Wednesday, January 6, 2010

Dr Asri - Garis Panduan Penggunaan Nama Allah. (drmaza.com)

Isu Nama Allah: Garis Panduan Penggunaan Nama Allah

maza211.pngOleh : Dr Mohd Asri bin Zainul Abidin

Di sini saya mencadangkan beberapa perkara untuk diteliti dalam isu penggunaan nama Allah oleh mereka yang bukan Islam.

Seperti mana yang saya sebutkan dalam artikel saya pada tahun 2007 yang bertajuk “Beza Antara Merebut Nama Allah Dan Mempertahankan Akidah” bahawa isu ini lebih bersifat tempatan atau keselamatan setempat, bukan membabitkan larangan secara khusus dari nas-nas Islam. Harap kenyataan ini dibaca bersama dengan artikel tersebut.

Kristian Arab dan juga musyrikin Mekah dahulu juga menyebut Allah sebagai Tuhan. Nas-nas al-Quran dan al-Sunnah tidak membantah hal tersebut. Namun dalam konteks Malaysia, perkara ini agak baru. Ia menimbulkan kegusaran terutama disebabkan berbagai persoalan yang timbul, antaranya apakah maksud yang terselindung di sebalik tuntutan ini?!

Juga di pihak umat Islam sendiri, pendidikan akidah Islam tidak ditekankan secara yang sepatutnya. Kita lebih banyak menumpulkan soal fekah sehingga melupai pokok yang lebih penting iaitu akidah. Inilah sebabnya ramai orang melayu sekalipun bersolat, ada yang mudah terpengaruh dengan khurafat, bomoh, tahyul dan seumpamanya.

Jika kita jelas dalam persoalan akidah, tentu unsur-unsur seperti itu, pengaruh kristianisasi, unsur-unsur agama lain tidak dapat mengelirukan akidah dan pemikiran umat. Isu nama Allah ini sepatutnya menyedarkan kita keperluan menegaskan soal akidah dan batas-batas iman dan kufur.

Untuk mengelakkan ketegangan yang tidak baik untuk negara dan kehidupan masyarakat yang berbilang agama dan kaum, maka saya sekadar mencadangkan beberapa pekara berikut sebagai garis panduan yang patut diambil perhatian oleh pihak kerajaan;

  1. Nama Allah tidak boleh dipanggil melainkan hanya kepada tuhan yang sebenar. Maka dengan itu tiada pihak yang boleh menamakan sekutu-sekutu Allah yang didakwa oleh manusia sebagai tuhan atau perantara tuhan sebagai Allah. Ini seperti memanggil berhala, atau batu, atau patung, atau manusia dengan panggilan Allah. Jika ini berlaku, muslim memang wajar menentang dan membantah. Musyrikin Quraish yang memanggil tuhan sebenar Allah tetapi mensyirikkanNya, pun begitu tidak menamakan berhala mereka dengan nama Allah, sebaliknya menamakan berhala-berhala mereka dengan panggilan al-Lata, al-‘Uzza, Manat dan seumpamanya.

  2. Manusia memang sewajar memanggil tuhan yang sebenar Allah. Ini juga membuktikan ajaran Islam yang memanggil tuhan ‘Allah’ itulah yang benar. Maka, tidak mengapa, bahkan sepatutnya semua manusia tanpa mengira agama menyatakan “Allah yang menciptakan alam”, “Allah yang menurunkan hujan”, “Allah menyuruh kita melakukan kebaikan” dan seumpamanya. Perkataan-perkataan itu benar. Adalah tidak wajar seorang muslim membantah apabila mendengar bukan muslim menyatakan perkara seperti itu. Bahkan al-Quran menyebut: (maksudnya) “Dan sesungguhnya jika engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: “siapakah yang menurunkan hujan dari langit, lalu dia hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya?” sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah”. Ucapkanlah (Wahai Muhammad): “Alhamdulillah” (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka yang demikian), bahkan kebanyakan mereka tidak menggunakan akal (untuk memahami tauhid) (Surah al-Ankabut ayat 63).

  3. Jika mereka akur Allah adalah Tuhan sebenar, lalu mereka memanggilnya dalam ibadat mereka maka seorang muslim tidak boleh mengganggu urusan ibadah agama lain. Walaupun Islam mempertikaikan kesyirikan mereka, tetapi kebebasan beribadah adalah hak setiap agama.

  4. Bukan muslim tidak boleh menggunakan nama Allah untuk penyebaran dakyah yang menghina Islam. Ini seperti mempersendakan Allah dalam sebaran kepada masyarakat Islam atau mempermain-mainkan nama Allah dalam tulisan, lukisan, filem dan seumpamanya seperti yang sering berlaku dalam masyarakat Barat.

  5. Bukan muslim tidak boleh memputarbelitkan ajaran Islam dengan mempergunakan nama Allah sebagai umpan. Tindakan provokatif seperti itu wajar diambil tindakan tegas. Adalah menjadi prinsip kemanusiaan yang dipegang oleh Islam bahawa tiada siapa pun boleh memutar belitkan maksud ajaran pihak lain. Orang Islam juga tidak boleh memutarbelitkan ajaran agama lain.

  6. Menyebut nama Allah dalam pergaulan antara muslim dan bukan muslim dengan cara yang hormat dan mengagungkan Allah seperti bukan muslim menyebut kepada muslim “semoga Allah merahmati kamu”, atau “semoga Allah memberi rezeki kepada kamu” adalah diizinkan. Bahkan itulah yang sepatutnya. Nabi s.a.w ketika membuat perjanjian dengan Quraish Mekah juga masing-masing menggunakan nama Allah seperti hadis Muslim: Sesungguhnya Quraish membuat perjanjian damai dengan Nabi s.a.w. Antara wakil Quraish ialah Suhail bin ‘Amr. Sabda Nabi s.a.w : barangkali aku boleh tulis Bismillahirrahmanirrahim. Kata Suhail: Adapun Bismillah (dengan nama Allah), maka kami tidak tahu apa itu Bismillahirrahmanirrahim. Maka tulislah apa yang kami tahu iaitu BismikalLahumma (dengan namaMu Ya Allah!)”.

Ini adalah beberapa cadangan saya mengenai hal ini untuk dijadikan garis panduan kepada rakyat Malaysia agar kita tidak merusuh disebabkan isu ini. Sebaliknya, hendaklah setiap pihak menghormati sensitiviti pihak yang lain.


(Sumber : drmaza)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails