Hadis Jibril - Islam, Iman dan Ihsan.
Mafhum hadis : Daripada Saiyidina Umar R.A, beliau berkata :
”Ketika kami sedang duduk di sisi Rasulullah SAW pada suatu hari, tiba-tiba muncul di hadapan kami seorang lelaki yang memakai pakaian yang sangat putih, berambut sangat hitam, yang tidak ternampak pada dirinya kesan-kesan tanda musafir dan tidak seorang pun di kalangan kami yang mengenalinya. Lalu dia duduk menghampiri Rasulullah SAW lalu disandarkan kedua-dua lututnya ke lutut Baginda SAW dan meletakkan dua tapak tangannya atas dua paha Baginda SAW seraya berkata : “Wahai Muhammad, Terangkan kepadaku tentang lslam. ”Lalu Rasulullah SAW bersabda: “lslam itu bahawa engkau naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan ALLAH dan bahawa Muhammad itu utusan ALLAH, (dan bahawa) engkau mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, berpuasa di bulan Ramadhan, menunaikan haji ke Baitullah (Mekah) sekiranya engkau berkuasa mengerjakannya. “Lelaki tersebut berkata: “Benarlah engkau.” Maka kami pun merasa hairan kepadanya, dia yang bertanya dia pula yang membenarkannya. Dia bertanya : “Terangkan kepadaku tentang lman.” Baginda SAW bersabda: “(lman itu ialah) bahawa engkau percaya kepada Allah, para MalaikatNya, kitab-kitabNya, para RasulNya, hari Qiamat dan bahawa engkau percaya kepada Qadar baik dan buruk.” Lelaki itu berkata: “Benarlah engkau. Dia berkata lagi: “Terangkanlah kepadaku tentang Ihsan.” Baginda SAW bersabda: “Ihsan itu ialah bahawa engkau menyembah ALLAH seolah-olah engkau melihatNYA. Sekiranya engkau tidak dapat melihatNYA, maka sesungguhnya DIA melihatmu.” Lelaki itu bertanya lagi: “Terangkan kepadaku tentang Qiamat.” Baginda SAW bersabda : “Orang yang ditanya tentang Qiamat tidaklah lebih mengetahui daripada orang yang bertanya.” Lelaki itu berkata: “Maka terangkanlah kepadaku tentang tanda-tandanya.” Baginda bersabda:“(Antara tandatandanya ialah) apabila seorang hamba perempuan melahirkan tuannya dan apabila engkau melihat orang-orang miskin yang berkaki ayam, tidak berpakaian dan papa kedana yang hanya menjadi pengembala kambing berlumba-lumba membina bangunan (iaitu bertukar menjadi kaya raya). Kemudian lelaki itu berlalu, lalu aku terdiam sebentar. Kemudian Baginda bertanya: “Wahai 'Umar! Adakah engkau tahu siapa lelaki yang bertanya itu?” Aku berkata: “ALLAH dan RasulNYA lebih mengetahui.” Baginda bersabda: “Sesungguhnya dia adalah Malaikat Jibril yang datang kepada kamu untuk mengajar kamu tentang agama kamu.”
- Hadiths Riwayat Al-lmam Muslim [Hadiths riwayat Muslim, kitab Al-iman, no: 9 dan 10, Al-Tirmizi, kitab Al-iman, no: 2535, beliau berkata: hadiths ini hasan shahih, al-Nasaa’ie, kitab Al-iman, no: 4904, 4905, Abu Dawud, kitab Al-sunnah,no:4075, Ibn Majah, kitab Al-muqaddimah, no: 62 dan 63, Ahmad, musnad العشرة المبشرین , no: 346]
Betapa pentingya Islam, Iman dan Ihsan itu sehinggakan Malaikat Jibril menjelma sebagai seorang lelaki dan bertemu Rasulullah SAW di khalayak ramai untuk mengajar umat Muhammad tentang Islam, Iman, Ihsan dan Hari Kiamat. Apa kaitan keempat-empatnya? Sangat berkait rapat. Semoga kita semua telah disuntik dengan Islam, Iman dan Ihsan untuk menghadapi dunia akhir zaman ini.
No comments:
Post a Comment