Wednesday, April 20, 2011

Tidak salah menjadi kaya...tapi..


Dalam Islam memang tidak salah untuk menjadi kaya, kerana kaya itu adalah salah satu kekuatan umat Islam. Bila kaya banyak kebaikan dan manfaat yang boleh dilakukan untuk umat Islam. 

Tapi janganlah pula tenaga dan kudrat kita untuk mengejar kekayaan melebihi tenaga dan kudrat kita mengabdikan diri kepadaNya, maksudnya di sini adalah seperti seseorang yang bersungguh-sungguh mencari rezeki tetapi tidak bersungguh pula dalam pengabdiaan diri kepada Yang Maha Esa. 

Tidak bersungguh menjaga taubat, tidak bersungguh untuk meninggalkan dosa maksiat, tidak bersungguh mencari ilmu agama, tidak bersungguh untuk memperbanyakkan ibadah-ibadah sunat, tidak bersungguh memperbanyakkan mengingati Allah (zikrullah), tidak bersungguh menjaga aurat, tidak bersungguh menjaga solat, tidak bersungguh untuk mengenaliNya, tidak bersungguh bermujahadah mengawal hawa nafsu, tidak bersungguh untuk bangun malam bertahajjud kepadaNya, tidak bersungguh menjaga ketebalan iman, tidak bersungguh untuk mencari para kekasihNya dan bermacam-macam lagi. 

Jadi, apa gunanya kita berkerja kuat dalam mencari rezeki tapi berkerja lemah dalam mengejarNya?

Itu tandanya kita bertuhankan dunia, dalam tidak sedar dunia telah mendominasi hati sanubari kita, yang ada dalam hati kita bukanlah Allah tapi dunia dan dunia itu adalah ciptaanNya. Jika dalam hati kita diisi oleh ciptaanNya maka bukankah kita telah berlaku syirik kepadaNya tanpa disedari?

Nauzubillah min zalik..

Dan adakah benar kita ingin kaya kerana untuk manfaat umat Islam lainnya? Atau untuk kesenangan diri sendiri? 

Itulah bezanya kaya para sahabat Rasulullah SAW dahulu berbanding dengan kaya kita zaman sekarang. Para sahabat dahulu mengeluarkan sebahagian besar harta mereka pada jalan Allah..

Ingat, mereka mengeluarkan sebahagian BESAR harta mereka untuk jalan Allah, sehinggakan Saidina Abu Bakar menghabiskan kesemua hartanya untuk jalan Allah. Apabila Abu Bakar ditanya Rasulullah SAW "Apakah yang tinggal untuk keluargamu?", jawab Abu Bakar "Allah dan RasulNya". 

Jadi, sanggupkah kita untuk mengeluarkan sebahagian BESAR harta kita untuk jalan Allah? Atau sebahagian kecil sahaja harta kita? dan yang selebihnya untuk kesenangan kita dan keluarga?

Tanyalah iman untuk tahu jawapannya, jika iman kita senipis kulit bawang bagaimana? Jika jawapannya tidak sanggup atau masih ragu-ragu maka itu salah satu lagi tanda kita masih  lagi terhijab denganNya dan secara tidak sengaja telah bertuhankan nafsu, bertuhankan dunia.

Kesimpulannya di sini, ingin saya nyatakan bahawa tebalkanlah dahulu iman kita sebelum menebalkan poket seluar, kerana harta yang banyak itu haruslah dipimpin oleh iman yang tebal lagi kukuh bukannya rapuh. Kerana jika rapuh iman maka bermaharajalah nafsu di dalam jiwa. Bila nafsu yang memimpin, diri terasa seperti  sedang melakukan kebaikan padahal hakikatnya terperangkap dalam tipu daya halus syaitan dan iblis.

-Peringatan untuk diri sendiri- 

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails