Berkata para Ulama’ “Awal-awal agama ialah mengenal Allah” Dan berkata seorang ahli Hikmah, Yahya bin Muaz, “Barangsiapa yang kenal dirinya, sungguh dia telah mengenal Tuhannya.”. Berkata pula Syeikh Jalaludin Ar-Rumi, “Sesungguhnya segala keelokan dan kecantikan yang ternyata pada insan adalah bayangan sifat-sifat Allah taala, sebagaimana cahaya bulan purnama terbayang pada permukaan sungai yang airnya mengalir jernih.” Beliau menambah, “kiranya aku nyatakan sepenuhnya nilai mutiara yang tak tercapai ini (rahsia diri insan) nescaya leburlah dadaku dan leburlah para pendengarnya.”
Kalam-kalam di atas mencetuskan asas penting di dalam mencari rahsia dan makna penciptaan diri kita, seterusnya membawa kita kepada hakikat pengabdian diri kepada Allah. Mengabdikan diri kepada Allah adalah dengan makna mengenali Allah dan melakukan sepenuhnya ketaatan kepada Nya, berdakwah dan berjihad agar tertegaknya kalimah Allah di atas muka bumi ini.
Untuk mengenal Allah, kita harus mengenali dan menyelami hakikat kejadian diri kita sendiri. Ini kerana, manusia adalah penzahiran kepada kewujudan Allah. Seperti kata Ar-Rumi, ada sifat-sifat keTuhanan yang dizahirkan pada diri manusia. Sebab itu, untuk mengenal Allah bukan sekadar mengenal dengan akal semata-mata, tetapi melihat dengan mata hati atau roh sehingga nyatalah rahsia keTuhanan yang tersembunyi dan terhijab itu.
Mendidik manusia dan mengajak mereka kepada Allah atau juga dakwah adalah tugas asasi seorang Muslim. Untuk berjaya mendidik manusia, seorang pendidik mestilah mengenali dirinya.Kalau tidak dia akan gagal mendidik orang lain, malah dia juga akan gagal mendidik dirinya sendiri. Maksud mengenal diri bukanlah mengenai rupa fizikal yang boleh dilihat dengan mata kasar, tetapi mengenal batiniah dan unsur-unsur ‘dalaman’ manusia, iaitu ruh, nafsu dan akal. Itulah sasaran pendidikan (tarbiyah) yang sebenar, kerana melalui unsur-unsur tersebut sahaja, manusia boleh mengenal Allah dan mencintaiNya.
[Kredit : Kuliah Ilmu]
2 comments:
tidak adakah penceritaan selanjutnya menganai awaludin ma'rifatullah ini.. mcm sekerat jer cite dia..
memang cerita tak detail.. dalam blog ni memang banyak artikel yang tak detail sebabnya blog ni hanya bagi klu, bagi hint awal shj.. untuk detail dan selanjutnya eloklah cari guru yang mursyid.. carilah guru yang boleh mengajar, seelok-eloknya guru yang ilmunya bersanad sempai ke Rasulullah SAW.. Itu lebih afdal..
Post a Comment