Wednesday, May 19, 2010

Taubat Menghapus Dosa.



PADA suatu hari, selepas menunaikan sembahyang, Rasulullah didatangi seorang wanita yang bernama Ghamidiyah. Rasulullah pun bertanya tujuan wanita itu datang menemuinya.

"Apakah tujuan kamu menemuiku?" soal Rasulullah.

"Wahai Rasulullah, aku telah berzina. Oleh itu rejamlah aku," jawab Ghamidiyah.

Mendengarkan jawapan itu, Rasulullah memalingkan mukanya dari pandangan Ghamidiyah.



Ghamidiyah pun mendepani Rasulullah dan berkata: "Aku telah melakukan zina, wahai Rasulullah. Hukumlah aku mengikut hukum yang telah ditetapkan oleh Allah kepada penzina sepertiku ini," kata Ghamidiyah.

Selepas Rasulullah berpaling sebanyak tiga kali, akhirnya baginda pun bertanya, "Sudah sampai ke tahap mana engkau berzina?"

"Sudah berzina, ya Rasulullah," jawab Ghamidiyah.

"Adakah kamu bercium dan berpelukan?" soal Rasulullah.

"Sudah berzina, ya Rasulullah. Hubungan kami sudah seperti hubungan suami isteri, dan sekarang aku sedang mengandung anak hasil daripada perbuatan zinaku. Hukumlah aku, wahai Rasulullah. Hukumlah aku mengikut hukum Allah, agar aku terlepas daripada hukuman Allah di akhirat kelak. Aku pohon agar dikenakan hukuman rejam ke atasku," kata Ghamidiyah lagi.

"Kau pulanglah dulu. Tunggu sehingga anak di dalam kandunganmu itu dilahirkan. Apabila engkau telah bersalin, barulah engkau datang menemuiku," nasihat Rasulullah.

Apabila telah cukup sembilan bulan 10 hari, maka lahirlah anak yang dikandung oleh Ghamidiyah. Sebaik sahaja sihat dan mampu berdiri, Ghamidiyah pun pergi menemui Rasulullah. Dia mengendong bayinya di dalam sehelai kain dan dibawa bersama.

"Wahai Rasulullah, aku sudah melahirkan anak ini. Sekarang, aku sudah bersedia untuk dihukum. Jalankan hukumanmu ke atas ku," kata Ghamidiyah.

Rasulullah memandang ke arah Ghamidiyah dan bayi di dalam dukungannya silih berganti. Kemudian baginda menjawab, "Kau pulanglah dahulu. Apabila bayi ini sudah mampu makan dengan menggunakan tangannya sendiri, barulah engkau datang menemuiku semula".

Ghamidiyah pun akur. Dia pulang kembali ke rumah. Bayi yang dilahirkan itu dipelihara dengan penuh kasih sayang sehingga bayi itu besar. Akhirnya dia sudah mampu makan dengan tangannya sendiri. Ghamidiyah pun pergi menemui Rasulullah buat kali yang ketiga, membawa bersama anaknya. Di tangan anak itu terdapat sekeping roti yang sesekali digigit dan dimamahnya.

"Wahai Rasulullah, lihatlah! Anakku ini sudah boleh makan dengan tangannya sendiri. Sekarang aku pohon kepadamu, hukumlah aku agar aku kembali suci untuk mengadap Allah yang maha Esa nanti," kata Ghamidiyah.

"Kau carikan sebuah keluarga yang rela menjaga anakmu ini apabila engkau sudah tiada kelak," kata Rasulullah.

Ghamidiyah pun mencarikan keluarga angkat untuk anaknya itu. Apabila telah ada orang yang sudi memeliharanya, maka Ghamidiyah pun menyerahkan anaknya itu. Kemudian dia kembali menghadap Rasulullah.

"Aku sudah selesaikan hal yang engkau perintahkan kepadaku. Sekarang, bolehlah aku dihukum," kata Ghamidiyah.

"Baiklah," kata Rasulullah.

Ghamidiyah pun dibawa ke tempat hukuman. Dia diikat di sebatang kayu. Orang ramai dikumpulkan di sekelilingnya. Akhirnya Rasulullah pun mengarahkan agar Ghamidiyah direjam.

Semua orang mencapai anak batu lalu dilontarkan ke arah wanita itu. Seorang sahabat Rasulullah mengambil sebiji batu yang besar lalu melontar ke arah Ghamidiyah sambil mencelanya.

"Janganlah engkau menghina dan mencerca Ghamidiyah. Sesungguhnya taubatnya itu diterima Allah. Sekiranya hendak dibandingkan taubatnya dengan taubat yang lain, taubat ini adalah lebih besar dari Gunung Uhud," kata Rasulullah.

Maka Al-Ghamidiyah pun direjam sehingga meninggal dunia.

Kredit --> [sumber]



Sesungguhnya 'penghapus' dosa hamba-hamba Allah itu adalah Taubat Nasuha. Beruntunglah sesiapa yang menemui hidayah untuk bertaubat walaupun sebesar mana dosanya sekalipun, walau sebanyak buih di lautan, namun Allah tetap mengampunkannya. Janganlah berputus asa dengan rahmat Allah.

"Sesungguhnya tidak akan patah dari rahmat Allah kecuali kaum yang kafir" (Yusuf : 87).

Ibn Abbas r.a berkata : Jika seorang hamba bertaubat dan diterima oleh Allah, maka Allah melupakan Malaikat yang mencatat dosa apa yang telah mereka tulis, juga anggota badannya pun lupa apa yang pernah dilakukan dari dosa, juga Allah melupakan bumi di mana ia berbuat dosa itu di atasnya, supaya ia datang pada hari kiamat dan tiada sesuatupun yang menyaksikan perbuatan yang pernah dilakukan itu.

Rugi pula kepada sesiapa yang tidak ingin dan tidak tergerak untuk bertaubat akibat menganggap diri sendiri tidak banyak melakukan dosa ataupun ingin menunggu (menunda-nunda) hari tua nanti.

Juwaibir meriwayatkan dari Adhdhahhak dari Ibn Abbas r.a. berkata ; Nabi s.a.w. bersabda yang mana maksudnya : "Pasti akan binasa orang yang menunda-nunda. Iaitu yang selalu berkata : Nanti saya akan taubat."

Masa muda ini, mereka mahu 'enjoy' dulu. Hidup hanya sekali. Siapa kata hidup hanya sekali? Hidup adalah dua kali, sekali di dunia dan sekali di akhirat. Bezanya, hidup di dunia bersifat sementara manakala hidup di akhirat adalah kekal abadi.

Daripada Abu Hurairah r.a. Nabi s.a.w. bersabda, ertinya : "Dunia penjara orang Mukmin dan syurga orang kafir." (Riwayat Muslim)

Jadi, hidup yang mana lebih penting? Yang sementara atau kekal abadi? Di dunia tiada syurga, syurga hanya di akhirat. Syurga Rabbi itu diluar jangkauan pemikiran manusiawi namun ada sedikit panduan dalam al-Quran dan hadis untuk mengenal syurga.

Abu Hurairah r.a. berkata: Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud: Sesungguhnya di dalam syurga ada pohon besar sehingga seorang yang berkenderaan dapat berjalan di bawah naungannya selama seratus tahun tidak putus naungannya, bacalah: Wa dhilin mamdud (dan naungan yang memanjang terus). Dan di dalam syurga kesenangannya yang tidak pernah dilihat mata atau didengar oleh telinga, bahkan tidak pernah terlintas dalam hati (perasaan) manusia, bacalah kamu: Maka tidak seorangpun yang mengetahui apa yang tersembunyi bagi mereka dari kesenangan yang memuaskan hari sebagai pembalasan apa yang telah mereka lakukan. Dan tempat pecut di dalam syurga lebih baik dari dunia seisinya. Bacalah ayat yang bermaksud: Maka siapa dijauhkan dari api dan dimasukkan dalam syurga bererti telah untung.

Satu lagi kisah :
Pada suatu hari Abdullah bin Mas'ud r.a. berjalan-jalan di kota Kufah, tiba-tiba bertemu dengan orang-orang yang fasik sedang berkumpul minum arak ada seorang penyanyi bernama Zadan, ia memukul rebana sambil menyanyi dengan suara yang merdu sekali. Abdullah bin Mas'ud berkata : "Alangkah merdunya suara itu andaikan digunakan untuk membaca Al-Quran" dan Abdullah terus berjalan. Tiba-tiba Zadan mendengar samar-samar apa yang dikatakan oleh Abdullah itu, lalu ia tanya kepada orang lain "siapakah gerangan lelaki itu?". Dijawab oleh orang sekeliling : "Itulah Abdullah Ibn Mas'ud, sahabat Nabi s.a.w". "Lalu ia berkata apa?" Tanya Zadan. Jawab mereka : Ia berkata "Alangkah merdu suara itu andai digunakan untuk membaca Al-Quran." Kata-kata itu benar-benar menusuk kalbu Zadan sehingga bingkas berdiri dan membanting biola yang ada di tangannya, lalu segera mengejar Abdullah dan menangis di hadapan Abdullah, lalu didakap Abdullah dan sama-sama menangis. Kemudian Abdullah berkata : "Bagaimana saya tidak menyayangi orang yang disayangi Allah". Lalu ia bertaubat dan selalu mendampingi Abdullah untuk mempelajari ilmu Al-Quran sehingga menjadi orang alim yang banyak meriwayatkan hadis dari Abdullah bin Mas'ud r.a.


Rujukan :
[1] TANBIHUL GHAFILIN, Peringatan Bagi Yang Lupa, Jilid 1 & 2 : Abullaits Assamarqandi & H. Salim Bahreisy.
[2] 300 HADIS BIMBINGAN, Ke Arah Mencari Reda Allah : Zahazan Mohamed & Ahmad Hassan Mohd. Nazam.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails