal waras manusia dari semua aliran agama dan masyarakat, bahkan yang tidak beragama pun tetap menyatakan judi selalu merosakkan masyarakat.

4. Jika pun judi itu untuk masyarakat bukan Islam, saya tetap katakan masyarakat Malaysia bukan masyarakat judi. Tiada ajaran mana-mana agama yang menggalakkan judi. Tiada siapa pun dalam mana-mana bangsa atau agama dalam negara ini sanggup untuk mendakwa ‘judi adalah budaya kami’, atau ‘kebanggaan hidup kami’. Jika ada, itu terkeluar dari norma kewarasan. Tiada isteri yang normal sukakan suaminya kaki judi. Maka, jangan kaitkan atau hidupkan budaya ini secara terbuka dalam masyarakat kita. Kaki judi sentiasa dipandang negatif dalam semua masyarakat yang rasional.

5. Judi akan menggalakkan tabiat berhutang dan pergaduhan. Sama ada diberi lesen atau tidak, tetap sama. Hutang along atau hutang bank, tetap bebanan hutang. Jika diberi lesen terbuka, yang tertutup tetap berjalan seperti biasa. Itu bukan alasan yang munasabah.

6. Peranan pemerintah adalah mencegah keburukan, bukan menaja atau bersaing dengan penjenayah. Cadangan tersebut hanya mengubah ‘taukeh’ sahaja dari yang berlesen kepada yang tidak berlesen. Apakah nanti mungkin kita akan wujudkan tempat ‘hisap candu berlesen’ untuk mengelakkan penagih candu menghisapnya di tempat yang tidak berlesen? Jangan fikir lesen dan cukai keuntungan sahaja, kerajaan hendaklah berfikir kesan yang akan menimpa rakyat nanti!

7. Maka, saya sekali lagi membantah cadangan ini dan meminta semua rakyat Malaysia yang waras dan mempunyai nilai-nilai agama dan moral membantah cadangan ini!

* Tersiar dalam Malaysiakini pada 09 Mei 2010.

-Minda Tajdid, DRMAZA-

Perjudian Bolasepak Akan Di'Halalkan'?

Oleh

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net


Perjudian adalah satu jenis permainan pertaruhan yang mana pihak yang menang akan meraih wang pertaruhan mereka yang kalah. Tidak dinamakan perjudian jika kedua-dua pihak mencapai kemenangan. Itulah sifat perjudian yang diharamkan di dalam undang-undang Islam. Malah juga dilarang oleh semua agama lain.

Oleh itu, secara peribadi saya terperanjat (malah ramai yang lain juga) membaca kenyataan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussien yang menyatakan pertimbangan sedang dibuat untuk meluluskan lessen perjudian bolasepak sempena kejohanan Bola sepak Piala Dunia yang akan datang ini.

HUJJAH BELIAU

Beliau dirakamkan oleh akhabar tempatan berkata :

"Ada beberapa perkara penting untuk dikaji sama ada perkara ini (mengeluarkan lesen membenarkan pertaruhan) baik bagi kerajaan atau jika kerajaan boleh cuba mengawalnya untuk mengetahui berapa banyak (jumlah wang daripada pertaruhan haram)."

BANTAHAN & RASIONAL

Pegeluaran lesen atas alas an untuk mengawal dan mengethaui jumlah wang pertaruhan adalah tertolak di sisi Islam. Sesebuah kerajaan dan pemimpin mestilah lebih kreatif dan bertanggungjawab dalam mencari jalan mengawal perjudian gelap.

Kawalannya bukanlah dengan memberi lesen kerana itu hanya akan lebih memakmurkan gejala tersebut. Tetapi KAWALAN adalah dengan memperkenalkan teknik banteras, hukuman lebih keras dan tahap efisyen yang lebih kemas bagi memerangkap mereka yang terlibat.

Namun apabila lesen diberikan, ia jelas merupakan satu galakan kepada kaki judi dan seterusnya seolah-olah memberi mesej bahawa:

‘Kerajaan ingin tumpang sekaki dalam perjudian mereka"

"Kerajaan ingin turut merasa sedikit imbuhan hasil perjudian mereka yang berjudi, so jika lebih ramai berjudi, lebih baik kepada kerajaan akan mendapat sesuatu"

ANALOGI

Ia seolah-olah kerana kerajaan ingin menbenarkan benda yang tidak benar.

Bolehkah atas alasan mengetahui jumah sebenar & mengawal MAT REMPIT yang berempit di atas jalan raya secara haram, maka KERAJAAN MEMPERTIMBANGKAN PEMBERIAN LESEN MEREMPIT kepada mt rempit di atas JALAN RAYA AWAM. Semua mat rempit mestilah mendaftar dan membayar yuran untuk merempit di atas jalan raya. Bukan LESEN UNTUK merempit di trek lumba dan IA IBARAT memberi LESEN untuk terus merempit di JALAN RAYA.

Merempit di jalan raya awam banyak mudaratnya kepada mat rempit itu sendiri dan juga orang awam. Demikian juga kesnya membenarkan perjudian bola sepak ‘gelap' untuk dijadikan ‘terang' tetapi tetap di atas laluan yang memudaratkan orang awam.

JUSTERU

Kerajaan yang bertanggungjawab MESTILAH sentiasa mengurangkan aktiviti negatif di kalangan rakyat, bukannya meraikan dan meluluskannya.

Sedarilah, perjudian hanya akan menjerumuskan rakyat di dalam :-

a- Kancah hutang dan masalah kewangan lebih serius. Kita bimbang kecenderungan masyarakat Malaysia yang sukakan skim cepat kaya, yang sering diserbu, diharamkan DAN DISITA oleh kerajaan. Namun peliknya, kini kerajaan seolah ingin membenarkan skim tersebut, perjudian adalah salah satu jenis skim cepat kaya, yang sering membawa kayap.

b- Seterusnya membawa kepada masalah dan krisis rumahtangga. Pergaduahan suami isteri, anak mencuri duit ibu ayah untuk berjudi, suami curi duit isteri dan sebagainya,

c- Kita bimbang, hasil lesen yang diberi, kanak-kanak akan turut serta dalam perjudian khususnya secara online. Dan tiada sesiapa boleh menghalang kerana lesen telah diberi oleh kerajaan dan perbuatan itu tidak lagi dianggap satu kesalahan.

d- Masyarakat tidak progresif kerana menjadi lalai untuk meneka dan bertaruh serta menonton bolasepak secara berlebihan. Kalau dulu penonton hanya ‘exited' untuk melihat pasukan yang disokong, kini, bakal menjadi begitu obsess dan tertekan kerana keputusan perlawanan melibatkan wang yang ditaruh.

e- Mendorong rakyat memfokuskan kepada perolehan keuntungan secara cepat tanpa skill, namun akhirnya kerugian sahaja yang lebih kerap menjelma. Manakan tidak, dalam perjudian, peratusan pihak yang menang sentiasa lebih kecil berbanding yag kalah. Bermakna, jika seorang menang dan bergembira atas kemenangannya, yang kalah mungkin 1000 orang yang berduka cita. Dukacita tersebut mungkin tidak berhenti di situ malah berturutan kepada masalah lain, ibarat ‘domino effect'.

f- Kesan buruk kekalahan; kekalahan boleh yang menyebabkan kemarahan, memandu berbahaya di jalan raya, pergaduhan di dalam rumahtangga, kesan psikologi di tempat kerja menyebabkan kurang produktiviti, mungkin dikejar ‘ALONG' kerana berhutang dengan along untuk berjudi.

g- Pemberian lesen itu seolah menjolok sarang Syaitan, kerana kemungkinan ada indifidu yang tidak begitu terdorong untuk berjudi kerana merasa sukar dek kerana ia merupakan aktiviti gelap dan salah dis isi undang-iundang. Namun akibat lesen tersbeut, dorongannya semakin kuat dan dipermudah.

NASIHAT

Buat menteri dan pihak berkuasa yang beragama Islam khususnya, sedarilah tegahan Allah :

يَسْأَلُونَكَ عَنِ الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ قُلْ فِيهِمَا إِثْمٌ كَبِيرٌ وَمَنَافِعُ لِلنَّاسِ وَإِثْمُهُمَآ أَكْبَرُ مِن نَّفْعِهِمَا

Ertinya : Mereka bertanya kepadamu tentang arak dan judi. Katakanlah: ""Pada keduanya itu terdapat dosa besar dan beberapa manfaat kecil bagi manusia, tetapi dosa keduanya lebih besar dari manfaatnya" ( Al-baqarah : 219)

Dan juga larangan selanjutnya

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالأَنصَابُ وَالأَزْلاَمُ رِجْسٌ مِّنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Ertinya ; Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya (meminum) arak, berjudi, (berkorban untuk) berhala, mengundi nasib dengan panah, adalah perbuatan keji termasuk perbuatan Syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntungan. ( Al-Maidah : 90)

Justeru itu, saya amat berharap agar Menteri Agama dapat segera memberi panduan dalam hal ini. Jika Menteri Agama sependapat dengan Timbalan Menteri Kewangan, kami sekalu ahli akademik sangat ingin mendengar dan membaca justifikasi dan dalil serta hujjah keharusan tersebut JIKA tiba-tiba Menteri Agama atau mana-mana Mufti bersetuju dengan tindakan itu.

Perlu difahami, hujjah maslahat TIDAK BOLEH digunakan sama sekali dalam hal yang JELAS BERTENTANGAN dengan teks Al-Quran dan Hadis. Tiada maslahat dan tidak termasuk di dalam Maqasid al-Shariah dalam mengharuskan perjudian untuk masyarakat.

Oleh kerana isu perjudian adalah isu ‘Qat'ie di dalam Islam, saya AMAT BERHARAP pihak Salafi, Wahabi, Ahbash, Tradisional Pondok, Tarekat Sufi, Syiah, ahli akademik universiti, tabligh dan semua pihak agar tampil menyatakan pandangan dan bantahan mereka. Paling minima di blog dan website rasmi mereka. Jangan hanya berselisih dan berdebat bertahun-tahun dengan begitu kreatif, tetapi SENYAP SUNYI tanpa kenyataan umum dalam hal sebegini.

Disebutkan di dalam kaedah Fiqhiyyah yang dicatatkan oleh Al-Imam As-Sayuti Al-Shafi'i:-

لا يُنْكَرُ المختلِفُ فيه وإنما يُنْكَرُ الْمُجْمَعُ عليهِ

Ertinya : Tidak diingkari dalam hal yang diperselisihkan (ijtihad ulama), namun sesungguhnya keingkaran (bantahan) adalah pada perkara yang disepakati (haramnya)( Al-Asbah wa Al-Nazair, kaedah no 35, hlm 292 )

Tanpa syak lagi, perjudian adalah tergolong di dalam perkara yang disepakati secara ijma' berkenaan pengharamannya. Justeru, bantahan kita dan para ulama terhadapnya adalah SANGAT PERLU.

Jangan biarkan hanya orang politik berkata, kerana apabila orang politik berhujah dan berkata-kata, mereka akan sering dilihat sebagai bermotif politik. Kita perlu mereka yang lain juga agar bersuara, supaya Allah meredhai usaha kita.


BAGI MEREKA YANG INGIN MEMBERIKAN KOMEN TERHADAP ARTIKEL INI, SAYA HARAP TIDAK PERLULAH BERPOLITIK KEPARTIAN DALAM KOMEN ANDA (KERANA IA HANYA AKAN MENGERUHKAN KEADAAN SECARA KURANG SIHAT DAN MENYERET KEPADA ISU LAIN), CUKUPLAH BAWAKAN TAMBAHAN RASIONAL DAN JUSTIFIKASI SECARA ILMU DAN BUKAN EMOSI.

Sekian

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

08 Mei 2010


LinkWithin

Related Posts with Thumbnails