Demikian ketentuan Allah. Satu ketentuan yang pasti kita akan hadapi satu hari nanti. Batas di mana manusia tidak dapat berdalih lagi. Hari di mana kita terpaksa menerima akibat dari usaha kita di dunia. Di hari itu orang yang tidak ikhlas akan melolong, memekik dan menyesal amalannya tertolak. Dia sangka dapat membohongi Allah, rupanya tidak. Allah lebih tahu darinya tentang gerak hatinya sendiri. Marilah kita insaf dari sekarang, betulkan niat kita ketika melakukan suatu amalan. Mohon dari Allah agar diberiNya hati yang ikhlas, sebab ikhlas anugerah daripada Allah. Dalam satu hadis Qudsi Allah berfirman yang bermaksud:
“Ikhlas adalah satu rahsia dalam rahsia-rahsia-Ku. Aku titiskan ia dalam hati hamba-hambaku yang Aku mangasihinya” (Riwayat Abu Hasan Al Basri)
Kerana ikhlas satu rahsia Allah tentu tidak mungkin kita dapat mengetahui siapa yang ikhlas dan siapa yang tidak. Malah diri kita sendiri pun mungkin kadang-kadang susah untuk dipastikan apakah amalan kita itu ikhlas atau sebaliknya. Kita tidak boleh mengatakan diri kita ikhlas “saya ikhlas”.
Walaupun ikhlas adalah rahsia Allah namun islam membuat satu garis panduan unutk mengukur hati kita dan membentuknya supaya benar-benar ikhlas. Di antara tanda-tanda ikhlas dalam satu amalan apabila orang memuji atau mencaci amalan kita, kita rasa sama saja. Pujian tidak membanggakan kita dan kejian tidak menyusahkan. Itulah tanda ikhlas. Maknanya amalan itu betul-betul dibuat kerana Allah. Kerana itu kalau manusia cerca, caci atau hina, hati pun tidak cacat, tidak timbul perasaan marah, dendam atau ingin membela diri atau melawan orang yang menghina itu.
Begitu juga, kalau orang puji, pujian itu tidak membekas di hatinya. Tidak timbul rasa bangga, puas hati dan juga dan juga tidak bertambah kasih sayangnya pada orang yang memuji itu, disebabkan oleh pujiannya. Bagi orang-orang yang ikhlas, pujian dan kejian tidak pernah difikirkan apalagi hendak di harapkan. Mereka sangat takut kalau-kalau Allah menolak amalan dan memurkai mereka. Sebaliknya mereka sangat ingin Allah menerima baik amalan-amalan mereka serta meredhai mereka. Mereka sanggup mengetepikan kepentingan sendiri dalam usaha mencari keredaan Allah. Mereka tidak bimbang nasib diri, rugi atau untung, orang keji atau puji, menang atau kalah, yang penting supaya Allah menerima baik amalan mereka. Rasulullah SAW kerana menganjurkan sifat ikhlas telah bersabda yang bermaksud:
“Berbuat baiklah pada orang yang berbuat jahat kepada kamu”
Seseorang yang mencari keredaan Allah, akan sentiasa mencari peluang untuk berbakti kepada-Nya. Ketika orang lain bertindak jahat pada mereka, mereka akan merasa berpeluang untuk mendapat pahala dan kasih sayang Allah. Sebab itu kejahatan orang diterima baik dan dibalas dengan kebaikan pula.
Hal itu benar-benar berlaku di kalangan orang-orang soleh dan muqarrobin. Ketika mendengar orang menghina mereka, langsung dihantarnya hadiah pada orang itu. Bila di Tanya apa tujuan hadiah itu,jawapan mereka adalah, ”Orang yang menghina kita sebenarnya memberi pahala kepada kita. Memberi pahala sama seperti memberi syurga. Jadi untuk membalas pemberian yang begitu besar pada kita,memang patutlah kita menghadiahkan sesuatu kepadanya”. Begitulah hati yang ikhlas. Dia tidak melatah kalau orang menggugat,malah gugatan itu mendekatkan dirinya pada Allah Taala.
[Sumber :Cahaya Mukmin]
No comments:
Post a Comment