Monday, January 31, 2011

Mudahnya manusia menyengutukan Allah...

Manusia dilarang menyengutukan Allah dengan sesuatu pun maka janganlah juga kita menyengutukan Allah dengan diri sendiri melalui kekuatan dan daya upaya diri sendiri seolah-olah merasa sudah cukup kuat dan mampu berdiri sendiri padahal ia semuanya dengan pertolongan Allah (Rahmat, taufiq hidayat dan kurniaNya). Cukuplah kisah Iblis dan Qarun sebagai teladan buat hamba-hambaNya. 

Bersandarlah sebulat-bulatnya kepada rahmat Allah dan fahamI serta hayatilah erti sebenar kalimah LA ILAHA ILLALLAH & LAHAULA WALA QUWATA ILLA BILLAH HIL ALIYIL A’ZIM 

Jadi sudah berapa ramaikah di antara hamba-hambaNya yang telah menyengutukan Allah tanpa sedar ? 

Sama-samalah kita memperbaiki diri masing-masing


Bertuankan keldai



Suatu hari, seorang pemuda diserahkan oleh bapanya kepada seorang guru sufi untuk dididik cara mengawal nafsunya.

"Siapkan bekalan. Mari ikut saya bermusafir," kata guru sufi itu sebaik sahaja pemuda itu tiba di madrasahnya. Pemuda itu agak terkejut kerana dia masih keletihan akibat perjalanan yang jauh ke madrasah guru sufi itu.

"Apa yang perlu saya bawa?""Bawa pakaian sehelai dua," jawab guru sufi.

Mereka pun memulakan perjalanan yang agak jauh.
Setelah agak lama,mereka menemui satu bukit yang agak tinggi. 

"Kita akan mendaki bukit ini."
"Mana jalannya?"
"Kita susuri jalan di tepi lereng bukit," kata guru sufi.
"Nanti, nanti... saya sangat keletihan. Alangkah baik jika ada keldai. Kita boleh menunggangnya."
"Kamu hendak menunggang keldai? Baiklah, mari kita membelinya dahulu."

Dalam hatinya berasa lega, dia tidak akan terpaksa berjalan lagi. Dia sangat-sangat keletihan. Setelah guru sufi membeli dua ekor keldai, dia pun berkata, "Sekarang ada dua ekor keldai.
Saya akan menunggang salah seekor daripadanya..." 
"Dan saya akan menunggang seekor lagi," pintas pemuda itu.
"Tidak!" kata guru sufi itu.
"Mengapa?"
"Jangan bertanya, patuh saja!" 
Pemuda itu terkejut, tapi tidak berani melawan.
"Habis, kita akan biarkan seekor keldai ini berjalan tanpa membawa apa-apa beban?"
 "Tidak, sebaliknya kamulah yang akan memikulnya!"
 "Memikul keldai menaiki bukit yang tinggi itu?"
"Ya. Pikul keldai itu dan naik ke atas bukit," jawab guru sufi itu pendek dan tajam.

Maka dengan susah payah, dia memikul keldai itu sambil menyusuri jalan di tepi lereng bukit itu. Termengah-mengah. Dia benar-benar keletihan. Sebaliknya guru sufi bersantai-santai menaiki keldainya berjalan di hadapan pemuda itu. Belum sampai separuh perjalanan,pemuda itu pun jatuh keletihan. Dia hampir pengsan. Setelah merawat si pemuda dan memberinya minuman,guru sufi itu pun berkata,

"Anakku,keldai itu umpama nafsumu. Allah ciptakan nafsu untuk kau menungganginya bukan kau ditunggangi olehnya."

 "Maksud tuan?"

"Dengan menurut nafsumu, kau akan disusahkannya. Jiwa, hati dan badanmu akan kelelahan. Kehendak nafsu tidak ada batas dan tidak pernah puas. Lepas satu-satu kehendak dan kerenahnya. Ini samalah dengan kau memikul keldai dan menaiki bukit yang tinggi."

Pemuda itu terdiam. 

"Sebaliknya, jika kau menunggangi nafsu dengan mengawal dan menguruskannya, kau akan mendapat kemudahan dalam menjalani kehidupan. Nafsu berguna selagi dia menjadi hamba tetapi apabila dijadikan tuan, apalagi tuhan, maka hidup kita akan dihancurinya.""

"Seperti saya yang memikul keldai tadi?"

"Ya. Dan lihat pula betapa mudahnya menyusuri jalan di lereng bukit itu dengan menaiki keldai. Begitulah nafsu apabila dikawal dan digunakan ke arah kebaikan." 

"Orang yang mengikut perintah hawa nafsunya bagaikan memikul keldai menaiki bukit!"

Pengajaran: Nafsu adalah sebahagian daripada diri kita yang jika tidak dikawal akan menyusahkan kita. Oleh sebab itu, kawallah nafsu bukan kita dikawalnya. 


- Artikel iluvislam.com : 

Thursday, January 27, 2011

Usaha, Takdir dan Kejayaan..


Takdir tu hak Allah sejak kita azali lagi. 

Jadi serahkanlah segala takdir, berserah dan bertawakallah kepada Allah sebulat-bulatnya DISAMPING berusaha dalam hidup kerana berusaha itu adalah SUNNATULLAH serta menjadi SEBAB shj, dan berusaha itu juga adalah suatu IBADAH yang sekiranya niat kerana Allah Taala maka insyaAllah akan dinilai olehNya dan jika tidak maka segalanya adalah bagaikan debu berterbangan, yang mana kita tidak mampu mendapatkan sedikit manfaat pun dari penat lelah kita selama itu..

Kejayaan, Akhirat didahulukan namun jangan lupa bahagian kita di dunia ini. "Akhirat akhirat juga tapi dunia jangan lupa" bukannya "Dunia dunia jugak akhirat jangan lupa" spt selalu kita dengar..

Untuk berjaya kita harus berusaha, jika ada peluang kita usahakan peluang itu untuk berjaya. Tapi harus diingat, usaha itu adalah SEBAB sahaja untuk kita berjaya, hakikatnya kejayaan itu milik Allah. Terpulanglah padaNya kepada siapa Dia ingin berikan kejayaan atau kegagalan. 

Ibarat kita menyuapkan nasi ke mulut, mengunyah dan menelan, itu semua adalah beberapa sebab dan usaha untuk kita merasa kenyang padahal kenyang itu adalah hak Allah. Sekiranya Dia tidak menginginkan kita kenyang maka tidaklah kita kenyang hatta berpinggan-pinggan nasi kita makan, dan sekiranya Dia menginginkan kita kenyang maka hanya dengan sebiji buah kurma sahaja sudah mampu membuatkan seorang hambaNya kenyang. 

Jika kita terlalu yakin bahawa semua kejayaan itu datang dari hasil usaha kita dan bukannya datang dari Allah Taala maka kita bukanlah seorang 'hamba yang bersyukur'. Segala yang baik dan buruk itu datang dari Allah SWT, itu telah ditetapkan tapi kita sebagai hambaNya perlulah mengakui segala yang buruk itu adalah kesalahan kita supaya kita selalu beringat, bersyukur serta selalu memohon ampun kepada Allah. Sebab ini jugalah Rasulullah SAW selalu menangis memohon ampun kepada Allah Taala padahal baginda sudah dijamin Allah kedudukan yang tertinggi di sisiNya, begitu juga sahabat-sahabat.

"Tadbirlah hidup kita sebaik-baiknya, namun beringatlah bahawa takdir Allah sentiasa mengatasi tadbir insan."

Kejayaan, akhirat didahulukan namun jangan lupa bahagian kita di dunia ini. "Akhirat akhirat juga tapi dunia jangan lupa" bukannya "dunia dunia jugak akhirat jangan lupa" spt selalu kita dengar.. 

Tunaikan dahulu hak kita dengan Allah, hak kita dengan orang lain dan kemudian hak kita dengan diri sendiri..

 Manusia bersifat 'LAHAULA WALA QUWATA ILLA BILLAH HIL ALIYIL A’ZIM'

Sama-samalah kita..

Wallahualam..

Tuesday, January 25, 2011

Takdir dan Tadbir



"Tadbirlah hidup kita sebaik-baiknya, namun beringatlah bahawa takdir Allah sentiasa mengatasi tadbir insan."

DUIT RM

Bismillahirrahmanirrahim.


DUIT ?

Apa yang ada dengan DUIT ? Apa yang anda tahu tentang DUIT?

Masa zaman sekolah dahulu ustaz-ustaz atau ustazah selalu pesan pada kita tentang D.U.I.T ini. Betul tak?

Ye, D.U.I.T...

D  = DOA
U  = USAHA
I   = IKHTIAR
T  = TAWAKAL 

Masih ingat lagi? Kebanyakan daripada kita semua pasti amalkan konsep DUIT ini walaupun barangkali mungkin ada segelintir yang tidak berbuat demikian.

Tak perlu saya ulas mengenai konsep D.U.I.T. ini lagi kerana saya amat pasti anda anda dan anda semua tentunya sudah memahami konsep ini.

Apa yang saya ingin beritahu kali ini adalah peringkat setelah habisnya 'DUIT' itu tadi. Ya, selepas habisnya 'DUIT' ini apa yang kita perlu lakukan atau fahamkan.


DUIT RM

Yang pertama adalah R.

Mengapa R? 
Kerana  R merupakan peringkat kita REDHA dengan segala hasil/akibat/keputusan/kesan yang telah di tentukan oleh Allah selepas habisnya peringkat TAWAKAL itu tadi. 

Kita harus redha dengan Allah, redha dengan Allah di sini adalah bermaksud terima dengan sebulat hati, terima dengan senang hati, terima dengan ikhlas segala ketentuan Allah untuk kita. 

Lagi-lagi sekiranya ketentuan itu berlawanan dengan apa yang kita harapkan. Cthnya, kita harapkan keputusan yang cemerlang setelah D.U.I.T. itu tadi tetapi ketentuanNya adalah kita gagal, maka gagal itulah kita harus terima dengan redha, terima dengan senang hati. 


Redha ini juga bukan sahaja untuk musibah-musibah yang besar sahaja bahkan daripada musibah yang sekecil-kecilnya seperti tersadung batu, terseliuh sehinggalah kepada peringkat kehilangan nyawa mahupun kehilangan harta benda sekalipun. 

Tidak semestinya apa yang baik itu adalah baik untuk kita, dan apa yang buruk itu adalah buruk untuk kita. Ingatlah bahawa Allah sudah aturkan apa yang terbaik buat kita sebelum kita dilahirkan lagi dan Allah sudah menentukan keperluan yang mencukupi buat setiap hamba-hambaNya. 

Cumanya kita sebagai hambaNya selalu tidak bersyukur dengan rezeki dan nikmat kurniaan Allah. Sebab itu kita buta. Buta dengan keagungan, kebesaran dan kasih sayang Allah kepada kita padahal segalanya amat jelas lagi kukuh. 

Namun untuk capai redha (Jiwa Redha) dalam erti sebenarnya amatlah susah. Ianya memerlukan hati yang benar-benar bersih, bersih dan berkilau. Bagaimana ingin mendapatkan hati yang bersih dan berkilau? Jawapannya adalah Taubat Nasuha sebagai pembersihnya dan untuk kilauannya adalah Zikirullah. Istiqamahlah dalam amalan.. InsyaAllah..

Peringkat seterusnya adalah peringkat M.

Mengapa M?
Kerana M merupakan peringkat MEREDHAI (kita diredhai). Tapi bukan kita yang meredhai tapi Allah lah yang meredhai kita. Selepas kita redha dengan segala ketentuanNya maka insyaAlllah Allah akan redha dengan kita. Bagaimana Allah ingin redha dengan hambaNya jika hambaNya tidak redha denganNya? Siapa kita inginkan redhaNya jika tidak pernah redha dengan Allah? 


Apabila hidup ini telah diredhai Allah maka tenanglah hati ini. Masuklah ke dalam golongan hamba-hambaKu, dan masuklah ke dalam syurgaKu. Ini adalah berdasarkan firman Allah : 


يَـٰٓأَيَّتُہَا ٱلنَّفۡسُ ٱلۡمُطۡمَٮِٕنَّةُ (٢٧) ٱرۡجِعِىٓ إِلَىٰ رَبِّكِ رَاضِيَةً۬ مَّرۡضِيَّةً۬ (٢٨) فَٱدۡخُلِى فِى عِبَـٰدِى (٢٩) وَٱدۡخُلِى جَنَّتِى (٣٠)  [30-27:Surah al-Fajr]
Maksudnya :  Hai jiwa yang tenang (Muthmainah). (27) Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang redha lagi diridhai-Nya. (28) Maka masuklah ke dalam golongan hamba-hamba-Ku, (29) dan masuklah ke dalam surga-Ku. (30)


'LAHAULA WALA QUWATA ILLA BILLAH HIL ALIYIL A’ZIM'

Sekian.

Wallahualam.

Saturday, January 22, 2011

Hamba dan Rajanya..

Raja tetap Raja, hamba tetap hamba. 

Jika ada hamba maka adalah Rajanya tetapi jika ada Raja tidak semestinya ada hamba. 

Raja tidak memerlukan hambanya, sebaliknya hambalah yang amat memerlukan Rajanya. 

Bertuah dan beruntunglah kepada sesiapa yang dapat mengenali Rajanya, sekiranya sudah kenal maka tenanglah hambanya berbakti dengan penuh nikmat untuk Rajanya. 

Dan hanya hamba yang sudah mengenali Rajanya sahaja dapat mengenal pasti siapakah Rajanya walaupun akan ada beribu yang menyamar sebagai Rajanya.

Amat rugilah hamba yang tidak mengenali Rajanya.


-Tukang Karut-  

Fakir, Miskin dan Kaya...

“Orang fakir yang bersabar itu lebih baik berbanding orang kaya yang bersyukur. Dan orang miskin yang bersyukur itu lebih baik berbanding keduanya. Bahkan orang fakir yang sabar dan syukur itu lebih baik berbanding kesemuanya” 
- Syeikh Abdul Qadir Al-Jailani (w.561 H) -



Persoalannya, pada zaman ini,

Berapa ramai 'orang fakir yang bersabar'?

Berapa pula bilangannya 'orang kaya yang bersyukur'?

'Orang miskin bersyukur' juga bagaimana? Masih ramaikah?

Begitu juga dengan 'orang fakir yang sabar serta bersyukur'?

dan

Kita? Kita di mana? Yang mana satu? Apa pilihan kita?

Thursday, January 20, 2011

Tiada daya upaya dan kekuatan melainkan dengan bantuan Allah



Fikir-fikirkan, mengapa bahagian laungan azan atau pun iqamat :

"حي على الصلاة" 
 (Marilah menunaikan solat) 

dan  

"حي على الفلاح" 
 (Marilah menuju kemenangan)

dijawab dengan

"لا حول ولاقوة إلا بالله" 
 (Tiada daya upaya dan kekuatan melainkan dengan bantuan Allah) ??



Mengapa? Renungkan...


Wednesday, January 19, 2011

Mesut Kurtis - Qasidah Burdah

Apa yang sudah kita lakukan untuk agama Allah?


Burung Pipit

Ingatan bagi pelupa: Kisah burung bantu padam api wajar jadi iktibar


DARIPADA Amir bin Saad, daripada bapanya (Saad bin Abi Waqas) katanya: “Sesungguhnya Nabi SAW memerintahkan supaya membunuh cicak dan baginda menamakannya sebagai ‘si penjahat kecil’.” (Hadis riwayat Muslim) 



Berlaku kisah di zaman Nabi Ibrahim semasa Baginda dibakar oleh kaumnya, seekor burung kecil terbang berulang alik mengisi air dalam paruhnya lalu menyiram ke atas api yang membakar. Itulah yang dilakukannya berulang kali.


Tingkah lakunya diperhatikan makhluk Allah yang lain lalu bertanya kepada burung kecil itu: “Untuk apa kau berpenat lelah mengambil air berulang alik, sedangkan api yang membakar Nabi Ibrahim tidak akan terpadam dengan air yang kau siramkan itu.


Lalu dijawab oleh burung berkenaan: “Memang ia tidak akan dapat memadamkan api itu, tetapi aku lebih takut kepada Allah kerana Allah akan menyoal aku nanti, apakah yang aku sudah lakukan untuk agama Allah, dan Allah tidak akan bertanya sama ada aku berjaya memadamkan api itu atau pun tidak.” 


Berlainan pula dengan cicak yang bertindak jahat dengan menghembus kepada api yang membakar Nabi Ibrahim dengan harapan api akan menjadi lebih marak untuk terus membakar Nabi Ibrahim (walaupun sebenarnya hembusan itu tidak membawa kesan ke atas api berkenaan). 



Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) 

* Note : Setengah riwayat mengatakan burung kecil itu adalah burung pipit.

Kesimpulan : Walaupun sesetengah orang akan mempertikaikan tindakan kecil kita yang dikatakan tidak memberi kesan dalam perkembangan agama Islam, namun hakikatnya usaha kecil itulah antara bukti kecintaan kita terhadap Allah, terhadap agama Allah. Allah tidak menyoal samada tindakan kita itu berjaya atau gagal, tetapi ingatlah bahwa Dia akan menyoal kita, Apakah yang sudah kita lakukan saat itu untuk Aku (agama Islam)? Apakah kita akan menjawab kelak : "aku hanya melihat sahaja ya Allah"??


'LAHAULA WALA QUWATA ILLA BILLAH HIL ALIYIL A’ZIM'

Wallahualam

Doa hamba yang hina

Duhai Allah, 
Wahai yang Maha Menatap,
Wahai yang Maha Dekat,
Wahai yang mendegupkan setiap jantung,
Yang menghela setiap nafas.

Ya Allah, 
Engkaulah yang menghimpunkan kami,
Betapa tebalnya hijab ini ya Rabb, 
sehingga kami tidak dapat mendekat kepadaMu, 
kerana maksiat yang melumuri diri ini.

Ya Allah, 
betapa gelap hati kami,
kerana lumuran dosa yang kami perbuat, 
sehingga tiada nampak keagunganMu, 
padahal segalanya begitu jelas dan kukuh.

Ya Allah, 
begitu nista diri kami, 
hingga kami malu untuk mengharapkan kedudukan disisiMu, 
tetapi kepada siapa lagi kami memohon 
untuk perbersihkan diri ini selain kepadaMu

Duhai yang Maha Mendengar, 
ampuni sebusuk apa pun diri kami,
ampuni jikalau nafsu sering menjerumus kami,
ampuni jikalau syahwat sering berbuat kami membuat maksiat,
ampuni jikalau amarah sering menggelincirkan kami berbuat 
hina dan nista,

Ya Allah, 
Sebusuk apa pun diri kami,
Kami tetap berharap agar bisa memiliki kedudukan di sisiMu,

Jangan biarkan dunia ini menyilau dan memperdayakan kami,
Tampakan ya Allah kehinaan dunia ini, namun berikan kami 
kesempatan kepada kami berbuat sesuatu yang terbaik di dunia ini,

Ya Allah,
Bimbinglah kami agar nafsu ini benar-benar berada di jalan yang
Engkau sukai dan redhai,
Jangan biarkan kami luluh dengan godaan, tergelincir, terjerumus ya Allah,

Ya Rabb, berikan kesempatan bagi kami untuk kembali kepadaMu. 

-Doa by KH. Abdullah Gymnastiar (Ustaz Aa Gym)



Belajar dan Berkerja ---> Suatu ibadah

Belajar itu ibadah, berkerja juga ibadah.

Namun, berapa ramai di kalangan umat akhir zaman sekarang ini yang benar-benar menjadikan belajar dan berkerja itu menjadi ibadah, lagi-lagi sehingga ianya diterima Allah?

Iman --> Islam --> Ihsan.

Jika kita benar-benar sudah faham, maka tidur pun boleh jadi suatu ibadah malah setiap hela nafas dan setiap degup jantung kita juga adalah suatu bentuk ibadah kepada Allah. 

Bisakah kita capai? 

"Duhai Allah, Yang menghela setiap nafas, Yang mendegupkan setiap jantung, ampunilah segala dosa-dosa kami, dosa-dosa yang membuatkan kami jauh dari Engkau Ya Allah, dosa-dosa yang membuatkan kami buta keagunganMu, yang membuatkan kami lupa bersyukur kepadaMu Ya Allah..Ampunilah kami duhai Allah." 

Berkerja, makan dan minum

Orang Islam dilarang berkerja di premis yang menjual dan menghidangkan arak.

Jika berkerja pun dilarang, apatah lagi jika makan dan minum di situ. 

Malangnya ramai yang tidak ambil peduli. 

Barangkali belum celik mata hati... 

Tuesday, January 18, 2011

Kami yang bergelar manusia..



"Awal agama adalah mengenal Allah"

Jika manusia tidak mengenal Penciptanya, tidak mengenal tuhannya, maka kepada siapa pula segala ibadah itu dipersembahkan? Kepada siapa manusia mengadap? Bagaimana mahu 'online' ?

Hakikatnya manusia itu sendiri sudah lama kenal tuhannya. Sudah lama berjanji dengan tuhannya.

Itu semua perjanjian lama yang abadi. Masih ingat? Yang kebanyakan manusia sudah lupakan, namun perjanjian itu sebenarnya masih lagi utuh dan tunggu sahajalah harinya nanti. Baru tahu tinggi rendah... 

Bukannya Melayu mudah lupa, tetapi kebanyakan manusia itu sebenarnya memang mudah lupa. 

Manusia manusia..

Tahu dan kenal? Kan dua perkara yang berbeza?

Kadang-kadang Dia bagi kita faham dahulu kemudian baru dapat rasa. Kadang-kadang juga, Dia akan bagi kita rasa dahulu kemudian baru dapat faham. 

Ah.. biarkan sahaja segala persoalan rasa & faham itu, yang penting kita buat sahaja kerja kita di atas jalan yang sudah ada. 

Jalan? Jalan yang mana satu?

Terserahlah kepadaNya bagaimana..

-Tukang Karut-

UFO lawat Menara KL?



OBJEK terbang yang tidak dikenali atau UFO (dalam bulatan) dirakam di ruang udara Menara Kuala Lumpur pada Selasa lalu.


KUALA LUMPUR - Seorang penyelia kanan sebuah projek pembinaan di sini terkejut apabila mendakwa terlihat satu objek pelik yang dirakamnya melalui telefon bimbit melintasi ruang udara Menara Kuala Lumpur Selasa lalu.
Abdul Jalil Ibrahim, 50, berkata, pada kejadian pukul 7.46 pagi Selasa lalu, dia sedang merakam pemandangan awan dari tingkat 51 sebuah bangunan yang sedang dibina di sebelah sebuah hotel di Jalan Ampang di sini menggunakan telefon bimbit milik kawannya.
"Pada mulanya saya tidak menyedari ada objek pelik seakan-akan UFO (Objek Terbang Yang Tidak Dikenali) di dalam rakaman ini tetapi selepas empat hari, rakan setugas saya beritahu ada benda pelik pada gambar yang saya rakam dengan telefon bimbitnya.
"Apabila diteliti, saya terkejut melihat sebuah objek pelik berbentuk piring dan bujur berwarna hitam di ruang udara Menara KL," ceritanya lagi ketika ditemui Kosmo! semalam.
Bagaimanapun Abdul Jalil berkata, dia tidak dapat mengesahkan apa sebenarnya objek berkenaan walaupun jarak tapak binaan dengan Menara KL hanya sejauh satu kilometer.
[KosmoOnline]

Monday, January 17, 2011

Enjit-enjit semut...



"Enjit-enjit semut, siapa sakit naik atas...
 Enjit-enjit semut, siapa sakit naaik atas...."


Kene rasa sakit dulu baru dapat naik atas..

Ujub Zaman Moden


Kita selalu dengar tentang ujub. Ujub adalah suatu penyakit hati yang bermaksud takjub dengan diri sendiri. Ujub merupakan titik tolak kepada penyakit hati yang lebih besar seperti riak (menunjuk-nunjuk) dan takabbur (membesarkan diri sendiri).

Sifat-sifat ini tidak layak ada pada manusia.Hanya Allah SWT. sahaja yang layak memiliki sifat ini kerana Allah-lah yang mencipta sekalian alam dan pemilik segala kekuatan. Maka, tidak salah bagi Allah SWT. untuk merasakan diri-Nya hebat, menunjuk-nunjuk kehebatan-Nya, dan mengagungkan diri-Nya.

Manusia yang ujub merasakan dirinya hebat. Contohnya, seseorang itu berasa ujub apabila dia berdoa lebih lama daripada orang lain, berasa ujub apabila sujud lebih lama daripada orang lain, berasa ujub apabila sedekahnya lebih banyak daripada orang lain.

Mudah cerita, bisikan yang terlintas di hati berbunyi seperti "Uishh... aku sujud lebih lama daripada dia...". Perkembangan pesat teknologi di zaman ini menjadikan penyebab penyakit hati juga turut maju selaras dengan perkembangan semasa. Penyakit hati ini akan meresap bersama-sama pesakit dan mengikuti perkembangan dunia. Berikut merupakan sedikit sebanyak contoh-contoh ujub atau riak yang telah wujud di zaman moden.

1. Blog dan "Followers''
Kebiasaannya perkara ini hanya menimpa dikalangan "blogger". Mereka berisiko untuk merasa diri hebat apabila ramai peminat ataupun "followers" yang mengikuti blog mereka. Ribuan atau ratusan "followers" menyebabkan diri terasa hebat dan dikenali ramai. Tidak salah untuk kita berasa seronok dengan ramainya "followers". Tetapi seronok atas dasar apa? Seronok kerana dapat mencurahkan ilmu kepada ribuan atau ratusan "followers" atau seronok kerana melihat JUMLAH "followers" yang banyak?


2. "Like" di Facebook
Post "status" di laman sosial facebook. Ramai pula yang tekan "like". Apabila ramai yang "like", mulalah rasa diri mendapat perhatian ramai. Setiap cetusan minda yang terpapar di laman Facebook dihargai dan rasa bangga dengan apa yang telah dihasilkan. Awas! Tidak salah untuk merasa gembira apabila orang lain suka apa yang kita lakukan, tapi janganlah sampai merasa riak dan berbangga dengan diri sendiri.


3. Komen di Facebook
Mungkin juga kita akan rasa teruja apabila ramai yang memberikan tindakbalas yang memberangsangkan pada "post" kita di Facebook. Apabila ramai sangat, mungkin bibit-bibit perasaan ujub akan mula lahir.


4. Komen Gambar di Facebook
Perkara ni mungkin berlaku pada lelaki yang kacak dan perempuan yang cun sahaja. Apabila cun atau kacak, ramailah yang komen. Tidak kurang juga yang memuji. Apabila banyak sangat terima pujian, mulalah rasa semacam dan seronok dengan pujian itu. Maka, perasaan ujub pun senang-senang boleh diterbitkan.


5. Ramainya Kawan atau Peminat di Facebook
Jumlah sekali lagi memainkan peranan penting bagi syaitan untuk menghasut manusia untuk berasa riak. Ramai bilangan rakan maya di facebook juga membolehkan perasaan ujub diterbitkan. Itu baru kawan, apatah lagi peminat artis yang mencecah jumlah ratusan ribu, malahan jutaan orang. Apabila ramai orang yang meminati artis tersebut, mungkin perasaan ujub akan muncul. Hati-hati!


6. Berdakwah di Facebook
Mungkin ramai kawan kita yang merapu di Facebook. Sebagai orang yang merasa dirinya wajib untuk berdakwah, maka Facebook dijadikan medan untuk berdakwah di tengah-tengah rakan Facebook yang banyak merapu.

Maka, jadilah kita orang yang terpencil kerana tidak merapu sedangkan yang lain banyak yang merapu.Apa yang dibimbangkan di sini, apabila kita berdakwah, kita turut akan berbangga dengan apa yang kita lakukan. Awas, wahai da'ie! Jadi, berhati-hatilah dengan hati! Semoga kita dilindungi Allah daripada penyakit-penyakit hati ini.

Ingatlah bahawa, setiap apa kebaikan yang kita lakukan semuanya adalah daripada Allah jua. Kita tiada hak untuk merasa ujub kerana tanpa izin-Nya ia tidak mungkin akan berlaku. Kembalilah apa jua pujian itu kepada Allah.

- Artikel iluvislam.com

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails