Sunday, September 18, 2011

Output amal badah

Melaksanakan ibadah yg diteraskan kpd takwa sudah pasti ada perjuangan nya.

Daripada zulmat kegelapan mahu berhijrah kpd terang nur warid ibadah dan terang nur iman pada diri.Ibadah yg dilaksanakan sudah pasti menghadapi resistence/rintangan drp pihak kiri.yakni syaitan dan nafsu amarah sendiri.(Nafsu amarah bkn bermaksud nafsu marah tetapi nafsu yg masih rendah kualiti nya).memandangkan qalbi itu mempunyai 2 bilik yakni bilik malaikat dan bilik syaitan.ibadah yg ditentang dan diganggu oleh pihak kiri ini perlu dilalui oleh proses mujahadah yakni brjuang atas nama Allah.

Berjuang/berjihad mempunyai beberapa sendi pasak utama,iaitu brserah diri,takut,(khauf),rajaa (mengharap)

Dalam konteks beramal ibadah sudah pasti setiap ibadah yg tulus akan memberi bekas prubahan pada hati yg mana ibadah yg dilakukan akan membuahkan natijah.Iaitu kelakuan buruk drp sifat2 mazmumah akan brpindah kpd akhlak sifat2 mahmudah/terpuji.semua nya itu adalah bertunjangkn drp nafsu.Selagi amal ibadah dilakukn dlm keadaan nafsu amarah yakni nafsu yg penuh jelira kerendahan sudah tentu akan membuahkan amal yg rendah,manakala apabila amal yg dilakukan drp benih nafsu yg lebih baik drp itu iaitu nafsu lawammah,mulhimah dan seterus nya mutmainnah sudah tentu amal nya akn membuakn amal2 dan akhlak2 yg bermutu tinggi drp amal yg terbit drp nafsu amarah sebelum nya.

Teliti mahfhum ayat di bawah ini surah Al Anfaal ayat 29: "Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu bertaqwa kepada Allah, nescaya Ia mengadakan bagi kamu (petunjuk) yang membezakan antara yang benar dengan yang salah, dan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu, serta mengampunkan (dosa-dosa) kamu. Dan Allah (sememangnya) mempunyai limpah kurnia yang besar. "

Jadi tekunlah dlm mendapatkan sumber ilmu yg benar dan amal yg benar dan ikhlas agar amalan yg lahir juga akan benar,suci tulus dn ikhlas laksana permata yg gilang gemilang.Walaupun sehebat mana ilmu dan pandangan pribadi kita, sudah pasti membawa cahaya drp nubuwwah/keNabian Muhamad saw tidak bercampur aduk dengan  mana mana unsur kesesatan luar drp nur syariat Islam.

- Ustaz Hazlie

CintaMu

Jika Allah mencintai seorang hamba, maka Dia akan mengumumkan cintanya dilangit kepada para penduduk langit, sehingga para penduduk langit pun mencintai orang yang dicintai Allah.

Lalu malaikat akan mengumumkan kepada penduduk bumi bahwa Allah mencintai hamba tersebut, sehingga penduduk bumi pun akan mencintai orang tersebut.

Namun sering kali orang yang dicintai Allah ini adalah orang-orang yang sedikit hartanya, tidak terkenal, banyak orang yang tidak hormat padanya, padahal jika ia mengadahkan tangannya untuk berdoa kepada Allah, Allah pasti akan mengabulkan segala permohonannya, seperti Uwais Al Qorny dan Abu Dzar Al-Ghifary.

Suatu ketika malaikat Jibril a.s. sedang bersama dengan Nabi Muhammad sallallahualaihi wassalam, lalu datanglah Abu Dzar Al-Ghifary r.a, maka Jibril a.s berkata:

Wahai Nabi, itukan Abu Dzar!

Nabi cemas kerana merasakan belum pernah memperkenalkan sahabatnya itu kepada Jibril, lalu Nabi berkata :

“Jibril, kamu kenal Abu Dzar?"

Jibril pun menjawab : Wahai Nabi, sesungguhnya semua penduduk langit mengenal Abu Dzar Al-Ghifary – semoga Allah merahmati beliau. Abu Dzar tidak terkenal di bumi namum sangat terkenal dilangit.



Cubalah kita berkata dengan khusuk setelah seleasai solat, “Wahai Allah… hambaMu yang hina ini mencintai Mu”, jika belum tertanam cinta ini di hati ulangi lagi dan lagi sehingga di hati dan fikiran kita hanya ada Allah sahaja.

Wahai Allah Yang Maha Mengetahui, ku tulis entri ini kerana hambamu yang lemah ini berusaha mencintai Mu dan hamba yakin cinta Mu pasti lebih besar lagi.

- Ustaz Nasir

Pesanan

"Hati umpama kita membawa semangkuk air di tangan, tidak akan berhenti kocakan dan tenang air di dalamnya melainkan kita memberhentikan sekalian lintasan pancaindera pada satu kedudukan. Maka hentikan sekalian pergerakan lintasan hatimu di hadapan Allah swt nescaya tenanglah ia (wukuf qalbi)."


"Kekuatan warid daripada gelombang tingkatan iman itu umpama menjaga pasangan kekasih atau suami/isteri anda, makin baik kelakuan diri anda maka makin kuat kekasih anda rapat dan tidak melepaskan anda daripada dirinya, tetapi jika kelakuan diri sendiri masih jauh daripada kecantikan nur nubuwwah dan syariat Nabi saw maka makin jauhlah warid iman yang bernisbahkan cahaya keTuhanan anda akan menjarakkan diri dengan diri anda."


"Keilmuan dalam tasawuf dan thariqah ada dua bejana, satu bejana lembut dan hikmah dan satu lagi bejana keras dan bersifat syadid serta al qahhar. Kedua-duanya perlu dan berkait antara satu sama lain demi mentarbiahkan hati manusia yang bermacam-macam bentuk seni dan kerasnya. Jadi kalau tidak tahan jangan ditempuh jalan KeTuhanan ini. Pergi main jauh-jauh!. Kata guruku."


"Ilmu dunia adalah alat untuk ikhtiar di dunia tapi ilmu agama/tauhid wajib dipasak betul-betul utk menjazamkan iman dan ruhani untuk bertaqarub kepada Allah swt. Persetankan ilmu dunia kalau iman dan syariat kita masih teraba-raba tidak ada hala tuju."


- Ustaz Hazlie

Tuesday, September 13, 2011

Jangan mentakwil ayat al-Quran dan Hadis sewenang-wenangnya..

Sabda Nabi saw ;

“Barangsiapa berkata-kata (menafsirkan) tentang Al-Quran dengan pemikirannya semata-mata. Maka, hendaklah dia mensiap sediakan tempat duduknya di dalam api neraka Jahannam.”


(Hadis riwayat Imam Tarmizi dan Nasai’ – Sahih Tarmizi, Juzuk 2, halaman 67)
 Tambahan : begitu juga yg mengatakan hadith darinya walhal tiada dan yg menta'wil tanpa merujuk kepada syarah ulama muktabar yg tradisi.

Penerangan yang jelas bagi mereka yang menyebut "Allah SWT nak uji, Allah SWT nak tahu" !!!!!

Segala puji hanya bagi Allah SWT, Tuhan empunya sekalian Alam, Tiada Ia berhajat kepada selain-Nya, malah selain-Nya lah yang berhajat kepada-Nya. Selawat dan salam semoga dilimpahkan Allah SWT ke atas junjungan kita Sayyidina Nabi Muhammad SAW (Ya Allah tempatkan baginda di tempat yang terpuji sepertimana yang Kau janjikan Amin) Beserta Ahlulbayt dan Para Sahabat R.anhum yang mulia lagi mengerah keringat menyebarkan Islam yang tercinta. Dan kepada mereka yang mengikut mereka itu dari semasa ke semasa hingga ke hari kiamat...Ya Allah Ampuni kami, Rahmati Kami, Kasihani Kami ...Amin

Amma Ba'du,

Sekian lama faqir melihat status sahabat-sahabat mahupun yang bukan, menulis mengenai "UJIAN" Allah SWT , "Allah SWT nak lihat", dan yang seumpama dengannya. Bukan ingin bersangka buruk, tetapi kita tidak dapat menafikan realiti masa kini di mana Ilmu Tauhid itu semakin diabaikan. Perjumpaan faqir dengan seorang pemimpin tertinggi persatuan Islam dua tahun yang lepas bagi membincangkan masalah Akidah ini juga menguatkan lagi kebimbangan faqir terhadapat gejala kejahilan dalam Ilmu Tauhid, kerana beliau sendiri tidak menguasai Ilmu Tauhid setelah diuji beberapa soalan mudah, maka apatah lagi orang biasa. Dan kita sedia maklum, bahawa status yang ditulis di laman sosial ini akan dilihat oleh berbagai-bagai golongan manusia, sama ada yang alim, jahil mahupun jahil murakkab. Maka, perlulah diperjelaskan makna-makna seperti "UJI" dan "NAK LIHAT" yang disandarkan kepada Allah SWT ini supaya tidak mengheret kepada kefahaman yang boleh membawa kepada Kufur dan Murtad. 

Tersebut di dalam Kitab 'Aqidatun Najin Fi 'Ilmi Usuliddin bagi Asy-Syaikh Zainul Abidin bin Muhammad Al-Fathani Rahimahullah, m/s 47, baris 11 dari atas, lebh kurang ruminya :

"Maka telah sempurna dua puluh sifat yang Mustahil atas Tuhan kita Jalla Wa 'Azza. Maka inilah bahagi yang kedua yang WAJIB atas tiap-tiap Mukallaf mengetahui dia, atas jalan Tafshiliy (terperinci) supaya kita nafikan sekaliannya itu daripada Tuhan kita. Kerana sekalian itu tiada layak bagi Tuhan kita. (Dan) barangsiapa iktikadkan salah suatu darip-ada yang MUSTAHIL itu, tsabit (menetapkan) bagi Tuhan kita. Maka, iaitu jadi KAFIR, melainkan orang yang diuzurkan dia oleh syarak kerana baharu masuk Islam."

Tersebut di dalam Kitab Risalah Tauhid, bagi Asy-Syaikh Haji Abdul Ghani Yahya, m/s 31-32, baris 4 dari bawah :

"Wajib atas tiap-tiap Mukallaf mengetahui Sifat-Sifat yang mustahil pada Tuhan, yang jadi lawan daripada Sifat 20 yang Wajib baginya, dengan dinyatakan satu persatunya.
Manakala telah ditetapkan satu persatu Sifat yang Wajib bagi Allah Ta'ala 20 Sifat, maka tetaplah MUSTAHIL lawannya yang kekurangan itu, kerana yang dituntut pada ilmu ini mensabitkan (menetapkan) segala 'Aqaid (Aqidah) atas Jalan Tafshil (terperinci) pada segala Sifat. Dari itu, terlalu besar SALAH mereka yang tiada mengetahui hal (Aqidah dan Tauhid) ini, lebih daripada tiada mengetahui hukum-hukum Fiqh. Kerana, JAHIL akan barang yang wajib bagi Allah Ta'ala dan yang MUSTAHIL atas-Nya, dihukumkan KAFIR. Tetapi, JAHIL akan hukum-hukum Fiqh, hanya MAKSIAT JUA."

Baik, marilah kita melihat apakah yang disebutkan oleh Para Alim Ulamak Rahimahulllah berkenaan permasalahan ini.
Tersebut di dalam Kitab Tafsir Al-Quran Al-'Azim (Tafsir Ibnu Katsir), bagi Imam Abu Al-Fida' Al-Hafizh Ibni Kathir Rahimahullah, Juzuk 1, m/s 239, baris 8 dari atas, Cetakan Maktabah Mustafa Ahmad, Mekkah Al-Mukarramah :

"Dan Firman Allah SWT : "Dan tidaklah Kami jadikan Qiblat engkau yang dahulu itu, melainkan supaya KAMI DAPAT TAHU orang-orang yang mengikut Rasul."(Surah Al-Baqarah: 143)
Tafsir -Berfirman Allah Ta'ala : "Hanya sesungguhnya !! Kami syarakkan atau perintahkan kepada engkau (Hai Muhammad) akan kerja menghadap Qiblat pada awalnya ke arah Baitul Maqdis. Kemudian kami palingkan(tukarkan) akan engkau daripadanya ke arah Kaabah pula, supaya NAMPAK ZAHIRLAH hal keadaan orang-orang yang mengikut akan engkau dan mentaati akan engkau, dan menghadap Qiblat Kaabah bersama engkau sekira-kira ke mana sahaja engkau menghadap."Tamat petikan.

Maka, bukanlah maksud dari Firman Allah SWT ini Allah SWT nak mengetahui, kerana Allah SWT itu Maha Mengetahui, tetapi hendak menzahirkan siapa yang mentaati Rasul dan siapa yang tidak sebagaimana disebutkan oleh Imam Ibnu Kathir Rahimahullah.

Dan tersebut di dalam Kitab Tuhfatul Murid Hasyiah 'Ala Matni Jauharah At-Tauhid, bagi Al-Allamah Al-Imam Ibrahim bin Muhammad Al-Baijuri Rahimahullah, m/s 42, baris 3 dari atas , Cetakan Dar Ihya' Kutubil 'Arabiyyah, Indonesiyya. :

"Dan barang yang ada kedatangan kenyataan-kenyataan yang seolah-olah membawa pengertian adanya "kerja mencari-cari Ilmu" pada Ilmu Allah Ta'ala, seperti Firman Allah Ta'ala :
"Kemudian, Kami bangunkan mereka (Ashabul Kahfi) supaya kami dapat tahu."
Iaitu ditakwilkan atau ditafsirkan bahawa kehendak ayat itu (Dan bermula Allah Ta'ala jualah yang mengetahui sebenar-benar akan maknanya) : "Kerana hendak menzahirkan kepada manusia".
Iaitu berta'alluq  (berhubung kait) dengan ilmu kita, makhluq. Atau ditakwilkan maknanya "nu'lima" iaitu dengan dibaris hadapan Nun dan dibariskan bawah bagi Lam. [ nu'lima - memberi tahu..pent].Tamat.

Dan tersebut di dalam kitab Ash-Shiratul Mustaqim  bagi Al-Muhaddith Asy-Syaikh Abdullah Al-Harari Al-Ma'ruf Bil Habasyi Rahimahullah, m/s 56 baris 6 dari atas, Cetakan Darul Masyarik :

Dan, adapun Firman Allah Ta'ala , Surah Muhammad, ayat 31:
"Dan pastilah kami menguji akan kamu hingga KAMI DAPAT KETAHUI akan orang-orang yang berjihad di jalan Allah daripada kalangan kamu dan akan orang-orang yang sabar berjuang di jalan Allah."

Maka TIADALAH makna demikian ayat ini :
"Sesungguhnya Allah Ta'ala itu hendak mengetahui akan siapakah orang-orang yang berjihad."
yang mana ada asalnya Allah Ta'ala tidak mengetahui tentang mereka melainkan dengan diuji dan dicoba. Bermula ini makna, Mustahil atas Allah Ta'ala.

Bahkan makna ayat ini :
"Hingga Kami bezakan." Iaitu "hingga Kami zahirkan" kepada para hamba akan siapakah orang-orang yang berjuang di jalan Allah daripada kalangan kamu, dan orang-orang yang sabar daripada selain mereka itu."

Dan, kafirlah orang yang berkata :
"Sesungguhnya Allah Ta'ala mengusahakan ilmu yang baharu dan terkini."
Tamat.

Rasanya, cukuplah sekadar 3 kitab yang diberikan kerana orang yang Inad (degil) itu, walau 1001 kitab diberikan, tetap tidak mahu ia berubah. Faqir yakin bukan semua yang menulis status mengenai masalah ini mengetahui tafsiran dan penjelasan yang betul mengenainya, maka berhati-hatilah saudaraku, kerana sikap wara' (berhati-hati) itu adalah jalan yang paling selamat dalam menempuh kehidupan dunia ini.

Tamat.

Wallahu Yahdi ila sawaissabil...

Selawat dan salam sebanyaknya semoga dilimpahkan Allah SWT ke atas junjungan besar kita Sayyidina Nabi Muhammad SAW. (Ya Allah Tempatkanlah Junjungan kami di tempat yang terpuji sepertimana yang Kau janjikan..Amin) Beserta para sahabat dan Ahlulbayt r.anhum yang sangat kasih mereka itu kepada umat ini.Segala puji hanya bagi Allah SWT, Tiada Daya Upaya melainkan Allah SWT.,

Dan Allah jua yang memberi petunjuk dan Allah SWT Maha Mengetahui..

Jazakallah Khairan Kathira...(^_^)

Al-Faqir wal Haqir indallah,
Salim Azham (MSA)

Friday, September 9, 2011

PRAKTIK ASWJ : SUKARNYA MENCARI ULAMA PEWARIS NABI




PRAKTIK ASWJ : SUKARNYA MENCARI ULAMA PEWARIS NABI

“Didalam manhaj Ahli Sunnah wal Jamaah (ASWJ), kesempurnaan akidah dicapai apabila seorang itu mencapai IHSAN, (yakni) hatinya seolah memandang kepada Allah (musyahadah). Ia memandang Allah dengan nur yang terbit dari lubuk qalbi apabila selaput awan nafsu ammarah dibersihkan.”

ILMU SIFAT 20 MENANGGALKAN IKTIKAD SYIRIK

Dalam Ilmu Tauhid, Sifat IFTIQAR (ﺇﻓﺘﻘﺎﺭ) ialah segala sifat yang baharu berhajat padaNya. Sifat Iftiqar dibahagikan kepada 9 sifat iaitu Wahdaniah (ﻭﺣﺪﺍﻧﻴﺔ), Qudrat (ﻗﺪﺭﺓ), Iradat (ﺇﺭﺍﺩﺓ), Ilmu (ﻋﻠﻢ), Hayat (ﺣﻴﺎﺓ), Kaunuhu Qaadiran (ﻛﻮﻧﻪ ﻗﺎﺩﺭﺍ), Kaunuhu Muriidan (ﻛﻮﻧﻪ ﻣﺮﻳﺪﺍ), Kaunuhu ‘Aliman (ﻛﻮﻧﻪ ﻋﺎﻟﻤﺎ) dan Kaunuhu Hayyan (ﻛﻮﻧﻪ ﺣﻴﺎ). Semua sifat tersebut yang menggerakkan segala yang baharu dan ianya juga saling lazim melazimi, yakni tiada bercerai.

Sifat QudratNya yang menggerakkan sekelian alam. Sifat QudratNya datang dari sifat Iradat, sifat Iradat datang dari sifat Ilmu, sifat Ilmu datang dari sifat al-Hayat… Justeru hakikatnya seluruh pergerakan alam adalah dari Qudrat Yang Maha Esa (Wahdaniah). Tanpa sifat Wahdaniah, alam ini tiada dapat berfungsi dengan sempurna apabila berlaku dua qudrat dalam menguasai pentadbiran alam. 

Apabila seorang itu syuhud (memandang dengan mata hati) segala sifat alam dan sifat dirinya iaitu melihat, mendengar, berkata-kata, kuasa, kehendak, ilmu dan hayat dalam qudrat Allah yang satu, maka akan hancurlah qadariah (ananiah - keakuan) dirinya dan kekuasaan alam. Allah SWT menyatakan : "Wahai manusia, sesungguhnya kamu semua fuqara' (faqir dan memerlukan) kepada Allah dan sesunggguhnya Allah itu Maha Kaya (tidak berhajat kepada sesuatu) lagi Maha Terpuji" (Fathir: 15)

Tanpa sifat Iftiqar, diri dan alam langsung tiada dapat berfungsi walau sebiji atom atau debu atau nafas kita yang turun dan naik. Maka di atas kurnia Allah ini, tiada adab bagi seorang hamba itu tiada mengingati bahawa dirinya dalam kekuasaan Allah dalam segala gerak dan diamnya pada setiap detik. Apabila lupa pada Allah, maka akan timbul ananiah dirinya dan kesannya dia akan menjadi manusia yang sombong dan angkuh akibat tiada mengenal diri. Ia akan menjadi iblis dan binatang, hidup semata-mata untuk memuaskan hawa nafsu tanpa mengenal batas diri yang amat daif, lemah, faqir dan hina.

Sifat
ISTIGHNA
(ﺇﺳﺘﻐﻨﺎﺀ) atau Sifat Kaya terbahagi 11 sifat iaitu Wujud (ﻭﺟﻮﺩ), Qidam (ﻗﺪﻡ), Baqa’(ﺑﻘﺎﺀ), Mukhalafatuhu lilhawadith (ﻣﺨﺎﻟﻔﺘﻪ ﻟﻠﺤﻮﺍﺩﺙ), Qiamuhu binafsih (ﻗﻴﺎﻣﻪ ﺑﻨﻔﺴﻪ), Sama' (ﺳﻤﻊ), Basar (ﺑﺼﺮ), Kalam (ﻛﻼ ﻡ), Kaunuhu Sami’an (ﻛﻮﻧﻪ ﺳﻤﻴﻌﺎ), Kaunuhu Basiiran (ﻛﻮﻧﻪ ﺑﺼﻴﺭﺍ) dan Kaunuhu Mutakalliman (ﻛﻮﻧﻪ ﻣﺘﻜﻠﻤﺎ). Ia dipanggil sifat Kaya kerana terkaya segala sifatnya yang Kamalat (sempurna), tiada bagi diriNya segala sifat kelemahan. Maka Wujud Allah dan sifatNya amat lemah bagi akal untuk sampai memikirkannya.  Sifat Kaya ini menghancurkan segala pemikiran MUKTAZILAH (bertuhan pada akal) yang boleh menuju kepada faham MUJASSIMAH (menyamakan Allah dengan makhluk) !

Apabila Dzat Allah memiliki segala sifat keAgungan, maka hamba merasa tenang dan selamat dalam perlindunganNya. Tiada bagi dirinya kebimbangan dan kerunsingan kerana Allah memiliki segala sifat Kamalatnya bagi segala Sifat dan AsmaNya. Sifat Iftiqar dan Istighna yang dibahagikan oleh ulama dalam pengajian SIFAT 20 memimpin seorang yang mendalaminya selamat dari iktiqad Muktazilah dan Qadariah. Namun untuk mencapai kesempurnaannya wajib berjalan dalam iktikad kaum sufi iaitu dzauk dan syuhud yang membawa seorang itu benar-benar mengenal dirinya sehingga fana ia dalam kefakiran pada Allah Yang Maha Agung dan Sempurna.

Iktiqad Qadariah dan Muktazilah adalah punca lahirnya Mujasimmah, Sekularisme, Liberalisme, Wahabiah, Modenisme, Pluralisme dan lainnya. Justeru untuk menghancurkan pegangan batil pada anutan kebanyakan masyarakat hari ini, maka pendidikan ASWJ yang  merangkaikan Tauhid, Fekah dan Tasawwuf sebagai asas agama perlu dibangunkan kembali. 

Kita menghormati para sahabat yang begitu gigih menyerang kebatilan, tetapi dalam masa yang sama kita sangat perlu memberi tumpuan mentarbiyah diri, keluarga dan masyarakat dengan pengamalan ASWJ yang benar. Insyallah, apabila kita menaikkan yang haq, nescaya kebatilan akan lenyap. Firman Allah SWT : Jika datang kebenaran akan terhapuslah segala kebatilan”. (al-Isra': 81)

Mari kita mulakan dengan diri kita, keluarga kita dan mereka yang hampir dengan kita untuk diberi faham dan menghayati hakikat ASWJ. Memulakan dengan pelajaran tauhid Sifat 20, kemudian membersihkan diri dengan melaksanakan hukum Allah (bersyariat) dan memperbanyakkan ibadah untuk menghancurkan ananiah diri dan muktazilah. Hasilnya akan memiliki cahaya hati yang terpancar dari lubuk qalbi untuk mencapai Ihsan. 

Dengan 3 gabungan ini, maka sempurnalah seorang itu dipanggil hamba Allah yang siddiq. Ia akan menghasilkan buah yang dapat membentuk kembali politik, ekonomi, sosial dan lain-lain aspek pembangunan ummah berlandaskan kesepaduan Ad-Din. 


SYAIKH MURABBI

Memiliki Syaikh Murabbi yang jiwanya sudah memiliki syuhudiah, akan mempercepatkan lagi proses penyucian jiwa dari ananiah untuk mencapai hakikat ASWJ, dengan menerima talqin darinya untuk dibenihkan nur syuhudiah ke dalam jiwanya. Ia adalah barakah yang bertali sampai pada Rasulullah saw. Dalam masa yang sama, Allah boleh mengurniakan (syuhudiah) kepada sesiapa yang dikehendakiNya walaupun tanpa murabbi dan rantaian sanad. Namun untuk menjalani proses penyucian dan mencapai asrar (rahsia-rahsia keTuhanan) yang halus-halus dalam tasawwuf, maka wajib memiliki murabbi agar tiada tersesat dari ASWJ dalam perjalanan rohaniahnya. 

Tauladan ini ditunjukkan Rasulullah saw yang menjadikan Jibril a.s sebagai murabbinya ketika menuju kepada Allah dalam peristiwa Isra' Mikraj. Sesungguh pada segala sunnah Nabi tidak berlaku dengan tiada sengaja atau dianggap kecil, bahkan semuanya mempunyai pengajaran dan rahsia yang perlu dikaji, diimani dan diikuti untuk mencapai kejayaan dunia akhirat. Bila memisahkan akar, batang dan dahan, pohon tersebut tiada makna dan tiada akan menghasilkan buah. Begitu juga memisahkan tiga rangkaian asas agama iaitu Iman, Islam dan Ihsan juga akan membawa seorang itu beragama dalam keadaan tidak sempurna dan tidak akan menghasilkan keindahan buah yang dapat dipetik oleh masyarakat di sekelilingnya. 


ISLAM PLASTIK

Pemisahan hanya pada sebutan sahaja, tapi hakikatnya untuk mendapat buah mempelam, akar, batang dan dan dahan diperlukan. Begitu juga untuk mendapat hakikat agama, ilmu akidah yang benar, ibadah yang benar dan pandangan mata hati yang benar perlu berseiringan tanpa ada satu yang terputus. Buah yang didapati tanpa melalui pokok adalah buah plastik, begitu juga agama tanpa melalui tiga rangkain tersebut adalah ‘Islam plastik’. Nampak di luarnya sama, tetapi apabila dihampiri, tiada bau dan tak dapat dimakan. 

Ramai orang dilihat pada zahir agamanya begitu bagus, tetapi apabila dihampiri, kita tidak mendapat manfaat melainkan keburukan akhlak yang penuh buruk sangka, fitnah, umpat keji, sombong, riak, dengki, tamak, lemah keyakinan, bergantung pada makhluk, mudah terpedaya, sukar untuk menghormati pendapat yang lain, kagum dengan diri sendiri dan lainnya. Ibarat buah keras yang tiada isi, dilihat pada zahirnya keras tetapi apabila dipicit sahaja sudah pecah. Ia disebabkan agama pada dirinya tiada isi yang berakar pada tauhid yang benar, ibadah yang khusyu’ dan jiwa yang memiliki perasaan kebersamaan dengan Allah atau mata hati yang memiliki cahaya seolah memandang kepada Allah (syuhud). Hal ini bukan sahaja terjadi pada orang awam, tetapi juga pada mereka yang bergelar ulama, para ustaz atau ahli agama. Ini kerana mereka hanya memiliki maklumat agama tetapi tiada jiwa agama. Ia ibarat komputer yang memiliki segala data maklumat mengenai agama, tetapi tiada jiwa dan ruh agama.

ULAMA PUNCA PERPECAHAN ?

Kesesatan akidah dan penyelewengan agama bermula daripada ulama kurun ketiga lagi sehingga berpecah pada 73 puak. Ia bukan dicetus orang awam tetapi dicetus oleh mereka yang dipanggil para ulama.  Berapa ramai hari ini yang menolak ilmu tasawwuf malah mengatakan ia tiada perlu diamalkan. Ramai di kalangan Tuan Guru pondok hari ini sendiri yang terkena virus wahhabi, qadariah dan muktazilah sehingga berfikiran seperti ini. Ilmu tasawwuf yang mereka pelajari hanya dalam bentuk maklumat, bukan untuk diamal dan dihayati, malah jiwa mereka kering dengan tasawwuf. 

Ini dinyatakan sendiri oleh Almarhum Syeikh Hj. Wan Mohd Shaghir Abdullah al-Fathani[1] [1] kepada penulis ketika mengunjunginya satu ketika dahulu, bahawa “70% pondok di Malaysia dan Patani (Thailand) terkena virus wahhabi dan lari daripada asas yang didirikan oleh Syaikh Daud al-Fathani dan Syaikh Ahmad al-Fathani, ia disebabkan meninggalkan tarbiyyah tasawwuf.”

Kebanyakan pondok hari ini sudah menjadi seperti universiti yang hanya menekan pada aspek maklumat ilmu semata-mata tanpa adanya pentarbiyahan jiwa untuk mencapai nafsu mutmainnah, pembinaan akhlak dan ibadah yang khusyu’. Lahirlah para ahli ilmu yang angkuh, mudah menghukum orang lain, berburuk sangka, terlarut dalam perbahasan fekah tetapi akhlak dan jiwa langsung tiada mencerminkan kerendahan diri, berbaik sangka dan kasih sayang. Ada setengah tempat berlaku perpecahan, berpuak-puak dalam perebutan solat jenazah, penerimaan zakat dan sumbangan, perebutan kuasa mentadbir dan sebagainya, cela mencela kalangan para ustaz sehingga para murid berpecah belah walaupun berada pada pondok yang satu.


PENYELEWENGAN GOLONGAN TAREKAH

Begitu juga dengan golongan tarekah tasawwuf yang dilihat tiada memiliki sifat-sifat yang baik, angkuh, sombong, mudah menghukum, meringankan syariat yang jelas tiada khilaf, berebut untuk menjadi khalifah, bergaduh antara khalifah, khalifah tua terus mahu menguasai walaupun jahil dan banyak kesalahan. Ini disebabkan tarekahnya dipermulaan lagi bukan berdasarkan akidah yang benar dan bukan bermatlamat untuk mencapai kesempurnaan ASWJ. Tetapi yang dicari ialah maqamat, kasyaf, ladunni, karamah yang semuanya akan membawa pada ananiah dan menebalkan lagi cahaya qadariahnya !

Ramai yang sesat dalam tasawwuf apabila terkeliru dalam fahaman Wahdatul Wujud[2] sehingga menjadi JABARIAH (Tuhan semata-mata, manusia seperti kapas, tiada usaha ikhtiar), mencari kelebihan yang berpunca pada Qadariah, salah faham pada Ilmu Martabat Tujuh[3], terpengaruh dengan kitab Hakikat Insan Ahmad Laksamana[4] yang meringankan syariat. Malah ada juga fahaman yang menuju kepada persamaan agama dan lainnya. Ini disebabkan kejahilan ummah hari ini yang tiada faham bahawa agama berdiri pada tiga asas yang bersepadu dan ia ibarat tapak yang kukuh bagi sebuah bangunan.

Ramai yang  mendakwa mereka ASWJ (termasuklah diri penulis…), tetapi amalan dan cara berfikir, cara bertauhid, cara  bercakap semuanya menuju pada qadariah, muktazilah malah jabariah yang sesat dan batil. Maka untuk mencari ulama waris Nabi adalah sukar pada zaman ini. Pada zahirnya ilmu mereka betul, tetapi pada pengamalan dan pegangan, ramai di kalangan mereka yang tidak berada dalam ASWJ yakni pegangan Nabi SAW dan para sahabat r.a. 

Sesungguhnya zaman ini adalah fitnah, dan para ulama yang sesat ini adalah pembawa fitnah yang utama! Mereka menjadikan ummah ini bertuhan pada akal, mentafsir al-Quran dengan logik akal, menjauhi perkara kerohanian yang dianggap sebagai bida’ah, menolak adanya karamah dan barakah serta memusuhi jalan para auliya’ kerana dilihat tak sesuai dengan akal.
Mereka hanya melihat pada amal dan ilmu, terhijab dengan kitab-kitab sehingga merasa sudah cukup dijadikannya sebagai wirid. Perasaan ananiah amat tebal sehingga melihat dirinya yang alim sehingga merendahkan keilmuan orang lain. Mereka sanggup menukar agama dengan dunia, mereka lebih takut manusia daripada Allah, mereka lebih takut celaan manusia daripada celaan Allah, mereka lebih mencari pujian manusia daripada pujian Allah.

Ini adalah contoh sifat para ulama yang perlu dijauhi kerana mereka bukan ASWJ yang sempurna, malah tidak terlepas daripada muktazilah dan qadariah walau matan-matan kitab Asya’irah dihafal sekalipun. Demi Allah, begitu sukar untuk menjadikan diri (penulis) sebagai seorang yang benar dalam ASWJ dan begitu sukar untuk mencari sahabat ASWJ di zaman ini. Sesungguhnya ASWJ bukan sekadar ilmu, kefahaman atau hafalan, bukan sekadar mengamalkan hukum, tetapi perlu memiliki cahaya hati yang menghasilkan adabiah yang tinggi dengan rukun Iman dan rukun Islam.

WaLlahu ‘alam.


Dicatat oleh 'Ibadur Rahman di 1:36 PM
Jumaat, November 19, 2010
Blog Kuliah Ad-Deen




[1] Nama sebenar beliau ialah Hj Wan Mohd. Shaghir bin Hj Wan Abdullah bin Hj Wan Abdul Rahman bin Hj Wan Abu Bakar bin Wan Ma’aris bin Cik Wan Taksim al-Qumurani al-Juhuri al-Fathani bin Datuk Bendahara Lingkai al-Juhuri al-Fathani, iaitu Megat Seri dan Laksamana Johor. Ibunya Hjh Wan Zainab binti al-‘alim al-‘allamah Syaikh Wan Ahmad bin Syaikh Hj Wan Muhammad Zainal ‘Abidin bin Syaikh Hj Wan Musthafa bin Wan Muhammad Faqih bin Muhammad Zainal ‘Abidin @ Faqih Wan Musa bin Wan Muhammad Shalih bin ‘Ali al-Masyhur al-Laqihi. Beliau berasal dari keturunan al-Fathani, mengambil dari sebelah ibunya yang merupakan anak kepada ulama terkenal alam Melayu, Syaikh Ahmad al-Fathani. Lahir pada 17 Ogos 1945 di Pulau Midai, Kepulauan Riau, Indonesia. Pengasas Khazanah Fathaniah dengan penulisan dan transliterasi kitab pelbagai tajuk, menulis di akhbar, majalah, wawancara di media elektronik dsb, serta mengasaskan Persatuan Pengkajian Khazanah Klasik Nusantara Malaysia (PENGKAJI) bagi tujuan pengumpulan, penyelidikan, penerbitan dan penyebaran khazanah Islam ulama dan tokoh silam dunia Melayu di rantau Asia Tenggara/Nusantara. Almarhum pulang ke rahmatullah pada 12 April 2008.

[2] Wahdatul Wujud yang sesat ialah kefahaman bahawa “Allah dan makhluk adalah satu. Iaitu, makhluk bersatu dengan Allah. Mereka memahami Wahdatul-wujud sebagai fahaman hulul (Allah bergabung dalam makhluk) dan ittihad (Allah dan makhluk adalah satu pada zat).” Adapun yang benar ialah “Seluruh makhluk yang wujud, pada asalnya tidak wujud (adam). Mereka (seluruh makhluk tersebut) akhirnya wujud apabila Allah SWT mewujudkan mereka. Maka, seluruh makhluk pada hakikatnya wujud dengan sebab kewujudan Allah SWT, kerana kalau tanpa kewujudan Allah s.w.t., tanpa izin dan bantuan Allah s.w.t., nescaya tiada makhluk pun yang wujud ataupun meneruskan kewujudannya.  ((Inilah maksud sebenar Wahdatul-wujud yang dihayati oleh orang-orang arif dari kalangan para sufi. Mereka menghayati dan merasai, kewujudan mereka, bahkan seluruh kewujudan makhluk Allah s.w.t., adalah daripada Allah s.w.t., yang telah menciptakan mereka daripada tiada. Jadi, mereka tidak merasakan wujud mereka tersendiri)
[3] Pembicaraan mengenai Alam Ahadiah, Wahdah, Wahidiah, Arwah, Mithal, Ajsam & Insan serta Nur Muhammad.
[4] Difatwa sesat oleh JAKIM dsb, sila rujuk Fatwa Jabatan Mufti Selangor


Sumber : http://www.mediafire.com/?vm4uzqei54vmzqe

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails