Thursday, October 7, 2010

Bunyi letupan ketika gadis 'ghaib' dirawat


Oleh Mohammad Ishak 
bhkt@bharian.com.my
2010/10/07

Wartawan, jurugambar Berita Harian lalui pengalaman ngeri


JERTIH: Suasana sunyi tiba-tiba digemparkan dengan bunyi kuat seperti runtuhan sesuatu yang berat ke lantai, mengejutkan ahli keluarga dan tetamu yang berjaga supaya gadis mengalami gangguan misteri di Kampung Gong Nangka, Apal, di sini tidak ghaib lagi pada malam kelmarin.


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Ramlan Ali, bomoh serta Wartawan dan jurugambar Berita Harian yang berada di rumah Siti Balqis Mohd Nor, 22, yang melalui kejadian misteri sejak dua bulan lalu turut mendengar letupan itu.

Bunyi runtuhan kira-kira jam 10.30 malam itu adalah antara kejadian pelik sepanjang semalaman di rumah gadis itu, termasuk melihat kelibat makhluk halus serta sejenis objek besi yang tiba-tiba jatuh ke ruang tamu rumah. 

Sejak mengalami gangguan misteri itu, Siti Balqis, anak sulung daripada empat beradik itu sudah ghaib daripada pandangan ramai di rumahnya sebelum ditemui di pelbagai tempat dalam tempoh antara enam hingga tujuh jam kemudian di siling rumah, atas pokok manggis, tanah perkuburan, rumah tinggal dan mesin pembancuh simen. 

Malam kelmarin, setengah jam selepas sesi rawatan bersama seorang pengamal perubatan tradisional selesai pada kira-kira jam 10 malam, suasana hening digemparkan dengan bunyi letupan seperti atap runtuh di sebuah bilik. Apabila semua di rumah itu bergegas ke bilik berkenaan, didapati tiada apa yang berlaku. 

Wartawan dan jurugambar, Aswadi Alias merasa seram dengan kejadian itu, tetapi mereka tetap memberanikan diri dan terus bersama ahli keluarga dan jiran menjaga Siti Balqis yang berbaring di ruang tamu rumah. 
Menjelang dinihari keadaan bertambah sunyi dan kedinginan malam ditemani pula dengan pelbagai bunyi yang menyeramkan. Secara tiba-tiba kira-kira jam 2 pagi, seketul logam berukuran 12 sentimeter tiba-tiba melayang dan jatuh ke tengah ruang tamu rumah. 

Bagaimanapun, mujurlah objek logam itu tidak terkena sesiapa walaupun ia jatuh tidak jauh daripada sekumpulan wanita yang turut sama berjaga tidak jauh dari gadis itu. 

Malah sebelum logam itu jatuh, Aswadi mendakwa melihat sendiri objek berbalut kain putih melayang di depannya sebelum ia terjatuh di sisi sekumpulan wanita terbabit. 

"Memang saya berasa seram sejuk dengan kejadian itu dan tidak lama kemudian beberapa bahagian badan terutama tangan dan kaki kebas dan badan saya seperti demam," kata Aswadi yang kini demam dan diberikan cuti rehat selepas pulang dari Besut, pagi semalam. 

Bagaimanapun, usaha kami untuk mengambil gambar objek berkenaan tidak kesampaian kerana sebaik saja objek itu jatuh ke ruang tamu, seorang adik Siti Balqis segera mengambilnya dan mencampakkannya ke luar rumah. 

Melihat ketakutan semua hadirin, ibu Siti Balqis, Norizan Said, 47, mengingatkan kami supaya tidak bimbang kerana baginya, bunyi pelik dan jelmaan pelbagai objek di rumah itu adalah perkara biasa sejak kejadian misteri menimpa anaknya dua bulan lalu. 

Sementara itu, mengulas usaha mengubat Siti Balqis, Norizan berkata, mereka sudah mendapatkan lebih 100 bomoh dari Terengganu, Kelantan dan Pahang untuk merawat penyakit misteri anaknya tetapi setakat ini keadaan kesihatan anaknya tidak berubah. 

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails