Monday, November 16, 2009

Ikhlas ke tak ikhlas ni?



Ikhlas dan tidak menunjuk-nunjuk dalam melakukan ibadah.

Manusia zaman kini, ramai yang mengejar kekayaan dan kemewahan duniawi semata-mata. Mereka mengejar dunia lebih daripada akhirat, menghambakan diri dalam mengejar kemanisan syurga berbanding mengejar syurga di akhirat kelak yang pastinya akan kekal abadi. Semoga kita semua tidak tergolong dalam golongan manusia di atas.

Untuk entri kali ini bukan isu di atas yang ingin saya kupaskan tetapi ingin menyentuh sedikit tentang golongan manusia yang suka menunjuk-nunjuk dalam melakukan amal ibadah kerana semenjak-menjak ini sering kali terjumpa manusia yang seperti ini. Mereka mengejar melakukan ibadah lalu menunjuk-nunjuk serta menghebohkan kepada orang lain tentang amal ibadah yang telah dilakukan.

Adakah amalan yang telah dilakukan ini dianggap sebagai ikhlas?

Mungkin ya dan mungkin juga tidak kerana bukan saya yang mengetahui ikhlas atau tidak seseorang itu melainkan Allah s.w.t.

Dalam Islam, niat adalah perkara penting kerana apa saja pekerjaan yang dilakukan oleh umatnya hendaklah dengan niat dan niat itu ikhlas semata-mata kerana Allah. Jika dilakukan tanpa keikhlasan suatu amal tidak akan mendapat keredaan dari sisi Allah.

Ikhlas, boleh diertikan melakukan amalan semata-mata mencari keredhaan Allah s.w.t., tidak bercampur dengan tujuan duniawi. Amalannya tidak dicampuri dengan keinginan dan kepentingan dunia, keuntungan, pangkat, status, harta kekayaan, kemasyhuran, kedudukan tinggi di kalangan manusia, meminta pujian dan sebagainya. Jika ada terdetik dalam niat yang bukan untuk mendapatkan keredhaan Allah semata-mata dalam melakukan amal ibadah maka ianya tidak dianggap sebagai ikhlas.

Antara contoh-contoh yang selalu didengari adalah : memberitahu orang lain bahawa kita kerap melakukan solat sunat tahajjud/hajat/solat berjemaah dengan tujuan agar orang itu tahu bahawa kita rajin dan warak. Adakah amalan itu dianggap ikhlas? Renung-renungkan.

Semasa saya kecil, ayahanda pernah mengingatkan saya bahawa selalu ikhlas dalam melakukan apa-apa sahaja. Beliau pernah memberitahu bahawa orang yang benar-benar ikhlas tidak suka menyatakan “Saya ikhlas, saya ikhlas” kepada orang lain. Ada benarnya juga jika kita difikir-fikirkan. Apa-apa pun ikhlas itu hanya dalam pengetahuan Allah s.w.t. sahaja bukan kita.

**Ayahanda juga tidak gemar jika namanya ditulis dengan panggilan Haji sebelum namanya, begitu juga dengan Bonda. Tidak perlu beritahu(heboh2kan) kepada orang lain yang kita ni dah pergi haji, cukuplah sekadar Allah shj yang tahu**.

Ikhlas dengan makna ini adalah buah dari tauhid yang sempurna iaitu mengesakan Allah taala dalam ibadat. Kerana itulah riya’ atau menunjuk-nunjuk yang merupakan lawan kepada ikhlas adalah perbuatan syirik.

Syidad bin Aus berkata : “kami mengira riya’ adalah syirik kecil pada zaman Rasulullah saw.”

Firman Allah taala (al-Mulk : 2) yang bermaksud :

“Supaya dia menguji kamu, siapakah di antara kamu yang baik amalannya.”

“Amalan yang paling baik ialah yang paling ikhlas dan yang paling benar.”Orang bertanya kepada beliau: “Wahai Abu Ali, apakah yang dimaksudkan dengan yang paling ikhlas dan benar itu?” Beliau menjawab : “Sesungguhnya sesuatu amalan itu, jika ia ditunaikan secara ikhlas sahaja tetapi tidak menepati kebenaran, maka ia tidak akan diterima. Begitu juga jika ia menepati kebenaran tetapi jika tiada ikhlas, maka ia juga tidak diterima. Amalan yang diterima ialah yang ikhlas dan menepati kebenaran. Ikhlas adalah semata-mata kerana Allah dan kebenaran adalah mengikut sunnah.”

Ikhlas adalah syarat diterimanya amal ibadah seperti firman Allah yang bermaksud:

“Dan tiadalah diperintahkan mereka, melainkan supaya mereka beribadat kepada Allah, seraya mengikhlaskan taatnya kepada Allah, lagi condong kepada kebenaran.” (Surah al-Bayyinah, ayat 5)

Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: “Allah tidak menerima amalan, melainkan amalan ikhlas dan yang kerana untuk mencari keredaan Allah.” (Hadis riwayat Ibnu Majah)

Allah melihat amal ibadah hamba-Nya di dunia ini dengan melihat niat hamba itu dulu, sama ada ia dilakukan secara ikhlas atau tidak. Allah tidak akan memberi pahala kepada orang yang tidak ikhlas dalam amalannya.

Tambah rugi jika amal ibadah yang dikerjakan itu dengan niat menunjuk-nunjuk kepada orang lain yang dia kononnya orang alim atau kuat beragama.

Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak melihat bentuk tubuh kalian, tidak pula paras rupa kalian, tetapi Dia melihat ke dalam kalbu (hati) kalian.” (Hadis riwayat Muslim)

Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: “Berlaku ikhlaslah kamu dalam beragama, maka amal sedikit pun mencukupkan kamu.” (Hadis riwayat al-Hakim)

p/s : saya bukannya alim mahupun warak, begitu juga dengan anda maka sama-samalah kita saling ingat-mengingati. Doa-doakan semoga blog ini dapat dijadikan medium untuk berdakwah. Yang buruk itu datang daripada kita dan yang baik itu datang daripada Allah s.w.t.



No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails