Monday, March 21, 2011

Cahaya di atas Cahaya


“Allah (memberi) cahaya (kepada) langit dan bumi. Perumpamaan cahaya Allah adalah seperti lubang yang tak tembus yang di dalamnya ada pelita besar. Pelita itu di dalam kaca dan kaca itu seakan-akan (bintang yang bercahaya) seperti mutiara yang menyalakan minyak dari pohon yang banyak berkahnya, iaitu pohon zaitun yang tumbuh tidak di sebelah timur (sesuatu) dan tidak pula di sebelah baratnya yang minyaknya sahaja menerangi walaupun tidak disentuh api. Cahaya di atas cahaya (berlapis-lapis) Allah membimbing kepada cahayanya, siapa yang Dia kehendaki, dan Allah membuat perumpamaan-perumpamaan bagi manusia dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu." 

Tetapi.........

"Tetapi bagi orang-orang kafir, perbuatan mereka itu adalah ibarat kegelapan yang bertimbun-timbun di laut yang sangat dalam yang berombak dan dilapisi lagi dengan ombak di atas awan gelap, Gelap di atas Gelap, sehingga jika seseorang menjulurkan tangannya, tidaklah kelihatan tangan itu.  Sesungguhnya barangsiapa yang Allah tidak beri cahaya, maka tidaklah ada cahaya baginya".



Siapa orang yang berakal?




Firman Allah Taala dalam surah Ali `Imran: Ayat 190 ;


Maksudnya: “Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal. (Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): "Wahai Tuhan kami! tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha suci engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.”





Sunday, March 20, 2011

Allah





"Insan adalah rahsiaKu dan Aku rahsianya. Pengetahuan batin tentang hakikat roh adalah rahsia kepada rahsia-rahsiaKu. Aku campakkan ke dalam hati hamba-hambaKu yang baik-baik dan tiada siapa tahu keadaannya melainkan Aku." 







"Aku adalah sebagaimana hambaKu mengenali Daku. Bila dia mencariKu dan ingat kepadaKu, Aku besertanya. Jika dia mencariKu di dalam, Aku mendapatkannya dengan ZatKu. Jika dia ingat dan menyebutKu di dalam jemaah yang baik, Aku ingat dan menyebutnya di dalam jemaah yang lebih baik."

Perangkap Syaitan melalui Ibadah




Di zaman Nabi Musa a.s. ada seorang hamba Allah yang kerjanya mencuri. Sudah 40 tahun dia mencuri. Suatu hari, dia terlihat Nabi Musa a.s. sedang berjalan. Terlintas di hatinya untuk berjalan bersama Nabi Musa a.s. Katanya; “ Kalau aku dapat berjalan bersama Nabi Musa, mudah-mudahan ada juga berkatnya untuk aku.”



Tetapi setelah dipikirkannya semula, dia tidak jadi melangsungkan niatnya itu. Dia berkata, “Aku ini pencuri. Manalah layak pencuri macam aku ini berjalan bersama seorang nabi.” Sejurus kemudian, dia terlihat pula seorang abid berlari-lari anak mengejar Nabi Musa a.s. dari belakang. Si abid ini telah beribadah secara istiqamah selama 40 tahun dan dikenali orang. Si pencuri itu berkata di dalam hatinya, “Baik aku berjalan bersama si abid ini. Moga-moga ada juga baiknya untuk aku.”



Lantas si pencuri menghampiri si abid dan meminta kebenaran untuk berjalan bersamanya. Apabila ternampak sahaja si pencuri, si abid terkejut dan terus merasa takut. Dia berkata di dalam hatinya, “Celaka aku! Kalau si pencuri ini berjalan bersama aku, takut-takut nanti rosak segala kebaikan dan amalanku.”

Si abid terus berlari laju supaya si pencuri tidak dapat ikut. Si pencuri tadi terus mengikut si abid kerana hendak berjalan bersamanya. Akhirnya kedua-dua mereka sampai serentak kepada Nabi Musa a.s.



Nabi Musa a.s. terus berpaling dan bersabda kepada mereka berdua, “ Aku baru sahaja mendapat wahyu dari Allah Taala supaya memberitahu kamu berdua bahawa segala amalan baik dan buruk kamu telah dimansuhkan oleh Allah.” Maka terkejutlah si abid dan si pencuri tadi. Berbahagialah si pencuri kerana segala dosanya mencuri selama 40 tahun telah diampunkan oleh Allah. Celaka dan dukacitalah si abid kerana segala amalan dan ibadahnya selama 40 tahun telah ditolak dan tidak diterima oleh Allah.



Rupa-rupanya si pencuri itu, walaupun kerjanya mencuri, dia tidak suka akan perbuatannya itu. Dia miskin dan tanggungannya banyak. Masyarakat ketika itu sudah rosak dan orang kaya enggan membantu fakir miskin. Dia mencuri kerana terpaksa. Oleh itu, setiap kali dia mencuri, dia amat merasa bersalah dan berdosa. Jiwanya terseksa dan menderita. Selama 40 tahun dia menanggung rasa berdosa itu dan selama itu juga jiwanya parah menanggung derita. Selama 40 tahun hatinya merintih meminta belas kasihan, keampunan dan mengharapkan kasih sayang Tuhan.



Si abid pula, amat yakin ibadahnya mampu menyelamatkannya. Dia yakin ibadahnya akan dapat membeli Syurga. Setiap kali dia beribadah, dia rasa dirinya bertambah baik. Setiap kali dia beribadah, dia rasa dirinya bertambah mulia. Selama 40 tahun si abid ini mendidik hatinya supaya merasa lebih baik dan lebih mulia setiap kali dia membuat ibadah. Hingga dia rasa tidak layak bergaul, inikan pula berjalan bersama orang yang hina dan berdosa. Dia rasa dia hanya layak berjalan bersama para Nabi.



Maha Suci Allah yang mengetahui segala isi hati manusia. Yang tidak melihat akan amalan-amalan lahir tetapi apa yang ada di dalam hati. Yang menilai hamba-Nya mengikut apa yang termampu oleh hamba-Nya dan tidak lebih dari itu. Yang menguji manusia dengan kesusahan dan nikmat untuk mengetahui siapa di kalangan hamba-hamba-Nya yang benar-benar berjiwa hamba dan merasa bahawa Allah itu Tuhannya

Si Bebal yang Yakin dengan Orang Berilmu yang Ragu-Ragu



Kisah ini berlaku di sebuah kampung yang diberi nama Kampung Sri Tanjung. Di kalangan penduduk kampung tersebut ada seorang lelaki yang dipanggil orang kampung dengan gelaran Si Bebal. Si Bebal digelar sebegitu rupa memandangkan dia tidak pandai dan tidak tahu berfikir dengan baik sehingga ada yang menggelarkan Si Bodoh.

Si Bebal ini tidak begitu kacak dan berumur dalam lingkungan 20-an tetapi tidak berpelajaran serta hidup menumpang di rumah neneknya. Hidupnya dalam serba-serbi kekurangan dan miskin tetapi masih mementingkan maruah diri berbanding segelintir orang lain. Walaupun Si Bebal tidak pandai tetapi dia tahu menjaga diri sendiri dan tidak menganggu orang lain, cumanya orang kampung sahaja yang kerap menyakatnya.

Tetapi kebijaksanaan Si Bebal tidak siapa yang tahu. Si Bebal kerap memerhatikan kejadian-kejadian alam yang difikirkannya tentu ada yang menciptanya seperti burung-burung yang berkicauan, binatang-binatang peliharaannya, kejadian siang dan malam bertukar silih ganti tepat pada waktunya tanpa sebarang kelewatan dan kecacatan, kejadian pokok-pokok yang segar menghijau memikat pandangan sesiapa sahaja yang melihat dan sebagainya.

Pada suatu hari Si Bebal ini pergi berjumpa seorang guru agama yang terkenal di kampung tersebut untuk mendapatkan kepastian tentang persoalan-persoalan di dalam pemikirannya dan kebetulan pula hanya guru agama tersebut yang melayan baik dirinya tidak seperti orang kampung yang lain. Guru itu memberi jawapan-jawapan kepada persoalannya tetapi sebenarnya Si Bebal masih tidak mengerti namun hatinya tetap ingin mengenali pencipta alam ini.

Guru tersebut agak sukar untuk mengajar agama kepada Si Bebal memandangkan Si Bebal tidak tahu membaca dan menulis. Guru terfikir-fikir untuk mengajar Si Bebal membaca 'bismillah' dahulu sebagai pegangan Si Bebal untuk permulaan.

Guru : “Nak, bacalah Bismillahirrahmanirrahim dengan penuh yakin. InsyaAllah akan ditunaikan sebarang hajat, janji kamu yakin”.

Si Bebal : “Baiklah guru, saya akan dengar cakap guru dan hafal ayat dan ingat pesan guru”.

Suatu hari Si Bebal berjalan-jalan di pinggir hutan dan dalam perjalanannya Si Bebal terhalang oleh sebatang sungai yang agak luas. Sungai tersebut  merupakan jalan utama orang kampung untuk ke tempat-tempat lain.

Teringat pesan gurunya, dengan penuh yakin, Si Bebal mulakan langkah dengan Bismillah dan  terus menyeberangi sungai tersebut. Teka apa yang terjadi? Si Bebal berjalan di atas air.. Di tengah-tengah sungai yang luas itu. Semasa menyeberang, Si Bebal berselisih dengan gurunya yang sedang menaiki sampan.

Tegur Si Bebal, “Guru! Mahu kemana?”
Guru membalas, “Ke kebun di seberang sungai”. 

Guru sebenarnya masih kebingungan apa yang dilihat.

Si Bebal bertanya lagi, “Kenapa guru naik sampan, bukankah guru ajar saya baca Bismillah dan yakin, kita dapat apa yang kita hajati?”

Guru tergamam. Si Bebal yang sememangnya ramah, mengajak pula gurunya itu mengikuti apa yang dia sedang lakukan, “Kenapa tidak guru berjalan saja?”.

Tercabar dengan kata-kata Si Bebal, terus sahaja gurunya membaca Bismillah dengan rasa yakin lalu terus memijak air sungai.

Malangnya guru terjatuh dan terkapai-kapai di dalam air. Tidak pula terjadi seperti yang Si Bebal lakukan. Dalam kehairanan Si Bebal menyelamatkan guru tersebut lalu di pikulnya sambil berjalan atas air sehingga sampai ke tebing sungai.

Itulah kisah Si Bebal, walaupun tidak pintar seperti orang lain namun dengan rasa yakin dan bersandar bulat kepada Yang Pemberi Yakin maka yang mustahil menjadi realiti. Namun kisah seperti ini adalah kisah-kisah yang terpencil dan amat sukar ditemui di zaman kini, keajaiban seperti ini lebih cenderung dikurniakan Allah kepada hambaNya yang selalu hampir denganNya seperti para kekasihNya dan apa yang lebih penting bukanlah keajaiban yang kita cari dalam hidup ini tetapi yang kita cari adalah Cinta dan RedhaNya semata-mata.

Cinta

Cinta..

Apakah bukti kita cinta pada seseorang? 

Apakah bukti kita rindu pada seseorang?

Apakah bukti kita kasih dan sayang seseorang itu?

Adakah kita selalu ingat orang yang kita cintai itu?

Adakah kita selalu ingat orang yang dirindui itu?

Adakah kita selalu ingat orang yang dikasihi dan disayangi itu?

Itu cinta... Cinta Manusia...

Bagaimana pula cinta kita pada Yang Maha Esa? 
Apakah bukti-buktinya? 
Berapa kali kita ingat padaNya? 
Ingat 5 kali sehari itu masih tidak cukup untuk dijadikan bukti cinta sejati. 

"Jagalah Allah nescaya Allah akan menjagamu.."

Saturday, March 19, 2011

Tipu Daya Syaitan Terhadap Manusia


Tipu daya syaitan terhadap manusia supaya meninggalkan ibadat kepada Allah ada tujuh perkara menurut Imam Ghazali iaitu:


1. Syaitan melarang manusia taat kepada Allah. Sedangkan orang-orang yang dipelihara Allah akan menolak ajakannya dan mengatakan: 'Aku mengharapkan pahala dari Allah. Untuk itu, aku harus mempunyai bekalan di dunia ini demi akhirat yang kekal.'

2. Syaitan sentiasa memujuk manusia agar tidak mentaati Allah. Dia menghasut manusia dengan mengatakan :'Nanti sahajalah, kalau sudah tua nanti barulah, masa masih panjang dan kita masih muda atau sebagainya lagi.'; Orang-orang yang terpelihara akan menolaknya dengan mengatakan: 'Kematianku bukan berada ditanganmu. Jika aku menundakan amalanku hari ini untuk esok, sehingga amal hari esok perlu aku kerjakan. Sedangkan setiap hari aku mempunyai amal berlainan.'

3. Syaitan sentiasa mendorong manusia untuk bersegera dalam melakukan amalan kebaikan. Kata syaitan:'Cepat beramal agar engkau dapat mengejar dan mengerjakan amalan-amalan lain.' ; Orang-orang yang selamat akan menolaknya dengan mengatakan: 'Amal yang sedikit tetapi sempurna lebih baik daripada amalan yang banyak tetapi tidak sempurna.'

4. Syaitan akan menyuruh manusia untuk menjalankan amalan yang baik secara sempurna agar tidak dicela oleh orang lain. Mereka yang dipelihara oleh Allah akan mengatakan: 'Bagi saya, penilaian cukup hanya dari Allah swt dan tidak ada manfaatnya beramal kerana manusia (orang lain).'

5. Syaitan membisikkan pujian kepada orang yang beramal: 'Betapa tinggi darjatmu kerana dapat beramal soleh dan betapa cerdik dan sempurnanya dirimu.' ; Mendengar pujian ini, orang yang baik akan mengatakan bahawa:'Semua keagungan dan kesempurnaan itu hanyalah kepunyaan Allah dan bukan kekuatan atau kekuasaanku. Allah yang melimpahkan taufik kepadaku untuk dapat beramal sehingga Dia meredhai dan memberikan pahala yang besar. Sekiranya tanpa kurniaanNya, apalah erti amalanku ini, jika dibandingkan dengan nikmat Allah yang telah diberikan kepadaku, disamping dosaku yang bertimbun pula.'


6. Dengan gagalnya jalan kelima, syaitan akan menerapkan cara yang keenam. Cara ini lebih berat jika dibandingkan dengan cara-cara yang terdahulu dan manusia tidak akan menyedarinya kecuali orang-orang yang cerdik dan berfikir. Syaitan berbisik dalam hati manusia: 'Bersungguh-sungguhlah engkau beramal dengan sir (kejahatan), jangan sampai diketahui oleh orang lain .' ; Begitulah syaitan mencampur-baurkan amalan seseorang dengan penipuannya yang sangat tersembunyi. Dengan ucapannya itu syaitan bermaksud untuk memasukkan sedikit perasaan riak. Orang-orang yang dipelihara Allah akan menolak ajakannya dengan mengatakan: 'Hai malaun (yang dilaknat), engkau tidak henti-henti menggodaku dan merosakkan amalanku dengan pelbagai cara. Dan kini, kau berpura-pura seolah-olah akan memperbaiki amalanku, padahal engkau bermaksud merosakkannya. Aku adalah hamba Allah dan Allah yang menjadikanku. Jika berkehendak, Allah akan menjadikan aku mulia atau hina. Semuanya itu adalah urusan Allah. Aku tidak khuatir, amalanku diperlihatkan atau tidak kepada orang lain, sebab itu bukan urusan manusia.'

7. Gagal dengan cara itu, syaitan akan meneruskan godaannya dengan cara lain lagi. Dia mengatakan: 'Hai manusia, janganlah engkau menyusahkan diri sendiri dengan beramal ibadat kerana jika Allah telah menetapkan kamu sebagai orang yang berbahagia pada hari azali kelak, maka meninggalkan ibadat pun tidak akan memberikan sebarang mudharat. Engkau tetap menjadi orang yang berbahagia dan sebaliknya jika Allah menetapkan kamu sebagai seorang yang celaka, maka tidak ada gunanya engkau beribadat kerana engkau tetap akan celaka.' ;

Orang-orang yang dipelihara oleh Allah sudah pasti akan menolak godaan itu dengan mengatakan: 'Aku hanyalah hamba Allah. Wajib bagiku menuruti perintahNya. Allah Maha Mengetahui, menetapkan sesuatu dan berbuat apa sahaja sesuai dengan kehendakNya. Walau bagaimanapun keadaanku, amalanku tetap bermanfaat. Jika aku ditetapkan sebagai orang yang berbahagia, aku akan tetap beribadat untuk memperbanyakkan pahala. Sebaliknya, jika aku ditetapkan sebagai orang yang celaka, aku akan tetap meneruskan perbuatan ibadat agar tidak menjadi sebuah penyesalan bagiku. Sekiranya aku masuk neraka, padahal aku taat, itu adalah lebih aku sukai daripada aku masuk neraka kerana melakukan maksiat.

Tetapi tidak akan demikian akibatnya kerana janji Allah pasti terbukti dan firmanNya pasti benar ; Allah telah menjanjikan pahala kepada sesiapa sahaja yang taat kepadaNya. Barangsiapa mati dalam keadaan beriman dan taat kepada Allah, dia tidak akan dimasukkan ke dalam neraka, melainkan syurgalah tempatnya. Jadi, masuknya seseorang ke dalam syurga bukan kerana kekuatan amalan yang telah didirikan, tetapi kerana janji Allah yang suci murni dan pasti! Kelak, orang-orang yang berbahagia dan beruntung akan mengatakan; Segala puji bagi Allah yang membuktikan janjiNya dengan syurga, Semoga Allah melimpahkan rahmatNya kepada kita.'

Sesungguhnya dalam mentaati Allah, terlalu banyak godaan dan tipu daya syaitan yang perlu kita lalui. Bandingkan segala permasalahan dan perbuatan kepada keadaan tersebut dan pohonlah perlindungan Allah swt agar terlindung dan terpelihara dari kejahatan syaitan. Sesungguhnya segala sesuatu itu berada di bawah kekuasaan Allah dan kepadaNyalah kita mengharapkan taufiq dan keredhaan. Tiada daya untuk meninggalkan maksiat dan tidak ada kekuatan untuk mengerjakan ketaatan kecuali dengan pertolongan Allah yang Maha Luhur dan Maha Agung.

ditulis oleh : Hassan Adli B. Haji Othman

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails