Monday, October 31, 2011

KESESATAN DALAM KONTEK AHLIS SUNNAH WAL JAMAAH


Ajaran atau pemikiran sesat yang terkait dengan agama Islam boleh menyentuh bidang akidah, hidup kerohanian atau ibadat, akhlak, dan hukum. Kalau disebut dari segi bidangnya, maka ianya menyentuh usul al-din, fiqh dan akhlak atau tasawwuf. Insya’Allah dalam nota ringkas ini akan disebutkan beberapa aspek kesesatan dalam bidang-bidang berkenaan dengan beberapa ciri-cirinya, juga faktor-faktor yang memungkinkannya; sebagai tambahan akan disebutkan juga pemikiran-pemikiran sesat dari kacamata Islam demi untuk menjadi panduan dalam hidup beragama ini.

Kesesatan
“Sesat” dalam “Kamus Dewan” memaksudkan: “Tidak mengikut jalan yang betul, tersalah, tersilap (jalan), terkeliru (perbuatan, kepercayaan dll), menyimpang dari jalan yang benar”.

Dalam kitab; “al-Mufradat fi Ghara’ib al-Qur’an” oleh al-Isfahani r.h. (1) dinyatakan dengan agak panjang maksud istilah; “al-dalal” iaitu: “Keadaan terseleweng daripada jalan yang benar (at-tariq al-mustaqimdan berlawanan dengan bimbingan hidayah Ilahi”. Dinyatakan bahawa keadaan “dalal” ialah tiap-tiap keadaan terseleweng daripada perjalanan yang betul (al-manhaj) baik dengan sengaja atau dengan terlupa, samada banyak atau sedikit. Dinyatakan dalam hubungan dengan ini bahawa jalan yang benar (at-tariq al-mustaqim) yang berupa jalan yang diredhai itu sangat sukar.

Dalam kitab yang sama dinyatakan bahawa dari segi lain kesesatan (“dalal”) ianya ada dua bahagian; iaitu kesesatan dalam ilmu nazari -ilmu yang bersifat teori- seperti kesesatan dalam hubungan dengan pengenalan atau ma’rifat terhadap Allah Swt dan Keesaan-Nya, pengenalan terhadap kenabiyan dan hal-hal yang sepertinya; ini sebagaimana yang di-isyaratkan di dalam ayat:

ومن يكفر بالله و ملائكته وكتبه ورسله واليوم الاخر فقد ضل ضلالا بعيدا

Yang bermaksud: “Dan sesiapa yang kufur terhadap Allah dan para malaikatNya, kitab-kitabNya, para RasulNya, dan Hari Akhirat, maka sesatlah ia dengan kesesatan yang sejauhnya (dari kebenaran)”. (2)

Dan keduanya; kesesatan dalam ilmu-ilmu amaliah seperti ilmu tentang hukum-hukum syara’ berkenaan dengan amalan-amalan ibadat.

Dan “kesesatan yang jauh” (“al-dalal al-ba’id”) isyarat kepada kekufuran seperti yang tersebut dalam ayat yang di atas itu “sesiapa yang kufur”, dan ayat yang satu lagi ialah ayat:

في العذاب و الضلال البعيد

Yang bermaksud: "Mereka itu berada dalam azab (di akhirat) dan kesesatan yang sejauhnya (di dunia)” (3)

Dan ayat yang satu lagi ialah:

ان انتم الا في ضلال كبير(4).
قد ضلوا من قبل واضلوا كتيرا وضلوا عن سواء السبيل(5)

Yang bermaksud: "Kamu tidak lain melainkan berada dalam kesesatan yang besar. Mereka telah sesat dahulunya dan menyesatkan ramai (orang lain) dan mereka itu tersesat daripada jalan yang betul."

Kalau difahamkan bahawa kesesatan itu terdiri daripada dua jenis ini -bahagian ilmu nazari dan ilmu ‘amali- maka kita boleh ceraikan lagi kesesatan itu kepada beberapa bahagian-bahagian seperti: akidah, ibadat, akhlak, dan hukum. Dan nampaknya kesesatan itu ada kalanya menyentuh akidah sampai kepada kekufuran (na’udhu billahi min dhalik), dan ada pula yang sampai kepada had sesattanpa membawa kepada kekufuran.

Tanpa menyentuh agama-agama lain selain daripada Islam, dengan memahami Islam yang memandang dirinya sebagai agama sebenarnya dari Allah Swt, maka kesesatan yang dikaitkan dengan Islam, atau pemeluknya asalnya Islam, dalam teks-teks klasik seperti: “al-Farq bainal-Firaq” oleh Sheikh ‘Abd al-Qahir al-Baghdadi r.h., dan “Maqalat al-Islamiyyin” oleh Abul-Hasan al-Asy’ari r.d., dan “al-Milal wan-Nihal” oleh al-Syahrastani r.h., termasyuk juga Ibnu Khaldun r.h. dalam kitab masyhurnya “al-Muqaddimah”, ada beberapa jenis yang besar iaitu:
  1. Mu’tazilah
  2. Jabariyyah
  3. Khawarij
  4. Murji’ah
  5. Syiah Rafidhah
  6. Batiniyyah
Tanpa berpanjang kalam tentang golongan-golongan ini, kita boleh katakan bahawa kebanyakan daripada firqah-firqah ini sekarang tinggal namanya sahaja, dan ianya tidak berkembang; yang masih ada dengan namanya dan doktrinnya ialah Syiah Imamiah dan juga pecahan-pecahan Syiah yangghuluw atau pelampau. Bagaimanapun trend-trend pemikiran mereka masih terdapat masa kini yang boleh mengancam akidah Ahlis Sunnah wal-Jamaah. Akidah yang terjamin benar dan pemikiran yang terjamin benar adalah akidah Ahlis Sunnah wal-Jamaah dan pemikiran yang berkembang dalam “perimeter”nya secara selamat. Oleh itu maka pengecaman tentang akidah Ahlis Sunnah wal-Jamaah secara jelas dan nyata serta pemikiran yang terasuh di dalam kawalannya sahaja yang boleh menjamin seseorang daripada terjebak ke dalam kesesatan dari segi fahaman dan juga amalan dan nilai-nilainya.

Mu’tazilah
  1. Mengajarkan hamba pencipta amalannya sendiri secara bebas merdeka, dan ia diberikan ganjaran mengikut amalannya. (berbeza daripada pegangan Ahlis Sunnah yang mengajarkan manusia mengusahakan perbuatannya, atas usahanya itu ia diberi balasan, dan manusia tertakluk kepada Qada dan Qadar),
  2. Mengajarkan kita tidak boleh berpegang kepada ijma’ ulama,
  3. Mengajarkan sikap tidak mementingkan hadith (aliran anti-hadith adalah percikan dari pengaruh golongan Mu’tazilah).
  4. Mengajarkan sikap terlalu “rasional” dalam pendekatan agama (Ahlis Sunnah pun bersikap rasional tetapi dalam batasan-batasannya) bukannya “terlampau” sebagaimana fahaman golongan Mu’tazilah,
  5. Tentang Tuhan mereka mengajarkan Allah melihat dengan Zat-Nya, berilmu dengan Zat-Nya, mendengar dengan Zat-Nya demikianlah seterusnya (berlainan dengan pegangan Ahlis Sunnah yang mengajarkan bahawa Allah Swt melihat dengan Sifat Melihat-Nya, berilmu dengan Sifat Ilmu-Nya, mendengar dengan Sifat Mendengar-Nya demikianlah seterusnya),
  6. Mengajarkan Tuhan tidak boleh dilihat dengan mata kepala di akhirat (ini juga berlainan daripada pegangan Ahlis Sunnah wal-Jamaah yang mengajarkan bahawa Tuhan akan dilihat dengan mata kepala oleh setiap Mu’minin di akhirat kelak).
Jabariyyah
  1. Mengajarkan bahawa manusia tidak ada usaha dan ikhtiar.
  2. Manusia seperti bulu ditiup angin (berbeza daripada Ahlis Sunnah yang mengajarkan manusia ada usaha bukan di”paksa” dalam melakukan sesuatu. Ia diberi balasan mengikut usahanya; yang “menjadikan” amalan perbuatannya itu ialah Allah Swt; yang “mengusahakan” amalan itu ialah manusia itu sendiri).
Khawarij
  1. Orang yang melakukan dosa menjadi kafir (berbeza daripada Ahlis-Sunnah yang mengajarkan manusia hanya menjadi fasik dengan melakukan dosa, bukannya jadi kafir, kecuali ia mengharuskan berbuat dosa),
  2. Menganggap semua golongan selain daripada mereka adalah halal darahnya (maksudnya boleh dibunuh tanpa dikenakan hukuman).
Murji’ah
  1. Yang mengajarkan bahawa bila manusia beriman perbuatan dosanya tidak memberi kesan (berbeza daripada Ahlis Sunnah yang mengajarkan perbuatan itu memberi kesan iaitu jadi lemah imannya).
Syiah

Syiah, terdapat  banyak cawangannya; kesemuanya berpunca daripada pendewaan mereka yang melampau melebihi batas terhadap Syaidina Ali k.w. Antara akidah Syiah Imamiah; iaitu kumpulan Syiah yang paling berpengaruh sekarang ini, ajarannya ialah:
  1. Ajaran mereka tentang para Imam mereka itu Maksum; bahawa dalam kalangan mereka ada 12 orang Imam yang sirinya bermula dengan Ali r.d., kemudian Hasan dan Husain r.d. dan seterusnya sampailah kepada Hasan al-Askari dan Muhammad bin Hasan al-Askari yang mereka percaya maksum semuanya dan melebihi taraf Nabiy dan Rasul dari segi darjatnya. (Pada Ahlis Sunnah yang maksum hanyalah Nabiy dan Rasul sahaja bukan Imam-Imam).
  2. Ajaran tentang Mushaf Fatimah -iaitu Qur’an yang dikatakan mereka diwahyukan kepada Fatimah selepas wafatnya Rasulullah saw dan Syaidina Ali r.d. menjadi tukang tulisnya. Isinya dikatakan tiga kali ganda lebih besar daripada Mushaf Uthman r.d. (ijma’ dalam Ahlis Sunnah mengatakan bahawa tidak ada Qur’an lain lagi selain daripada Qur’an yang ada sekarang, yang terjamin dan terkawal oleh Allah Swt sendiri seperti yang tersebut dalam ayat yang bermaksud:“Sesungguhnya Kami-lah yang menurunkan Qur’an yang memberi peringatan dan sesungguhnya Kami-lah yang menjaganya”.) Ajaran ini menyebabkan seseorang terkeluar daripada ajaran Islam.
  3. Ajaran mereka bahawa para Sahabat r.d. menjadi murtad selepas wafat Rasulullah saw melainkan empat orang sahaja atau selebihnya tidak sampai sepuluh orang. (Ini amat berlawanan dengan ajaran serta pegangan Ahlis Sunnah wal-Jamaah yang mengajarkan bahawa para Sahabat r.d. adalah orang-orang yang adil kesemuanya, dan mana-mana yang ada melakukan kesilapan di kalangan mereka diampunkan, seperti yang di-isyaratkan dalam hadith sahih tentang ahli Badar dan juga dalam hadith-hadith lain, selain daripara ayat Qur’an yang menyebut “as-sabiqun al-awalun” terdiri daripada Muhajirin dan Ansar).
  4. Ajaran mereka tentang ar-Raj’ah iaitu manusia akan dihidupkan semula sebelum kiamat tujuannya untuk menerima balasan daripada Imam mereka, kemudian selepas itu baharulah mereka dimatikan semula, lepas itu baharulah berdiri kiamat. (Tidak ada akidah sedemikian rupa dalam ajaran Ahlis Sunnah wal-Jamaah).
  5. Ajaran mereka tentang “taqiyyah”, iaitu kepura-puraan sehingga dikatakan ada riwayat di kalangan mereka yang mengatakan bahawa Imam Jaafar as-Sadiq ada menyatakan “Taqiyyah adalah dari agamaku dan agama datuk nenekku” -iaitu dari Nabiy Muhammad saw -na’udhu billlahi mindhalik). (Dalam Ahlis Sunnah kita diajarkan bahawa Nabiy Muhammad saw bersifat dengan sifat sidiqamanahtabligh dan fatanah, dan bukannya dengan sifat taqiyyah yang bermakna kepura-puraan atau menipu.
  6. Mereka mengajarkan nikah mut’ah diharuskan, dengan ada kelebihan-kelebihannya. Nikah mut’ah ialah nikah seseorang dengan seseorang perempuan dengan had masa tertentu, tanpa wali atau saksi. Ini dilarang dengan ijma’ dalam umat ini dan ianya pernah berlaku beberapa waktu kemudian diharamkan oleh Nabiy saw.
Batiniyyah
  1. Secara amnya golongan yang mengajarkan bahawa bentuk-bentuk amalan lahir dan hukum lahir seperti sembahyang puasa, haji dan seterusnya tidak mempunyai makna apa-apa, boleh dilanggar, yang penting ialah hakikat batinnya. (Ini berlawanan dengan Qur’an dan Sunnah serta ijma’ yang mementingkan lahir dan batin serta kedua-duanya sekali).
  2. Orang yang berpegang kepada ajaran yang membatalkan Syara’ ini terkeluar daripada agama Islam, na’udhu billahi min dhalik. Imam al-Ghazali r.d. menyebut dalam “al-Ihya” bahawa golongan yang sedemikian lebih berat sesatnya daripada kafir asli.

AJARAN-AJARAN DAN PEMIKIRAN-PEMIKIRAN SESAT YANG DIKAITKAN DENGAN TASAWWUF:
Antaranya yang timbul dalam konteks Malaysia:
  1. Ajaran yang mengakui Tuhan dalam dirinya berdasarkan kepada hadith qudsi; “Dalam sirr itu Aku” dan penafsirannya yang zindik (banding dengan hadith dalam “Ihya” yang menyebut;“Tuhan dalam hatikamu”.
  2. Ajaran bahawa manusia itu Tuhan, “dia Tuhankamu Tuhanaku Tuhansemua Tuhan” dikatakannya itu adalah ilmu hakikat.
  3. Ajaran bahawa yang dilihat oleh mata ini “Tuhan belaka” didakwa kononnya itu tasawwuf paling tinggi, ilmu hakikat.
  4. Ajaran yang mengajarkan Syurga dan Neraka dalam dirinya, bahkan semua alam dalam diri, tidak ada Syurga dan Neraka, tidak ada Arasy atau Kursi, dan yang lainnya.
  5. Tidak ada kiamat, sebab tak kan Tuhan bodoh sehingga hendak menghapuskan semua ini selepas dijadikan-Nya.
  6. Ajaran yang menyebut hukum Syara’ itu “kulit” tidak perlu dipatuhi oleh orang muntahi yang telah “sampai kepada hakikat”. Dengan itu sembahyang puasa haji dan sebagainya dan juga hukum haram dan halalnya tidak perlu diamalkan lagi. Na’udhu billahi min dhalik.
  7. Ajaran yang mengajarkan al-Qur’an yang ada ini kertas sahaja, al-Qur’an sebenar Qur’an hakikat dalam hati manusia.
  8. Yang mengajarkan bila berada dalam suluk tidak wajib sembahyang Jumuat, sebab “penyakit hati lebih berat daripada penyakit jasmani”.
  9. Ajaran yang menyebarkan bahawa makna Qur’an yang sebenar ialah yang batin, makna dalam tafsir seperti “Jalalain” tidak perlu dipakai, ijma’ ulama tidak perlu dipakai. (Qur’an memang ada takwil-nya sebagaimana yang disebut dalam “Lataif al-Isyarat” oleh al-Qusyairi r.d. dan dalam “al-Ihya’” bab bacaan al-Qur’an oleh Imam al-Ghazali r.d., tetapi maknanya yang ada dalam tafsir-tafsir yang diakui seperti “Tafsir Jalalain”“Tafsir al-Baidhawi”“Tafsir al-Jamal” dan yang lainnya, ianya wajib dipakai dalam perkara-perkara yang wajib dan mesti diterima pakai.
  10. Ajaran yang menyebarkan bahawa guru yang berkenaan seperti Khidhir, seperti Musa mesti taat kepadanya maka murid mesti taat kepada “yang seperti Khiudhir” ini.
  11. Ajaran yang menyebarkan bahawa; “kata-kata guru tertentu adalah umpama al-Qur’an”, kalau melanggarnya seperti melanggar wahyu Qur’an.
  12. Ajaran yang menyebarkan guru tertentu itu “bayangan Mahdi”, atau “akan menjadi Mahdi”.
  13. Ajaran yang menyebarkan bahawa kumpulan tertentu “jamaah sebenar” seperti “jamaah Rasulullah” dan di dalamnya ada “orang-orang seperti Sahabat-sahabat Nabiy” dan di dalamnya ada orang “seperti Abu Bakar”.
  14. Ajaran yang menyebarkan bahawa ada orang tertentu yang ilmunya “seperti Nabi Yusuf” mengetahui takwil tentang apa-apa yang akan berlaku.
  15. Ajaran yang menyebarkan bahawa jamaah tertentu kalau orang keluar daripadanya “akan mati murtad”, atau “mati munafiqin” na’udhu billahi min dhalik.
  16. Ajaran yang menyebarkan bahawa kalau seseorang balik ke kampung daripada berada dalam sesuatu jamaah maka orang itu “murtad secara rohani”.
  17. Ajaran yang menyebarkan ada di alamnya orang-orang seperti “Nabi Isa”, “Nabi Musa”,”Khidhir” dan sebagainya.

Pemikiran berkaitan dengan Hukum
  1. Ajaran yang menyebarkan bahawa “semua orang boleh berijtihad sendiri dan tidak wajib ikut mazhab tertentu daripada mazhab-mazhab yang empat” seperti yang tertera dalam kitab “Hal al-Muslim mulzam b’t-tiba’ al-madhhab al-mu’ayyan mina-Madhahib al-arba’ah”karangan Syaikh Muhammad al-Khojandi al-Ma’sumi.
  2. Ajaran yang menyebarkan bahawa orang yang mengikut mazhab tertentu seperti Yahudi dan Nasara yang menjadikan “rahib-rahib dan pendita-pendita mereka sebagai tuhan-tuhan selain daripada Allah Swt” (Surah at-Taubah: ayat 32).
  3. Ajaran yang mengajarkan bahawa boleh seseorang melihat terjemahan Qur’an dan terjemahan hadith dan membina hukum sendiri daripadanya tanpa merujuk kepada kitab-kitab hukum Islam, apa lagi ada internet yang boleh didapati terjemahan Qur’an dan hadith daripadanya.
  4. Ajaran yang menyebarkan memadai difahami usul al-din daripada terjemahan Qur’an dan hadith secara bersendirian tanpa mempelajari usul-al-din bahkan usul’ah sebab Nabiy saw dan para Sahabat tidak mengajar usul al-din.
  5. Ajaran yang menyebarkan bahawa amalan-amalan wirid, tahlil beramai-ramai, dan lain-lain sebagainya yang ada dalam mazhab Syafi’i antaranya -disebut Syafi’i sebab ini mazhab di Nusantara- adalah bid’ah dhalalah yang menepati maksud hadith yang bermaksud “semua yang dhalalah dalam Neraka”.
  6. Ajaran yang disebarkan bahawa tasawwuf adalah bid’ah ianya tidak ada dalam Islam dan tidak diamalkan oleh Nabiy saw dan para Sahabat dan orang-orang salaf yang soleh.
  7. Ajaran yang disebarkan bahawa orangt-orang yang hidup tidak sampai pahala amalannya kepada si-mati walaupun diniatkan untuk mereka, kerana ini berlawanan dengan ijma’ sebagaimana yang disebut dalam “Mausu’atul-Ijma’” karangan Sa’di Abu Jaib dan dalam“Majmu’ Fatawal-Kubra” oleh Ibnu Taimiyah dalam “kitab al-Jana’iz” jilid 3.

Pemikiran Moden Yang Menyesatkan Dari Perspektif Islam
  1. Sekularisme: yang mengajarkan pemisahan total antara hidup jasmani dan rohani, keagamaan dan keduniaan. Memang ada yang bersifat keduniaan antara kegiatan-kegiatan manusia tetapi semuanya terletak di bawah kawalan hukum agama.
  2. Materialisme: yang mengajarkan hakikat sebenar yang ada hanya benda samada dalam erti fisik klasik sesuatu yang bertempat dan ada beratnya atau fisik quantum yang mentakrifkan benda sebagai gelombang (waves) atau zarrah (particles). Benda memang ada tetapi hakikat tertinggi adalah bukan bersifat material, seperti Tuhan dan alam ghaib yang memang ada, dan dalam agama ianya lebih reality daripada alam benda.
  3. Pascamodenisme: yang mengajarkan semuanya nisbi, tidak tetap mutlak dan menentu,metanaratif dalam bentuk agama-agama besar tidak berguna, dan nilai-nilai baik dan buruk tidak boleh dipakai. Ini menyanggahi akidah Ahlis Sunnah yang mengajarkan ada ajaran yang mutlak yang tidak berubah-ubah seperti Tauhid, wahyu, kenabiyan, dan akhirat, ada bentuk-bentuk ibadat yang tetap dan pasti, ada yang baik dan yang buruk, ada yang tetap dan yang tentu.
  4. Saintisme: yang mengajarkan hanya teori-teori dan penemuan-penemuan sains sahaja yang boleh dipakai sebagai ilmu yang sebenar, yang lain yang bercanggah dengannya seperti kenyataan-kenyataan dalam ajaran agama dan teks-teks suci mesti ditolak atas alasan bercanggahan dengan sains dan teori-teorinya. Ini bercanggah dengan epistemologi atau faham ilmu Sunni yang mengajarkan adanya tempat yang wajar untuk sains dalam skimanya tetapi kebenaran-kebenaran yang mutlak dalam agama dan wahyu bukan bidang yang boleh dihakimi oleh sains dan teori-teorinya, teori-teori tentang asal usul manusia dan agama dalam kaji sosial yang perlu diawasi, teori-teori dalam sains seperti evolusi dan yang sepertinya yang perlu diawasi, termasuk kenyataan-kenyataan tentang tenaga (energy), dan benda (matter), teori-teori psikologi seperti konsep seks yang menentu segala dalam fahaman Freud, penafsiran pengalaman jiwa oleh Jung dan yang sepertinya yang perlu diawasi. Kita boleh mempelajarinya untuk bahan bandingan tetapi untuk menjadi pegangan diperlukan pengamatan yang tajam dan kewaspadaan intelektuil yang tinggi.
Empat Wacana Agung Yang Menentukan di Nusantara
Sebagaimana yang telah saya nyatakan dalam pertemuan Dunia Islam Dunia Melayu di Melaka baru-baru ini, demi untuk menjaga jatidiri Sunni Nusantara di kalangan Muslimin rumpun Melayu ini, kebenaran pegangan dan amalan mereka serta keseragaman identiti intelektuil dan aksiologi atau faham nilainya, maka perlu diteruskan tiga wacana agung, dengan tambahan-tambahan seperlunya mengikut suasana yang dihadapi:
  1. Segi akidah semenjak awal lagi kita dipandu oleh wacana intelektuil dan rohani Sunni dengan ajaran Imam Abul-Hasan al-Asy’ari r.d. -dengan tambahan-tambahan seperlunya sesuai dengan perkembangan pengetahuan semasa.
  2. Segi hukumnya kita dipandu oleh wacana ilmu oleh Imam Syafi’i r.d. dengan tambahan-tambahan seperlunya.
  3. Segi kerohanian dan akhlak kita dipandu oleh wacana agung Imam al-Ghazali r.d., dengan tambahan-tambahan seperlunya.
  4. Keempat-empatnya saya hendak menambah sebagai syor, iaitu untuk pemerkasaan hidup budaya dan tamadun kita berusaha untuk dipandu oleh wacana agung Ibn Khaldun r.h.dengan ‘al-Muqaddimah’nya, dengan tanmbahan-tambahan seperlunya.
Dengan berpandukan al-Qur’an dan as-Sunnah dan wacana-wacana agung ini serta dengan tambahan-tambahan ilmu pengetahuan dan teknologi semasa yang kita pilih untuk kemanafaatan kita, kita akan selamat dalam menjaga kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat. Allahuma amin.
Cadangan-Cadangan
  • Perlu disebarkan akidah Ahlis Sunnah wal-Jamaah dengan huraian-huraian yang senang diterima dan berkesan untuk semua golongan sasaran baik di kalangan orang awam dan juga kalangan akademik dan media serta pelajar.
  • Saluran pendidikan ini ialah melalui sistem pendidikan dan juga media dan pemanafaatan institusi-institusi seperti masjid-masjid dan persatuan-persatuan belia.
  • Pendedahan epistemologi Sunni atau faham ilmunya secara menyeluruh perlu diberikan dalam seminar-seminar dan yang sepertinya pada peringkat negeri, kebangsaan, bahkan serantau, demi untuk memandu umat ini dalam berpegang kepada akidah Ahlus Sunnah wal-Jamaah.
Kesimpulan:
Sebagai kesimpulannya inilah makna kesesatan dan ciri-ciri ajaran sesat dalam konteks Islam Sunni yang perlu diketahui dan disedari dalam bentuk-bentuk klasik dan modennya. Maka perlu dibentuk kewaspadaan intelektil yang tinggi di kalangan umat Islam demi untuk menjaga kebenaran dan kesahihan pegangan, amalan dan pemikiran mereka dalam menghadapi hidup yang mencabar termasuk cabaran globalisasi yang bukan sahaja akan mengubahkan wajah hidup kita dalam ekonomi dan pengetahuan tetapi juga dalam masalah akidah dan pegangan kalau tidak dihadapi dengan baik dengan izin Ilahi. Allahuma amin.

Wallahu a’lam.

OLEH:
MUHAMMAD ‘UTHMAN EL-MUHAMMADY
Diedit oleh Lebai Kampung

Nota hujung:
(1) al-Mufradat h.306-308
(2) Surah an-Nisa’: ayat 136
(3) Surah Saba: ayat 8
(4) Surah Mulk: ayat 9
(5) Surah Al Ma’idah: ayat 77

Ustaz Sidi As-Syatarie (Lebai kampung)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails