AQIDAH AHLI SUNNAH WAL- JAMAAH
BERTENTANGAN DENGAN ALIRAN WAHABIYYAH NAJDIYYUN (SALAFI PALSU)
1. Apakah Pengertian Golongan Wahabi/Salafi Palsu?
Wahabi adalah satu aliran yg diasaskan oleh Muhammad bin Abdul Wahab pada kurun yg ke-12 Hijrah di Najdi’ Jazirah Arabiyyah. Fahaman ini dikenali juga sebagai Aliran Kaum Muda di Malaya (Malaysia), dan juga di Indonesia, kemuncaknya antara sekitar thn 30an, 40an dan 50an. Gelaran aliran ini dinisbahkan kpd bapa Muhammad Abdul Wahab yg merupakan seorang ulama’ berfahaman Mazhab Hambali. Ianya merupakan adat bagi kaum Arab yg akan nisbahkan nama anak mereka samada kpd nama bapanya, datuknya atau mana-mana nama dari susur jalur atas dari keturunan mereka.
Sama seperti pelupor Mazhab Syafi’e, ianya adalah aliran mazhab yg dinisbahkan kpd moyangnya, sedangkan nama sebenar pengasas mazhab itu ialah Muhammad bin Idris. Begitulah adat kebiasaan bagi kaum Arab dalam hal memberi gelaran atau panggilan yg biasanya dinisbahkan kpd sesuatu. Walaupun begitu mereka yg berpegang dgn aliran Wahabi ini tidak merasa begitu selesa dgn gelaran yg diberikan kpd aliran mereka yg sepatutnya dipanggil sebagai kaum Wahabi, sebaliknya mereka menukarkannya dgn mendakwa mereka adalah dari golongan kaum Salaf atau Salafi atau kaum Ahlus Sunnah.
Mengapakah begitu? Ini adalah disebabkan istilah nama bagi kaum Wahabi ini, pada hari ini sudah mulai diketahui ramai akan kesesatannya dalam perkara aqidah dan juga dalam perkara-perkara cabang dalam ilmu yg lainnya. Justeru itu, kita dari golongan Ahlus Sunnah haruslah lebih berhati-hati dgn kegiatan puak ini kerana terkadangnya mereka mempergunakan istilah nama-nama Ahlus Sunnah atau Salafi dan juga pelbagai lagi istilah nama lain yg akan menampakkan seolah-olah mereka bersama dgn fahaman kita, tujuannya adalah utk mengaburi mata orang awam dari tercium akan kesesatan pegangan puak ini.
2. Apakah Ada di antara Ajaran Wahabi yang Bertentangan dengan Aqidah Ahlus Sunnah wal-Jamaah?
Jawapnya: Ya, ADA.! Ramai orang beranggapan bahawa puak ini hanyalah jaguh yg mempersoalkan perkara-perkara bid’ah dalam masalah-masalah furu’ (cabang) semata-mata, sedangkan sebenarnya mereka inilah yg membawa sebesar-besar bid’ah ke masyarakat dalam masalah Aqidah.!! Oleh itu, ramai dari kalangan mereka yg berotoriti seperti golongan ulama dan para pendakwah bersangkaan bahawa isu perkara furu’ yg dimainkan oleh puak ini tidak ada keutamaannya utk ditangani dgn bersungguh-sungguh. Diantara bahaya ajaran puak ini yg jelas sekali bertentangannya dgn aqidah Ahlus Sunnah wal-Jamaah ialah; Mereka menolak dan merendah-rendahkan pembelajaran ilmu Sifat 20. Sebaliknya mereka datang pula dgn membawa kaedah ajaran tauhid yg baru iaitu pembahagian tauhid kpd tiga. Definasi makna ajaran Tauhid Tiga ini pada sisi aliran Wahabi ialah:
I. Tauhid Rububiyyah.
Maksudnya tauhid dalam menyembah Tuhan, bagi mereka sama sahaja tauhid bagi orang Islam yg menyembah Allah Swt dgn mereka yang menyembah selain Allah Swt, contohnya seperti penyembah berhala, puak Wahabi ini beranggapan bahawa penyembah berhala itu juga menyembah Tuhan berhala dgn tujuan utk mendekatkan diri kpd Allah Ta’ala jua. Jika kita menyembah (solat) kpd Tuhan yg Satu, penyembah berhala juga menyembah kpd Tuhan yg Satu cumanya berhala itu hanyalah sebagai lambang pengantara antara si-hamba dgn Tuhannya.
II. Tauhid Uluhiyyah.
Tauhid Uluhiyyah dalam pegangan mereka bermaksud orang yg beribadah hanya kpd Allah Swt semata-mata, dengan ketiadaan sebarang perantaraan dgn makhluk. Dalam ertikata lain; perhubungan terus antara Tuhan dgn ciptaan Tuhan itu sendiri iaitu makhluk.
III. Tauhid Asma wa Sifat.
Iaitu mereka yg beriman dgn ayat-ayat mutasybihat secara zahirnya, contohnya seperti ta’wilan mereka bahawa Allah Swt itu bersemayam di atas Arasy dan lain-lain lagi yg akan kita bicarakan seterusnya nanti.
3. Bagaimanakah mungkin Tauhid itu boleh terbahagi kepada Tiga?
Dalam iktiqad Ahlus Sunnah wal-Jamaah; kita memahami Tauhid itu hanyalah satu iaitu mengesakan Allah Swt dan kita tidak sama sekali membeza-bezakan makna Tauhid itu sepertimana mereka yg meletakkannya Tauhid Tiga pembahagian yg menjadi asas pegangan tauhid mereka. Dengan menerima konsep tauhid Rububiyyah dan Uluhiyyah maka mengikut pentafsiran aliran Wahabi ini, mereka beranggapan bahawa banyak terdapat amalan-amalan yg diperakui baik dalam pegangan Ahlus Sunnah adalah sesat dan boleh membawa kpd kesyirikan atas pelakuannya. Antara yg di dakwa oleh mereka perkara itu sesat adalah seperti amalan meraikan Maulidur Rasul, membaca Marhaban, berdiri sewaktu Salawat dibacakan, Tabarruk (ambil berkat), Tawassul (berwasilah), bagitu juga perbuatan menziarahi makam-makam Nabiy-Nabiy ass, Rasul-Rasul ass, Auliya’ r.h. dan Solihin r.h semuanya adalah perbuatan yg salah dan sesat.
Sementara maksud Tauhid Asma wa Sifat pula membawa implikasi iaitu menjisimkan (visual) dan mentasbihkan (menyerupakan) Zat Allah Swt dgn mahkluk. Seperti menyifatkan Allah Swt ada bertempat dan beranggota (jarihah) sama sepertimana manusia. Aqidah yg seperti ini adalah aqidah yg lama yg dibawa oleh Kaum Musyabbihah Mujassimah yg telah wujud sejak kurun ke-4 Hijrah dan fahaman ini dikembangkan semula oleh Ibnu Taimiyyah pada kurun ke-7 Hijrah dan seterusnya disambungkan pula lagi oleh Muhammad bin Abdul Wahab pada kurun ke-12 Hijrah.
4. Adakah Kita Boleh mengikut sebahagian drpd Ajaran/Amalan Wahabi atau Kita Harus Meninggalkan Keseluruhan Ajaran tersebut?
Seharusnya dalam hal memberi penjelasan tentang Aqidah dan amalan agama Islam yg suci ini, ianya sepatutnya telah lama diterangkan, diperjelaskan dan dinyatakan; perumpamaannya boleh dikatakan sama seperti terangnya matahari di siang hari. Para ulama terdahulu sudah tiada lagi namun mereka telah byk meninggalkan berbagai-bagai khazanah bagi menjelaskan dan menerangkan segala bentuk permasalahan agama dgn sejelas-jelasnya dalam seluruh bidang-bidangnya dan ianya boleh dapati dgn mudah di dalam kitab-kitab yg sampai kpd kita hari ini. Jika sedemikian rupa jasa mereka, maka sudah tentunya tiada keperluan lagi utk kita merujuk kpd saranan dan anjuran yg disuarakan oleh puak Wahabi ini, begitu juga kerana ianya telah dibuktikan dalam banyak hal di mana mereka (Wahabi) telah menyelewengkan pengertian ayat-ayat al-Qur’an, hadith dan juga pandangan para alim ulama silam. Bahkan juga telah dibuktikan bahawa merekalah yg telah banyak melakukan pemalsuan terhadap kitab-kitab ulama silam kita dgn tujuan supaya mereka dpt mengelirukan seluruh umat Islam dan bagi mereka ianya memudahkan lagi utk umat mengikut telunjuk mereka, maka seharusnya kita menolak mereka dgn sekeras-kerasnya.
Numun begitu kita tidak menolak kemungkinan terdapat amalan-amalan mereka yg betul, akan tetapi kalaulah kebenaran itu sudah bercampur baur dgn kebatilan, maka ianya akan mendatangkan lebih banyak kesusahan dan salah faham bagi orang awam utk menentukan yg mana satu betul dan yg mana satu salah, maka tidak sayugia kita mengikuti mereka.!! Kemungkinan juga perkara yg benar itu boleh jadi akan dikatakan salah, dan mungkin juga perkara yg kita anggap salah itu, boleh jadi akan dikatakan benar dan seterusnya...dan ianya diamalkan pula oleh kita sehingga ke akhir hayat kita. NauzubiLlahi min zaliq...
Maka faham yg sebegini ini akan mengundang malapetaka ke atas umat kita dan mendatangkan kemurkaan Allah Swt jika ianya salah, mulai dari di dunia ini lagi sehinggalah di akhirat nanti. Majoriti ulama Ahlus Sunnah wal-Jamaah menyarankan; agar dijauhilah ajaran ini, dan kita hendaklah berpegang dgn seteguhlah akan amalan-amalan yg telah disepakati ulama, insya’Allah kerananya maka kita mungkin ada peluang selamat di dunia dan akhirat.
5. Sejauh Manakah Akibat yang akan Kita/Masyarakat hadapi jika diteruskan lagi dgn mengamalkan Ajaran-Ajaran Wahabi dari Segi Aqidahnya pula, Ibadahnya dan Sosialnya?
Kesan atau akibat dgn berpegang kpd pemahaman dari sudut aqidahnya sudah pasti ianya sangat merbahaya, ini kerana bila tergelincirnya imam seseorang Muslim dalam perkara aqidahnya maka dibimbangi ianya mungkin akan membawa tergelincirnya juga dalam soal-soal yg lain.
Seperti konsep Tauhid Rububiyyah dan Uluhiyyah pada sisi Kaum Wahabi ia membawa implikasi iaitu sesiapa yg mengamalkan Maulid Nabiy saw, bacaan Barzanji, sambil berdiri ketika berselawat atas nama Nabiy saw, disusuli dgn Marhaban, memuji-muji Nabiy saw, menziarahi kubur Nabiy saw, amalan bertabarruk (ambil berkat) dan lain-lain lagi semuanya adalah amalan syirik. Dari sudut ibadah pula byk amalan-amalan baik yg bagi kita ianya tergolong di dalam Bid’ah Hasanah namun mereka menganggapnya sebagai syirik dan jika diteruskan pertuduhan yg seperti ini keadaan akan menjadi semakin buruk kpd masyarakat yg mana akhirnya umat akan meninggalkan amalan yg mulia itu.
Contoh: Bagi kita amalan membaca surah Yasin dari al-Qur’an itu yg dilakukan pada setiap malam Jumaat itu adalah perkerjaan yg baik, dan peliknya mereka mengganggap itu sebagai perbuatan yg sia-sia dan sesat. Bagi kita kesan baiknya ialah sekurang-sekurangnya kita ada membaca salah satu drpd surah dari al-Qur’an sekali dalam seminggu. Perbuatan menolak dan menjauhi umat dari mengamalkannya adalah implikasi dari penta’rifan bid’ah yg disalahertikan oleh puak Wahabi, bagi mereka segala amalan yg Nabiy saw tidak lakukan sewaktu hayatnya adalah bid’ah dan ini fahaman mereka. Sedangkan jumhur ulama menta’rifkan dgn mengatakan bahawa mana-mana amalan yg baru; hanya yg jelas ianya bertentangan dgn Islam samada dari al-Qur’an, al-Sunnah, al-Ijma’ dan Qias sahaja boleh dikatakan sebagai bid’ah Dhalalah (sesat) dan ianya jelas dilarang dijadikan amalan. Sementara amalan-amalan yg ada sandarannya dari dalil-dalil samada ianya dari nas-nas yg bersifat khususiyyah atau umum maka bagi kita ianya adalah wajar dianjurkan serta diamalkan selama mana ianya tidak terdapat nas-nas lain yg melarang amalan tersebut.
Dari sudut sosialnya pula, dengan kemunculan puak ini maka kita dapati ianya banyak menimbulkan kekacauan, perbalahan di dalam masyarakat dan umum mengetahui bahawa perpecahan itu sangat dilarang di dalam agama Islam. Yang lebih membimbangkan lagi ialah fahaman puak ini sudah menjadi semacam satu trent sehingga kenyataan mereka telah mendorong para pengikutnya berubah kpd Islam yg berbentuk Militant.
Jauhilah golongan ini demi keselamatan aqidah, ibadah dan keharmonian dalam kemasyarakatan kita terutama di nusantara ini.
6. Bagaimanakah Kedudukan Pengikut Wahabi Dari Segi Pandangan Islam, Samada Mereka Termasuk Dalam Golongan Musyrik Atau Sebagainya?
Di dalam aqidah Ahli Sunnah wal-Jamaah kita diajarkan supaya bersikap tidak membudayakan sikap kafir mengkafir dan ini jelas. Walaupun para alim ulama’ terdahulu yg sezaman dgn ulama mentor mereka menggolongkan mereka sebagai golongan yg sesat, namun ulama kita tidak pula sampai bertindak mengkafir mereka. Ramai dari kalangan ulama’ hanya menggolongkan mereka sebagai ahli bid’ah. Namun RasuluLlah saw menegaskan di dalam hadithnya betapa golongan sesat itu dijanjikan neraka dan menjanjikan pula syurga pula kpd golongan Ahlus Sunnah wal-Jamaah yg sebenarnya.
Terkadang puak ini sering mendabik dada mengakui diri sebagai jaguh Ahlus Sunnah sedangkan hakikat sebenarnya mereka adalah pembohong besar yg nyata dan ini semuanya telah terbukti bahawa aliran ini jelas bertentangan dgn pengajian Ahlus Sunnah wal-Jamaah. Kita menyarankan kpd semua para pengikut puak ini agar segera bertaubat dan kembali ke pangkal jalan.
7. Bagaimana Hubungan Kita Dari Segi Perkahwinan Dan Hubungan-Hubungan Lain, Termasuk Samada Mereka Boleh Menjadi Imam, Penerima Zakat Dan Sebagainya?
Selama mana kita tidak mengkafirkan puak ini, maka mereka masih dikategorikan sebagai saudara sesama muslim yang lain. Walaupun begitu adalah tidak wajar mempertemukan melalui ikatan perkahwinan dgn puak ini kerana berkemungkinan ianya akan membawa perbalahan di dalam rumahtangga suatu hari nanti. Sementara dari sudut Imamah pula seperti dalam hal solat fardhu adalah kita digalakkan supaya berimam dgn Imam yg betul aqidahnya dan amalannya. Namun begitu sekiranya kita berada dalam keadaan terpaksa berimam dgn Imam dari puak ini, maka jumhur para ulama mengesahkan sah solat walau pun dianggap makruh. Sementara bagi perkara hukum penerima zakat, tidak mengapa jika kita hulurkanlah zakat kpd mereka yg bukan tergolong dari kalangan ahli bid’ah.
8. Adakah Golongan Wahabiyyah Dari Kalangan SALAFI.?
Mereka yg mendakwa sebagai golongan salafi, tetapi sebenarnya merekalah yg membawa aqidah yg bertentangan dari aqidah dgn Ahlus Sunnah wal Jamaah. Ramai para ulama’ tidak menyedari hakikat kesalahan aqidah yg sedang dipromosi oleh puak ini.
Mereka bergerak dgn menimbulkan isu-isu yg khilafiyyah seperti qunut, tahlil arwah, yasin malam Jumaat, sah atau batal wudhu, dan beberapa lagi yg lainnya. Setelah para pendengar dirasakan oleh mereka sudah boleh menerima perkara-perkara yg lebih berat utk dibangkitkan barulah mereka mengorak langkah kpd agenda selanjutnya.
Aqidah yg dipromosi oleh puak Wahabi ini adalah aqidah “Tashbih dan Tajsim”(menyerupakan/menjisimkan Zat Allah Ta’ala).
Ini terbukti bila kita meniliti keseluruhan penulisan dari puak ini di dalam pelbagai bahasa. Bagi kita yg berbahasa Melayu dapat membuktikan kesesatan puak ini melalui penulisan mereka di maqalah-maqalah, laman-laman web, majalah-majalah, diskusi-diskusi, kertaskerja dan pelbagai sumber mereka.
Patutkah sampai sebegitu rupa mereka gambarkan pegangan golongan salaf (para Sahabat, Tabi’in dan Tabi Tabi’in) dalam memahami ayat-ayat mutasyabihat? Tidak sama sekali.!!! Bahkan dua mazhab yg masyhur di sisi ulama’ dalam memahami ayat-ayat mutasyabihat, samada mereka (salaf dankhalaf) melakukan “tafwidh dan “takwil” tidak sama seperti yg mereka fahami itu.
Dikalangan para Sahabat, jelasnya mereka mengamalkan takwil sama seperti Syaidina ‘Abbas, Ibnu Mas’ud, Syaidina Ali r.a., Hasan al-Basri, Imam Malik, Imam al-Auza’i, Qatadah, al-Thauri, Mujahid, Ikrimah dan lain-lain yg disebut begitu banyak pandangan mereka di dalam Kitab-Kitab Tafsir. Mereka adalah golongan yg lebih mendominasi drpd pandangan Ibnu Taimiyyah al-Harrani. Jika demikian, maka jelas puak Wahabi ini bukan dari golongan yg beraqidah seperti golongan Salafi.
9. Apakah Dia Golongan Salafiyyah Moden?
Salafiyyah Moden adalah kumpulan dari puak Wahabi yg mendakwa mereka adalah penjelmaaan semula golongan Salafi tetapi sebenarnya hanya penjenamaan semula nama Salafi walhal tiada kena-mengena dgn golongan Salafi itu sendiri, penjenamaan ini mereka lakukan setelah nama Wahabi itu memberi respon yang ‘salbi’ negatif kpd masyarakat umat Islam.
Dahulunya jika di nusantara mereka lebih dikenali dgn gelaran; Fahaman Kaum Muda di Malaysia, manakala sebagai Muhamadiyyah di Indonesia. Tentang kekalutan fahaman Kaum Muda ini, terdapat satu ulasan yg sangat baik dari kitab Fatwa Mufti Kerajaan Negeri Johor, beliau ialah al-Allamah Dato’ Sayyid Alawi bin Tahir al-Haddad, kenyataan beliau begini bunyinya:
“Yang dikatakan Kaum Muda pada pertuturan orang-orang zaman ini ialah satu kumpulan orang yang tiada cukup mengerti dan faham tentang agama Islam, mereka bersungguh-sungguh hendak menghampir dan menyatukan agama Islam kepada agama yang lain. Apa jua perkara yang terbit daripada agama Kristian dan Majusi mana yang dipandang molek dan elok pada zahirnya berkehendak mereka memalingkan hukum-hukum Islam kepadanya seperti berkata setengah mereka itu, babi itu satu binatang yang suci...”
Ada juga diantara mereka yg menggunakan Istilah nama lain seperti; Faham Sunnah, Manhaj Sunnah, Ittiba’ Sunnah, Ansar Sunnah dan berbagai-bagai lagi.
10. Pandangan Para Ulama’ Terhadap Gerakkan Salafiyyah Al-Wahabiyyah.
Seperti yg telah disebut pada awal tulisan bahawa gerakan ini asalnya diasaskan oleh seorang yang bernama; Muhammad bin Abdul Wahab pada kurun yg ke 12 Hijrah bermula di Najdi, Jazirah Arabiyyah. Mufti Hanabilah di Makkah, iaitu Ibn Humaid pernah mengencam mereka dgn berkata: bahawa fahaman Muhammad Abdul Wahab ini sebenarnya banyak menyebarkan kesesatan ke serata alam.
Puak Wahabi sebagai idola dalam memahami aqidah, syari’ah dan akhlak. dan Menjadikan Golongan yang menentang amalan taqlid dan ijma’ ulama’. Faham yg membawa trend ‘Takfir’, Tabdi’, Tafsiq, syirik, sesat, bid’ah dan lain-lain lagi. Siapa juga yg bercanggah dgn kaum ini pastinya akan mendapat berbagai gelaran yg begitu mudah terpancul dari mulut mereka.
Selain itu mereka yg bercanggah pendapat dgn puak mereka, bukan sekadar mereka ini dianggap sesat dan syirik bahkan mereka mengharuskan utk ditumpahkan darahnya. Bahkan Ibnu ‘Abidin menyifatkan mereka mereka sebagai Khawarij zaman ini. Dr. Said Ramadhan al-Buti menyatakan dalam satu ruangan bahawa fahaman Wahabiyyah ini adalah fahaman yang direncanakan oleh Yahudi British untuk memporakperandakan kesatuan Umat Islam.
Sheikh Zaki Ibrahim [dalam kitabnya al-Salafiah Mu’asarah ila aina? Man hum Ahlus Sunnah Wal Jamaah?] menyatakan dgn jelas bahawa puak Wahabiyyah ini adalah fahaman yang bertopengkanFaham Salafi. Sedangkan mereka sebenarnya hanya mempropagandakan nama Salafi itu utk menyakinkan ummah agar menyokong gerakan mereka ini bahkan beliau menyatakan dgn berani bahawa puak ini sebenarnya adalah anak cucu cicit kaum Khawarij.
Di dalam kitab Senjata Syari’at yang telah ditashih oleh tiga orang tokoh besar seperti Sheikh Abdullah Fahim, Hj.Ahmad Tuan Husin Pokok Sena dan Hj.Abdullah Abd Rahman Merbuk Kedah, ada menyatakan tentang kitab Zaad al-Maad karangan Ibnu Qayyim al-Jauzi sebagai kitab yg terkeluar dari aliran Ahlus Sunnah wal-Jama’ah, kerana ia bertindak sebagai penyebar ajaran Ibnu Taimiyyah.
11. Gerakan Faham Kaum Muda/Wahabi Di Malaysia.
Gerakan Kaum Muda di Malaysia beroperasi sejak tahun 50’an sebelum merdeka. Diantara tokoh-tokoh mereka yg menonjolkan gerakkan ini adalah seperti Sheikh Abu Bakar Asy’ari dan Ibrahim al-‘Aqidi. Abu Bakar Asy’ari menggerakkan gerakkan ini di negeri Perlis Indera Kayangan sementara Sheikh Ibrahim pula di Pulau Pinang.
Beberapa hebohan yang didengari dari orang-orang tua ketika itu, mereka ini adalah anak murid kpd Hasan Bandung yg menggerakkan Muhammadiyyah di Indonesia. Gerakan Muhammadiyyah di Indonesia adalah gerakan yg membawa fahaman Wahabi. Fahaman Kaum Muda yg berteraskan kpd ajaran Wahabi telah bertapak di Perlis dan beberapa tempat di Pulau Pinang sejak tahun 50’an hasil dari gelombang Kaum Muda yang didokongkan oleh dua tokoh ini.
Para Ulama pada masa itu telah bangun menangani golongan ini, antara peristiwa penting ialah pertemuan dua pihak yg telah dihadiri oleh Sheikh Ghazali; Mufti Perak, Sheikh Abu Bakar al-Baqir dan ulama’-ulama’ lain bersama tokoh-tokoh Kaum Muda yg diantaranya Sheikh Abu Bakar al-Asy’ari, Ibrahim al-‘Aqibi dan lain-lain. Pertemuan itu berakhir dgn kegagalan Sheikh Ibrahim al-Aqidi menjawab beberapa soalan yg diajukan kpdnya sehingga beliau jatuh dari kerusi dan meninggal dunia.
Selain dari itu penulisan para ulama dalam menjawab serangan golongan ini, diantaranya boleh kita jadikan penelitian ialah penulisan Sheikh ‘Abd Qadir al-Mindili yg berjodol “Sinar matahari buat penyuluh kesilapan Abu Bakar Asy’ari” yang telah dicetak di Mesir pada Muharram tahun 1379H beberapa tahun selepas merdeka.
Begitu juga penulisan Abu Qaniah dan Abu Zahidah yang berjodol “Senjata Syari’ah” dicetak pada 23/7 1953 ianya telah ditashih oleh Sheikh Abdullah Fahim, Hj.Ahmad Tuan Husin Pokok Sena dan Hj.Abd Rahman bin Hj.Abdullah Merbuk Kedah, dijadikan sebagai bahan bukti betapa wujudnya gelombang Kaum Muda yg berpaksikan kpd ajaran Wahabi mula tersebar di Malaya sebelum zaman Merdeka lagi.
Bahkan dalam satu surat wasiat Sheikh Abdullah Fahim, beliau mengingatkan orang-orang Islam di Malaya (Malaysia) agar berhati-hati dgn golongan Khawarij yg telah memasuki Negara.
12. Ibnu Taimiyyah, Ibnu Qayyim dan Gerakan Wahabi.
Ibnu Taimiyyah dan Ibnu Qayyim adalah ulama kurun ke-7 Hijrah. Gerakan Wahabi telah menjadi dua orang tokoh ini sebagai sandaran dan asas pegangan dalam semua persoalan Islam. Ini terbukti bilamana kitab-kitab yg menjadi rujukan asas dalam penulisan dan pemikiran mereka adalah berdasarkan kpd kitab-kitab karangan dua tokoh ini.
Gerakan ini berkerja keras menghimpun dan menyebarkan segala penulisan dua tokoh ini dalam pelbagai cara seperti melalui bahan cetak atau pun media elektronik. Bahkan kalau kita meneliti laman-laman dan blog-blog golongan ini kita akan dapati dan kelihatan kitab-kitab dari dua tokoh ini sangat dominan.
Di Malaysia terdapat markas yg diberi nama Markaz Ibnu Qayyim al-Jauzi. Begitu juga terdapatnya laman web yang domennya Ibnu Qayyim.net. Kalau kita melihat penulisan tokoh-tokoh golongan ini di Malaysia maqalahnya dipenuhi dgn bahan-bahan yg dirujuk dari kitab-kitab dua tokoh ini juga. Di antara sumber mereka adalah kitab-kitab yg masyhur di kalangan Wahabi Saudi seperti Fatawa Kubra karangan Ibnu Taimiyyah dan Zaad al-Maad karangan Ibnu Qayyim al-Jauzi.
Lihat pula pada Mingguan Malaysia yg bertarikh 28hb, Okt 2007 terpapar penulisan bekas Mufti muda Perlis yg tak semena-mena membela Ibnu Taimiyyah dgn mengatakan ramai “tukang ahli fitnah” yg menaburkan pelbagai tuduhan terhadap tokoh ini hanya kerana tidak senang dgn pendekatan Islam yg lebih terbuka dan ilmiyyah. Walhal sebelum ini tiada langsung satu artikel pun yg membangkitkan soal Ibnu Taimiyah dan namanya tiada terkenal dikalangan kita di Malaysia, tetapi sekarang dgn provokasinya sejak menjawat jawatan itu maka kini fahaman puak ini semakin rancak melebarkan pengaruh mereka.
Adakah pendekatan Tauhid Tasybih dan Tajsim yang terdapat di dalam kitab-kitab Ibnu Taimiyyah dan Ibnu Qayyim al-Khariji/al-Jauzi itu boleh dikatakan sebagai pendekatan ilmiyyah dan dikatakan terbuka.? Atau ianya merupakan penghancuran tauhid yang tulin yang diwarisi sejak turun temurun dari para ulama solihin.?
13. Ahlus Sunnah al-Asya’irah.
Golongan yang beraqidah mengikut apa yang telah dirumuskan oleh Imam Abu Hasan al-Asya’ari dikenali sebagai Asya’irah yang berasal dari kalimah jama’ Asya’ari.
Mazhab Ahli Sunnah al-Asya’irah dan al-Maturidiyyah adalah merupakan mazhab yang jelas dalam semua bab-bab ilmu Tauhid, walaupun begitu terdapat setengah golongan yang ingkar berpunca dari kejahilan mereka tentang hakikat mazhab al-Asyai’rah terutama dalam memahami sifat-sifat khabariah.
Al-Asya’irah: adalah mereka yg merupakan tokoh-tokoh pembawa panji-panji kebenaran daripada ulama’ Muslimin yang ilmu mereka memenuhi bumi dari Timur sampai ke Barat.
Di antara mereka yg disebutkan oleh Sayyed Muhammad Alawi al-Maliki sebagai tokoh-tokoh ulama-ulama as-Asya’irah yang ilmunya memenuhi mukabumi, ialah seperti:
13.1 Sheikh al-Islam Ahmad ibn Hajar al-Asqalani, pengarang kitab Fath al-Bari ala Syarh al-Bukhari.
13.2 Al-Imam Al-Nawawi, pengarang kitab Syarh Sahih Muslim.
13.3 Sheikh al-Mufassirin al-Imam al-Qurtuby, pengarang kitab al-Jami’ li ahkami al-Quran.
13.4 Shaikh al-Islam Ibn Hajar al-Haitami, pengarang kitab al-Zawajir an Iqtiraf al-Kabair.
13.5 Shaikh al-Fiqh wa al-Hadith al-Imam al-Hujjah Zakariyya al-Ansyari.
13.6 Al-Imam Abu Bakar al-Baqillani.
13.7 Al-Imam al-Nasafi.
13.8 Al-Imam al-Syarbini.
13.9 Abu Hayyan al-Nahwi.
Mereka ini semuanya adalah dari Imam-Imam aliran Asya’irah yang diperakui kebenaran ilmu yang dibawa oleh mereka.
14. Persaksian Para Ulama’.
Terdapat terlalu banyak persaksian para ulama terhadap kebenaran golongan Asya’irah, sebahagiannya:
A. Kitab Ittihaf Sadat al-Muttaqin oleh Imam al-Zabidi (Syarah Ihya ‘Ulumuddin karangan Imam Ghazali):
“Apabila disebutkan golongan Ahli Sunnah wa al-Jamaah, maka maksudnya ialah orang-orang yang mengikut rumusan faham ‘Asy’ari dan faham Abu Mansur al-Maturidi”.
Ini satu isyarat yang jelas dari Imam Zabidi berhubung siapakah Ahli Sunnah wal Jamaah yang tulin!! Golongan ini sebenarnya tidak menyenangi banyak kenyataan-kenyataan yg terdapat dalam Ihya’ Ulumuddin karangan Imam Ghazali kerana tidak memihak kepada apa yg mereka perjuangkan. Justeru mereka berusaha keras mencari dalil sebagai bahan bukti utk mengendorkan keyakinan umat Islam dgn mempersenda-sendakan tulisan al-Imam yg agung ini seperti mengatakan terdapat byk hadith-hadith dha’if (lemah) dan maudhu’(palsu). Tetapi kalau kenyataan di dalamnya memihak dgn apa yg mereka perjuangkan serta bersesuaian dgn selera mereka pastinya mereka akan memuja dgn keterlaluan sebagaimana mereka memuja Ibnu Taimiyyah al-Harrani dan mereka yg sealiran dengannya.
B. Kitab Risalah al-Mu’awanah wa al-Muzaharah wa al-Muazarah oleh Abdullah ‘Alawy al Haddad:
“Kebenaran itu jelas terpancar pada golongan yang dikenali sebagai al ‘Asya’riyyah…”
C. Kitab al-Bayan oleh al Ustaz al Doktor ‘Ali Jum’ah (Mufti Mesir):
“…’Aqidah Nabiy saw dan para Sahabah adalah ‘aqidah Asya’irah.”
Dikatakan kebanyakan qira’at Nabiy saw dalam membaca al-Qur’an adalah qiraat Imam Nafie’ walaupun Nabiy saw tidak pernah bertemu dgn Imam Nafie’. Namun ulama tidak ragu utk menisbahkan bacaan qira’at Nabiy saw adalah dgn qira’at Imam Nafie’. Kalau begitu tidaklah menjadi kesalahan untuk menisbahkan aqidah Nabiy saw dan para Sahabat dengan aqidah Imam al-Asya’ari. Mengapa tidak ! Bila diteliti aqidah yg dirumuskan oleh al-Imam ternyata hanya sekadar merumuskan dan meneguhkan (muqarrir) aqidah yg menjadi pegangan RasuluLlah saw dan para Sahabat Nabiy saw dengan tanpa menokok-nambah.
D. Dr. Sa’id Ramadhan al-Buti dalam khutbahnya yang dipaparkan di laman web beliau yang bertajuk“al-Asya’irah wa al-Maturidiyyah”
“Siapakah Asya’irah dan Maturidiyyah? Mereka adalah lisan yang menterjemahkan “Aqidah sawad al-A’zam” (majoriti ulama’) dan RasuluLlah saw memerintahkan agar umatnya berpegang dengan pegangan majoriti.”
Dari penjelasan Dr. Said Ramadhan al-Buti jelaslah bahawa beliau menyatakan yg dimaksudkan di dalam hadith RasuluLlah saw sebagai “Sawad al-A’zam” (majoriti ulama’) adalah “Asya’irah dan Maturudiyyah”. Beliau juga menekankan betapa dharurahnya kita berpegang dengan “Sawad al-A’zam”berdasarkan perintah RasuluLlah saw yg menyebutkan “’alaikum bi al-sawad al-a’zam” yang bermaksud: “Hendaklah kamu berpegang dengan amalan yang berpaksikan majoriti ulama’.”
15. Fiqah
Golongan Anti-Mazhab di Malaysia setiap kali mereka mengadakan seminar kerap-kali mereka akan melaungkan Ta’asub Mazhab. Mereka mengatakan umat Islam di Malaysia khasnya extrime dgn Mazhab Imam as-Syafi’e’. Mereka juga melaungkan Adab Al-Ikhtilaf /adab berbeza pendapat. Tetapi sebenarnya mereka bertujuan jahat. Mereka menggunakan metode ini utk mengajak kita longgar dgn pegangan kita dan seterusnya menjadikan fatwa mereka yg ganjil-ganjil pegangannya itu.
Ini terbukti dalam byk masalah. Contohnya dalam masalah batal wudhu’ mereka mengatakan tidak batal bersentuhan kulit antara lelaki dan wanita yg ajnabi (halal nikah). Lihatlah bagaimana mereka mempromosi adab ikhtilaf dgn tidak menghormati langsung ijtihad Imam Syafi’e’ yg telah menjadi amalan masyarakat Islam di Malaysia khasnya dan amnya diseluruh dunia?
Kita masyarakat Islam yg berpegang dgn Mazahib Islamiyyah Mu’tabarah begitu menghormati perbedaan pendapat diantara mazahib. Contohnya masalah zakat di Malaysia diamalkan dgn menggunakan duit/nilai makanan asasi setempat. Ini merupakan pandangan yg bertentangan dgn mazhab Syafi’e’. Namun kita melihat ada kebaikan maka kita menggunapakai pandangan mazhab yg lebih bersesuaian dgn keadaan semasa.
Dr ‘Ali Jum’ah dalam kitabnya Al-Bayan menyatakan dgn tegas bahawa golongan yg berfahaman begini adalah bersifat Mutasyaddid/مُتَشَدِّدٌ yg membawa makna extremist! Sifat memaksa orang lain berpegang hanya pada pandangannya semata-mata adalah Bid’ah Mazmudah.
Sementara Dr. Said Ramadhan al-Buti menyifatkan golongan anti mazhab sebagai BID’AH YANG SANGAT MERBAHAYA YANG MENGANCAM SYARI’AT ISLAMIYYAH. Kenapa jadi begitu? Ini adalah kerana dgn sikap mereka ingin berijtihad secara terus dari sumber yg asal dan sedar akan kemampuan dirinya maka lahirlah ijtihad-ijtihad yg disifatkan oleh Sheikh Muhammad Ghazali sebagai اِجْتِهَادُ طُفُوْلِي (ijtihad anak-anak/ijtihad yg tidak matang).
16. Laungan Tajdid Adakah Benar Satu Pembaharuan?
Kerap kita mendengar laungan Tajdid, yg bermakna pembaharuan. Mereka mengatakan apa yg menjadi amalan masyarakat Islam sebagai lapuk, berkulat dan bercendawan. Amalan-amalan yg diamalkan sekian lama di Malaysia tidak bersandarkan nas-nas yg jelas dari Allah Swt dan Rasul-Nya. Justeru itu, mereka mengatakan perlu dikaji semula segala amalan ini yg disebut sebagai Tajdid! Diantara amalan yg disebut sebagai perlu ada “Tajdid” ialah seperti berikut:
16.1 Amalan Yasin di Malam Jumaat.
16.2 Tahlil Arwah.
16.3 Kenduri Arwah.
16.4 Bacaan Qur’an di samping jenazah bila berlaku kematian.
16.5 Bacaan Qur’an (talqin) di Kubur.
16.6 Bacaan al-Fatihah bila jenazah keluar dari rumah.
16.7 Haram mem’bin’kan nama “Abdullah” bagi mereka yg baru memeluk agama Islam.
16.8 Boleh memberi dan menjawab “Salam” drpd orang kafir.
16.9 Daging Babi itu tidak najis.
16.10 Bersentuh dengan perempuan yang Ajnabiyyah tidak membatalkan wudhu.
16.11 Maulid itu syirik.
16.12 Bacaan Berzanji itu syirik.
16.13 Berdiri waktu Selawat juga syirik.
16.14 Selawat yang tiada warid itu dilarang.
16.15 Selawat Tafrijiyyah itu syirik.
16.16 Tahi ayam tiada najis.
16.17 Bila bertembung Jumaat dan Hari Raya, gugur Solat Jumaat.
16.18 Tiada air musta‘mal.
16.19 Boleh jama‘ dan qasar pada bila-bila masa, tanpa mengira dari sudut marhalah.
16.20 Sifat Dua Puluh tiada sunnah dalam mempelajari tauhid.
16.21 Tauhid yang sunnah itu ialah tauhid tiga iaitu; Tauhid Rububiyyah, Uluhiyyah dan
16.22 Asma’ wa Sifat.
16.23 Taqlid pada ulama mujtahid dilarang dan ada yang mengatakan taqlid buta.
16.24 Imam Ghazali itu banyak meletakkan hadith-hadith palsu dalam kitab Ihya’ Ulumi’ddin.
16.25 Ibnu Batutah sejarawan yang tidak boleh dipegangi.
16.26 Tawassul dan Tabarruk itu syirik.
....dan lain-lain lagi.
Adakah amalan-amalan ini merupakan amalan turun temurun nenek moyang yg bersifat warisan?? atau mungkin boleh dikatakan sebagai amalan-amalan yg sama seperti bersemah di sawah, bersemah di tepian pantai, amalan mandi bunga dan lain-lain??
Hujah yg diutarakan oleh puak ini seakan rasional!! Tetapi tidak semua yg seakan rasional itu betul!! Seperti kenapa talaq hanya diberikan kepada kaum lelaki? Secara singkat kita berfikir seakan tidak adil!! Adakah ini sebagai rasional!! Kalau anda bersetuju dgn pandangan ini, seakan senada seirama dgn Islam Liberal!! Kalau begitu setiap perkara itu perlu dilihat dgn teliti sebelum menghukum, kerana takut-takut tersalah, tersilap dan ini akan menidakkan perkara-perkara yg baik di sisi Syara‘ yg telah diamalkan sekian lama. Dan lebih menakutkan lagi, dibimbangi kita telah menidakkan amalan-amalan baik yg didasarkan dgn nas-nas yg bersifat umum dari al-Qur’an dan al-Hadith, sehingga membawa kpd menafikan keduanya! Ini sangat merbahaya!!! Oleh kerana itu di ruangan ini saya ingin mengajak bersama merenung semula apakah benar gelombang tajdid yg dilaung-laungkan, atau sekadar gimik dan ingin mencari glamour!! atau ingin sekadar mencari kelainan!! sehingga membawa namanya dipersada tanah air sebagai wira….
Kalau ditelek-telek dan diteliti apa yang dibawa oleh Gerakan Tajdid seakan senada seirama dgn gerakan-gerakan yg lepas seperti gerakan Hasan Bandung (persatuan Islam Bandung), Muhammadiyyah di Indonesia, Ansar al-Sunnah, Atba‘ al- Sunnah, pemikiran al-Bani, pemikiran Bin Baz, pemikiran Uthaimin, gerakan Salafiyyah (Wahabiyyah) di Timur Tengah, gerakan Kaum Muda (mudah), gerakan Abu Bakar Asya‘ari di Utara Malaysia, aliran Wahabiyyah di kurun ke 12H, pemikiran Ibnu Taimiyyah serta anak muridnya Ibnu al-Qayyim al-Jauzi (al-Khaariji) di kurun ke-7 masuk ke -8 hijrah.
Kelihatan setelah diintai-intai pemikiran golongan Tajdid senada seirama, seakan tidak dapat dipisahkan antara nada dan lagu. Tarian aliran ini memang tarian yg ditarikan oleh aliran yg disebutkan tadi. Rentak, lenggang-lenggoknya memang tidak ada cacat celanya dgn rentak tarian aliran-aliran yg disebutkan tadi. Mungkin kita boleh mengatakan memang mereka ingin mempromosi semula tarian lama yg telah lapuk dek zaman dan bercendawan dek abad-berabad. Memang betul-lah kalau mereka mengatakan itu Tajdid!! Tajdid tarian lama yg sudah tidak laku lagi lalu cuba dipersembahkan semula dgn segala macam bunga-bungaan hiasan yg baru. Ramai yg terpukau, seperti di santau sehingga kelihatan seperti di rasuk syaitan.
17. HASAN BANDUNG
Di tangan saya ada beberapa buku-buku yg ditulis pada tahun-tahun sebelum Merdeka. Setelah diteliti seakan terdapat pertembungan pemikiran dan fahaman. Saling menjawab di antara satu sama lain. Di antaranya buku yg dikeluarkan oleh PERSATUAN ISLAM BANDUNG, dikenali juga pada masa itu sebagai pengikut HASAN BANDUNG, bertajuk “soal jawab”, cetakan pertama yg diterbitkan oleh PERSAMA PRESS, Acheh Street Pulau Pinang pada tahun 1953. Kalau diamati kandungan buku tersebut terpapar di sana perkara-perkara yg dikatakan sebagai Tajdid oleh pendokong-pendokong aliran puak ini.
Di antaranya yang tersebut di bahagian kandungan seperti berikut:
17.1 Ahli kubur tidak boleh mendengar (masalah talkin)
17.2 Babi dan dagingnya tidak najis.
17.3 Taqlid dilarang.
17.4 Tawassul dengan berhala.
17.5 Fidyah puasa atas yang dah biasa dengan susah payah.
17.6 Urusan dunia boleh bid‘ah.
17.7 Talqin bid‘ah.
17.8 Jari di guyang-guyang dalam Tahiyyat.
17.9 Ziarah kubur .
17.10 Qunut Rasullullah saw sebulan .
17.11 Makanan untuk orang kematian.
17.12 Atba‘ dan ijtihad .
17.13 Talaffuz niat/melafazkan niat.
17.14 Qur’an dan tahlil buat si-mati.
17.15 Qunut, selawat dan waktunya.
17.16 Masalah muqallid.
17.17 Wa bihamdih dalam ruku‘.
Dan lain-lain yang masih banyak lagi.
Kalau diamati isi kandungan buku Hasan Bandung ini saling tak tumpah seperti gerakan Tajdid yang ada di Malaysia mahu pun juga di seluruh dunia. Lebih mengukuhkan lagi hujahnya bila kita meneliti penulisan-penulisan Pendita Za’ba yg suatu ketika pernah dipaparkan oleh seorang yg baru beberapa hari bergelar Sahibus Samahah, untuk mengukuhkan hujah-hujahnya dalam mendokong sloganTajdidnya. Orang yg dikenali sebagai ahli bahasa pun dipikul untuk menjadikan hujah dalam masalah agama!! Semua orang tahu tentang kepakaran beliau. Rupa-rupanya sipendita ini pun telah diresap pemikiran seperti buku Hasan Bandung!!!
Yang peliknya jika kita utarakan hadith-hadith, maka sepintas kilat dia melatah, dgn mengatakan itu hadith dha‘if lah..! palsulah..! dan berbagai lagi anggapan-anggapan yg tidak menyenangkan. Yang jelasnya dalil-dalil itu tidak sesuai dgn aliran yg dipegangnya itu.
Tetapi kalau sesuatu dalil itu sehaluan dgn alirannya maka dalil yg tidak terpakai itu pun boleh menjadi hujah seakan hadith sahih dari Bukhari dan Muslim. Persoalannya: Apakah kita yg menunggang kebenaran atau kebenaran itu yg menunggang kita?? Aneh dan pelik, tetapi itu benarnya!!
18. Perpecahan yang Dijanjikan oleh Nabiy Saw
Nabiy saw bersabda:
فَإِنَّهُ مَنْ يَعِشْ مِنْكُمْ مِنْ بَعْدِيْ فَسَيَرَى اخْتِلاَفًا كَثِيْرًا …
“Barangsiapa hidup selepas dari ku maka pastinya dia akan melihat perselisihan yang banyak…”
(Riwayat Abu Daud)
Carta Firqah:
Nama Firqah dan Jumlah Alirannya.
1. SYI‘AH 22
2. KHAWARIJ 20
3. MU‘TAZILAH 20
4. MURJI’AH 05
5. NAJARIYYAH 03
6. JABARIYYAH 01
7. MUSYABBIHAH 01
Jumlah keseluruhnya ada : 72 firqah
Aliran-aliran umat Islam hari ini ada yg bergerak atas nama-nama seperti di atas antaranya seperti fahaman Syiah dan sebahagian yg lain dgn nama-nama baru yg kalau diamati ternyata pemikiran fahaman itu berdasarkan kpd sebahagian drpd firqah-firqah yg disebutkan di atas.
RasuluLlah saw menjanjikan kebenaran kepada golongan Ahlus Sunnah Wal-Jamaah dan bukan yg selain darinya, sebagaimana disebutkan di dalam sebuah hadith:
مَا أَناَ عَلَيْهِ وَأَصْحَابِيْ.
Maksudnya: “Mereka yang berpegang dengan sunnah ku dan sunnah para Sahabatku”.
19. Neraca Kebenaran
إِنَّ أُمَّتِي لا تَجْتَمِعُ عَلَى ضَلالَةٍ ، فَإِذَا رَأَيْتُم الإِخْتِلَافَ فَعَلَيْكُمْ بِسَوَادِ الأَعْظَمِ.ُ
Maksudnya: “Sesunguhnya (ulama’) umatku tidak akan bersepakat dalam kesesatan, dan sekiranya kamu melihat perselisihan hendaklah kamu berpegang dengan al-Sawad al-A’zham (Majoriti para ulama’).”
KESIMPULAN
- Dalam masa kita mencari kebenaran yg suci dan sebenarnya mengikut sepertimana yg diajarkan oleh Baginda saw maka perkara utama yg harus kita perhatikan ialah hendaklah kita berpegang dengan pegangan yang diperakui dan disepakati ramai, terutamanya kumpulan ulamanya. Susurjalur manakah yg paling ramai ulamanya dan paling tersohor keilmuannya dan paling hampir pegangannya mengikut Islam sebenar.
- Kita juga harus berusaha sebaik-baiknya mempelajari bidang keilmuan Islam ini dari seberapa ramai guru yg kita mampu, jangan terlalu taksub hanya dengan seorang guru sahaja.
- Tinggalkanlah sikap Taksud kepada seseorang sehingga kita buta utk melihat kebenaran yg lain, maksudnya ketaksuban yg keterlaluan sehingga kita menutup pintu hati kita daripada meneliti dan mengkaji apa sesautu perkara yg dibicarakan oleh guru kita itu benar atau salah, tanpa usul periksa kita terus menolak pandangan lain. Sebaiknya kita muhasabah diri kita dgn memberi ruang agar meneliti semula jika pandangan orang itu kemungkinan ada kebenarannya.
- Kita juga harus sedayanya mengelak diri kita daripada berguru dgn jenis-jenis guru yang pandangannya nampak jelas berbeza dari pandangan yg majoriti, ini disebabkan sesuatu yg agak kelihatan ganjil itu mungkin juga ianya benar atau mungkin juga ianya palsu tetapi sekurang-kurangnya hendaklah kita telah memberi peluang agar guru itu menjelaskan pandangan atau pegangannya sebelum kita menolak guru itu.
- Elakkan diri kita daripada mempelajari ajaran Islam dengan hanya membaca kitab-kitab atau melalui layari internet, tetapi jadikanlah pengajian bertalaqqi itu sebagai sebahagian daripada tradisi yg diiktiraf sejak berzaman sehingga melahirkan ramai para ulama yg tersohor, semuanya kerana keberkatan murid dgn berguru itu menjadikan ilmu menyinar dan menerangkan hati-hati mereka yg benar-benar mencari keredhoan-Nya.
- Kita juga harus mengawal kawasan, daerah, negeri dan negara kita dari di masuki oleh puak ini, yg tujuannya hanyalah mengucar-kacirkan ketenteraman yg sedang kita kecapi ini, namun kesempurnaan mustahil berlaku secara keseluruhannya ini adalah kerana kita adalah manusia yg pada diri kita terdapat kelemahan utk mengawal semuanya tetapi mengawal pada firqah yg satu dan sama lebih baik dari yg berbagai seperti yg dibawa oleh puak Wahabi ini
- Kita juga haruslah terlebih dahulu mengenal pasti ciri-ciri puak ini dgn mempelajari melalui beberapa guru yg ahli tentang masalah perbezaan pendapat dgn mereka. Dgn memahami fahaman mereka maka dapatlah kita dgn mudah mengenali mereka dan membezakan mereka, ini lebih selamat daripada kita mengesyaki individu samada di sana dan di sini dgn menuduh mereka tanpa kita mempunyai bukti hujah yg kukuh. Dengan mengenali mereka maka kita dapat dgn segera juga bertindak memaklumkan kpd orang ramai akan bahayanya fahaman yg sedang mereka ini bawa. Dan kita selamatkan saudara-saudara kita yg lain dari terpengaruh akan fahaman yg sesat ini.
- Pihak yang bertanggungjawab juga hendaklah sentiasa memantau di seluruh kawasan, daerah dan negeri daripada kemasukan dan penyebaran fahaman puak Wahabi ini. Tanpa pemantauan yang bersekala kemungkinan gerakan mereka akan berterusan bertapak dan bergerak. Bahayanya akan menjadi semakin parah apabila mereka berjaya membina markas mereka yg akhirnya akan menjadi pusat kegiatan dan agenda mereka.
- Kita juga hendaklah memastikan guru-guru yang mengajar samada di masjid-masjid, di surau-surau pejabat, di rumah-rumah di sekitar lembah kelang ini tidak terdiri drpd mereka yg berfahaman Wahabi ini. Orang awam harus peka dan segera bertindak memaklumkan kepada pihak berwajib bahawa induvidu yg merbahaya ini harus dikekang dan kita juga harus memasti guru-guru bukan dari kalangan mereka di mana sebenarnya ada juga dari mereka yang telah mendapat kebenaran mengajar.
- Segeralah laporkan kepada pihak yg berwajib apabila anda mencurigai penyampai-penyampai yg disampaikan oleh mana-mana guru itu didapati bercanggah dgn amalan yg biasa kita amalkan di nusantara dan kita harus dgn bersungguh-sungguh memegang teguh pegangan arus perdana nusantara tanpa membenarkan mana-mana pihak terutama fahaman Syiah dan Wahabi ini drpd merebak dan mengganggu ketenteraman Ahlus Sunnah wal-Jamaah aliran aqidahnya as-Asya’iroh dan fiqhnya mazhab as-Syafi’e...
Wallahu a’lam wa assalam.
Oleh
Lebai Kampung
(Artikel ini adalah koleksi catitan-catitan ringkas oleh Ust Uthman El-Muhammad, Ust Zamihan al-Ghori dan beberapa rakan-rakan seperjuangan serta edit dan tambahan sana sini dari Lebai Kampung sendiri.)
Tulisan oleh Ustaz Sidi As-Syatarie (Lebai Kampung)
Tulisan oleh Ustaz Sidi As-Syatarie (Lebai Kampung)
No comments:
Post a Comment