Wednesday, January 6, 2010

Dr Asri - Isu Kalimah Allah

Dr Asri pertikai kenyataan Dr Haron Din

Kenyataan tokoh ulama PAS Datuk Dr Haron Din - yang mengaitkan sokongan kepada keputusan mahkamah kes kalimah 'Allah' boleh membawa kepada kekufuran - dipertikaikan.

Membidas pengamal perubatan Islam itu, Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, Dr Haron patut memberikan pandangan yang rasional dan tidak menafsirkan dengan salah pendapat orang lain.

"Saya hendak tanya Dr Haron, kalau kita dengar orang bukan Islam berkata, 'Allah menciptakan alam', adakah kita hendak ambil tindakan pada mereka?

"Adakah kita hendak suruh mereka kata tuhan lain yang menciptakan alam?" kata bekas mufti Perlis.

Sementara ahli majlis syura PAS, Ahmad Awang pula berpendapat isu akhidah dan keputusan mahkamah merupakan dua hal yang berbeza sama sekali.

"Kefahaman bahawa kalimah Allah itu eksklusif untuk orang Islam sahaja, saya percaya (kefahaman) itu lagi sesat.

“Sedangkan Allah itu tuhan semesta alam, tuhan kepada semua manusia,” katanya, sewaktu diminta mengulas pandangan timbalan mursyidul am PAS.

Dr Haron hari ini dilaporkan berkata umat Islam yang menyokong keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur – membenarkan mingguan Katholik Herald The Catholic Weekly menggunakan kalimah Allah dalam penerbitannya – boleh membawa kepada kekufuran.

Beliau dipetik berkata, menurut kaedah ilmu akidah, bersetuju dengan penggunaan nama Allah oleh Kristian membawa maksud menyekutukan Allah kerana agama itu mempercayai konsep tritunggal (trinity).

Usaha mendapatkan penjelasan lanjut Dr Haron setakat ini belum berhasil.

ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Dr Mohd Asri berkata kenyataan Dr Haron itu bertentangan dengan kenyataan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang sendiri berhubung perkara yang sama.

"Hendak mengkafirkan orang bukan senang. Parti beliau sendiri kata golongan bukan Islam boleh menggunakan perkataan Allah.

"Keizinan menggunakan nama Allah juga telah digunakan sejak zaman nabi. Dalam perjanjian dengan Quraish (perjanjian Hudaibiah), nabi tulis nama Allah," katanya.

Abdul Hadi dalam kenyataannya semalam berkata, berdasarkan kaedah Islam, penggunaan nama Allah pada asasnya dibenarkan kepada penganut agama Kristian dan Yahudi.

Bagaimanapun, Abdul Hadi juga berkata, penggunaannya secara salah dan tidak bertanggungjawab mestilah dielakkan supaya ia tidak menjadi isu yang menjejaskan keharmonian kaum dan agama.

Dr Mohd Asri sekali lagi menekankan keperluan mewujudkan satu panduan atau undang-undang berhubung penggunaan kalimah tersebut bagi mengelakkan berlakunya sebarang provokasi.

Sementara Ahmad pula menyifatkan keputusan mahkamah 31 Disember lalu mempunyai hikmah supaya umat Islam memantapkan lagi kepercayaan dan kefahaman tauhid masing-masing.

Selain itu, bekas pesuruhjaya PAS Perak itu berkata, bagi mengelakkan penggunaan kalimat tersebut secara salah, beliau mencadangkan pendekatan undang-undang dan dialog antara agama.

(sumber : malaysiakini)

Dr Asri cadang 6 panduan guna kalimah Allah

Bekas mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin hari ini mencadangkan enam garis panduan utama untuk diteliti berhubung isu penggunaan kalimah "Allah" oleh bukan Islam.

Katanya, garis panduan tersebut dicadangkan bagi "mengelakkan ketegangan yang tidak baik untuk negara dan kehidupan masyarakat yang berbilang agama dan kaum".

Menulis Dr Mohd Asri, ini adalah beberapa cadangannya mengenai hal tersebut untuk dijadikan garis panduan kepada rakyat Malaysia bagi mengelak perkara yang tidak diingini.

"Sebaliknya, hendaklah setiap pihak menghormati sensitiviti pihak yang lain," tulis Dr Mohd Asri dalam blognya.

Enam garis panduan tersebut dicadangkan ekoran keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Khamis lalu yang membenarkan akhbar mingguan Herald-The Catholic Weekly menggunakan kalimah "Allah" dalam penerbitannya.

Ketika dihubungi Malaysiakini petang ini Dr Mohd Asri enggan mengulas lanjut berhubung tindakan mahkamah itu, sebalik mengusulkan supaya merujuk terus ke laman blognya.

Menulis dalam blognya Dr Mohd Asri berkata "bukan Muslim tidak boleh menggunakan nama Allah untuk penyebaran dakyah yang menghina Islam".

"Ini seperti mempersendakan Allah dalam sebaran kepada masyarakat Islam atau mempermain-mainkan nama Allah dalam tulisan, lukisan, filem dan seumpamanya seperti yang sering berlaku dalam masyarakat Barat," tulisnya.

Menurut pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) itu lagi "isu tersebut lebih bersifat tempatan atau keselamatan setempatan, bukan membabitkan larangan secara khusus dari nas Islam".

Dr Mohd Asri berharap pembaca dapat membaca kenyataan beliau itu bersama dengan artikel yang ditulisnya dalamblognya bertajuk"Beza Antara Merebut Nama Allah Dan Mempertahankan Akidah".

Beliau juga menegaskan dalam garis panduan itu bahawa "bukan Muslim tidak boleh memputarbelitkan ajaran Islam dengan mempergunakan nama Allah sebagai umpan".

"Tindakan provokatif seperti itu wajar diambil tindakan tegas. Adalah menjadi prinsip kemanusiaan yang dipegang oleh Islam bahawa tiada siapa pun boleh memutar belitkan maksud ajaran pihak lain. Orang Islam juga tidak boleh memutarbelitkan ajaran agama lain," tulisnya lagi.

(sumber : malaysiakini)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails