Wednesday, March 30, 2011

Lebih bernilai...




"Antara tanda seseorang itu sudah terikat dengan dunia adalah dengan menganggap wang ringgit dan harta itu mampu memberikan kebahagiaan & ketenangan untuknya." 
-H.F

"Jika hati itu dipalu dengan paluan padu zikrullah yang berterusan pada setiap masa, siang malam, berdiri duduk berjalan, berlari dan berbaring sehinggalah hati itu dapat istiqamah dengan zikrullah dalam ingatan kepada Allah semata-mata  walau di dalam hiruk-pikuk dunia sekalipun maka itu lebih membahagiakan dan menyenangkan seseorang malah lebih bernilai daripada dunia dan seisinya." -H.F




Tuesday, March 29, 2011

Puisi Doa - Chairil Anwar






Tuhanku,
Di dalam termanggu
Aku masih menyebut nama Mu
Biar susah sungguh
Mengingat kau penuh seluruh


Tuhanku,
CahayaMu panas suci
Tinggal kerdip lilin dikelam sunyi


Tuhanku,
Aku hilang bentuk
Remuk

Tuhanku,
Aku mengembara di negeri asing


Tuhanku
DipintuMu aku mengetuk


Aku tidak bisa berpaling....

Monday, March 28, 2011

Pesanan Nabi SAW kepada Saidina Ali R.A


Wahai Ali, bagi orang ‘ALIM itu ada 3 tanda-tandanya:
1) Jujur dalam berkata-kata.
2) Menjauhi segala yang haram.
3) Merendahkan diri.

Wahai Ali, bagi orang yang JUJUR itu ada 3 tanda-tandanya:
1) Merahsiakan ibadahnya
2) Merahsiakan sedekahnya.
3) Merahsiakan ujian yang menimpanya.

Wahai Ali, bagi orang yang TAKWA itu ada 3 tanda-tandanya:
1) Takut berlaku dusta dan keji.
2) Menjauhi kejahatan.
3) Memohon yang halal kerana takut jatuh dalam keharaman.

Wahai Ali, bagi AHLI IBADAH itu ada 3 tanda-tandanya:
1) Mengawasi dirinya.
2) Menghisab dirinya.
3) Memperbanyakkan ibadah kepada Allah s.w.t.

Kenal diri, Allah, dunia dan akhirat..

Menurut Imam Al-Ghazali di dalam Kitab Minhajul Abidin, yang dikatakan Ilmu Makrifat itu ialah ilmu yang mencakupi 4 bidang :-

1. Mengenal Diri.
2. Mengenal Allah.
3.Mengenal Dunia.
4.Mengenal Akhirat.

Perangkap nafsu.. Jangan tertipu..




Kata Iman Al-Ghazali, nafsu ibarat kuda liar. Sebelum boleh ditunggang, haruslah melatih supaya kuda liar menjadi jinak. Kuda yang sudah jinak barulah boleh ditunggang, kalau tidak  dilatih kuda akan tunggang kita pula.

Nafsu banyak peringkatnya. Nafsu yang Allah inginkan adalah : "Hai jiwa (nafsu) yang tenang (muthmainah). (27) Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang redha lagi diredhaiNya. (28) Maka masuklah ke dalam jama’ah hamba-hamba-Ku, (29) dan masuklah ke dalam syurgaKu. (30)" [Surah Al-Fajr]


“Kita mungkin dah dapat tundukkan nafsu, namun kita jangan percaya pada nafsu meskipun sudah lama nafsu ini taat kepada kita”- kata kata dalam Kitab Hikam


Imam Ghazali ada menceritakan ada seorang alim yang telah berjaya menjinakkan nafsunya lalu pada suatu hari nafsunya mengajak untuk pergi berjihad berperang.


Dalam perjalanan, si alim tadi terfikir-fikir  "Ganjil sikitlah nafsu ini mengajak berbuat baik, selalunya nafsu mengajak berbuat jahat!". 

Dia berhentikan kudanya dan bermusyahadah sekejap.


“Nafsu ajak aku berperang apa tujuannya? Oh dapat mati syahid, bila mati syahid, orang yang hidup akan memperkatakan tentang macam mana aku mati syahid. Oh aku akan jadi hero, orang akan memujiku setinggi-tingginyi. Aku akan jadi terkenal! 

Oh kalau macam ini lah nafsuku, tak boleh jadi! Celaka kau nafsu!” sumpahnya, lalu diguling-gulingkan badannya ke atas padang pasir yang panas itu. Selepas puas dia menyeksa dirinya dia pun berkata "Rasakan engkau  hei nafsu yang ganas!!"

Sunday, March 27, 2011

Mahukan syurga?


Imam Al-Ghazali menceritakan bagaimana seorang murid hendak berguru dengan seorang guru hakikat yang tersohor, lalu di tanya oleh guru tersebut apakah tujuan sebenar murid itu menuntut ilmu? Adakah untuk memasuki syurga Allah? Kalaulah itu tujuannya maka lebih baik anak murid itu berguru dengan guru feqah sahaja. Kerana dengan mengikuti pelajaran dan mengamalkan feqah dengan baik dan ikhlas akan beroleh syurga Allah. 

Tetapi kalau tujuannya hendak berjumpa Tuhan Yang Empunya Syurga itu maka carilah guru hakikat.



Puncak segala tujuan kita..



"Wa anna ila Rabbikal muntaha" : Sesungguhnya kepada Tuhanmu itulah puncak segala tujuan.

Kerana sesiapa yang telah mendapatkan Allah, bererti telah mencapai segala sesuatu, baik urusan dunia mahupun urusan akhirat.


Friday, March 25, 2011

Allah bersemayam (duduk) di atas `Arasy ??



Al-Imam al-Mujtahid Muhammad ibn Idris al-Shafi`e radiyallahu `anhu (W. 203 H) berkata[3]:

"مَنِ اعْتَقَدَ أَنَّ اللهَ جَالِسٌ عَلَى الْعَرْشِ كُفْرٌ لا صَلاة وَرَاءَهُ".

Ertinya: "Barangsiapa yang beraqidah (berpegang/berkeyakinan) bahawa Allah bersemayam (duduk) di atas `Arasy, maka dia menjadi kafir dan tidak boleh solat (makmum) di belakangnya".

[3] Diriwayatkan oleh al-Imam al-Qadhi Najm al-Din dalam kitabnya Kifayah al-Nabih dan al-Imam Ibn Mu`allim al-Qurasyi (W 725 H) didalam kitabnya Ibn Mu`allim al-Qurasyi dalam kitabnya Najm al-Muhtadi Wa Rajm al-Mu`tadi.

Nikmat Allah | Syukur atau tidak?



Asy-syibly berkata : "Syukur itu jalan melihat pada yang memberi bukan melihat nikmat pemberiannya."

Abdul Aziz Al-Mahdawi berkata : "Siapa yang tidak melihat Pemberi nikmat di dalam nikmat itu, maka nikmat itu hanya berupa istidraj (dilulu) dan berubah menjadi bala."

Abu Hamid (Muhammad) Al-Ghazali memberi contoh : Seorang raja memberi hadiah kuda pada rakyatnya, maka dalam menerima nikmat pemberian hadiah itu ada 3 macam jenis rakyat :-

1. Merasa gembira kerana ia mendapat sesuatu yang berguna dan berharga, sesuai dengan maksud tujuannya, dan dapat menyampaikan hajat keinginannya. Orang yang sedemikian ini tidak memperhatikan raja sama sekali, pandangannya hanya semata mata pada kuda, di beri raja atau mendapat di hutan tiada beza baginya.

2. Orang yang gembira bukan kerana kuda, tetapi kerana merasa diberi, diingati, dikasihi oleh raja, orang ini dapat membezakan antara pemberian raja atau didapati di hutan.

3. Orang yang merasa gembira kerana dengan pemberian itu, dia dapat menggunakan untuk lebih mendekat kepada raja, sehingga dapat lebih meningkatkan kedudukannya di sisi rajanya.


Jadi, kita yang mana satu?

Pandang-pandang..



"Syuhudul Kasrah Fil Wahdah, Syuhudul Wahdah Fil Kasrah" 

Pandang yang banyak dalam satu, pandang yang satu dalam banyak.





Thursday, March 24, 2011

Dia





Dialah yang memuji dan Dia jualah yang dipuji




Resepi Rumahtangga


Yang memimpin sesebuah rumahtangga itu bukanlah terletak pada Hartanya, tetapi pimpinan itu terletak pada Kematangannya, dan kematangan itu pula bukannya diukur melalui umur dan paras rupa tetapi ditentukan oleh Ilmu dan Makrifatnya. Kepada yang bakal berkahwin, baru berkahwin mahupun yang telah lama berkahwin, sama-samalah kita renungkannya.

Sejarah Kuda Arab




Kuda Arab telah diperakui oleh para peminat kuda di seluruh dunia sebagai 'Kuda yang terbaik' di dunia kerana kuda-kuda arab memang terkenal sebagai kuda tahan lasak, cantik dan penuh stamina.

Asal usul kuda arab tercatit dalam sejarah di mana Nabi Sulaiman a.s. telah memelihara lebih dari berpuluh-puluh ribu kuda dari berbagai baka arab tulen.

Kemuncak kehebatan kuda-kuda arab masyhur di zaman Nabi Muhammad saw (570 A.D.) dimana baginda banyak memberi galakkan dan dorongan untuk menternak dan memelihara kuda-kuda arab baka baik demi untuk mempertahan kedaulatan Islam dari ancaman musuh.

Cerita-cerita kuda ini banyak dibicarakan dalam berbagai kitab termasuk Al-Quran. Ada dua pendapat yang menyatakan sumber asal usul kuda arab ini disebut sebagai 'Al-Kehilan' yang bererti kuda arab tulen yang bermaksud kuda arab asli dari baka kuda arab kuno dan tidak bercampur aduk dengan kuda-kuda luar dari tanah arab. Satu lagi ialah keturunan Al Khamsa, konon mengikut cerita asal, dizaman mula-mula para sabahat mencari kuda-kuda untuk pasukan tentera Muslimin, mereka memanggil para penternak kuda untuk membawa kuda masing-masing untuk dipilih kuda-kuda baik untuk dibuat baka.

Kuda-kuda tersebut dilepaskan untuk diberi minuman disebuah wadi, kesmua kuda-kuda tersebut berlari untuk mendapatkan air minuman, diperjalanan tuan-tuan punyai kuda diarah supaya memanggilkan kuda masing-masing kembali semula ke tempat asal tanpa meminum air. Dari berpuloh ekor kuda itu hanya 5 ekor kuda sahaja mendengar arahan tuannya dan kembali semula tanpa meminum air yang disediakan. Kesemua kuda yang berlima ini diambil, diternakkan untuk dijadikan asas pasukan berkuda bagi kaum Muslimin, keturunan kuda ini dikenali sebagai Al-Khamsa.

Kuda-kuda arab tulin ini berasal dari beberapa buah negara arab saperti Arab Saudi, Yemn, Syria, Iraq, Turki, Iran dan juga Mesir.

Diwaktu peprangan Uhud, pasukan Muslimin mempunyai hanya dua ekor kuda sedangkan kaum Qureish mempunyai 300 ekor kuda. Dari peperangan ini, Rasullullah saw mulai mengorak langkah untuk mensyurkan supaya kaum Muslimin menternak kuda serta belajar menunggang dan memanah diatas kuda. Malah Rasullah saw sendiri pernah memiliki lebih dari 6 ekor kuda arab tulin yang masyur dan kuda-kuda beliau pernah memasuki pertandingan jarak jauh dan pernah memenangi acara pertandingan kuda lasak.

Rasullullah saw sendiri pernah beberapa kali menganjurkan pertandingan lumba kuda lasak dan beliau sendiri pernah memberi hadiah kepada pememang dengan memberi 'kain serban' yang beliau pakai kepada pemenang.

Dalam tempuh beberapa tahun sahaja, kekuatan pasukan berkuda kaum Muslimin telah bertambah begitu banyak sehingga diwaktu pemerintahan Saidia Umar Al-Khattab, pasukan berkuda tentera Muslimin begitu hebat sehingga dapat menguasai dan mengalahkan tentera-tentera Rom dengan muda.

Pada satu ketika, sewaktu Tariq Al Ziad menawan Andalusia ( Spainl) beliau membawa 2000 ekor kuda dan dapat menewas dan menawan Andalusia dengan mudah. Sewaktu Tariq Al Ziad mendarat dibumi Andalusia beliau mengarahkan Panglima perangnya supaya membakar semua kapal-kapal yang membawa tentera Muslim. Didalam dilema tersebut, beberapa orang perajurit Muslim bertanya Tariq, " Jika semua kapal-kapal ini tuan bakar, bagaimanakah kita akan kembali ke Negeri Arab ?"

Lalu Tariq mengeluarkan kata-kata sakti ini, " Tuan, tuan kaum Muslimin, kini semua kapal-kapal kita sudah dibakar, kita kini mempunyai dua pilihan, jika tuan-tuan ingin pulang dan kembali kebelakang, hanya dengan cara berenang jerung-jerung sedang menunggu tuan-tuan dilautan, tuan-tuan akan mati dimamah jerung yang ganas. Nah ! jika tuan-tuan maju kedepan musuh-musuh mu sedang menunggu. Jika kamu undur kebelakang maut sudah pasti menunggu kamu dan jika kamu maju kedepan, kamu mempunyai dua pilihan sana ada mati syaheed atau kemenangan "

Oleh kerana itu, kaum Muslim bergitu bersemangat untuk mati syheed atau kemenangan, maka mereka semuanya maju ke depan dan mereka menang dan dapat menawan Andalusia selama lebih dari 100 tahun.

Bertolak dari Andalusia (Spain) mulalah orang-orang barat mengenali kehebatan kuda-kuda arab, lalu mula membuat kacukan kuda-kuda mereka Inggeris dengan kuda-kuda arab, sehingga lahirlah apa yang kita kenali sekarang sebagai kuda baka thoroughbred.

Namun sebahagian orang-orang barat menaruh minat yang mendalam dengan kuda-kuda arab ini dan mereka menternak kuda-kuda arab ini secara solo bred atau asli dan tidak mencampurkan sedikit pun darah kuda arab ini dengan mana-mana kuda lain, dan kuda-kuda baka arab ini mereka namakan sebagai 100 % purebred arabian horses.

Mengikut catitan sejarah pertama Kuda Arab di Britain bermula pada tahun 1121 dimana Raja Scotland yang bernama Alexander 1, telah menghadiahkan seekor kuda arab kepada Gereje St Andrew. Dari masa kesemasa kuda-kuda arab dibawa masuk untuk memperbaiki mutu kuda-kuda pony Inggeris untuk meningkatkan mutu kepantasan dan ketahanan kuda-kuda Inggeris. Pada tahun 1616 Raja James 1 telah membeli kuda arab masyur dari Mr Matkham. Kemasyuran kuda-kuda Arab mula menarik perhatian bilamana Raja Charles 11 mengutus supaya dibeli lebih banyak kuda-kuda Arab Jantan dan betina untuk dibuat baka arab tulin.

Dari sinilah lahirnya kuda baka Crabbet dan lain-lain yang mempertahankan ketulinan baka kuda arab asli atau purebred.

Kini kuda arab tulin telah pun terkenal sebagai kuda terbaik didunia yang dapat menwarisi ketahanan, kecantikan dan kehebatan kuda disepanjang zaman.

Di Malaysia, Pusat Ternakan Kuda Arab mula ditubuhkan di Gelang Mas, Pasir Mas, Kelantan dengan membawa masuk 5 ekor kuda arab tulin (purebred) 2 ekor kuda jantan baka kuda arab tulin atau 100 % purebred yang bernama 'Kaaba Khan' dari keturunan Al Khamsa darah keturunan El Shakawi dan satu lagi purebred Arabian Stallion dari keturunan Simeon Shai darah keturunan Al-Khamsa, Straight Egyptian. Sementara 3 ekor lagi kuda arab pure betina ialah Nadiika, Jasmine dan Amera Esteeka..

Tuesday, March 22, 2011

Syahadah



SHAHADA
Al Habib Umar Bin Hafiz
Toronto, Canada 2011
© Mustafa Davis Photograph

This is what taking your shahada is like with Habib Umar. Right hand on your heart and left hand on your head and reading on you while asking Allah to raise you up amongst the righteous.

Istiqamah Lebih Baik dari 1000 Karamah


diambil dari selangor.ikram.org.my


Berkata Imam Abu Qasim Al Qusyairi,
"Ketahuilah sesungguhnya wali2 Allah yang haq mendapat taufik untuk kekal istiqamah untuk mengerjakan ketaatan dan terpelihara dari mengerjakan maksiat.[ Mahfuz] ISTIQAMAH ini lebih baik dari seribu karamah yang menyalahi adat.”

Sebagaimana kata sesetengah orang A ‘rif
“Istiqamah itu terlebih baik daripada seribu keramat. Ini kerana kadang-kadang dianugerahkan keramat yang menyalahi adat bagi orang belum sempurna Istiqamah.”

Berkata Syeikh Ibnu Ibad (rh) dalarn syarahannya,
“Keramat yang sebenar itu ialah jika terhasil Istiqamah dan sampai kepadanya kesempurnaan".

Tempat kembali lstiqamah itu kepada Dua :
Pertama: Sah keimanan kepada Allah A ‘zzawajalla.
Kedua: Patuh dan mengikut apa yang didatangkan oleh Rasulullah (saw) sama ada zahir maupun batin. Oleh itu, wajib ke atas hamba itu jangan berasa tamak melainkan kepada kedua-duanya. “

Keramat yang menyalahi adat tidak diakui sah oleh ulama yang sebenar kerana kadang-kadang keramat yang menyalahi adat itu dianugerahkan kepada orang yang belum sempurna lstiqamah.

Berkata Abul Hasan Asy-Syazali(ra),
”Bahawa adat lstiqamah itu ada dua keramat yang saling berhimpun dan saling meliputi antara satu sama lain.
Pertama: Keramat lman iaitu bertambah yakin dan syuhud yang nyata dengan mata kepala.
Kedua: Keramat Amal iaitu mengikut dan patuh  akan suruhan Allah Taala dan menjauhkan segala dakwaan dan tipu daya.

Setiap keramat yang tidak disertai keredhaan daripada  Allah Taala maka orang yang memilikinya akan mendapat kebinasaan dan kerugian.

Berkata Saiyidi Abul Abbas AI-Murasi (ra),
“Bukanlah maksud keramat itu, orang yang mampu menggulungkan bumi, kemudian tiba-tiba dia berada di Mekah dan di negeri-negeri lain tetapi maksud keramat yang sebenarnya ialah orang yang dapat menggulungkan segala sifat hawa nafsunya maka tiba-tiba ia sampai kepada Tuhannya.”

Diberitahu orang kepada Sahl bin Abdullah (ra) tentang beberapa tanda keramat dan keramat-keramat yang menyalahi adat. Maka berkata (ra)
“Apa tandanya, keramat-keramat yang menyalahi adat itu tetap akan hilang pada waktunya, tetapi keramat-keramat yang amat besar itu Allah Taala sendiri menggantikan perangai yang jahat yang ada pada diri anda dengan perangai yang terpuji.”

Diberitahu orang kepada Abi Muhammad AI-Murtaa’syi (ra),
“Sesungguhnya si Polan itu dapat berjalan di atas air.”
Maka dijawab oleh (ra) hamba yang ditetapkan hatinya oleh Allah Taala untuk menyalahkan hawa nafsunya itu lebih besar keramatnya daripada orang yang berjalan di atas air dan terbang di udara.

Berkata Abu Yazid (ra)
“Sesungguhnya jika seorang lelaki mendirikan sembahyang di atas air dan duduk bersila di atas udara, maka janganlah anda terpedaya dengan keadaan demikian hinggalah anda meneliti dan mempastikan sama ada ia ada mengerjakan suruhan Allah Taala dan menjauhi larangan-Nya.”

Seorang memberitahu kepada Abu Yazid (ra) bahawa ada orang mengatakan si Polan itu dapat sampai ke Mekah dalam masa satu malam saja.
Maka dijawab oleh (ra) “Syaitan juga boleh melakukannya dalam sekelip mata saja dari timur ke barat,  padahal ia dilaknati Allah.”

Kata seorang lagi, kepada (ra) “Sesungguhnya si Polan dapat berjalan di atas air.” Maka dijawab oleh (ra), “Ikan di dalam air dan burung terbang di udara, hairankah anda dengan keadaan demikian?”

Berkata Imam Junaid (ra) “Terdinding hati orang-orang yang teristimewa itu (khas) jika hanya tertumpu kepada segala kenikmatan yang lazat yang berupa anugerah Allah Taala dan terhenti kepada keramat-keramat.”

Bagi Ahli Allah, keramat-keramat yang paling baik dan afdhal ialah keramat Ma ‘nawi seperti : Ma ‘rifat Allah Taala, Berasa teramat cinta kepada-Nya, Selalu mengagung-agungkan-Nya, Berasa malu dan takut kepada-Nya, Segera menunaikan segala suruhan-Nya dan menjauhkan segala larangan-Nya, Melaksanakan ketaatan seperti tidak mengatakan  dirinya  yang melakukan ketaatan dan kebaikan  melainkan nikmat daripada Allah Taala semata-mata, disamping kurniaan dan rahmat-Nya. Oleh itu, sudah tentu mereka berasa gembira dengan keadaan demikian. 

Sebagaimana firman Allah Taala: Ertinya, “Katakanlah, dengan kurnia Allah Taala dan rahmat-Nya, hendaklah dengan itu mereka bergembira. Kurniaan Allah dan rahmat-Nya itu adalah lebih baik daripada apa yang mereka kumpulkan (lebih baik daripada mereka yang mengatakan amalannya daripada dirinya sendiri).” (Surah Yunus, ayat 58)

Firman Allah Taala lag: Ertinya, “Apa saja nikmat yang kamu peroleh adalah daripada Allah Taala.” (Surah An-Nisa’: 79).

———————————–
Sumber:
KITAB AD DARUN NAFIS
Sheikh Muhammad Nafis Idris Al Banjari

[Sumber : cahayamukmin]

Cari, tanam, tunggu buah dan makan

Carilah biji benih yang baik..


Bila dah jumpa biji benih yang baik, maka tanamlah baik-baik supaya tumbuh pokok yang baik..


Tunggulah pokok anda membesar, tunggulah dengan sabar sambil menjaganya setiap masa.. Bila sudah besar, terhasillah buah-buahnya, buah-buah yang baik kurniaan Allah Taala..


Petiklah buah-buahan anda dan makan, rasai nikmat kesedapanya anugerah Allah Taala kepada hamba-hambaNya..




Semoga kita semua dapat sampai ke peringkat makannya..



Monday, March 21, 2011

Pesanan Lukmanul Hakim


Suatu ketika, beliau mengajak anaknya keluar ke pasar. Beliau mengenderai seekor keldai manakala anaknya pula mengekorinya dengan berjalan kaki. “Teruknya orang tua ini, anaknya yang kecil dibiarkan berjalan kaki sedangkan dia bersenang-lenang menunggang keldai,”kedengaran suara dari sekumpulan manusia yang melihat mereka.
” Wahai anakku, dengarkah engkau apa yang mereka perkatakan itu?”tanya Lukmanul Hakim kepada anaknya.
“Dengar ayah,” jawab anaknya sambil mengangguk-anggukkan kepalanya.
“Sekarang engkau naiklah ke atas keldai ini, biar ayah menariknya,”katanya sambil mengangkat anaknya ke atas belakang keldai.
“Nampakkah kalian betapa anak yang tak pandai mengenang budi ayahnya yang sudah tua. Disuruhnya ayahnya menarik keldai sedangkan dia yang masih muda menunggangnya, sungguh tidak patut,” kata sekumpulan manusia lain yang mereka temui di tengah, perjalanan.
“Dengarkah engkau apa yang mereka perkatakan?” tanya Lukmanul Hakim kepada anaknya.
Anaknya mengiyakan pertanyaannya itu.
“Sekarang engkau turun dari keldai ini, dan kita sama-sama berjalan kaki,”kata Lukmanul Hakim. Anaknya segera turun dari keldai.
Tak berapa lama kemudian mereka bertemu pula dengan sekumpulan manusia yang lain. “Alangkah bodohnya orang yang menarik keldai itu. Keldai untuk dikenderai dan dibebani dengan barang-barang, bukan untuk diseret seperti lembu dan kambing,” kata mereka.
“Dengarkah engkau apa yang mereka kata?” tanya Lukmanul Hakim kepada anaknya lagi.
“Dengar ayah.”
“Kalau begitu marilah kita berdua naik ke atas belakang keldai ini,”
Tidak berapa lama selepas itu mereka terdengar perbualan sekumpulan orang yang lain pula. “Sungguh tidak bertimbang rasa mereka ini, keldai yang kecil ditunggangi berdua!” kata mereka.
Lukmanul Hakim lalu bertanya kepada anaknya, “Adakah engkau dengar apa yang mereka perkatakan?”
“Ya ayah, saya dengar.”
“Kalau begitu marilah kita dukung keldai ini,” kata Lukmanul Hakim
Dengan bersusah payah mengikat keempat-empat kaki, akhirnya mereka berjaya mendukung keldai itu. Dan dalam keadaan itu jugalah mereka mula berjalan, dengan bebanan menanggung seekor keldai. Apabila orang ramai melihat gelagat mereka berdua, mereka ketawa terbahak-bahak. “Ha! ha! ha! Hei! Lihatlah orang gila mendukung keldai!”
“Dengarkah engkau apa yang mereka katakan?” dia bertanya kepada anaknya lagi.
“Dengar ayah,” jawab anaknya.

Mereka meletakkan keldai itu ke tanah. Beliau pun menyatakan hikmah di sebalik peristiwa tadi, “Anakku, begitulah lumrah manusia. Walau apapun yang engkau lakukan, engkau tidak akan terlepas dan kata-kata mereka. Tak kira benar atau salah, mereka tetap akan mengata.”
“Ingatlah anakku bila engkau bertemu kebenaran janganlah engkau berubah hati hanya kerana mendengar kata-kata orang lain. Yakinlah dengan diri sendiri dan gantung harapanmu kepada Allah.”
Lukmanul Hakim pernah berwasiat kepada anaknya sebelum beliau meninggalkan dunia yang fana ini. “Wahai anakku, janganlah engkau makan kecuali makanan yang sedap sahaja. Berkahwinlah selalu dan binalah rumahmu di seluruh pelosok bumi ini.”
Anaknya seolah-olah tidak percaya dengan wasiat ayahnya itu. Tetapi mungkin juga ada sesuatu di sebalik kata-kata itu, fikirnya. Setelah ayahnya selesai dikebumikan dia berjumpa dengan seorang teman rapat ayahnya, lalu meminta penjelasan berkenaan kata-kata wasiat ayahnya itu dengan penuh sangsi.
“Ayahmu memang benar,” kata teman ayahnya.
Dia semakin bingung dengan jawapan itu lalu bertanya, “Apakah maksud pak cik?”
“Wasiat ayahmu yang pertama bermaksud janganlah engkau makan kecuali apabila telah benar-benar lapar, kerana apabila engkau sudah terlalu lapar engkau akan merasa makanan yang engkau makan itu begitu lazat dan engkau akan bersyukur dengannya.”
“Berkenaan wasiat ayahmu yang kedua pula, hendaklah kamu selalu berkelana, kerana apabila engkau bertemu semula dengan isterimu setelah lama terpisah, engkau akan berasa seperti baru berkahwin. Dan wasiat ketiganya, yang menyuruh engkau membina sebanyak-banyaknya rumah ialah, carilah sahabat seramai mungkin. Apabila engkau telah bersahabat dengan seseorang maka rumahnya akan menjadi seperti rumahmu sendiri dan rumahmu juga sudah seperti rumahnya.”
Setelah mendengar penjelasan itu barulah dia faham maksud sebenar dan kata-kata ayahnya, yang pada mulanya dianggap aneh itu. Memang luar biasa insan yang bergelar Lukmanul Hakim ini, katanya satu hikmahnya beribu.?

[Kredit to deamira.com]

PERANAN TASAWWUF DALAM USAHA MEMBANGUNKAN KEGEMILANGAN UMAT ISLAM

Disampaikan : SHAIKH DR HJ JAHID HJ SIDEK AL-KHALIDI
Program : SEMINAR TASAWUFAnjuran : JABATAN MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN
Tarikh/Hari : 12 DISEMBER, 2009 / 25HB ZULHIJJAH 1430H (SABTU)
Masa : 9.00 HINGGA 10.00 PAGI
Tempat : DEWAN INSTITUT KEFAHAMAN ISLAM MALAYSIA (IKIM)

Pendahuluan
Kertas kerja ini akan menyentuh serba ringkas mengenai Ilmu Tasawuf dan kedudukannya di dalam Islam. Prinsip-prinsipnya yang asas seperti zikrullah dan suhbah juga akan dijelaskan. Sifat dan ciri-ciri umat Islam yang unggul dan gemilang seperti yang digambarkan oleh Allah dalam Qur’an dan juga Sunnah turut dibicarakan, bagaimana tasawuf dapat membangunkan semula umat Islam yang sudah lemah sehingga mereka menjadi agung dan gemilng semula juga akan diterangkan. Akhirnya kertas kerja ini akan menyentuh bagaimana tasawuf telah memberi suatu sumbangan yang besar dalam bidang politik dan sosial umat Islam. Mengenai peranan tasawuf dalam membangunkan ilmu pengetahuan dan kemajuan sains nampaknya penulis tidak sempat menyentuhnya kerana kertas kerja ini disiapkan dalam masa dua hari sahaja.

Ilmu Tasawuf
Asas agama Islam ialah Iman, Islam dan Ihsan. Tiga asas agama Islam ini terdapat dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Sayyidina Umar al-Kattab r.a. di mana rasulullah memberi jawapan soalan Jibril a.s. mengenai iman dengan menyebutkan rukun iman yang enam, mengenai Islam dengan menyebutkan rukun Islam yang lima dan ihsan pula dengan sabdanya yang bermaksud:
“Ihsan ialah anda beribadat kepada Allah seolah-olah anda melihatnya. Jika anda tidak melihatnya sesungguhnya Allah melihat anda”.
Dari iman yang rukunnya enam lahirlah ilmu tauhid, dari Islam yang rukunnya lima lahirlah ilmu fekah dan dari Ihsan lahirlah ilmu tasawuf. Jadi tauhid, fekah dan tasawuf adalah tiga ilmu yang asas dalam Islam yang wajib dipelajari ketiga-tiganya oleh setiap mukallaf.
Al-Sayyid Muhammad Siddiq al-Ghumari pernah menegaskan dengan katanya:

“Sesungguhnya sebagaimana yang terdapat dalam hadis (jibril ) itu agama Islam itu terdiri dari tiga rukun tersebut (iman, Islam dan Ihsan). Maka sesiapa yang membuangkan bahagian ihsan iaitu tasawuf, agamanya menjadi kurang tanpa keraguan lagi, kerana ia telah meninggalkan satu rukun daripada rukun-rukunnya. Maka tujuan tasawuf ialah (pencapaian) ihsan itu, setelah seseorang itu dapat menghayati dengan sebenarnya iman dan Islam”.(al-Ghumari, al-Intisar li Tariq al-Sufiyyah, h.6)
Dari sudut tersebut maka dapat kita pandang bagaimana tasawuf itu merangkumi seluruh agama Islam itu sendiri. Memang tepatlah apa yang dikatakan oleh shaykh al-Hujwiri tentang kandungan tasawuf itu adalah semua syariat, sehingga beliau mengatakan:
“Sekiranya mereka (orang-orang yang menolak tasawuf) itu mengingkari nama tasawuf, tidaklah mengapa. Jika mereka mengingkari berbagai-bagai makna (yang terkandung di dalamnya), maka berertilah mereka mengingkari seluruh syariat nabi Muhammad s.a.w. dan ciri-cirinya yang terpuji”.(al-Hujwiri, Kashf al-Mahjub, j. 2, h.239)



Di dalam al-Qur’an pula terdapat banyak ayat-ayat Qur’an yang dapat dianggap sebagai asas ilmu tasawuf. Antaranya ialah ayat 2 surah al-Juma`ah. Di dalam ayat tersebut tugas nabi mengajarkan umatnya tiga ilmu yang berkait dengan tauhid sehingga dapat membersihkan akidah manusia, berbagai-bagai hukum yang terdapat dalam Qur’an (fekah) dan ilmu hikmah ilahiyyah atau ilmu tasawuf. Al-hikmah dalam ayat tersebut ditafsirkan oleh setengah ahli tafsir sebagai huraian ilmu agama yang meluas dan mendalam di samping ia juga ditafsirkan sebagai hadis-hadis nabi. Tafsiran tersebut memang menepati dengan maksud ilmu tasawuf. Makna tersebut akan lebih jelas apabila kita hubungkan makna hikmah tersebut dengan ayat 269 surah al-Baqarah:

Maksudnya: “Allah memberikan hikmah kepada sesiapa sahaja yang dikehendakiNya dan barang siapa yang diberi hikmah sesungguhnya dia telah diberi kebajikan yang banyak dan tidak ada yang mengambil pelajaran kecuali orang-orang ulul albab”.

Ibn Ataillah (w. 709H) yang telah menyusun kitab yang terkenal al-Hikam, kerana kitab tersebut mengandungi pelbagai hikmah ilahiyyah dan berbagai hikmah ilahiyyah itulah ilmu tasawuf. 

Di samping itu memang terdapat banyak ayat al-Qur’an yang menyuruh manusia bertaubat bersabar bersyukur takutkan Allah bergantung harap sepenuhnya kepada Allah bertawakkal kepada Allah reda, kasih kepada Allah, khusyuk hati tawaduk dan sebagainya lagi. Di samping itu juga terdapat ayat-ayat yang melarang manusia dari berbagai sifat tercela seperti sombong, hasad dengki, mengumpat, fitnah, ujub, riak, lalai hati dan sebagainya lagi. Semua perkara yang berkait dengan sifat-sifat terpuji dan sifat-sifat tercela yang disebut dalam Qur’an, memang menjadi perkara yang dibahaskan di dalam ilmu tasawuf sehingga timbullah kaedah takhalli dan tahalli, ahwal qalbiyyah dan maqamat qalbiyyah.
Kerana itu maka shaykh al-Junayd al-Baghdadi (w. 297H) pernah menyatakan bahawa:

علمنا هذا مقيد بالكتاب والسنة من لم يقرأ القرآن ويكتب الحديث لا يقتدى به في علمنا هذا

Maksudnya: “Ilmu kami ini (tasawuf) terikat kuat dengan al-Qur’an dan Sunah. Sesiapa sahaja yang tidak mempelajari al-Qur’an dan hadis maka ajarannya tidak boleh diikuti (tidak boleh dijadikan guru)”.
Shaykh Abd Wahhab Sha`rani telah memberi amaran kepada sesiapa saja menolak dan mengingkari ajaran tasawuf kerana kebenarannya tidak dapat ditolak lagi. Beliau menegaskan dengan katanya: 

وإياك أن تقول طريق الصوفية لم يأت بها كتاب ولا سنة فإنه كفر فإنها كلها أخلاق محمدية سداها ولحمتها منها
Maksudnya: “Dan jangan sekali-kali kamu mengatakan jalan orang sufi (tasawuf) itu tidak terdapat di dalam Qur’an dan Sunnah, kerana ia adalah suatu kekufuran. Sesungguhnya keseluruhan ajaran tasawuf itu merupakan akhlak Muhammadiyyah.”(al-Sha`rani, al-`Uhud al-Muhammadiyyah, j. 1, h. 2)
Oleh sebab itu dapat kita tegaskan di sini bahawa rasulullah s.a.w. boleh dianggap sebagai bapa golongan sufiyah dan para sahabat nabi adalah golongan sufiyyah yang pertama yang pernah berlaku di dalam sejarah umat Islam.
Dilihat dari sudut perkembangan kajian berbagai bidang ilmu Islam, maka kita dapati ilmu tasawuf telah diijtihadkan oleh para ulama’ tasawuf (sufiyyah) sebagaimana ilmu tauhid diijtihadkan oleh mutakalimun, dan ilmu fekah telah diijtihadkan oleh para fuqaha’. Sejarah ijtihad dalam ketiga-tiga bidang ilmu tersebut telah berlaku sejajar dan serentak. Sebagai contoh, Imam Ahmad Ibn Hanbal yang menumpukan ijtihadnya dibidang fekah meninggal dunia pada tahun 241H. mazhabnya kita kenali sebagai mazhab Hanbali. Shaykh Abu Harith al-Muhasibi telah menumpukan ijtihadnya dibidang ilmu tasawuf telah berpuluh-puluh karya dibidang tasawuf termasuklah kitabnya yang terkenal iaitu al-Ri`ayah li Huquq Allah. Malahan Imam Abu Hanifah (w. 150H), Imam Malik (w.176H) dan Imam Syafie (w.204) telah belajar dan beramal dengan ilmu tasawuf. Imam Malik terkenal dengan kata-katanya yang bermaksud:
“Sesiapa yang belajar dan beramal dengan fikah sahaja, dia menjadi fasik (berdosa besar). Sesiapa belajar dan beramal dengan tasawuf sahaja maka dia menjadi zindik. Sesiapa yang belajar dan beramal dengan kedua-duanya sesungguhnya ia mencapai hakikat Islam yang sebenar.”
Imam Shafie yang belajar ilmu tasawuf dari seorang ahli tasawuf iaitu Shayban al-Ra`i pernah mengajak kita belajar ilmu tasawuf menerusi kata-katanya yang terkenal:

“Sesiapa yang mahu dibukakan (berbagai hijab) hatinya oleh Allah dan Allah akan memberikan ilmu (secara ladduni), maka wajiblah ia berkhalwat, wajiblah ia mengurangkan makan, wajiblah ia menjauhi dari orang-orang yang bodoh dan wajib juga menjauhkan diri dari sebahagian ulama’, iaitu ulama’ yang mengikutkan hawa nafsu dan ulama’ yang tidak beradab sopan.”

Tasawuf boleh juga diibaratkan sebagai nyawa bagi tubuh badan manusia. Jika tubuh badan manusia tidak bernyawa ia tidak akan dapat hidup dan bergerak, maka begitulah juga keadaannya orang beragama tanpa beramal dengan tasawuf, sudah pasti ia tidak akan mendapat hakikat penghayatan yang sebenar kerana tanpa tasawuf, maka agama Islam bukan sahaja tidak akan sempurna tapi juga akan menjadi lemah dan tidak bermaya.
Dapat disimpulkan bahawa ilmu tasawuf adalah ilmu yang sememangnya disyariatkan oleh Allah dalam Islam. Ia adalah sebagai bahagian yang sangat penting dalam Islam kerana ilmu tasawuf menyentuh perkara kerohanian khasnya aspek hati, ruh dan sirr. Ilmu tasawuflah yang membolehkan seseorang mukmin dapat kurnia daripada Allah hakikat dan makrifatullah. Sebab itulah Imam Ghazali sanggup meletakkan jawatan menjualkan semua harta dan berpindah daripada Baghdad ke Kota Damsyik semata-mata belajar dan beramal ilmu tasawuf sehingga beliau dikurniakan makrifatullah. Mengenai perkara tersebut beliau menyimpulkan dengan katanya terkenal:

فأما معرفة الله تعالى وصفاته وأفعاله وجميع ما أشرنا إليه في علم المكاشفة فلا يحصل من علم الكلام بل يكاد أن يكون الكلام حجابا عليه ومانعا عنه وإنما الوصول إليه بالمجاهدة التي جعلها الله سبحانه مقدمة للهداية

Maksudnya: “Ma`rifatullah, sifat-sifat, perbuatanNya dan semua perkara yang telah kami nyatakan dalam topik `Ilm Mukashafah (terdahulu) tidak mungkin boleh dicapai oleh seseorang menerusi (mempelajari) Ilmu Kalam. Bahkan berkemungkinan besar Ilmu Kalam tersebut menjadi penghalang utama yang menghijabkan seseorang daripada mengenal Allah. Sebaliknya, cara sebenar (untuk mengenal Allah) ialah melalui mujahadah (bersungguh-sungguh mengerjakan ibadat) yang telah dijadikan Allah sebagai permulaan bagi hidayatNya.”(al-Ghazali, Ihya’ `Ulum al-Din, j.1, h. 33)
Mujahadah yang dimaksudkan oleh Imam Ghazali tersebut ada diterangkan oleh Ibn Khaldun dalam kitabnya Shifa’ al-Sail, iaitu mujahadah al-kashf wa al-Atla` atau mujahadah yang membolehkan seseorang dikurniakan oleh Allah dengan diangkatkan berbagai-bagai hijab hati sehingga pandangan hati akan nampak sebahagian rahsia-rahsia Allah di alam malakut. Misalnya seperti yang Allah ceritakan dalam ayat 190 surah Ali `Imran.
Maksudnya: “Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal. (Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): "Wahai Tuhan kami! tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha suci engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.”


[Sumber : naqshabandiyyah.blogspot]

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails