Sunday, March 20, 2011

Si Bebal yang Yakin dengan Orang Berilmu yang Ragu-Ragu



Kisah ini berlaku di sebuah kampung yang diberi nama Kampung Sri Tanjung. Di kalangan penduduk kampung tersebut ada seorang lelaki yang dipanggil orang kampung dengan gelaran Si Bebal. Si Bebal digelar sebegitu rupa memandangkan dia tidak pandai dan tidak tahu berfikir dengan baik sehingga ada yang menggelarkan Si Bodoh.

Si Bebal ini tidak begitu kacak dan berumur dalam lingkungan 20-an tetapi tidak berpelajaran serta hidup menumpang di rumah neneknya. Hidupnya dalam serba-serbi kekurangan dan miskin tetapi masih mementingkan maruah diri berbanding segelintir orang lain. Walaupun Si Bebal tidak pandai tetapi dia tahu menjaga diri sendiri dan tidak menganggu orang lain, cumanya orang kampung sahaja yang kerap menyakatnya.

Tetapi kebijaksanaan Si Bebal tidak siapa yang tahu. Si Bebal kerap memerhatikan kejadian-kejadian alam yang difikirkannya tentu ada yang menciptanya seperti burung-burung yang berkicauan, binatang-binatang peliharaannya, kejadian siang dan malam bertukar silih ganti tepat pada waktunya tanpa sebarang kelewatan dan kecacatan, kejadian pokok-pokok yang segar menghijau memikat pandangan sesiapa sahaja yang melihat dan sebagainya.

Pada suatu hari Si Bebal ini pergi berjumpa seorang guru agama yang terkenal di kampung tersebut untuk mendapatkan kepastian tentang persoalan-persoalan di dalam pemikirannya dan kebetulan pula hanya guru agama tersebut yang melayan baik dirinya tidak seperti orang kampung yang lain. Guru itu memberi jawapan-jawapan kepada persoalannya tetapi sebenarnya Si Bebal masih tidak mengerti namun hatinya tetap ingin mengenali pencipta alam ini.

Guru tersebut agak sukar untuk mengajar agama kepada Si Bebal memandangkan Si Bebal tidak tahu membaca dan menulis. Guru terfikir-fikir untuk mengajar Si Bebal membaca 'bismillah' dahulu sebagai pegangan Si Bebal untuk permulaan.

Guru : “Nak, bacalah Bismillahirrahmanirrahim dengan penuh yakin. InsyaAllah akan ditunaikan sebarang hajat, janji kamu yakin”.

Si Bebal : “Baiklah guru, saya akan dengar cakap guru dan hafal ayat dan ingat pesan guru”.

Suatu hari Si Bebal berjalan-jalan di pinggir hutan dan dalam perjalanannya Si Bebal terhalang oleh sebatang sungai yang agak luas. Sungai tersebut  merupakan jalan utama orang kampung untuk ke tempat-tempat lain.

Teringat pesan gurunya, dengan penuh yakin, Si Bebal mulakan langkah dengan Bismillah dan  terus menyeberangi sungai tersebut. Teka apa yang terjadi? Si Bebal berjalan di atas air.. Di tengah-tengah sungai yang luas itu. Semasa menyeberang, Si Bebal berselisih dengan gurunya yang sedang menaiki sampan.

Tegur Si Bebal, “Guru! Mahu kemana?”
Guru membalas, “Ke kebun di seberang sungai”

Guru sebenarnya masih kebingungan apa yang dilihat.

Si Bebal bertanya lagi, “Kenapa guru naik sampan, bukankah guru ajar saya baca Bismillah dan yakin, kita dapat apa yang kita hajati?”

Guru tergamam. Si Bebal yang sememangnya ramah, mengajak pula gurunya itu mengikuti apa yang dia sedang lakukan, “Kenapa tidak guru berjalan saja?”.

Tercabar dengan kata-kata Si Bebal, terus sahaja gurunya membaca Bismillah dengan rasa yakin lalu terus memijak air sungai.

Malangnya guru terjatuh dan terkapai-kapai di dalam air. Tidak pula terjadi seperti yang Si Bebal lakukan. Dalam kehairanan Si Bebal menyelamatkan guru tersebut lalu di pikulnya sambil berjalan atas air sehingga sampai ke tebing sungai.

Itulah kisah Si Bebal, walaupun tidak pintar seperti orang lain namun dengan rasa yakin dan bersandar bulat kepada Yang Pemberi Yakin maka yang mustahil menjadi realiti. Namun kisah seperti ini adalah kisah-kisah yang terpencil dan amat sukar ditemui di zaman kini, keajaiban seperti ini lebih cenderung dikurniakan Allah kepada hambaNya yang selalu hampir denganNya seperti para kekasihNya dan apa yang lebih penting bukanlah keajaiban yang kita cari dalam hidup ini tetapi yang kita cari adalah Cinta dan RedhaNya semata-mata.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails