Kejayaan.
Semua orang inginkan kejayaan, tidak kiralah apa jua jenis kejayaan, berjaya dalam kerjaya, berjaya dalam pelajaran, berjaya menghadapi dugaan, berjaya memenangi suatu pertandingan, berjaya menawan hati, berjaya membuat pilihan sendiri dan pelbagai lagi jenis kejayaan.
Namun, definisi sebuah kejayaan bagi setiap individu adalah berbeza-beza mengikut pendapat masing-masing. Mungkin berjaya bagi kita tapi bukan pada orang lain, mungkin berjaya pada mata orang lain tapi bukan pada kita. Untuk sebuah kejayaan yang cemerlang dan abadi, biarlah kita berjaya dengan apa yang kita suka dan minat dan bukannya atas dasar sesuatu mahupun orang lain.
Hidup ini mempunyai pelbagai pilihan dan memilih itu adalah hak kita, pilihan kita menentukan hidup kita. Jangan biarkan orang lain yang memilih dan menentukan hidup kita. Cuma apa yang penting, berdoalah kepada Yang Maha Esa agar pilihan itu adalah pilihan terbaik buat kita. Biarlah perancangan itu perancangan yang terbaik untuk kita.
Berbalik kepada kejayaan tadi,
sebenarnya perjalanan ke arah suatu kejayaan itu terdapat berbagai-bagai simpang, bukan satu, bukan dua tapi pelbagai lagi simpang dan ingatlah semuanya menuju ke arah kejayaan, mungkin yang berbeza adalah 'jarak', 'masa', 'tenaga' dan mungkin juga 'wang', tapi jika itulah jalan yang kita minat dan suka pasti ianya berbaloi-baloi dan tidak rugi sama sekali.
Buat sesuatu tanpa minat akan membuatkan hidup kita rasa tertekan, dan jika dipaksa lagi, akan lagi tertekan, tertekan dan terus tertekan, akhirnya sampai bila? Tambah lagi jika ianya tidak berbaloi untuk masa hadapan.
Rasulullah pernah berpesan :
"Jangan kamu campakkan dirimu ke dalam kebinasaan"
Kita tahu kemampuan dan kekuatan diri masing-masing, jika tahu tidak mampu dan terpaksa tapi teruskan juga bukankah ianya ibarat mencampakkan diri dalam kebinasaan?
Buat sesuatu dengan paksaan tidak akan dapat mencipta suatu kejayaan, jika berjaya pun itu adalah kejayaan yang sia-sia dan sangat hipokrit!
Amatlah susah untuk memasang niat Lillahitaala jika buat sesuatu dengan paksaaan dan sangat tertekan, dan jika bukan niat kerana Allah SWT maka setiap perbuatan itu adalah sia-sia di sisiNya. Jika buat kerana Lillahitaala, maka ia akan meliputi semua perkara temasuklah untuk ibu-bapa.
"Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan) dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya"
- Al-Ankabut:69
Oleh itu, jangan sempitkan fikiran dengan mengatakan jalan itu sahaja boleh berjaya (Parallel Thinking : ibarat dua garis lurus yang tidak bersentuh namun ke destinasi yang sama). Rezeki Allah SWT itu sangat luas, rezeki ada di mana-mana asalkan kita berdoa, berusaha, berikhtiar, bertawakal serta bertaqwa, itulah janji Yang Maha Pencipta.
“Barang siapa yang bertakwa kepada Allah nescaya akan dibukakan jalan keluar baginya (daripada sebarang masalah) dan akan dikurniakan rezeki daripada sumber yang tidak diduga.”
- Surah at-Talaaq, ayat 2-3
Kejayaan yang hakiki adalah kejayaan di dunia dan di akhirat.
Mengaku kalah? Putus asa?
Tiada istilah mengaku kalah dan putus asa dalam hidup ini, yang ada hanya berundur dan berundur bukan bermakna kita mengaku kalah, kita berundur untuk mengumpul tenaga yang baru dan perancangan yang baru dan mungkin perlukan jalan yang baru, kita berundur untuk melawan balik bukan berundur untuk lari dari perjuangan. Haruslah diingat, masa untuk berundur bukanlah seawal perjuangan, keputusan untuk berundur mestilah setelah usaha sungguh-sungguh dan habis baik, berundur adalah pilihan terakhir dan ingat, memilih adalah hak kita.
Teringat kisah Perang Muktah (kalau tidak silap), Khalid Al-Walid telah mengarahkan semua tentera Islam supaya berundur ke Madinah akibat sudah terlalu ramai yang gugur syahid dan bilangan tentera Rom ketika itu sangatlah ramai berbanding tentera Islam (200,000 : 3000), pengunduran tentera Islam ketika itu bukanlah bermaksud mengaku kalah ataupun putus asa bahkan itu adalah pengunduran yang bermaruah (sesudah berusaha dan secara berperingkat2), Khalid mengundurkan tentera Islam kerana untuk mengumpul semula kekuatan tentera berserta dengan perancangan yang lebih baik untuk menyerang kembali musuh Allah, pengunduran itu bukan bermaksud lari dari medan perang, mengaku kalah mahupun berputus-asa. Namun fitrah manusia, bila berlaku suatu pengunduran itu pasti ada yang akan memandang rendah, menghina dan mencemuh, begitulah juga penduduk Madinah semasa tentera Islam berundur, mereka menghina dan mengejek :
"Saudara sekalian adalah orang-orang yang penakut kerana melarikan diri dari medan perang!"
"Saudara sekalian tidak layak menjadi tentera Islam kerana tidak sanggup syahid di medan perang!"
"Kami tidak mahu menerima kembali orang-orang yang tidak ada semangat jihad!"
Tentera-tentera Islam semuanya bersedih dan tidak mampu berkata apa-apa kerana mereka tahu penduduk Madinah tidak akan faham dan mengerti akan kesukaran yang mereka hadapi dalam medan perang (memang kebiasaan, orang lain akan sukar untuk memahami kesukaran yang kita sedang hadapi). Namun, ejek-ejekan mereka semua terhenti apabila Rasulullah menerangkan kepada penduduk Madinah mengapa tentera berundur.
Begitulah sedikit kisah Perang Muktah dan kisah tentang BERUNDUR.
Sesungguh tidak ada sesiapa yang mahukan kegagalan, berilah mereka peluang dalam jalan mereka sendiri dan berikanlah sepenuh kepercayaan kepada mereka untuk menentukan hala-tuju mereka masing-masing. Doakan yang terbaik buat mereka agar perjalanan dan pilihan mereka itu mendapat keberkatan dan keredhaan Allah SWT, itulah yang sebaik-baiknya dan bukannya mendesak dan memberi tekanan, cubalah fahami kesukaran dan hormati keputusan mereka. InsyaAllah mereka tidak lupa dan tidak lalai untuk mencipta kejayaan buat keluarga tercinta. (mereka di atas adalah penulis)
Kejayaan yang sebenar adalah kejayaan di dunia dan di akhirat dan kehidupan yang abadi adalah kehidupan selepas mati.
Wallahualam.
Sekian.
No comments:
Post a Comment