Thursday, January 21, 2010

Gula-gula rokok? Memang teruk betullah...

Gula-gula bentuk rokok berleluasa


gula-gula menyerupai rokok dijual berleluasa di Kota Bharu, Kelantan.


KOTA BHARU - Golongan ibu bapa di sini kesal dengan tindakan syarikat pengeluar makanan kerana menjual gula-gula dalam bentuk rokok bagi menarik perhatian kanak-kanak.

Bungkusan gula-gula rokok itu didapati hampir sama dengan jenama rokok sebenar di pasaran dan dijual pada harga 40 sen dengan pelbagai perisa.

Seorang bapa, Yusri Ibrahim, 32, semasa mendedahkan perkara itu berkata, tindakan tersebut dikhuatiri boleh mempengaruhi kanak-kanak ke arah tabiat merokok kerana bungkusan dan gaya memakan gula-gula itu hampir sama.

"Cara kanak-kanak makan gula-gula ini seakan-akan menghisap rokok, kita bimbang mereka akan menjadi ikutan pula dengan menghisap rokok sebenar pula," katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

(Sumber : Kosmo Online)

Baru-baru ini saya ada terbaca sebuah akhbar tempatan yang menyatakan bahawa Kempen Berhenti Merokok GAGAL. Rata-rata perokok tegar di Malaysia masih lagi tidak mengendahkan seruan kerajaan untuk berhenti merokok, tidak dinafikan bahawa terdapat juga segelintir perokok yang telah mengambil tindakan untuk berusaha berhenti daripada merokok tetapi malangnya kebanyakan daripada mereka telah kembali semula ke tabiat merokok setelah beberapa minggu atau bulan berusaha.

Tabiat merokok ini sememangnya tidak mendatangkan sebarang manfaat kepada perokok dan juga orang sekeliling, lebih malang lagi jika kita sebagai orang sekeliling kerana asap yang dihembuskan itu tidak dialu-alukan pun untuk masuk ke dalam paru-paru kita yang masih terjaga ini. " Kalau nak bunuh diri janganlah ajak orang lain sekali!! " itulah antara kata-kata yang terpacul dalam hati ini setiap kali duduk berhampiran perokok-perokok ini.

Walaupun kebanyakan fatwa (Selangor,Kedah,Perlis,Pinang,Sarawak dan Melaka) telah menyatakan bahawa merokok adalah HARAM (rujuk sini) namun saya perhatikan saban hari semakin meningkat jumlah orang yang merokok, dan lebih dibimbangkan lagi adalah peningkatan dari kalangan kanak-kanak sekolah.

Mana taknya, lihatlah tajuk akhbar Kosmo hari ini, ada pihak yang tidak bertanggungjawab cuba mendedahkan rokok kepada anak-anak kecil dengan menghasilkan gula-gula berbentuk rokok berserta dengan kotaknya sekali.

----Serius sebijik!----

Sangat sedih kalau perkara seperti ini tidak dibendung seawal-awalnya, lagi tambah risau jika gula-gula ini tersebar ke macam-macam tempat dan seterusnya memerangkap anak-anak kita sendiri. Jangan lupa pepatah "Melentur buluh biar dari rebungnya" kalau dari rebung pun sudah didedahkan dengan perkara-perkara negatif seperti ini nescaya akan datang akan hura-hara jadinya.


No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails